Monday, May 21, 2012

Taraf jalan Sarawak terbukti tidak setaraf negeri lain / Sarawakian road conditions are proven not in par with other states

Salam sejahtera,

Dalam satu laporan oleh Berita Harian bertarikh 10 April 2012, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, telah membuat kenyataan bahawa "adalah tidak benar dakwaan sesetengah pihak kononnya kemudahan jalan raya di kedua-dua negeri ini diabai tetapi apa yang berlaku ialah lebuh raya di beberapa tempat di Semenanjung dikendalikan oleh swasta yang turut mengenakan tol." Kenyataan ini dikeluarkan semasa beliau sendiri meninjau keadaan sebahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo FT1 dari Miri ke Bintulu menaiki kenderaan pacuan empat roda. Di sini, Blog Jalan Raya menyangkal sama sekali dakwaan beliau yang mengatakan kualiti jalan raya Sarawak setanding dengan negeri lain.

Memang benar, Sarawak masih ada jalan raya yang bagus. Namun, apa yang dibimbangkan ialah keadaan laluan utama yang menjadi tulang belakang rangkaian jalan raya Sarawak itu sendiri yang teruk. Ia diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng melalui laporan berasingan oleh Utusan Malaysia dan The Star, yang mengatakan kebanyakan jajaran Lebuhraya Pan Borneu FT1 secara puratanya hanya memenuhi piawaian JKR R3 (lebar lorong 2.75 hingga 3 meter; had laju rekabentuk 70 km/j). Ia sama sekali bercanggah dengan kenyataan Datuk Shaziman. Apa sudah jadi sebenarnya?












Lihat sahajalah gambar-gambar di atas ini. Papan-papan tanda yang digunakan sahaja sudah tidak mengikut piawaian JKR. Cuba bandingkan dengan papan-papan tanda di Sabah pula di bawah. Kenapa Sabah boleh memartabatkan sistem jalan rayanya dengan menyeragamkan papan tandanya dengan piawaian JKR tetapi Sarawak pula tidak boleh?












Itu baru soal papan tanda, belum lagi masuk bab jalan. Bagaimana pula dengan keadaan jalan Pan Borneo Sarawak?












Daripada gambar-gambar ini sahaja para pembaca boleh menilai bahawa keadaan jalan FT1 di Sarawak tidak seragam. Memang masih terdapat jalan-jalan yang bagus, lebar dan selesa untuk dipandu di Sarawak, tetapi seperti yang telah saya katakan tadi, majoriti jajaran Lebuhraya Pan Borneo hanya dibina di bawah piawaian JKR R3 sahaja. Jadi apa maksudnya kenyataan tersebut? Maksudnya, majoriti jalan Pan Borneo FT1 di Sarawak adalah sempit, tidak sesuai untuk kenderaan berat, serta tidak selamat untuk dipandu pada had laju kebangsaan 90 km/j. Jalan sebegini juga tidak sesuai untuk digunakan oleh lori berat dan lori treler, kerana spesifikasi turapan jalan JKR R3 tidak berupaya menampung kenderaan berat, berikutan ketebalan turapan serta ketebalan lapisan batu kerikil yang lebih nipis daripada jalan raya JKR R4 dan R5. Dengan kata lain, piawaian JKR R4 adalan piawaian minimum bagi jalan raya yang sesuai digunakan kenderaan dengan BDM (berat dengan muatan) sehingga 50 tan metrik.

Jadi apa penyelesaian kepada semua ini? Penyelesaian paling radikal ialah dengan membina lebuh raya ekspres. Lihat sajalah Jepun dan China sebagai contoh terbaik untuk diikuti. Pada tahun 1950an, kualiti jalan di Jepun sangat teruk dan kebanyakan jalannya tidak berturap. Malah, Laluan Kebangsaan 1 Jepun dari Tokyo ke Osaka hanya 23% sahaja yang berturap pada tahun 1952. Untuk memperoleh dana mencukupi bagi memperbaiki sistem jalan raya kebangsaan, kerajaan Jepun melakukan satu langkah radikal iaitu dengan terus membina lebuh raya ekspres supaya hasil kutipan tolnya boleh digunakan untuk membiayai pembinaan jalan-jalan raya. Hasilnya, rangkaian jalan raya Jepun adalah yang terbaik di Asia.

Sejarah lebuh raya ekspres China pula sangat singkat. Semasa Malaysia sudah membuka Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 pada tahun 1994, hanya sebatang dua sahaja lebuh raya ekspres yang ada di China, itu pun di Beijing. Jalan raya biasa pula jangan cakaplah, keadaannya begitu teruk. Namun demikian, hasil ledakan industri automotif di sana, kerajaan China mengambil langkah drastik membina beribu-ribu kilometer lebuh raya ekspres dalam masa yang sangat singkat - malah, terlalu singkat sehingga memeranjatkan negara-negara maju. Malah, tempat terpencil seperti di Urumqi dan Lhasa pun sudah mula ada lebuh raya ekspres. Inilah yang patut kita panggil sebagai komitmen kerajaan.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Ke mana perginya laungan "Malaysia Boleh" sebagaimana sebelum ini? Kalau ada projek lebuh raya ke kawasan luar bandar, ada saja dolak-dalik yang didendangkan. Lihat sajalah Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2, lambat siap disebabkan dolak-dalik segelintir kontraktor yang tidak kompeten. Ataupun, projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang akhirnya terpaksa dibina sendiri oleh kerajaan negeri akibat kurang kerjasama oleh kerajaan persekutuan.

Akhirnya, ke mana perginya slogan "memartabatkan Jalan Persekutuan" oleh Kementerian Kerja Raya? Tengok sajalah, laporan berita di kaca televisyen, corong radio serta akhbar rata-ratanya hanya menggunakan nama jalan yang boleh menimbulkan khilaf kepada penduduk luar dan bukannya kod jalan raya yang lebih mudah diingati dan dicari. Hanya segelintir sahaja stesen radio swasta berbahasa Inggeris yang begitu berani mengambil inisiatif sedemikian. Tambah menyedihkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pun seakan tidak tahu menggunakan sistem kod jalan raya kebangsaan semasa melaporkan sesuatu kes jenayah atau kemalangan. Bandingkan antara dialog radio polis dalam Gerak Khas dengan rancangan drama Hollywood, memang jauh berbeza. Jika dan hanya jika PDRM dapat mengubah semula sistem mereka dengan menggunakan sistem kod jalan raya kebangsaan, sudah tentulah prestasi mereka akan bertambah baik dan cekap.

Jika alasan "kurang kemajuan di Sabah dan Sarawak" dijadikan alasan untuk tidak membina lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, cuba renungkan fakta ini. Pahang dan Terengganu asalnya merupakan dua buah negeri yang mundur. Namun, penciptaan pembangunan di dua negeri berkenaan hasil pembukaan tanah-tanah rancangan Felda serta penemuan petroleum di Terengganu menjadikan Pahang dan Terengganu berupaya untuk berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri pantai barat, dan kini kedua-dua negeri tersebut sudah ada lebuh raya. Jadi kenapa perkara yang sama tidak boleh dilakukan di Sabah dan Sarawak? Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Jika perkara yang sama boleh dilakukan di Sabah dan Sarawak, sudah tentulah Sabah dan Sarawak tidak berasa terpinggir dalam arus kemajuan negara.

Kepada Yang Berhormat Datuk Seri Shaziman Mansor, harap Datuk Seri dapat memikirkan dan menerima nasihat daripada konsultan tidak berbayar ini demi memenuhi slogan 1 Malaysia - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Jika tidak, slogan 1 Malaysia tersebut hanya tinggal slogan semata-mata.

2 comments:

  1. Setuju dengan ulasan anda! Two thumbs up! Perbanyakan jalan2 darat, menaiktaraf jalan2 sedia ada dgn mengikut piawai dan standard JKR seperti di Semenanjung, baru la Sarawak boleh maju. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju. Masalah yang timbul ialah kerana Sabah dan Sarawak memegang kuasa autonomi bagi pembinaan jalan-jalan raya di sana. Maka, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak membina kesemua jenis jalan di sana tidak kira jalan persekutuan atau negeri, tidak seperti di Semenanjung. Satu-satunya cara untuk membezakan antara jalan persekutuan dan negeri ialah sumber dana bagi pembinaan jalan tersebut. Akibatnya, jalan yang dibina selalunya tidak sama piawaiannya seperti di Semenanjung. Sungguhpun demikian, JKR Sabah telah mengambil langkah bijak bagi menyeragamkan papan-papan tandanya dan juga sistem kod jalan persekutuan pada tahun 1996.

      Delete