Friday, May 13, 2016

Pengumuman: Projek reviu jalan FTRoadpedia oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Blog Jalan Raya Malaysia / Announcement: FTRoadpedia highway review project by Malaysian Ministry of Works and Malaysian Highway Blog



Pekan Sekinchan, salah satu pekan utama di tengah-tengah laluan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang bakal menjadi laluan kami dalam projek reviu FTRoadpedia
(Kredit gambar: Haris F Hassan)


Salam sejahtera dan salam Israk Mikraj,

Hari ini saya ingin mengumumkan satu berita istimewa buat para peminat jalan raya di Malaysia khususnya kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia serta warga Kementerian Kerja Raya Malaysia. Buat julung kalinya, Blog Jalan Raya Malaysia akan berkolaborasi dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dalam satu acara anjuran KKR iaitu FTRoadpedia. Acara FTRoadpedia ini akan berlangsung selama 2 hari, iaitu dari 29 hingga 30 Mei 2016. Tujuan utama penganjuran acara FTRoadpedia ini sudah tentulah sebagai salah satu wadah bagi kempen menggalakkan penggunaan jalan persekutuan yang kini semakin dipinggirkan sejak adanya lebuh raya ekspres, sehingga ke tahap masih banyak jalan-jalan persekutuan yang tidak banyak kenderaan meskipun lebuh raya ekspres sesak teruk pada musim perayaan.

Jemputan untuk saya menyertai rombongan KKR bagi projek FTRoadpedia ini disampaikan kepada saya semasa majlis perasmian Kempen Sukai Facebook KKR & Pertandingan Selfie / Wefie Jalan Persekutuan pada 3 Mei 2016. Sudah tentulah saya berbesar hati ingin turut serta dalam acara FTRoadpedia ini nanti, lebih-lebih lagi berkolaborasi dalam mempromosikan penggunaan jalan persekutuan sebagai laluan utama ketika beriadah, berkonvoi serta bercuti. Tambahan pula, kami berkongsi matlamat sama iaitu memartabatkan rangkaian jalan raya negara, jadi sudah tentulah kolaborasi sebegini amat perlu dalam menjayakan matlamat tersebut.

Dalam projek reviu FTRoadpedia ini, sebanyak dua batang jalan persekutuan yang disasarkan sebagai laluan utama kami:-

  1. Jalan Klang-Teluk Intan FT5
  2. Jalan Teluk Intan-Sitiawan FT5

Kalau diikutkan, reviu jalan sebegini boleh dihasilkan dalam sehari (balik hari) tanpa perlu bermalam di hotel. Namun, disebabkan ada acara utama yang akan diadakan di Kampung Lekir, Sitiawan, maka projek reviu kali ini memerlukan kami menginap di chalet atau hotel sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur. 

Selalunya dalam kesemua reviu jalan yang disiarkan dalam Blog Jalan Raya Malaysia, hanya saya seorang sahaja (Admin Hezery) yang menulis mengenai pengembaraan kami, tempat-tempat menarik di sepanjang laluan serta apa jenis penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap jalan-jalan yang menjadi laluan kami. Namun, memandangkan projek reviu FTRoadpedia ini merupakan projek kolaborasi antara KKR, saya ingin menjemput beberapa orang sahabat di dalam KKR untuk turut sama menulis reviu versi mereka. Tak acilah kalau hanya saya seorang sahaja yang menulis dalam reviu yang turut disertai KKR - saya seorang sahaja mewakili Blog Jalan Raya Malaysia, sedangkan selebihnya pula warga KKR. Oleh itu, saya ada satu permintaan dalam projek reviu kali ini, iaitu reviu Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dan Jalan Teluk Intan-Sitiawan hasil nukilan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR, Datuk Sarani Dollah. Teringin juga saya hendak membaca reviu jalan raya oleh Datuk Seri Fadillah dan Datuk Sarani sendiri.

Nak tahu apa tempat-tempat menarik di sepanjang laluan kami nanti...? Nak tahu apa acara kemuncak yang akan diadakan di Kampung Lekir nanti...? Nantikanlah reviu oleh kami pada penghujung Mei ini.

No comments:

Post a Comment