Monday, March 2, 2015

10 punca utama kebakaran kereta / Top 10 leading causes of car fires



Kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 pada 17 Februari 2015, 2 hari selepas projek XPDC Teganu Kita 2015 oleh Blog Jalan Raya Malaysia, menjadi viral di laman sosial sehingga mewujudkan "pakar-pakar forensik kebakaran" tidak bertauliah di alam siber.


Salam sejahtera,

Seperti kebakaran rumah, kebakaran kenderaan merupakan satu mimpi ngeri buat mana-mana pemilik kenderaan. Setiap pemilik kenderaan sudah pun melaburkan puluhan ribu, ratusan ribu, malah jutaan ringgit untuk memiliki kereta kesayangan mereka dan menyelenggaranya bagai menatang minyak yang penuh. Namun, takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menduga. Akibat kebakaran kereta, satu keluarga patah kaki dan hilang sumber pengangkutan. Wang yang dilaburkan untuk membeli dan memeliharanya hangus begitu sahaja. Sungguhpun boleh menuntut pampasan insurans sekalipun, ia tetap merugikan pemiliknya kerana tidak fasal-fasal terpaksa buat hutang baru. Itu masih boleh dikatakan beruntung lagi, tetapi bagaimana pula yang kehilangan orang yang tersayang akibat kebakaran kereta...? Maka, tidak hairanlah kenapa kebakaran menjadi antara igauan paling ngeri bagi setiap pemilik kenderaan selain curi kenderaan.

Saya sepatutnya menulis mengenai isu kebakaran kenderaan ini semasa sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina, tetapi kesibukan saya dengan projek XPDC Teganu Kita 2015 menyebabkan saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat menulis mengenainya. Pada masa itu heboh diperkatakan mengenai kes kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dekat Bandar Cheneh Baru. Susulan kebakaran tersebut, secara tiba-tiba muncul sebegitu ramai "pakar-pakar forensik kebakaran FB" yang memberikan pelbagai dakwaan bersifat dangkal yang hanya berasaskan andaian semata-mata tanpa bukti saintifik kukuh. Ada yang mendakwa kononnya petrol RON95 "berkualiti rendah" dan "lebih mudah mengakibatkan kebakaran", tetapi bagaimana pula dengan kes kebakaran kereta Ferrari yang memang hanya boleh menggunakan petrol RON97 sahaja di KL Sentral tempoh hari...? Ada sesiapa "pakar forensik kebakaran FB" yang berani jawab...? Dalam kes kebakaran Proton Exora itu pula, "pakar-pakar forensik kebakaran FB" itu mendakwa kononnya kebakaran tempoh hari itu adalah akibat "petrol yang diisi penuh semasa cuaca panas". Nasihat saya, kalau tidak tahu hujung pangkal, lebih baik serahkan sahaja kepada pihak bomba untuk menyiasat punca kebakaran kerana hanya mereka sahaja yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik kebakaran.

Daripada mewujudkan sebegitu banyak andaian mengarut, ada baiknya jika anda teliti 10 punca utama kebakaran kenderaan yang dikompilkan oleh HowStuffWorks.com. Urutan yang dberikan itu mungkin tidak betul-betul mencerminkan kedudukan sebenar dalam konteks Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia amat membantu pemilik kenderaan untuk bersiap-sedia dan mengambil sebarang langkah pencegahan.




Ford Pinto merupakan model kereta yang mempunyai kecacatan reka bentuk yang membawa kepada ancaman kebakaran



10.) Kecacatan reka bentuk

Tiada siapa yang mahu merekabentuk kereta yang boleh terbakar dengan mudah. Namun, ada kalanya terdapat sedikit kecacatan reka bentuk yang terlepas pandang oleh jurutera-jurutera yang membangunkan model tersebut. Syarikat-syarikat automotif sentiasa memantau tahap keselamatan reka bentuk kenderaan buatan mereka pada peringkat pembangunan, pengeluaran serta pasca jualan. Jika mereka mengesan terdapat sebarang kecacatan yang boleh mengancam keselamatan pemiliknya (terutamanya risiko kemalangan jalan raya dan kebakaran), maka syarikat automotif bertanggungjawab memanggil semula kenderaan yang terbabit untuk memperbetulkannya.

Sentiasa peka akan berita-berita panggilan semula model kenderaan anda. Laman web paling baik untuk anda merujuk tanpa terlepas berita pengumuman panggilan semula model sudah tentulah Paultan.org. Jika kenderaan anda tersenarai sebagai model yang dipanggil semula, terus hantar ke pusat servis bertauliah. Anda tidak perlu membayar walau sesen pun untuk menghantar kenderaan anda yang dipanggil untuk diperbaiki. Jangan sampai kecuaian anda yang tidak menghantar kenderaan yang dipanggil untuk diperbetulkan menyebabkan kebakaran yang boleh mengakibatkan kerugian puluhan hingga ratusan ribu ringgit.


9.) Malas menyelenggara kenderaan

Mungkin ada yang membuat andaian bahawa terlajak menukar minyak enjin tidak mungkin boleh mengakibatkan kebakaran. Itu barang kali betul, tetapi kemalasan anda untuk memperbaiki bahagian yang bermasalah meskipun anda memang tahu sudah rosak sudah pasti akan mengakibatkan kebakaran. Malah, minyak enjin yang dibiarkan meleleh tanpa dibersihkan pun boleh mengakibatkan kebakaran sekiranya ia menitik sehingga ke paip ekzos. Tambahan pula, anda tidak mungkin akan sedar sama ada wayar-wayar kereta anda digigit tikus sehinggalah kereta anda hangus terbakar. Tak mahu kereta anda hangus...? Lebih baik anda sentiasa periksa kenderaan anda dan perbaiki segala kerosakan yang dikesan. Jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut dalam hal ini kerana ia memang tidak berbaloi sama sekali.


8.) Nahas jalan raya

Rata-rata kereta hari ini direkabentuk dengan sebegitu baik dengan zon remukan yang direkabentuk sebegitu baik agar dapat melindungi pemandu dan penumpang daripada impak hentaman semasa pelanggaran. Tidak cukup dengan itu, banyak kereta yang kini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya dua biji beg udara. Namun, anda harus ingat bahawa tiada satu pun rekaan struktur badan kenderaan yang mampu melindungi daripada wayar putus ataupun talian bahan api terputus akibat impak pelanggaran, tidak kiralah teknologi GOA Toyota, G-CON Honda, RISE Mitsubishi mahupun RESS Proton. Justeru, jika terlibat dalam kemalangan, jangan tunggu lagi, terus keluarkan semua orang daripada kereta. Sekurang-kurangnya, anda dan keluarga anda terselamat daripada ancaman kebakaran yang mungkin boleh mengorbankan keseluruhan keluarga anda.


7.) Arson

Arson bermaksud jenayah membakar harta benda orang lain (atau diri sendiri) dengan sengaja. Tiada siapa yang begitu bodoh hendak membakar kereta sendiri, tetapi jika anda tinggal di kawasan yang mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah (seperti kawasan setinggan dan rumah murah), anda perlu sentiasa berwaspada terhadap orang-orang yang mencurigakan. Samseng, pencuri kenderaan dan pemecah rumah sering berada di kawasan sebegini. Situasi sudah tentu akan bertambah parah sekiranya ada dua kumpulan samseng bergaduh, kerana besar kemungkinan mereka akan membakar kenderaan untuk memusnahkan musuh-musuh mereka. Selain itu, pemecah kereta mungkin akan membakar kereta yang dipecahnya selepas mencuri sesuatu barang di dalamnya (seperti sistem audio) bagi menghapuskan bukti.

Begitu juga dengan tunjuk perasaan di jalan raya anjuran segelintir kumpulan politik; kita tidak tahu sama ada tunjuk perasaan mereka itu boleh bertukar ganas sehingga ke tahap membakar kenderaan ataupun tidak. Jika ada perhimpunan politik ataupun tunjuk perasaan diadakan di lokasi tertentu, lebih baik anda batalkan hasrat untuk ke lokasi tersebut.


6.) Bateri kereta

Bateri kereta boleh mencetuskan kebakaran dengan pelbagai cara. Semasa anda mula-mula memasang bateri baharu pun, sedikit percikan bunga api akan terhasil apabila anda menyambungkan kedua-dua terminal positif dan negatif. Semasa bateri beroperasi, gas hidrogen yang mudah meletup akan terhasil. Jika dibiarkan tanpa dilegakan, gas hidrogen yang terkumpul akan menyebabkan bateri meletup. Namun, jika dibiarkan lubang-lubang sel terbuka, gas hidrogen keluar dengan banyaknya dan boleh mengakibatkan letupan sekiranya bersentuhan dengan permukaan panas ataupun terkena percikan api. Untuk menanganinya, setiap penutup sel mempunyai lubang-lubang pengudaraan kecil bagi membolehkan gas hidrogen dilepaskan perlahan-lahan bagi mengelakkan letupan.

Itu baru cerita bateri asid-plumbum biasa untuk kenderaan petrol dan diesel. Bagi kenderaan elektrik dan hibrid pula, kedua-duanya memerlukan bateri litium-ion kerana bateri tersebut boleh menyimpan tenaga elektrik yang jauh lebih besar daripada bateri asid-plumbum biasa. Namun, bateri litium-ion menggunakan logam litium yang sangat reaktif serta garam litium yang dilarutkan dalam pelarut mudah terbakar. Maka, jika bateri bocor, maka sudah tentu ia akan mencetuskan letupan yang dahsyat.





Penukar bermangkin yang terlampau panas akibat enjin tidak diselenggara, ataupun memparkir kereta di kawasan semak, juga boleh mencetuskan kebakaran
(Kredit gambar: Eila Razi)


5.) Penukar bermangkin

Tahun lalu, saya ada menulis mengenai ancaman kebakaran yang disebabkan oleh penukar bermangkin, sama ada akibat memparkir kereta di kawasan semak-samun yang kering ataupun disebabkan enjin yang tidak diselenggara. Rasanya tidak perlulah saya bercerita lebih panjang mengenainya - hanya baca sahaja entri yang sudah saya tulis mengenainya.




Honda City merupakan antara model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sebaliknya menggunakan lampu amaran enjin sejuk dan enjin panas lampau



4.) Enjin panas lampau

Biasanya, enjin yang mengalami panas lampau hanya sekadar mengakibatkan enjin menjadi kejang dan rosak. Namun, jika terus dibiarkan beroperasi tanpa mengendahkan amaran panas lampau pada tolok suhu, maka suhu enjin akan terus meningkat sehingga cukup tinggi untuk membakar minyak pelincir pula. Ia benar terutamanya bagi model-model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sekadar mempunyai lampu amaran enjin panas lampau sahaja (seperti Honda City), kerana anda tidak dapat memperhatikan corak peningkatan suhu enjin anda untuk mengenal pasti masalah. 

Justeru, jika jarum tolok suhu sudah menghampiri tanda H ataupun jika lampu amaran enjin panas lampau menyala, jangan teruskan perjalanan tetapi terus berhenti di tepi jalan dan matikan enjin serta-merta. Biarkan enjin menyejuk selama setengah jam sebelum membuka penutup radiator bagi memeriksa semula paras air. Jika terkurang, tambah air serta-merta sehingga penuh. Setelah enjin berjaya dihidupkan semula, hantar segera ke bengkel dan minta mekanik memeriksa kereta anda untuk mengelakkan kos baik pulih penuh yang sangat mahal. Namun, langkah pencegahan paling penting ialah sentiasa memeriksa sistem sejukan enjin anda dan menukar air radiator setahun sekali.


3.) Kebocoran bendalir kereta

Kereta anda merupakan perumah bagi pelbagai jenis cecair berbahaya yang mudah terbakar. Selain petrol yang sememangnya amat mudah terbakar, kereta anda menggunakan minyak enjin untuk sistem pelinciran, bendalir transmisi automatik ataupun minyak gear manual bagi sistem transmisi, bendalir brek bagi sistem brek, bendalir stereng kuasa bagi sistem stereng, malah bendalir yang dicampurkan dengan air untuk sistem sejukan juga merupakan bendalir yang mudah terbakar. Jika ada di antaranya yang meleleh, jangan tunggu lagi, cepat-cepat bersihkan lelehan itu. Jika masih meleleh, bermakna ada berlaku kebocoran dan hantar kereta anda ke bengkel segera untuk memperbaiki kebocoran tersebut.


2.) Kerosakan elektrik dan litar pintas

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 45% punca kebakaran kereta di Malaysia berpunca daripada ubah suai kenderaan yang ekstrim. Namun, jika dikaji semula secara mendalam, enjin yang diubahsuai secara ekstrim menjadi punca kebakaran akibat faktor kombinasi iaitu litar pintas dan enjin panas lampau. Antara kedua-dua faktor ini, litar pintas merupakan faktor yang lebih banyak menyebabkan kebakaran berbanding enjin panas lampau. Selain itu, pemasangan aksesori yang tidak standard juga boleh menjadi punca kebakaran akibat sebab yang sama. 

Punca utama kenapa kerosakan elektrik dan litar pintas menjadi punca utama kebakaran adalah disebabkan kerja-kerja pendawaian yang cincai oleh mekanik setiap kali melakukan pengubahsuaian enjin serta pemasangan aksesori - wayar-wayar disambung dengan sekadar menjalur penebat asal, memintal teras wayar-wayar yang hendak disambungkan dan seterusnya membalutnya semula menggunakan pita pembalut. Sambungan tersebut bukan sahaja tidak kukuh, malah pita pembalut itu juga boleh tercabut apabila gamnya sudah tidak lagi lekat. Sebab itulah kereta boleh jadi mudah terbakar...!!! Selain itu, sesetengah aksesori tambahan disambungkan tanpa menggunakan fius, menyebabkan pengguna terdedah dengan risiko litar pintas apabila berlaku kerosakan pada aksesori sehingga menyebabkan arus berlebihan mengalir.


1.) Kebocoran sistem bahan api

Kebocoran sistem bahan api menduduki takhta teratas dalam carta punca utama kebakaran kereta disebabkan bahaya petrol itu sendiri yang amat mudah terbakar - malah, wapnya lebih mudah terbakar daripada cecair petrol itu sendiri. Nak tahu setakat mana tahap bahaya minyak petrol...? Petrol boleh terbakar dengan hanya dikenakan cetusan bunga api mudah semasa anda menggesek roda pemetik api pada suhu serendah 7°C. Jika anda mendakwa kononnya petrol RON95 lebih mudah terbakar daripada RON97, maka ketahuilah bahawa RON97 juga terbakar pada suhu sama. Jika terdapat lelehan petrol, maka kenderaan tersebut berdepan dengan ancaman kebakaran yang serius. Apa yang menjadikannya lebih berbahaya ialah kebocoran petrol agak sukar untuk dikesan. Anda perlu memeriksa keseluruhan talian minyak untuk mengesan sama ada berlaku kebocoran pada mana-mana komponen sistem bahan api - leher pengisi minyak, tangki minyak, talian bahan api, talian balik bahan api, pemancit bahan api, dsb. Jika berlaku kebocoran, jangan guna kenderaan tersebut tetapi hantar segera ke bengkel untuk diperiksa. Paling baik, tukar talian minyak setiap 5 tahun untuk memastikan sistem bahan api kedap sepenuhnya.


Selain 10 punca utama di atas, ada lagikah punca yang boleh mengakibatkan kebakaran...? Memang ada, antaranya masalah brek yang terkunci sehingga mengakibatkan pad brek menjadi panas dan terbakar. Selain itu, sistem tali sawat yang bermasalah serta pemampat penyaman udara kejang juga boleh mengakibatkan kebakaran - semasa saya di kampung halaman pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, kereta Perodua Kembara ayah saya tiba-tiba berasap semasa saya pulang dari pasar malam. Semasa terhidu bau getah terbakar dan ternampak asap, saya cepat-cepat beransur ke tepi jalan dan mematikan enjin. Semasa membuka bonet, mujurlah tiada api terhasil, dan saya dapati bau hangit tersebut datang dari arah tali sawat. Semasa menghantar Perodua Kembara itu ke bengkel, mekanik di situ mendapati punca masalah tali sawat Kembara itu ialah takal bawahnya yang hampir tercabut, menyebabkan lebih kurang RM200 melayang untuk menukar takal tersebut termasuk kos upah. Namun, mana lebih baik, rugi RM200 atau rugi puluhan ribu ringgit jika kereta terbakar...? Nasihat saya, jika anda mengesyaki ada perkara tidak kena pada kereta anda, jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut - lebih baik poket anda rabak sedikit daripada anda patah kaki dan poket anda rabak habis akibat kebakaran kereta.

No comments:

Post a Comment