Wednesday, September 11, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 6: Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 dan Jalan Papar Spur / Pengalat-Lok Kawi Road A25 and Papar Spur Road

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lewat mengemaskini entri blog ini disebabkan masalah kesihatan akibat cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini. Tanpa membuang masa lagi, saya ingin bawakan sambungan kisah perjalanan saya sepanjang hari ketiga di Sabah, iaitu di Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 (juga dikenali sebagai Lebuhraya Pantai Kota Kinabalu-Papar), Jalan Papar Spur dan Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1.

Kami mulakan perjalanan dari inap desa yang saya sewa di Putatan pada waktu pagi. Sebelum itu, kami bersarapan di sebuah restoran di Putatan sementara menunggu pengusaha kereta sewa untuk menukar kasut brek yang bermasalah semasa memandu di Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 pada hari sebelumnya. Nasib baik proses penggantian kasut brek itu begitu cepat, kerana saya mendapat kembali kereta Proton Saga BLM itu sebaik sahaja kami selesai bersarapan.

Rasanya tidak perlulah saya bercerita sebegitu lanjut mengenai Jalan Putatan FSS1 yang kami lalui itu. Ia merupakan sebatang jalan raya kembar sejauh 16 km dari Lok Kawi sehingga ke Kota Kinabalu, dengan lebar setiap lorong 3.5 m. Ia memang pendek jika dibandingkan dengan Jalan Tuaran FSU1 yang kekal jalan raya kembar sehingga ke Tamparuli. Mungkin keadaan akan berubah sebaik projek naik taraf Jalan Penampang-Lok Kawi-Papar FS501/FSS1 yang dijanjikan oleh Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor sudah siap kerana sebaik projek tersebut sudah siap, maka keseluruhan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar adalah melalui jalan raya kembar - itu pun kalau sanggup memandu lebih jauh.

Sebaik tiba di Persimpangan Sabindo, pemandu diberi pilihan sama ada untuk terus menggunakan jalan lama Kota Kinabalu-Papar FSS1 ataupun membelok ke kanan melalui Jalan Pengalat-Lok Kawi A25. Kebanyakan pemandu akan memilih jalan ini kerana ia lebih pendek berbanding dengan jalan lama Kota Kinabalu-Papar FSS1 yang lebih panjang. Namun demikian, kenderaan berat yang hendak ke Papar pula terpaksa menggunakan jalan lama FSS1 itu berikutan had ketinggian jambatan Papar yang hanya membenarkan kenderaan dengan ketinggian tidak melebihi 3.4 m melaluinya. Selain lebih jauh, kebanyakan pemandu mengelakkan daripada menggunakan jalan lama FSS1 kerana ia lebih sempit (lebar purata setiap lorong: 3.0 m), banyak berselekoh dan lebih sunyi.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sungguhpun Jalan Pengalat-Lok Kawi ini diberikan kod laluan A25, namun ia sebenarnya sebuah jalan negeri. Ia samalah seperti Jalan Beluran yang diberi kod laluan A41, sungguhpun ia merupakan jalan negeri. Kenapa pula boleh jadi begitu? Bukankah jalan-jalan utama di Sabah yang mempunyai kod laluan bermula huruf A adalah jalan persekutuan? Sebenarnya tanggapan tersebut salah sama sekali. Dahulunya, sistem kod laluan persekutuan yang kita kenali sekarang asalnya hanya digunakan di Semenanjung sahaja. Sarawak tiada sistem kod laluan pada masa itu, manakala Sabah pula merangka sistem kod laluan tersendiri. Untuk pengetahuan anda, Sabah dan Sarawak turut memegang kuasa autonomi dalam pembinaan jalan raya; JKR Persekutuan hanya menyediakan dana sahaja bagi membiayai pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan. Namun, disebabkan kerajaan persekutuan turut menyalurkan dana bagi penyelenggaraan jalan negeri di kedua-dua negeri tersebut, maka status "jalan persekutuan" di situ sekadar di atas kertas sahaja, tidak seperti di Semenanjung yang mana JKR Persekutuan mempunyai kuasa mutlak terhadap pembinaan dan penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan. Pada tahun 1996, JKR Persekutuan mula mewartakan kod-kod laluan rasmi bagi jalan-jalan di Sabah yang diwartakan sebagai jalan persekutuan, yang mengguna pakai sistem penomboran serupa seperti di Semenanjung, (kecuali siri 500 bagi jalan persekutuan sekunder dan siri 600 bagi jalan institusi persekutuan). Namun, tidak semua jalan raya siri A yang diwartakan sebagai jalan persekutuan; ada yang masih kekal sebagai jalan negeri seperti Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 dan Jalan Beluran A41. Jalan-jalan negeri siri A yang kini diwartakan sebagai jalan persekutuan adalah seperti berikut:-

  1. A1 - Kota Kinabalu-Tamparuli-Kota Belud-Kudat (kini sebahagian daripada Jalan Persekutuan 1)
  2. A2 - Kota Kinabalu-Lok Kawi-Papar-Beaufort-Sipitang-Sindumin (kini sebahagian daripada Jalan Persekutuan 1)
  3. A3 - Kota Kinabalu-Donggonggon-Tambunan-Keningau-Tenom-Kuala Tomani (bertukar sebagai SA3, kemudiannya jajaran dari Kota Kinabalu ke Tenom diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 500 manakala jajaran dari Paal ke Kuala Tomani diwartakan semula sebagai SA33)
  4. A4 - Tamparuli-Ranau-Telupid-Sandakan (kini membentuk keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 22)
  5. A5 - Checkpoint Batu 32 Sandakan-Lahad Datu-Tawau (kini membentuk keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 13)
Kedua-dua jalan FSS1 dan A25 melalui kawasan jelapang padi Sabah iaitu Kinarut, Kawang dan Papar, tetapi jalan A25 ini melalui kawasan pesisiran pantai barat Sabah manakala FSS1 pula melalui kawasan muka bumi beralun. Itulah sebabnya kenapa perjalanan ke Papar melalui FSS1 lebih jauh. Ia juga penyebab utama Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 ini juga dikenali sebagai Lebuhraya Pantai Kota Kinabalu-Papar. Sungguhpun Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 melalui kawasan pantai, sebenarnya masih terdapat dua pendakian, iaitu dekat MRSM Kinarut dan juga di Bukit Melinsung. Jalan FSS1 dan A25 (melalui Jalan Papar Spur) bertemu semula di Bulatan Benoni untuk ke arah Kimanis, Beaufort dan Sipitang melalui Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1. 

Memandangkan Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 ini melalui kawasan pantai, maka sumber ekonomi utama penduduk di sepanjang jalan ini ialah perikanan. Jika anda memandu di sepanjang jalan ini pada waktu petang, biasanya ramai penduduk tempatan bersama-sama hasil tangkapan mereka sedang menunggu bakal pembeli. Setiap kali ada pengguna jalan raya yang berhenti di tepi jalan, maka penduduk-penduduk tempatan ini akan menyerbu si pemandu tersebut bagaikan piranha untuk menjual hasil tangkapan mereka - jadi awas, jika anda memang tidak berhajat untuk membeli sebarang hasil tangkapan laut ataupun poket anda memang tidak berduit, jangan sekali-kali berhenti kecuali setelah anda sudah memastikan tiada kelibat manusia yang menunggu untuk menyerbu anda.

Sebenarnya, selain daripada perikanan, terdapat beberapa lokasi pantai yang menarik di sepanjang jalan ini seperti di Melinsung, Beringgis dan Kinarut. Namun, saya tidak berkesempatan untuk singgah sebentar di mana-mana pantai di situ kerana tidak perasan akan kewujudannya akibat ketiadaan papan tanda (saya cuma tahu pun daripada peta GPS sahaja).

Lintasan kereta api di Pengalat menunjukkan bahawa kami hampir tiba di Papar. Ia disusuli Giant Papar dan mercu tanda utama di Papar iaitu Jambatan Papar. Jambatan kekuda besi ini agak sempit dengan kelegaan maksimum hanya 3.4 m sahaja. Maka, kenderaan berat tiada pilihan lain melainkan menggunakan jalan lama FSS1 untuk ke Papar. Jika lebar lorong purata di sepanjang Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 ialah sekitar 3.0-3.25 m (JKR R3/R4), lebar lorong pada Jambatan Papar ini lebih kurang 2.75 m sahaja (JKR R2). Memang sempit! Jambatan keretapi di sebelahnya pula tiada had ketinggian maksimum!

Bandar Papar sememangnya bandar terbesar yang dilalui jalan ini, sesuai dengan statusnya sebagai ibu daerah Papar. Kawasan pusat bandarnya pun kelihatan begitu ceria dan dihias dengan begitu cantik. Restoran makanan segera? Sudah tentu ada - KFC! Stesen kereta api di Papar turut berfungsi sebagai stesen bas, menjadikan stesen tersebut sebagai sebuah terminal pengangkutan bersepadu di daerah Papar.

Dua bulatan utama di bandar Papar seakan membentuk angka 8, yang mana bulatan kedua merupakan penamat rasmi bagi Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 serta permulaan bagi Jalan Papar Spur untuk ke jalan lama Kota Kinabalu-Papar FSS1 serta Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1. Panjang Jalan Papar Spur ini pendek sahaja iaitu 3.8 km, sebab itulah Jalan Papar Spur ini tiada kod laluan sungguhpun ia merupakan jalan negeri. Sebaik tiba di Bulatan Benoni, kami mengambil pusingan pukul tiga (belok kanan) ke Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1 supaya sempat tiba di Beaufort untuk menunaikan solat Jumaat.

Ikuti sambungan pengembaraan saya di Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1, yang merupakan reviu penutup bagi siri Kembara Merdeka Sabah 2013 kali ini.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Di Jalan Putatan FSS1, belok ke kanan di Persimpangan Sabindo untuk memasuki Jalan Pengalat-Lok Kawi A25 kt Papar






Jalan Pengalat-Lok Kawi bermula sebagai jalan raya kembar, tetapi sekejap sahaja






Jalan raya kembar berakhir. Ada lagi 19 km untuk ke Papar






Bulatan Kinarut untuk ke Kinarut






Mendaki Bukit Melinsung






Selekoh sebaik menuruni Bukit Melinsung






Ketinggian maksimum yang dibenarkan di Jambatan Papar hanyalah 3.4 m sahaja - pemandu lori dan bas dinasihatkan agar menggunakan jalan lama Kota Kinabalu-Papar FSS1






Melalui Jambatan Papar






Bulatan utama bandar Papar - ambil pusingan pukul 12 di bulatan pertama...






...dan ambil pusingan pukul 10 di bulatan kedua untuk ke Jalan Papar Spur dan Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1






Bulatan Papar Spur






Bulatan Benoni merupakan penamat bagi Jalan Papar Spur - ambul pusingan pukul 3 untuk ke Lebuhraya Papar-Sindumin FSS1

No comments:

Post a Comment