Monday, December 23, 2013

Jambatan Bailey - Produk kejuruteraan tentera untuk manfaat rakyat / Bailey bridge - A military engineering product to benefit the people



Jambatan Bailey di Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12


Salam sejahtera,

Dalam entri kedua mengenai jenis-jenis jambatan di Malaysia, saya ingin bawakan mengenai jenis jambatan yang amat berjasa kepada pengguna jalan raya terutamanya semasa peperangan dan bencana alam, iaitu jambatan Bailey. Jambatan Bailey merupakan sejenis jambatan kekuda besi pasang siap yang direka agar ia mudah dipasang menggunakan kudrat manusia tanpa menggunakan sebarang jentera dan ringan tetapi cukup kuat untuk digunakan oleh kereta kebal. Jambatan Bailey mudah dikenali melalui kekudanya yang berbentuk pangkah.









Cara pemasangan jambatan Bailey (kredit gambar: Saudara Faezal SM)




Bahagian-bahagian jambatan Bailey




Jambatan Bailey di Jalan Marudi-Miri (kredit kepada: Nelson's Adventure


Uniknya, jambatan jenis ini bukan sahaja mudah alih, tetapi komponen-komponennya cukup ringan untuk diangkut menggunakan lori. Sifat sebegini amat penting dalam ketenteraan kerana semasa peperangan, tentera musuh pastinya akan memusnahkan infrastruktur jalan raya dan mengebom jambatan sedia ada bagi menghalang kemaraan dan serangan balas pihak yang diserangnya. Justeru, angkatan tentera negara memerlukan teknik pembinaan jambatan yang sangat pantas bagi memulihkan semula rangkaian pengangkutan jalan raya. Selain digunakan dalam peperangan, jambatan Bailey juga digunakan sebagai jambatan sementara bagi menghubungkan jalan raya yang terputus hubungan akibat jambatan roboh semasa banjir. Contohnya, terdapat sebuah jambatan kecil yang runtuh di KM73, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 akibat banjir di Pahang baru-baru ini, maka sebuah jambatan Bailey dipasang bagi membolehkan FT12 dilalui semula. Selain itu, jambatan Bailey turut digunakan dalam pembinaan jalan luar bandar oleh pihak tentera seperti Jalan Miri-Marudi.

Jambatan Bailey ini adalah hasil inovasi Sir Donald Coleman Bailey, seorang jurutera tentera British semasa Perang Dunia Kedua. Semasa beliau mempersembahkan jambatan hasil rekaannya kepada pegawai atasannya, terdapat beberapa rekaan lain yang bersaing, tetapi akhirnya rekaan Sir Bailey diterima pakai oleh angkatan tentera British sebagai rekaan jambatan sementara yang paling sesuai. Setelah menjalani proses pembangunan dan ujian oleh pihak tentera British, maka jambatan Bailey mula digunakan di Afrika Utara pada tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, tentera Amerika Syarikat turut dilesenkan untuk menggunakan rekaan jambatan tersebut. Hasil jasa beliau merekacipta jambatan Bailey, Sir Bailey menerima anugerah OBE pada tahun 1944 dan seterusnya dianugerahkan gelaran Sir pada tahun 1946.

Kelebihan jambatan Bailey:-
  1. Boleh dipasang dengan bantuan jentera yang minima
  2. Komponen-komponennya cukup ringan untuk diangkut menggunakan lori tentera biasa
  3. Bahagian yang standard dan seragam membolehkan jambatan dibina menggunakan komponen-komponen yang dikeluarkan oleh beberapa kilang yang berlainan
  4. Cukup kuat untuk dilalui oleh kereta kebal
  5. Pemasangannya tidak memerlukan sebarang pengetahuan kejuruteraan jalan raya
  6. Masa pemasangan yang sangat singkat berbanding pembinaan jambatan konvensional

1 comment:

  1. Di Chendor, Kuantan (dekat Cherating) pernah pasang sementara baiki jambatan sediada. Di kemaman, skrg tgh digunakan Bailey Bridge sebab jambatan sediada runtuh (Jambatan Sungai Limbong) dekat TNB Kemaman, Terengganu

    ReplyDelete