Saturday, April 2, 2016

Hirarki jalan raya perbandaran / Urban roads hierarchy

Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini, saya ingin tunjukkan kepada anda pengkelasan serta hirarki bagi jalan raya perbandaran seperti yang termaktub dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design on Roads. Jika anda masih ingat lagi entri yang pernah saya tulis mengenai kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya, saya mengklasifikasikan jalan raya kepada dua kumpulan utama iaitu jalan raya perbandaran dan jalan raya luar bandar, yang mana setiap kumpulan seterusnya dipecahkan kepada beberapa jenis mengikut tangga hirarki, dari sekecil-kecil jalan kampung dan jalan tempatan kepada lebuh raya ekspres.



Piawaian
Had laju rekabentuk (km/j)
Lebar lorong minima (m)
Kawalan masuk
Aplikasi
U6
100
3.5
Penuh
Primer
Lebuh raya ekspres
U5
80
3.5
Separa
Kelas I / II
Jalan raya arteri / lebuh raya capaian terhad
U4
70
3.25
Separa
Kelas III
Jalan raya arteri / pengumpul
U3
60
3.0
Separa
-
Jalan raya pengumpul / tempatan
U2
50
2.75
Tiada
-
Jalan raya tempatan
(Nota: Piawaian JKR U2 ialah piawaian paling rendah bagi jalan raya dua lorong)
U1
40
(5.0) *
Tiada
-
Jalan raya tempatan
R1a
40
(4.5) *
Tiada
-
Jalan masuk kawasan perumahan kos rendah

Hirarki jalan raya perbandaran


Kali ini, saya ingin tunjukkan kepada anda bagaimana rupanya jenis-jenis jalan perbandaran yang ada agar anda dapat membezakannya dengan lebih teliti, kerana setiap jenis jalan raya mengikut hirarki mempunyai fungsinya yang berbeza-beza. Bagi tujuan ini, saya mengambil kesempatan mengambil gambar dari kawasan berhampiran rumah saya di Batu Caves untuk memberi gambaran jelas kepada anda, dari jalan-jalan perumahan sekitar rumah saya, melalui Lebuh Utama Sri Gombak sehinggalah ke Lebuhraya Duke E33.




Contoh jalan tempatan: Jalan perumahan di sekitar Pinggiran Batu Caves
(JKR U2)


Kita mulakan dengan jenis jalan perbandaran di tangga terbawah dalam hirarki jalan perbandaran, iaitu jalan tempatan. Jalan tempatan menghubungkan antara rumah-rumah atau kedai-kedai secara terus. Oleh kerana ia dihubungkan secara terus ke rumah-rumah atau kedai-kedai, maka jalan tempatan disebut sebagai tiada kawalan masuk, yang bermaksud gangguan trafik disebabkan penghuni tempatan mengundurkan kereta atau memasuki rumah. Justeru, had laju yang dikenakan juga sangat rendah iaitu sekitar 10-35 km/j sahaja. Untuk menghalang kenderaan lain daripada memandu laju, bonggol sering dipasang dengan banyaknya bagi mematahkan kelajuan kenderaan. Rata-rata trafik di sepanjang jalan tempatan terdiri daripada penghuni tempatan; hanya sekali-sekala barulah ada orang luar yang melalui jalan tersebut. Sebab itulah kadar aliran trafik di jalan-jalan tempatan adalah yang paling rendah. Konsep jalan tempatan adalah sama seperti kapilari darah yang dihubungkan terus kepada sel-sel badan kita, yang mana aliran darah pada kapilari sangat perlahan.




Contoh jalan pengumpul: Lebuhraya Pinggiran
(JKR U3)




Lebuhraya Pinggiran sebenarnya bukan lebuh raya ekspres tetapi jalan pengumpul


Seterusnya, kita pergi pula ke hirarki yang lebih tinggi iaitu jalan pengumpul. Jalan pengumpul berfungsi mengumpulkan aliran trafik dari jalan-jalan tempatan di sesebuah kawasan perumahan. Maka, jalan pengumpul boleh dianggap sebagai jalan masuk utama di sesebuah kawasan perumahan. Meskipun rumah-rumah dan kedai-kedai masih boleh dibina di tepi jalan pengumpul, tetapi selalunya kebanyakan rumah dan bangunan lebih cenderung dihubungkan secara tidak langsung ke jalan-jalan pengumpul melalui jalan tempatan dan jalan hadapan. Justeru, jalan pengumpul boleh jadi ada kawalan masuk separa ataupun tiada kawalan masuk langsung. Seperti jalan tempatan, aliran trafik tempatan mendominasi jalan pengumpul, dengan kadar aliran trafik yang lebih tinggi daripada jalan tempatan. Had laju yang dikenakan juga lebih tinggi sedikit iaitu dalam lingkungan 30-50 km/j. Dalam kes ini, Lebuhraya Pinggiran (?) berfungsi sebagai jalan masuk utama ke Pinggiran Batu Caves. Meskipun jalan ini menggunakan istilah "lebuh raya" dalam nama jalannya, namun Lebuhraya Pinggiran sebenarnya diklasifikasikan sebagai jalan pengumpul disebabkan fungsinya.




Contoh jalan pengagih: Lebuh Utama Sri Gombak
(JKR U3)


Kita pergi pula ke hirarki seterusnya iaitu jalan pengagih. Jalan pengagih berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan dalam kawasan kejiranan yang sama. Oleh kerana jalan pengagih menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan yang berbeza, maka sudah mula ada percampuran aliran trafik antara lalu lintas tempatan dengan lalu lintas luar. Memandangkan aliran trafik sudah mulai sibuk, sudah hampir tiada lagi premis-premis yang dibina di tepi jalan (kecuali beberapa jenis premis seperti sekolah, balai raya, dewan orang ramai, medan selera, pusat beli-belah, dsb.), menjadikan darjah kawalan masuk kali ini dikenali sebagai kawalan masuk separa. Had laju juga meningkat kepada sekitar 50-60 km/j. Bagi kes kali ini, saya gunakan Lebuh Utama Sri Gombak sebagai contoh jalan pengagih, kerana ia berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan (Kampung Sungai Kertas, Taman Gombak Permai, Kampung Melayu Wira Damai, Pinggiran Batu Caves dan Sri Gombak).

Jalan hadapan pula selalunya terdiri daripada jalan sehala (biasanya satu lorong) yang dibina selari dengan jalan raya utama, digunakan untuk menghubungkan secara terus ke kedai-kedai dan bangunan-bangunan. Bentuk asas jalan hadapan boleh juga dikategorikan sebagai jalan tempatan, tetapi jalan hadapan boleh juga berevolusi sebagai sistem lorong pengumpul-ekspres jika ia dibina selari dengan lebuh raya ekspres ataupun jalan arteri bagi tujuan menyediakan capaian terhadap premis-premis di sepanjang laluannya - dalam kes ini, jalan hadapan boleh diklasifikasikan sama ada sebagai jalan pengumpul mahupun jalan pengagih.




Contoh jalan arteri: Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28
(JKR U5)


Jenis jalan raya perbandaran yang terletak di tangga kedua tertinggi dalam hirarki jalan raya perbandaran ialah jalan arteri. Jalan arteri menghubungkan antara kawasan-kawasan kejiranan dalam sesebuah kawasan perbandaran serta berfungsi sebagai jalan keluar masuk utama bagi kawasan perbandaran tersebut. Lalu lintas luar sudah mula mendominasi jalan arteri. Maka, jalan raya arteri selalunya diwartakan sama ada sebagai Jalan Persekutuan ataupun jalan negeri. 

Oleh kerana jalan arteri berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan kejiranan di dalam sesebuah bandar raya, maka jalan-jalan arteri disusun sama ada secara grid ataupun seperti roda. Bagi jalan-jalan arteri yang disusun seperti roda, jalan-jalan arteri dikenali sama ada sebagai jalan jejari (contoh: Jalan Kuching FT1) ataupun jalan lingkaran (contoh: KL MRR1 dan KL MRR2 FT28). Jalan arteri juga dikenakan kawalan masuk separa, tetapi dengan darjah kawalan masuk yang lebih tinggi daripada jalan pengagih. Hasilnya, had laju yang dikenakan adalah sederhana tinggi (sekitar 60-80 km/j). Meskipun persimpangan searas masih dibenarkan, namun persimpangan bertingkat sering dibina bagi menggantikan persimpangan searas di kawasan persimpangan yang sibuk bagi tujuan kelancaran lalu lintas.




Contoh lebuh raya ekspres: Lebuhraya Duke E33/FT2
(JKR U6)


Akhir sekali, kita pergi ke tangga teratas dalam hirarki jalan raya perbandaran, iaitu lebuh raya ekspres. Ada dua tujuan utama bagi pembinaan lebuh raya ekspres, iaitu sama ada bagi tujuan penyuraian trafik bandar raya (bagi kes lebuh raya ekspres perbandaran) ataupun bagi tujuan pengangkutan jarak jauh antara beberapa bandar raya utama dalam negara (bagi kes lebuh raya ekspres luar bandar). Maka, sudah tentulah lebuh raya ekspres didominasi sepenuhnya oleh lalu lintas luar. Capaian terhadap mana-mana premis sudah tidak lagi dibenarkan, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung; keluar masuk lebuh raya hanya dibenarkan ke jalan-jalan arteri melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya. Sebarang bentuk lintasan - sama ada persimpangan searas hatta pusingan U sekalipun - tidak dibenarkan sama sekali. Kawasan di sepanjang lebuh raya dipagar bagi menghalang sesiapa sahaja memasuki lebuh raya (termasuklah haiwan) tanpa melalui persimpangan bertingkat yang diwartakan. Selain itu, kenderaan bergerak perlahan tidak dibenarkan langsung untuk menggunakan lebuh raya ekspres. Hasilnya, had laju yang lebih tinggi boleh dikenakan, iaitu 90 km/j di lebuh raya perbandaran dan 110 km/j di lebuh raya luar bandar. Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres perbandaran dalam kawasan tepu bina Lembah Klang yang dikenakan had laju maksimum 110 km/j.

No comments:

Post a Comment