Monday, July 27, 2015

Pengadang besi vs tembok Jersey: Yang manakah lebih berbahaya...? / Steel guard rail vs Jersey barrier: Which one is more dangerous...?





Pengadang jalan jenis besi galvani (gambar atas) dan tembok Jersey (gambar bawah) yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28




Beranikan anda melalui jalan raya pergunungan yang tiada pengadang jalan seperti di jajaran Jalan Gombak FT68 ini...?


Salam sejahtera,

Sejak akhir-akhir ini, timbul perdebatan serta persoalan mengenai tahap keselamatan pengadang besi yang digunakan di jalan raya Malaysia yang didakwa berbahaya dan boleh meragut nyawa. Kebimbangan tersebut sebenarnya memang berasas, dibuktikan daripada beberapa kes kemalangan berprofil tinggi yang mana mangsa mati sama ada akibat ditusuk pengadang besi ataupun kerana putus kepala setelah terlanggar pengadang besi. Akibatnya, timbul gesaan daripada banyak pihak untuk menggantikan pengadang besi kepada tembok Jersey yang didakwa "lebih selamat". Namun, adakah tembok Jersey benar-benar 100% selamat seperti didakwa...?

Untuk mengkaji mengenai jenis pengadang yang lebih selamat, kita perlu terlebih dahulu mengetahui fungsi pengadang jalan itu sendiri. Pengadang jalan merupakan sejenis halangan bagi mengelakkan kenderaan daripada melanggar objek-objek lain di tepi jalan seperti bangunan dsb. Ia juga menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam sungai, parit, longkang mahupun gaung. Namun, sekiranya pemandu terbabas dan melanggar pengadang jalan itu sendiri, ia turut berfungsi menyerap sebahagian impak pelanggaran bagi mengurangkan tahap kecederaan mangsa serta kerosakan kenderaan. Sesetengah jenis pengadang juga mampu "melantunkan" kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya. Saya ingin bertanya kepada anda, beranikah anda memandu di jalan raya pergunungan dan jambatan yang tiada pengadang...? Sudah tentu tidak.

Jenis pengadang jalan yang paling banyak digunakan di jalan raya sudah tentulah pengadang jenis besi. Pengadang besi, juga dikenali sebagai pengadang separa tegar ataupun pengadang alur W, diperbuat daripada besi galvani yang dicap sehingga menghasilkan kedutan berbentuk W. Sekiranya dilanggar, ia akan terpesong antara 0.91 hingga 1.83 meter. Seterusnya, impak pelanggaran akan diserap melalui ubah bentuk pengadang itu sendiri, pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang, tanah dan badan kenderaan, serta geseran antara kenderaan dengan pengadang itu sendiri.

Jenis pengadang kedua yang dibahaskan ialah tembok Jersey. Ia dibangunkan pada tahun 1950an oleh Institut Teknologi Stevens di New Jersey, Amerika Syarikat, di bawah arahan Jabatan Lebuhraya Negeri New Jersey sebelum diperkenalkan pada tahun 1959. Tembok Jersey merupakan sejenis tembok penghalang dengan cerun berbentuk baji di bahagian kakinya. Ia sering digunakan sebagai pembahagi jalan di sesetengah lebuh raya yang mempunyai rizab pembahagi jalan yang begitu kecil, di samping sebagai pengadang di sesetengah jalan raya pergunungan. Bagi aplikasi sebagai pengadang serta pembahagi jalan, ia diperbuat daripada konkrit, tetapi jenis tembok Jersey mudah alih yang digunakan dalam kerja-kerja pembinaan jalan pula diperbuat daripada plastik yang diisi dengan air sebagai pemberat. Jenis tembok Jersey yang diperbuat daripada konkrit ini menyebabkannya turut digelar sebagai pengadang tegar. Oleh kerana sifatnya yang tegar, ia tidak berupaya mengurangkan impak pelanggaran, tetapi ia masih berupaya melencongkan kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya melalui cerun berbentuk baji pada kakinya.

Sekarang, setelah anda mengetahui akan sifat-sifat asas kedua-dua jenis pengadang jalan ini, mari kita bincangkan yang mana satukah jenis pengadang yang lebih berbahaya. Ramai yang mendakwa bahawa pengadang separa tegar jenis besi galvani sangat berbahaya, kerana bucu tajam yang berpotensi menusuk dan memancung kenderaan serta mangsanya sekali, dan saya sendiri turut mengakuinya. Apa tidaknya, pengadang besi diperbuat daripada kepingan besi galvani yang dicap. Anda boleh fikirkan pengadang besi ibarat "mata pisau mesin pengisar gergasi" ataupun "sabit gergasi" yang boleh mencincang kepala mangsa sehingga putus sekiranya dilanggar dari tepi. Jika dilanggar betul-betul pada bucu pengadang besi itu, anda boleh bayangkan keadaan kenderaan yang melanggarnya ibarat sate gergasi. Di lorong motosikal seperti di Lebuhraya Persekutuan FT2, penunggang motosikal terdedah kepada bucu tajam di sepanjang pengadang besi, memandangkan kedudukan pengadang yang membelakangi mereka, menjadikan nahas motosikal yang terlanggar bahagian belakang pengadang besi sebagai mimpi ngeri buat mana-mana pengguna lorong motosikal. Begitulah bayangan bagaimana berbahayanya pengadang besi ini. Sebab itulah banyak pihak yang menggesa pengadang besi digantikan dengan tembok Jersey.

Namun demikian, adakah tembok Jersey begitu selamat seperti didakwa...? Memang benar tembok Jersey tiada bucu tajam sebagaimana pengadang besi, namun dakwaan yang mengatakan tembok Jersey benar-benar selamat sebenarnya meleset sama sekali. Sebenarnya, tembok Jersey pun ada bahayanya yang tersendiri. Oleh kerana tembok Jersey diperbuat daripada konkrit yang tegar dan tidak anjal, maka ia langsung tidak menyerap sebarang impak pelanggaran. Dengan kata lain, kesan pelanggaran apabila terlanggar tembok Jersey sebenarnya lebih teruk daripada pelanggaran dengan pengadang besi menaiki kenderaan sama pada kelajuan yang sama. Sebab itulah masih banyak negara maju seperti Jepun, Australia dan Amerika Syarikat yang masih menggunakan pengadang jenis besi.

Berikutan kelemahan yang ada pada pengadang jenis besi dan tembok Jersey, maka jenis pengadang jalan yang ketiga dibangunkan iaitu pengadang kabel keluli. Pengadang jenis kabel keluli, juga dikenali sebagai pengadang anjal, sebenarnya sudah pun digunakan sejak tahun 1960an, tetapi hanya bermula pada dekad 1990an barulah penggunaannya menjadi popular bagi aplikasi sebagai pengadang jalan raya. Jika dilanggar, ia akan terpesong antara 1.6 hingga 2.6 meter, dan tenaga pelanggaran dilesapkan melalui tegangan kabel dan juga pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang dan tanah. Selain itu, kos pemasangannya juga paling murah jika dibandingkan dengan pengadang besi mahupun tembok Jersey. Namun, penggunaannya sebagai pembahagi lebuh raya capaian terkawal diharamkan di beberapa buah negara di Eropah berikutan tanggapan tahap keselamatan terhadap pengguna motosikal. Selain itu, pengadang kabel juga sangat tidak sesuai digunakan di jalan raya pergunungan kerana sifat anjalnya tidak berupaya menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada terjunam ke dalam gaung.

Jadi jenis manakah yang sebenarnya paling selamat buat pengguna jalan raya...? Sebenarnya tiada satu pun jenis pengadang jalan yang 100% selamat buat pengguna jalan raya. Setiap jenis pengadang mempunyai kelemahan maut yang tersendiri. Sebenarnya, tahap keselamatan pengadang jalan boleh ditingkatkan melalui rizab pembahagi serta bahu jalan lembut yang lebih lebar, tetapi oleh kerana kekangan dari segi kos, kita tiada pilihan. Pilihan yang ada sekarang hanyalah menambah baik jenis sedia ada seperti memasang tong air plastik pada pangkal pembahagi jalan serta bucu pengadang keluli. Selain itu, penanaman pokok bunga di sepanjang pembahagi lebuh raya juga membantu menambah baik keberkesanan pengadang keluli bagi menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada memasuki laluan bertentangan, di samping meminimakan impak pelanggaran. Pemasangan tembok Jersey yang lebih tinggi juga membantu menambah baik keberkesanannya bagi memesongkan kenderaan yang lebih besar. Selain itu, gandingan pengadang besi dan tembok Jersey di jalan raya pergunungan mampu menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam gaung, di samping meminimakan impak pelanggaran. Sungguhpun demikian, segala usaha penambahbaikan yang dilakukan pasti sia-sia jika pengguna jalan raya sendiri memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya, walaupun pengadang jalan yang digunakan itu daripada jenis sama seperti di litar lumba.

No comments:

Post a Comment