Wednesday, March 13, 2013

Sejarah awal Jalan Persekutuan 22 (Kota Kinabalu-Sandakan) / Federal Route 22 (Kota Kinabalu-Sandakan) early history



Jalan Persekutuan 22 dari Sandakan ke Tamparuli (kredit gambar oleh: Kim Yi)






Papan tanda ini pula menggunakan sistem kod laluan lama (kredit gambar oleh: Michael Khor)

Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia ingin merungkai sedikit sebanyak mengenai sejarah Jalan Persekutuan 22 dari Tamparuli / Kota Kinabalu ke Sandakan, yang merupakan salah satu komponen terpenting dalam rangkaian Lebuhraya Pan Borneo di Sabah. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada JKR Telupid kerana mendokumentasikan sejarah ringkas jalan tersebut untuk tatapan para pembaca.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa jalan FT22 ini sebenarnya hanya dibina selepas Sabah menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Seperti yang anda sedia maklum, rangkaian Lebuhraya Pan Borneo dibina oleh kerajaan persekutuan berikutan rangkaian jalan raya yang kurang baik di Sabah dan Sarawak. Hari ini, banyak kawasan yang menerima manfaat hasil pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Banyak pekan yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Penduduk di kampung-kampung yang dilalui juga semakin meningkat taraf hidup mereka. Pelbagai sumber ekonomi baharu diwujudkan di kawasan yang dilalui, seperti pelancongan, kraftangan, hentian rehat, dan sebagainya.

Sejarah Jalan Persekutuan 22 ini sebenarnya saling berkait dengan sejarah salah satu pekan yang dilaluinya iaitu Telupid. Telupid mula diteroka oleh suku kaum Dusun seawal tahun 1940an. Semasa Perang Dunia Kedua, Telupid juga merupakan perkampungan yang terletak di tengah-tengah laluan Kawad Maut Sandakan yang menyaksikan lebih 1,000 orang tentera British dan Australia yang dijadikan tawanan perang oleh tentera Jepun dipaksa berkawad dari Sandakan ke Ranau. Dalam siri kawad tersebut, hampir kesemuanya terkorban, kebanyakannya sama ada akibat penyakit, kebuluran dan keletihan. Hanya enam askar Australia sahaja yang berjaya melepaskan diri.

Setelah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia, kerajaan persekutuan memutuskan untuk membina sebatang jalan raya persekutuan pertama di Sabah selepas penyertaan Sabah dalam Malaysia, yang menghubungkan antara pantai barat dengan pantai timur Sabah, atau lebih tepat lagi, Sandakan ke Kota Kinabalu. Projek tersebut dimulakan pada tahun 1968 sebagai Projek Jalan Raya Malaysia-Australia (MARP; Malaysia-Australia Road Project) hasil usaha sama dengan kerajaan Australia. Projek MARP juga dikenali sebagai Rancangan Colombo (Colombo Plan). Ibu pejabat tapak projek didirikan di Telupid, yang mana ia kini dijadikan sebagai pejabat JKR Telupid.

Jalan FT22 ini dibina dalam tiga fasa. Fasa pertama dari Sandakan ke Telupid mula dibina pada tahun 1968 dan siap pada tahun 1972. Fasa kedua dari Telupid ke Ranau pula dibina dari tahun 1971 hingga 1972. Harus diingatkan, pada peringkat ini jalan FT22 masih belum diturap lagi. Hanya pada tahun 1973 barulah FT22 mula diturap menggunakan proses "flush sealing", dimulakan dengan jajaran Sandakan-Telupid dan diikuti dengan jajaran Telupid-Ranau. Seterusnya, projek berkenaan diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah pada tahun 1976 apabila ia sudah boleh dilalui sepenuhnya (tetapi masih belum siap berturap sepenuhnya) Projek jalan raya berturap FT22 dari Sandakan ke Telupid hanya siap sepenuhnya pada tahun 1978.

Bagaimana pula dengan jajaran Tamparuli-Ranau pula? Jajaran tersebut mula dibina setelah jajaran Sandakan-Ranau siap. Memandangkan jajaran ini merentasi Banjaran Crocker serta sangat hampir dengan Gunung Kinabalu, pembinaannya agak memakan masa. Hasilnya, jajaran terakhir FT22 ini siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1982. Dengan siapnya jalan Kota Kinabalu-Sandakan ini, ia diwartakan sebagai laluan A4 mengikut sistem pernomboran kod laluan lama. Pada tahun 1996, JKR Sabah menyeragamkan sistem pernomboran kod laluannya dengan Semenanjung Malaysia, di mana Jalan Kota Kinabalu-Sandakan A4 diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 22. Dengan siapnya Jalan Persekutuan 22 ini, pengguna jalan raya di Sabah kini boleh memandu dari Kota Kinabalu ke Sandakan (dan seterusnya Tawau).

Kesimpulannya, pembinaan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo telah banyak mengubah taraf hidup rakyat Malaysia Timur serta keadaan sosio-ekonomi mereka. Buktinya, banyak bandar dan pekan yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan dengan kadar yang sebegitu pantas. Pembangunan di Sabah dan Sarawak mungkin agak memakan masa, tetapi percayalah, taraf hidup rakyat di kedua-dua negeri tersebut kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Sungguhpun Sabah kini mempunyai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terendah di Malaysia, namun kerajaan persekutuan dan negeri tetap komited membangunkan kedua-dua negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment