Friday, January 20, 2017

Pemasangan penanda kepastian semula AH2 di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan / The installation of the AH2 reassurance markers along the North-South Expressway



Jata laluan AH2 yang digandingkan dengan jata laluan E2 pada penanda kepastian semula Lebuhraya Utara-Selatan E2


Salam sejahtera,

Jika anda memandu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, Lebuhraya Baru Lembah Klang E1 mahupun Lebuhraya Elite E6 baru-baru ini, anda tentunya sudah perasan akan kewujudan papan tanda AH2 yang dipasang bersama-sama jata laluan E1, E2 ataupun E6 pada penanda laluan atau nama lainnya penanda kepastian semula. Untuk pengetahuan anda, papan tanda AH2 yang dipasang bersama-sama jata laluan heksagon sedia ada itu sebenarnya merupakan penanda laluan Lebuh Raya Asia AH2.

Untuk pengetahuan anda, Blog Jalan Raya Malaysia sudah lama berjuang menggesa Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar melaksanakan pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia pada papan tanda jalan raya dan lebuh raya sejak kami mula menulis mengenai Rangkaian Lebuh Raya Asia pada tahun 2013, malah kami turut membayangkan bagaimana rupanya sekiranya jata laluan Lebuh Raya Asia digandingkan pada penanda laluan dan papan tanda jarak sedia ada. Kini segala usaha kami sudah pun membuahkan hasil setelah PLUS Malaysia Berhad mengambil inisiatif merintis pemasangan jata laluan AH2 di sepanjang E1, E2 dan E6. Jutaan terima kasih kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Sarani Dollah kerana berperanan memastikan suara kami berkenaan pelaksanaan jata laluan Lebuh Raya Asia disampaikan ke peringkat kementerian.

Jika anda sudah pun terlupa, kami senaraikan semula laluan-laluan Lebuh Raya Asia yang melalui Malaysia:-
  1. AH2 - sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 (Bukit Kayu Hitam-Johor Bahru), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 (Bukit Lanjan-Shah Alam), Lebuhraya Elite E6Lebuhraya Skudai FT1 dan Tambak Johor FT1
  2. AH18 - sepanjang Jalan Persekutuan 3 (Rantau Panjang-Johor Bahru)
  3. AH140 - sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 (Butterworth-Lunas) dan Jalan Persekutuan 4 (Lunas-Pasir Puteh)
  4. AH141 - NKVE E1 (Bukit Lanjan-Jalan Duta), Lebuhraya Duke E33 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), KL MRR2 FT28 (Greenwood-Gombak Utara), Lebuhraya Karak E8/FT2Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 (Gombak-Jabor) dan Jalan Pintasan Gebeng
  5. AH142 - sepanjang Persiaran MEC FT222, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 (Gambang-Segamat) dan Jalan Persekutuan 1 (Segamat-Yong Peng Selatan)
  6. AH143 - sepanjang Lebuhraya Linkedua E3 (Senai-Tanjung Kupang)
  7. AH150 - sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Persekutuan 1 di Sarawak dan Jalan Persekutuan 1, 22 dan 13 di Sabah)

Syabas kepada PLUS kerana menjadi perintis kepada pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia yang diguandingkan dengan jata laluan heksagon kuning sedia ada. Diharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat-syarikat konsesi bagi lebuh raya yang saya senaraikan di atas turut sama mengambil inisiatif melaksanakan pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia yang digandingkan dengan kod laluan sedia ada. Tunjukkan kepada dunia bahawa kita bangga jalan raya kita membentuk rangkaian Lebuh Raya Asia.

Pengumuman: Skuad BJRM Prihatin ke hentian rehat kurang pelanggan / Announcement: BJRM Cares Squad to rest areas lacking customers









Antara beberapa hentian rehat yang ketandusan pelanggan, dari atas ke bawah: R&R Perasing, R&R Mambau, R&R Tanjung Dua Belas, dan R&R Klang Utara


Salam sejahtera,

Kelmarin, Berita Harian ada menyiarkan berita mengenai keluhan para peniaga di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8, yang mana ada peniaga yang hanya memperoleh RM10 sahaja sehari berikutan ketiadaan pengguna lebuh raya yang singgah di situ. Ia turut mengundang campur tangan kerajaan negeri Terengganu yang kini sedang mencari jalan bagi meningkatkan jumlah pelanggan yang singgah di situ.

Sebenarnya, isu ketandusan pelanggan di kawasan rehat yang sepatutnya menjadi tumpuan pengguna jalan raya atau lebuh raya singgah sebentar untuk berehat, makan dan minum bukanlah isu baharu. Isu sebegini timbul setiap kali ada lebuh raya baharu dibuka. Sepanjang saya menghasilkan banyak reviu lebuh raya dan jalan raya, saya dapati ada 3 punca utama yang menyebabkan sesebuah hentian rehat itu kurang dikunjungi pengguna lebuh raya atau jalan raya:-
  1. Ketiadaan stesen minyak - Sepanjang saya menghasilkan reviu-reviu lebuh raya, saya dapati bahawa ketiadaan stesen minyak merupakan penyumbang nombor satu bagi masalah R&R tiada pelanggan ini. Peranan stesen minyak amat penting bagi menentukan hidup mati sesebuah hentian rehat, kerana pengguna lebuh raya bukan sekadar mahu singgah makan atau berehat semata-mata; alang-alang berhenti sebentar untuk mengisi perut, sudah tentulah mereka mahu turut mengisi tangki minyak juga. Namun, sekiranya hentian rehat tiada stesen minyak, sudah tentulah mereka tidak akan singgah dan terpaksa keluar dari lebuh raya ke pekan terdekat untuk mengisi minyak, makan dan berehat. Akhirnya, apa gunanya R&R kalau pengguna tidak singgah akibat ketandusan stesen minyak yang merupakan infrastruktur keperluan bagi mana-mana kenderaan bermotor...?
  2. Kadar aliran trafik yang kurang - Selalunya, lebuh raya ekspres dibina selari dengan jalan persekutuan atau negeri sedia ada. Jadi, sudah tentulah kadar akan terbahagi kepada pengguna lebuh raya ekspres baharu itu dengan pengguna yang masih setia menggunakan jalan lama. Dengan kata lain, pembukaan lebuh raya ekspres akan menyebabkan penurunan mendadak pengguna jalan lama kerana sebahagiannya akan beralih kepada lebuh raya ekspres. Fenomena sebegini mendatangkan kesan positif dan juga negatif - kesan positifnya ialah jalan jadi kurang sesak dan kurang cenderung berlaku kemalangan, tetapi kesan negatifnya ialah kurang pengguna yang akan singgah berhenti rehat dan seterusnya menyebabkan penurunan pendapatan bagi golongan peniaga yang bergantung kepada pengguna jalan raya atau lebuh raya sebagai sumber ekonomi utama. Selalunya golongan yang terjejas adalah terdiri daripada para peniaga di jalan persekutuan, tetapi ada kalanya peniaga hentian rehat lebuh raya pula yang menjadi mangsa.
  3. Lokasi hentian rehat - Selain dua faktor utama di atas, ada juga hentian rehat yang kurang dikunjungi disebabkan lokasinya yang sama ada tersorok ataupun terletak jauh ke dalam, menyebabkan pengguna sama ada terlepas daripada menemuinya ataupun enggan singgah kerana persepsi "hentian rehat terpencil". Kes sebegini bukan sahaja benar bagi R&R Perasing di LPT2 E8, tetapi juga di R&R Paya Rumput di Lebuh AMJ FT19 dan juga di R&R Puchong di LDP E11. Bagi mengatasi masalah ini, papan tanda yang lebih jelas perlu diperbanyakkan, di samping penambahbaikan dari segi lanskap supaya persepsi R&R terpencil dan tersorok dapat dibuang.

Setakat ini, ada beberapa hentian rehat lebuh raya ekspres yang dikenal pasti mengalami masalah ketandusan pelanggan seperti berikut:-
  1. R&R Perasing, LPT2 E8
  2. R&R Mambau, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29
  3. R&R Beranang, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21)
  4. R&R Tanjung Dua Belas, SKVE E26
  5. R&R Puchong Selatan, LDP E11
  6. R&R Air Hitam, LDP E11
  7. R&R Penchala, LDP E11
  8. R&R Klang Utara, Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) E30

(Kemaskini: lokasi R&R yang ditebalkan ialah lokasi yang sudah dikunjungi Skuad BJRM Prihatin)

Saya akan berkunjung ke beberapa R&R bagi meninjau keadaan di sana untuk perhatian syarikat konsesi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta beberapa pihak lain yang terlibat seperti syarikat-syarikat minyak. Saya akan mulakan dengan R&R Beranang secara berseorangan pada Ahad ini, 22 Januari 2017 diikuti beberapa R&R lain. Bagi R&R Beranang, insya-Allah saya akan mengadakan lawatan ke sana pada Februari ini, dan atas permintaan beberapa peminat Blog Jalan Raya Malaysia, kami akan ke sana secara konvoi motosikal.

Oleh itu, sekiranya ada di antara anda yang mengenali para peniaga di situ, ataupun sekiranya anda sendiri merupakan peniaga di situ, hebah-hebahkanlah agar suara para peniaga di R&R yang saya senaraikan di atas ini mendapat perhatian dan pembelaan.

Tuesday, January 17, 2017

Apa Kejadahnya: KL tanpa kapcai - sistem kasta bentuk baharu oleh Ku Nan / What The Hell: KL without underbones - a new caste system by Ku Nan



Senario serupa seperti di Shenzen, China ini bakal berlaku di Kuala Lumpur sekiranya Tengku Adnan mahu meneruskan cadangan mengharamkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya KL
(Kredit gambar: Daily Mail UK)


Salam sejahtera,

Semalam (16 Januari 2017) buat kesekian kalinya Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan mengutarakan satu cadangan dangkal bersifat diskriminatif, iaitu cadangan melarang motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur. Cadangan tersebut disambut dengan maki-hamun dan sumpah-seranah daripada golongan penunggang motosikal di ibu kota, khususnya golongan berpendapatan rendah serta golongan pekerja yang memang memerlukan penggunaan motosikal seperti posmen, mat despatch, penghantar piza, penjaja kecil dsb. Malah, pengeluar motosikal seperti Modenas turut tidak berpuas hati akan cadangan dangkal lagi diskriminatif oleh Ku Nan itu.

Ada dua alasan yang diberikan oleh Ku Nan bagi rasional pengharaman motosikal kapcai ini. Pertama, bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Kedua, atas alasan pengurangan karbon dan pencemaran udara. Kedua-dua alasan tersebut merupakan alasan bodoh lagi dangkal bagi seorang yang langsung tidak pernah menaiki pengangkutan awam ke pejabat tetapi sekadar menggunakan kereta rasmi kerajaan yang mana duit minyaknya dibiayai daripada duit cukai rakyat.

Kenapa saya katakan alasan-alasan oleh Ku Nan itu merupakan alasan bodoh lagi dangkal...? Saya hendak tanya sendiri kepada Ku Nan, adakah liputan pengangkutan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur benar-benar menyeluruh...? Tak payah pergi jauhlah, kita lihat di pusat bandar raya KL itu sendiri. Bolehkah anda pergi dari KLCC ke Perpustakaan Negara tanpa perlu menapak jauh...?Bolehkah anda pergi dari KL Sentral ke bangunan Tabung Haji tanpa perlu menapak jauh...? Berapa lama masa menunggu untuk mendapatkan bas...? Berapa lama pula masa yang perlu diambil untuk menaiki bas dari Batu Caves ke pusat bandar raya KL yang hanya sejauh lebih kurang 15 km sahaja...? Dan adakah tambang bas dan LRT itu lebih murah daripada duit minyak motor bagi jarak dan destinasi yang sama...? Saya cabar Ku Nan untuk menjawab kesemua soalan itu, kerana dalam bulan Februari ini saya akan membuat perbandingan antara motosikal dan LRT Aliran Sri Petaling dari Sentul ke Putra Heights dari segi kos tambang dan masa perjalanan.






Motor kapcai pencemar udara...? Motor pancitan bahan api seperti Modenas 118EFI dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection kan ada. Habis tu kereta tak mencemar udara ke...?


Mengenai alasan pengurangan karbon oleh Ku Nan, dia mendakwa bahawa langkah dangkal ini "seiring dengan pelaksanaan di bandar utama lain yang turut tidak membenarkan penggunaan motosikal ini bagi tujuan pengurangan karbon". Sekali lagi saya mencabar Ku Nan untuk menyenaraikan bandar raya dan di negara manakah yang mengharamkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya. Yang sebenarnya, hampir kesemua negara maju membenarkan penggunaan motosikal di pusat bandar raya. Di Eropah, larangan hanya dikenakan terhadap motosikal lama. Misalnya, Paris melarang motosikal lama yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2000 daripada memasuki pusat bandar raya; motosikal baharu pula boleh memasuki Paris sepanjang masa. Di London pula, larangan serupa tidak dikenakan, sebaliknya motosikal yang tidak melepasi piawaian emisi Euro 3 akan dikenakan denda atau levi sebanyak £12.50 sehari. Sebaliknya, carian di internet yang saya jalankan mendapati hanya China sahaja yang sudah melaksanakan pengharaman motosikal di bandar raya utama mereka, manakala Hanoi di Vietnam pula hanya akan melaksanakannya bermula tahun 2025.




Anatomi sistem pancitan bahan api motosikal


Memang saya akui tahap pelepasan emisi oleh motosikal adalah lebih tinggi daripada kereta, tetapi ada sebabnya. Motosikal secara fizikalnya lebih kecil daripada kereta, jadi sudah tentulah mekanisme kawalan emisinya juga lebih ringkas daripada kereta. Sistem kawalan emisi motosikal hanya terhad kepada sistem ekzos (peredam, paip ekzos dan penukar bermangkin jika ada), saluran pernafasan kotak engkol ke penapis udara, pancitan bahan api (jika ada) dan pancitan udara sekunder (jika ada). Jika dibandingkan, kereta selalunya ada dua peredam pada sistem ekzosnya serta ada yang menggunakan dua penukar bermangkin. Selain itu, kereta-kereta moden juga dilengkapi bekas arang (charcoal canister) bagi menyerap wap petrol daripada terlepas ke udara. Di samping itu juga, kereta-kereta moden turut dilengkapi sistem kitaran semula gas ekzos (EGR) bagi mengurangkan suhu puncak pembakaran untuk mengurangkan penghasilan nitrogen oksida (NOx) serta sistem pancitan udara sekunder. Kesemua ini menjadikan sistem kawalan emisi kereta lebih rumit daripada motosikal. Pun begitu, dalam penggunaan seharian motosikal tetap lebih mesra alam daripada kereta, kerana selain membakar kurang petrol, motosikal juga kurang cenderung terperangkap dalam kesesakan berbanding kereta. Sementara itu, meskipun di atas kertas selalunya kereta dikatakan kurang mencemar udara, namun jumlah gas-gas pencemar yang dilepaskan semasa terperangkap dalam kesesakan sudah tentulah lebih tinggi daripada motosikal. Justeru, alasan pencemaran udara bagi pengharaman motosikal di pusat bandar raya KL merupakan alasan yang bebal lagi dangkal.




Anda mungkin akan perlu menunggu berkurun untuk pesanan piza anda sampai sekiranya motor kapcai diharamkan daripada memasuki bandar KL kelak


Jadi apa akan terjadi sekiranya KL benar-benar mengharamkan penggunaan motosikal...? Laman portal automotif Pandu Laju ada memberi 10 gambaran mengenai KL tanpa motor kapcai, jadi saya akan memberikan gambaran saya pula:-

  1. Pos Laju boleh tukar nama sebagai Pos Siput atau Pos Kura-kura - Motor kapcai jadi pilihan posmen, mat despatch, penghantar piza dan runner (penghantar barang) disebabkan sifat fizikalnya yang kecil, ringan dan lincah. Kalau jalan sesak teruk pun, boleh saja lalu atas kaki lima atau laluan pejalan kaki (saya tahu sebab saya pun banyak kali pernah buat begitu). Jadi, apa akan jadi sekiranya kapcai diharamkan...? Memang mereka boleh memilih untuk naik motor yang lebih besar, tetapi sudah tentulah tidak selincah motor kapcai. Hendak mencilok (mencelah) pun susah. Keadaan menjadi lebih parah jika mereka terpaksa menggunakan kereta mahupun pengangkutan awam. Justeru, Pos Laju sudah boleh tukar nama menjadi Pos Perlahan, Pos Siput mahupun Pos Kura-kura.
  2. Pelanggan penghantaran Pizza Hut boleh menikmati piza percuma setiap hari - Pizza Hut menawarkan jaminan penghantaran dalam masa 30 minit, yang mana sekiranya piza dihantar lebih lewat daripada 30 minit selepas pesanan dibuat di telefon, pelanggan tersebut akan mendapat baucar piza percuma bagi pesanan seterusnya. Kalau tidak silap saya, Domino's Pizza juga ada menawarkan jaminan yang serupa. Masa tersebut diambil kira masa pembuatan (2 minit membuat piza dan 13 minit membakar piza), jadi penghantar piza hanya ada masa 15 minit sahaja untuk menghantar piza tersebut. Sebab itulah ramai penghantar piza yang menjadi mat rempit demi memastikan piza sampai tepat pada masanya. Jika kapcai diharamkan, penghantar piza hanya ada pilihan kereta, pengangkutan awam atau setidak-tidaknya motosikal yang lebih besar, yang sudah tentunya tidak selincah kapcai. Akibatnya, walau macam mana merempit sekalipun, piza akan tetap sampai lambat.
  3. Mi segera menjadi makanan asasi posmen, mat despatch dan runner - Memandangkan gaji mereka tetap tidak naik, maka sudah tentulah mi segera menjadi makanan asasi mereka memandangkan kos petrol dan penyelenggaraan naik, sungguhpun tidak setinggi kereta. Kalau naik kapcai, merasa jugalah mereka makan makanan yang lebih mewah sedikit dengan gaji yang sama.
  4. Kos setem dan upah penghantaran meningkat - Sekiranya posmen, mat despatch, runner dan penghantar piza terpaksa menukar kenderaan kepada motosikal yang lebih besar ataupun kereta, maka sudah tentulah kos petrol dan penyelenggaraan pun naik. Maka selepas ini tidak mustahil jika setem yang diperlukan bukan lagi 60 sen tetapi boleh jadi RM6, RM16, atau mungkin lebih mahal lagi. Begitu juga halnya dengan penghantar piza. Jika selalunya mereka akan mendapat upah sekitar RM2 bagi setiap penghantaran, kadar upah mungkin perlu dinaikkan sehingga RM20, membankrapkan syarikat piza dan juga pelanggan.
  5. Aiskrim bakal jadi makanan mewah mampu tengok di kalangan budak sekolah - Salah satu kenangan terindah zaman kanak-kanak sudah tentulah pengalaman membeli aiskrim daripada penjual aiskrim bermotosikal. Makanan jenis sebeginilah yang mampu dibeli oleh murid-murid sekolah yang wang sakunya tidak sebanyak mana. Sebenarnya memang ada lori aiskrim mahupun van aiskrim, tetapi mereka selalunya menjual aiskrim di satu tempat sahaja dan bukannya meronda di serata taman perumahan. Jika mereka perlu meronda di serata taman perumahan, jangan terkejut jika sekiranya aiskrim biasa yang sepatutnya berharga RM1 boleh jadi semahal aiskrim Wall's Magnum.
  6. Semakin banyak kisah penjahat berjaya melarikan diri kerana polis tersangkut dalam kesesakan - Satu lagi pihak yang bakal terjejas bahana cadangan dangkal Ku Nan ialah pihak polis. Unit rondaan bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama pentingnya seperti pasukan kereta ronda biasa PDRM kerana unit bermotosikal inilah barisan pertahanan pertama yang turut berperanan memerangi penjenayah tegar meskipun dalam keadaan jalan raya yang sesak. Meskipun Honda VFR800 Interceptor paling sinonim dengan unit bermotosikal PDRM, namun mereka juga mempunyai unit rondaan yang menggunakan motosikal kapcai. Jadi apa akan berlaku sekiranya cadangan dangkal Ku Nan ini dilaksanakan...? Sudah tentulah banyak penjenayah berbahaya akan berjaya melepaskan diri daripada polis.
  7. Semakin ramai budak-budak sekolah menunggang superbike - Pelajar-pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah memang merupakan pemandangan biasa, khususnya di kalangan pelajar Menengah Atas (Tingkatan 4-6) yang memang dalam usia yang dilesenkan serta di luar bandar (yang sudah tentunya ramai yang tiada lesen). Namun, jika kapcai diharamkan oleh Ku Nan, maka pelajar-pelajar sekolah ini hanya ada pilihan sama ada menaiki bas sekolah yang padat seperti sardin ataupun motor yang lebih besar, yang tentunya lebih mahal.
  8. Produktiviti merosot, tetapi gaji mahu naik - Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar raya yang mana tahap produktiviti penduduknya boleh dikatakan sebagai teruk. Kenapa saya kata sedemikian...? Jika anda berkereta seorang sebuah, anda memang wajib bertolak sebaik sahaja selepas solat Subuh; jika anda terlewat, anda pasti akan tersangkut dalam kesesakan. Kalau anda tersangkut dalam kesesakan, petrol yang dibazirkan selama sejam adalah mencukupi untuk satu perjalanan dari KL ke Seremban. Sebab itulah ramai yang sampai lambat ke pejabat. Namun, jika anda bertolak awal pun, anda akan sampai awal dan tetap membazir masa untuk menunggu pintu pejabat dibuka. Sama jugalah halnya semasa pulang dari pejabat, sehingga menyebabkan ramai warga KL yang terlepas solat Maghrib bahana terperangkap dalam kesesakan. Namun begitu, warga KL sudah tentulah mahu gaji dinaikkan bahana beban kos sara hidup, tol, petak parkir dan harga petrol. Jika motosikal kapcai tidak diharamkan- setidak-tidaknya warga kota ada jugalah alternatif bagi membantu mereka mengikat perut di samping meningkatkan produktiviti. Maklumlah, ekonomi Malaysia kan sedang berada "di landasan yang betul". Kalau benar Ku Nan haramkan motor kapcai nanti macam mana...? Sudahlah kos sara hidup naik, harga minyak naik, kalau Ku Nan buat perangai dengan mengutarakan cadangan haram jadah sebegini, maka sudah tentulah dia menyebabkan kerajaan terus-menerus menjadi sasaran maki-hamun dan sumpah-seranah rakyat marhaen kerana bukan sahaja gagal membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, malah menjadikannya semakin parah. Justeru, Ku Nan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana gagal menjamin kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi hanya berjaya menjamin kesengsaraan mereka sahaja.
  9. Sistem kasta bentuk baharu - Semasa zaman penjajahan British dahulu, salah satu daripada "jasa" utama mereka ialah penghapusan sistem kasta di kalangan masyarakat India. Sistem kasta menyebabkan kumpulan kasta bawahan dinafikan hak-hak mereka oleh golongan kelas atasan, meskipun mereka berpijak di bumi yang sama dan bernafas menggunakan udara yang sama. Namun, terdapat cubaan untuk menghidupkan kembali sistem kasta, tetapi berdasarkan jenis kenderaan yang dimiliki. Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu, pernah mengancam hendak mengharamkan motosikal daripada menggunakan lebuh raya ekspres bahana marahkan sekumpulan penunggang superbike yang memotong keretanya. Akibatnya, dia dijatuhkan dalam keadaan yang memalukan di Sungai Siput pada hari jadinya sendiri semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008. Sekarang, Ku Nan langsung tidak mengambil pengajaran daripada apa yang pernah berlaku kepada Samy Vellu apabila dia mencadangkan larangan motor kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur. Kepada Ku Nan, anda sepatutnya sedar diri dan tidak lupa daratan kerana anda dinaikkan oleh rakyat marhaen dan bakal dijatuhkan oleh rakyat marhaen.
  10. Wilayah Persekutuan KL bakal menjadi petak parkir terbesar di Asia Tenggara - Sekiranya motor kapcai diharamkan, warga KL hanya ada pilihan sama ada menggunakan pengangkutan awam yang masih lagi tidak menyeluruh dan kurang boleh diharap, ataupun berkereta. Maka, sudah tentulah kesesakan jalan di Kuala Lumpur yang memang sudah sedia kritikal akan menjadi lebih parah. Jika lambakan kereta ini tidak ditangani, maka sudah tentulah masalah kesesakan ini akan sampai ke tahap anda boleh tinggalkan kereta di tengah-tengah jalan dan berjalan kaki sahaja ke pejabat kerana trafik memang tidak bergerak dan berjalan kaki pun lebih cepat.
  11. Warga KL bakal bermandi hujan asid dan bernafas menggunakan tong oksigen - Ini merupakan kesudahan terburuk sekiranya Ku Nan tetap berdegil mahu mengharamkan penggunaan motor kapcai di tengah-tengah bandar raya KL. Apa tidaknya, kereta-kereta yang tidak bergerak semasa kesesakan akan melambakkan bertan-tan gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida serta gas-gas pencemar seperti karbon monoksida, nitrogen oksida (NOx), hidrokarbon tak terbakar, sulfur dioksida dsb. Meskipun secara teknikalnya motosikal kapcai menghasilkan lebih banyak gas-gas pencemar disebabkan sistem kawalan emisinya yang lebih ringkas, namun secara kumulatif jumlah gas-gas pencemar yang dihasilkan sebuah motosikal dalam sehari masih jauh lebih rendah daripada kereta kerana motosikal kapcai lebih lincah dan kurang cenderung terperangkap dalam kesesakan. Jika pencemaran dijadikan alasan, maka kerajaan sepatutnya menguatkuasakan peraturan emisi yang lebih ketat, yang sudah tentu akan membawa kepada penjualan lebih banyak model-model motor kapcai pancitan bahan api yang tentunya lebih jimat minyak dan lebih mesra alam. Cadangan mengharamkan kapcai hanyalah ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kesimpulannya, cadangan pengharaman motosikal kapcai daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur oleh Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan sememangnya satu cadangan yang dangkal, bebal, biadab, kurang ajar serta tidak memahami kesengsaraan warga marhaen di ibu kota. Tatkala warga kota berdepan dengan kesengsaraan akibat peningkatan mendadak kos sara hidup dan harga minyak, motor kapcai menjadi talian hayat bagi membolehkan mereka berjimat-cermat. Seorang menteri yang tidak pernah menaiki pengangkutan awam ke pejabat tetapi hanya tahu menaiki kereta rasmi kerajaan yang duit minyaknya dibayar hasil cukai rakyat dan duduk di pejabat berhawa dingin tidak layak sama sekali mengarahkan rakyat untuk berhenti menggunakan motor kapcai, kerana dia sendiri pun tidak menunjukkan teladan baik untuk dicontohi serta tidak peka akan kesengsaraan rakyat. Cadangan haram jadah Ku Nan ini juga akan turut menyebabkan banyak pekerjaan berasaskan motosikal bakal terjejas seperti posmen, mat despatch, runner, penghantar piza, pengusaha teksi motosikal, malah tidak ketinggalan juga polis. Jika ia berlaku, siapa yang hendak dipertanggungjawabkan...? Adakah Ku Nan sendiri sedia dipertanggungjawabkan atas terjejasnya periuk nasi mereka ini semua...? Beri cadangan dengan menggunakan kepala otak dan bukannya kepala lutut. Jangan sampai warga KL menghukum kesombongan anda dalam pilihan raya akan datang nanti.

Monday, January 16, 2017

Belasungkawa / Memorabilia: Aiman & Zabedah Part 3: 二時間だけのバカンス (Percutian untuk hanya 2 jam / A vacation for just 2 hours)




Salam sejahtera,

Siri Belasungkawa Admin Aiman Abmajid kini diteruskan lagi, tetapi kali ini tajuk siri ini ditukar namanya kepada Siri Belasungkawa Aiman & Zabedah. Ia susulan pemergian ibu tercinta, Zabedah bt Mohd. Aris, yang pergi menghadap Ilahi pada 10 Januari 2017 di kampung halaman saya di Segamat, Johor akibat terjatuh. Sebelum itu, beliau menderita akibat strok selama lebih 10 tahun. Untuk pengetahuan anda semua, Allahyarhamah ibu saya dilahirkan di Kampung Tonjos, Segamat, Johor pada 26 Jun 1959 dan meninggal dunia di rumah keluarga kami di kampung kelahirannya sendiri.

Saya masih ingat lagi semasa ibu saya mula-mula diserang strok pada minggu kedua bulan Ramadan 2006. Pada masa itu, saya dan dua orang adik lelaki saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti, manakala adik perempuan saya pula masih bersekolah. Secara kebetulan, pada hari sebelum arwah ibu saya diserang strok, saya yang belajar di Universiti Selangor (Unisel) pada masa itu melawat adik saya Hazezy yang tinggal di asrama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk meminjam komputernya untuk membuat tugasan universiti, memandangkan saya pada masa itu tiada komputer. Pada hari sebelum kejadian, ibu saya dengan suara yang masih elok dan tidak pelat ada menelefon saya dan berpesan agar tidak meninggalkan solat. Namun, pada keesokan harinya, saya dikejutkan oleh panggilan telefon daripada adik saya Nadyatul Hidayu yang memanggil kami pulang ke kampung kerana ibu kami terjatuh di hadapannya dan tidak boleh bangun. Daripada situlah kisahnya bagaimana Allahyarhamah mula menghidap strok selama lebih 10 tahun sebelum Allah sendiri menamatkan penderitaannya baru-baru ini.

Untuk entri kali ini, saya tidak mahu menjadikan entri ini sebagai kisah seorang anak yang meratapi kematian ibunya. Sebaliknya, saya ingin bercerita tentang kisah seorang ibu yang gembira dan berpuas hati kerana anaknya berpeluang membawanya berjalan-jalan buat kali terakhir sebelum maut menjemputnya. Bohonglah kalau saya langsung tiada rasa sedih, memandangkan yang meninggal dunia kali ini ialah ibu saya sendiri. Tambahan pula, saya baru sahaja berhadapan dengan musibah kematian Admin Aiman Abmajid genap sebulan sebelumnya, yang bukan sahaja menjadi tonggak perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia, malah saya menganggapnya sebagai adik saya sendiri. Cuma, saya tidak mahu ibu saya pergi meninggalkan saya dan adik-adik saya dengan perasaan serba-salah sekiranya saya terus bersedih dan meratapi pemergiannya; sebaliknya, saya mahu arwah ibu saya berasa puas hati kerana anak sulungnya kini sudah boleh mewarisi semangatnya. Sebagaimana ibu-ibu yang lain, almarhum ibu saya tentunya mahu saya terus hidup dengan gembira dan bahagia.

Satu persamaan ketara yang saya warisi daripada arwah ibu saya ialah kami suka berjalan-jalan. Sebab itulah lahirnya Blog Jalan Raya Malaysia yang memuatkan banyak reviu jalan raya untuk dikongsikan kepada para pembaca semua. Setiap kali saya membawa ibu saya berjalan-jalan menaiki kereta, beliau selalu akan menyuruh saya untuk berhenti di mana-mana gerai tepi jalan yang menarik perhatiannya untuk membeli makanan, minuman atau apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Saya dan adik-adik saya sering mengusiknya dengan mengatakan "para peniaga warung tepi jalan pasti akan cepat kaya dan bersorak keriangan sebaik melihat kelibat Cik Bedah". Untuk pengetahuan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta para sahabat dalam Kementerian Kerja Raya, segala input daripada saya mengenai kempen FTRoadpedia semuanya diilhamkan daripada pengalaman saya membawa ibu saya berjalan-jalan melalui jalan persekutuan.

Kali terakhir saya membawa ibu saya berjalan-jalan adalah pada hari ketiga terakhir saya bercuti pada hujung tahun 2016. Secara kebetulan, Hidayu yang kini bekerja di Naza juga sedang bercuti di kampung. Pada masa itu, saya membawa ibu saya untuk menukar kad banknya di Bank Muamalat Segamat. Malangnya, semasa saya hendak memapahnya untuk ke bank, kakinya kejang dan tidak boleh berjalan. Setelah pengawal keselamatan di situ memberitahu kami bahawa kad tersebut masih boleh digunakan untuk setahun lagi, kami terpaksa membatalkan niat ibu saya untuk menukarkan kadnya, tanpa sedikit pun saya sedari bahawa saya sudah tidak lagi berpeluang untuk menukarkan kadnya itu buat selama-lamanya.

Setelah tidak berupaya untuk menukarkan kad banknya, ibu saya mengajak saya untuk membawanya berjalan-jalan, tanpa saya sedari bahawa itulah kali terakhir kami pergi berjalan-jalan bersama. Pada mulanya saya menolak, kerana pada masa itu kereta saya sudah mengalami masalah pada getah bushing pada lower arm bahagian hadapan kiri, jadi saya tidak berani hendak memandu terlalu jauh. Beliau mengajak saya ke Felda Kemelah, tetapi saya khuatir akan keadaan jalan yang mungkin akan menambah parah akan masalah pada lower arm kereta saya. Akhirnya, kami sepakat memutuskan untuk ke Batu Anam yang jaraknya lebih kurang sama seperti ke Felda Kemelah.

Kami pun meneruskan perjalanan ke Batu Anam. Kalau diikutkan, pekan Batu Anam bukannya ada apa-apa yang menarik sangat pun. Namun, kami tetap disajikan dengan pemandangan yang meskipun nampak biasa-biasa sahaja tetapi tetap menenangkan terutamanya di kawasan kampung. Sebaik sahaja di pekan Batu Anam, saya sebenarnya berniat mahu membawa ibu saya dan Hidayu untuk mencuba Jalan Negeri Johor J157 yang baru sahaja siap ditambah baik oleh JKR Segamat, tetapi ibu saya mengajak saya untuk berpatah balik dan pulang supaya tidak terlepas solat Asar. Semasa perjalanan pulang, kami sempat singgah di Taman Yayasan untuk membeli "sotong raja" dan waffle. Ini jugalah kali terakhir beliau menikmati waffle perisa mentega kacang kegemarannya.

Begitulah perjalanan terakhir kami sebagai anak dan ibu. Perjalanan terakhir ini pendek sahaja, iaitu lebih kurang 2 jam keseluruhannya. Saya berasa ralat juga kerana kalau diikutkan, saya memang ingin membawanya lebih jauh, tetapi apakan daya, panggilan untuk menunaikan solat adalah lebih penting. Tambahan pula, lower arm kereta saya itu pun sudah mula berpenyakit, jadi saya perlu lebih cermat supaya tidak banyak duit yang akan melayang kelak. Namun, senyuman ibu saya yang sangat berpuas hati kerana berpeluang untuk berjalan-jalan dengan saya itu tentunya amat bermakna buat saya. Bak kata lirik lagu yang tajuknya saya gunakan untuk entri ini, kalau rasa tidak mencukupi pun tak apa, sedikit-sedikit pun seronok juga.

Semasa saya hendak pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja, saya mengejutkan ibu saya, bersalaman dan menciumnya. Dia kemudiannya memeluk saya dengan erat, jauh lebih erat daripada yang pernah dilakukannya kepada saya, dan meminta saya pulang lagi menziarahinya pada 11 Januari 2017. Namun, tanpa saya sedari, tarikh 11 Januari itulah tarikh di mana beliau disahkan sudah meninggal dunia setelah disedari oleh jiran-jiran kami. Saya berasa amat kesal dan amat hiba kerana tidak berpeluang untuk berada di sisinya pada masa itu, meskipun pada pagi 10 Januari itu ibu saya memang ada menelefon saya untuk mengesahkan kepulangan saya. Namun, suka atau tidak, saya tiada pilihan melainkan redha akan ketentuan Allah, kerana kalau saya pulang pada 9 Januari sekalipun, masa ajal yang ditentukan kepada ibu saya tetap tidak akan berganjak, diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat.

Buat mamaku Zabedah bt Md. Aris, maafkan Ery kerana tidak mampu untuk memberikan kemewahan kepada mama. Maafkan Ery kerana tidak dapat bersama-sama dengan mama 24/7 untuk menjaga mama sehinggalah ke detik-detik terakhir hayat mama. Maafkan Ery sekiranya ada tutur kata mahupun perbuatan Ery yang menyinggung hati mama. Maafkan Ery sekiranya Ery menjadi beban dan banyak menyusahkan mama sejak lahir sehingga sekarang. Terima kasih kerana melahirkan, membesarkan dan mendidik Ery sehingga dewasa. Terima kasih atas setiap titik air susu mama dalam tubuh Ery. Terima kasih atas setiap sen yang mama berikan kepada Ery untuk membesarkan Ery, mahupun membantu Ery ketika dalam kesusahan. Terima kasih kerana sudi mengampunkan segala dosa Ery terhadap mama walau sejahat mana Ery ini. Terima kasih kerana memberikan Ery peluang untuk berbakti kepada mama hingga ke hujung nyawa. Terima kasih atas doa mama untuk Ery selama ini. Meskipun Ery sedar Ery bukanlah layak untuk memasuki syurga Allah, namun Ery tetap tidak berputus asa berdoa dan mengharapkan belas ihsan Allah agar Ery dapat disatukan kembali dengan mama di syurga pada hari kiamat kelak. Setiap pahala yang datang daripada setiap klik oleh pembaca Blog Jalan Raya Malaysia ini Ery tujukan khas buat mama juga. Terima kasih atas segalanya, bersemadilah dengan aman dan nantikanlah Ery di pintu syurga kelak. Ery doakan agar roh mama ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan Ery doakan agar kita dapat disatukan kembali sebagai sebuah keluarga 6 beranak yang bahagia, amin.




Al-Fatihah buat bondaku yang tercinta, Zabedah bt. Md. Aris (1959-2017).




クローゼットの奥で眠るドレス
履かれる日を待つハイヒール
物語の脇役になって大分月日が経つ

忙しいからこそ たまに
息抜きしましょうよ いっそ派手に

朝昼晩とがんばる 私たちのエスケープ
思い立ったが吉日 今すぐに連れて行って
二時間だけのバカンス 渚の手前でランデブー
足りないくらいでいいんです
楽しみは少しずつ

Ha Ahh-

お伽話の続きなんて誰も聞きたくない

優しい日常愛してるけれど
スリルが私を求める

家族のために頑張る 君を盗んでドライヴ
全ては僕のせいです わがままに付き合って
二時間だけのバカンス いつもいいとこで終わる
欲張りは身を滅ぼす
教えてよ、次はいつ?

ほら車飛ばして 一度きりの人生ですもの
砂の上で頭が痺れるようなキスをして
今日は授業をサボって 二人きりで公園歩こう
もしかしたら一生忘れられない笑顔僕に向けて

朝昼晩とがんばる 私たちのエスケープ
思い立ったが吉日 今すぐに参ります
二時間だけのバカンス 渚の手前でランデブー
足りないくらいでいいんです
楽しみは少しずつ


[terjemahan]

Baju yang terbiar di dalam almari
Menunggu untuk dipakai dengan kasut tumit tinggi
Keduanya hanyalah watak picisan, hari dan bulan silih berganti

Kerana kau terlalu banyak kerja
Sekali-sekala, jom kita bercuti dengan penuh bergaya

Pagi, petang dan malam kau bekerja, inilah peluang untuk kita
Tiada masa yang sebaik sekarang, bawaku ke sana sekarang juga
Percutian untuk hanya 2 jam, kita bertemu di pantai sana
Kalau rasa tak cukup pun tak apa
Sedikit-sedikit pun seronok juga

Ha Ahh...

Bab sambungan cerita dongeng kali ini, tiada yang nak dengar lagi
Aku sayang kelembutan ini setiap hari
Tetapi cabaranlah yang aku cari

Demi keluarga aku bekerja, aku ambil kau untuk berjalan sama
Semuanya memang salah aku, jadi hadaplah denganku sahaja
Percutian untuk hanya 2 jam berakhir dengan benda baik sahaja
Orang yang tamak selalu rugi
Beritahuku bila lagi?

Mari, pecutlah kereta, ini nyawa kita, peluang ini sekali sahaja
Di atas pasir, kucuplah kepalaku sehinggaku rasa berdenyut
Mari kita ponteng kelas, berjalan-jalan di taman, hanya kita berdua
Jadi aku takkan sama sekali lupa senyumanmu ke arahku sepanjang hayat

Pagi, petang dan malam kita bekerja, inilah peluang untuk kita
Tiada masa yang sebaik sekarang, kita ke sana sekarang juga
Percutian untuk hanya 2 jam, kita bertemu di pantai sana
Kalau rasa tak cukup pun tak apa
Sedikit-sedikit pun seronok juga

Monday, January 9, 2017

Cerita (dan reviu) LDP E11 / The LDP E11 Story (and review)




Salam sejahtera dan Selamat Tahun Baru buat semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia.

Masih tidak terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 buat semua pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia. Maaflah kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini memandangkan saya menghabiskan masa separuh bulan terakhir 2016 dengan bercuti di kampung sebelum menjadi sibuk semula sebaik memasuki tahun 2017. Sebagai ganjaran bagi kesabaran anda, saya bawakan kepada anda reviu sulung bagi tahun 2017 sebagai entri pembuka tahun 2017, iaitu reviu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11.

Reviu LDP E11 sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia, kerana LDP E11 sangat dikenali sebagai lebuh raya "ekspres" yang paling kerap dihentam oleh Blog Jalan Raya Malaysia disebabkan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres. Seperti yang anda semua jangkakan, ya memang saya akan menghentam LDP E11 sekali lagi dalam reviu kali ini - tetapi tidak 100%. Kenapa pula bukan 100%...? Adakah saya sudah buang tabiat...? Teruskan membaca reviu ini sampai habis untuk mengetahui jawapannya.

Segala-galanya bermula dengan pelancaran buku The LDP Story oleh syarikat konsesinya iaitu Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) pada 14 Disember 2016. Berikutan berita pelancaran buku tersebut, saya berhasrat memilikinya bagi meneruskan kesinambungan Allahyarham Admin Aiman Abmajid yang sering mengumpul bahan-bahan bacaan sebegini. Memandangkan Admin Aiman sudah tiada lagi, maka sayalah yang bertanggungjawab mengumpulnya pula. Sehubungan dengan itu, saya ada menyuarakan hasrat kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Litrak untuk memiliki buku tersebut, tetapi saya dimaklumkan bahawa buku ini tidak dijual di mana-mana kedai buku; sebaliknya, ia hanya akan diberikan kepada badan-badan terpilih sahaja. Memandangkan kami sering mengumpul bahan bacaan mengenai jalan raya dan lebuh raya (melalui Admin Aiman), maka pihak LLM dan Litrak meminta alamat saya untuk mengepos sendiri buku tersebut kepada saya. Alhamdulillah buku tersebut selamat sampai ke tangan saya pada 6 Januari 2017, dan daripada situlah saya ingin mengambil kesempatan untuk menghasilkan reviu LDP E11 ini. Terima kasih kepada LLM dan Litrak kerana menghadiahkan buku ini kepada saya, saya amat menghargainya.

Seperti yang anda semua ketahui, BJRM sering menghentam LDP E11 berikutan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres di sepanjang laluannya. Namun demikian, Litrak sedikit pun tidak ambil hati atas kecaman tersebut; sebaliknya, mereka pula menjadi peminat BJRM. Saya terkesima seketika. Malah, laporan-laporan rasmi oleh LLM mengenai tahap kepuasan pengguna di kesemua lebuh raya ekspres di Malaysia meletakkan LDP E11 sebagai antara yang tertinggi di Malaysia, malah mengatasi PLUS yang menguruskan lebuh raya ekspres capaian terkawal sejati terpanjang di Malaysia. Justeru, adalah tidak adil jika Litrak terus dijadikan beg tinju bagi pengguna yang marah-marah akan kesesakan di situ, kerana mereka tidak pernah segan-silu untuk mengakuinya dan berusaha melakukan penambahbaikan berterusan, meskipun masih belum mencapai tahap yang memuaskan saya sendiri. Malah, saya amat menghargai kejujuran Litrak yang mendedahkan beberapa sisi gelap yang membawa kepada pencabulan piawaian lebuh raya ekspres melalui buku mereka ini.



Peta LDP E11
(klik untuk besarkan)


Sedikit mengenai sejarah LDP E11 ini. Sejarah LDP E11 sebenarnya ada kaitan dengan rancangan pembinaan sistem Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) yang dimulakan pelaksanaannya pada tahun 1992 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002. Pada masa itu, kerajaan melalui JKR sudah mengenal pasti laluan-laluan arteri yang diambil alih bagi menjayakan projek tersebut di sebelah utara, timur dan selatan sebagai KL MRR2 FT28, yang mana jajaran bahagian selatan seterusnya membentuk pangkal Lebuhraya Shah Alam E5. Namun, tiada pula perancangan bagi sektor barat. Akibatnya, pengguna di bahagian barat sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terpaksa menggunakan NKVE E1 (Sungai Buloh-Subang) dan Jalan Lapangan Terbang Subang FT15 (Subang-Subang Jaya) berikutan laluan lingkaran yang tidak lengkap. Sehubungan dengan itu, sekumpulan usahawan dan pelabur melobi kepada kerajaan bagi menyiapkan laluan sektor barat sepanjang 32 km yang bukan sahaja melengkapkan satu pusingan sistem KL MRR2, malah turut dilanjutkan sehingga ke Puchong dan bahagian selatannya. Daripada situlah lahirnya LDP E11.

Ok, kenapa Puchong dipilih sebagai destinasi LDP E11 ini...? Ok, sebelum 1999, Puchong (atau lebih tepat lagi, Kampung Puchong Batu 14) merupakan sebuah pekan pelombongan kecil yang tidak ubah seperti pekan koboi, lebih-lebih lagi setelah lombong-lombong di sana ditutup sekitar tahun 1980an setelah kejatuhan harga timah. Akibat kejatuhan harga timah serta penutupan lombong-lombong bijih timah, pekan Puchong menjadi mati dan dianggap sebagai "tempat jin bertendang", lebih-lebih lagi apabila Puchong dikatakan dinamakan sempena hantu pocong, meskipun rekod sejarah sebenar mengatakan bahawa Puchong sebenarnya dinamakan sempena sejenis burung yang dahulunya banyak terdapat di situ.

Pada masa itu, satu-satunya jalan yang ada di situ ialah Jalan Kajang-Puchong B11, yang bermula di Kajang sebagai Jalan Sungai Chua B11. Kini, setelah sebegitu banyak projek lebuh raya ekspres yang menggunakan koridor B11, jalan tersebut kini sudah berpecah-belah sehingga ramai yang sudah tidak dapat menjejaki laluan penuhnya. Untuk membangunkan Puchong, maka satu laluan utama dibina merentasinya dengan mengambil alih sebegitu banyak jalan-jalan arteri untuk dijadikan laluan LDP E11. Jalan-jalan yang diambil alih adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Damansara (Sri Damansara-Taman Tun Dr. Ismail) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  2. Jalan Perbandaran (Taman Tun Dr. Ismail-Freescale) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 4-6 lorong)
  3. Jalan Sungei Way dan Jalan PJS Utama (Freescale-Bandar Sunway) - juga daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 4-6 lorong)
  4. Jalan Pintasan Puchong-Bukit Jalil aka Lebuhraya Bukit Jalil FT217 (Sunway-Puchong Jaya) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 6 (kini sudah lebih 10 lorong)
  5. Jalan Puchong B11 (Puchong Jaya-Puchong Intan) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong, kini sudah jadi berbelas lorong di bahagian paling luas
  6. Jalan Puchong-Shah Alam B7 (Puchong Intan-USJ) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  7. Jalan Puchong Perdana (Puchong Intan-Batu 14 Puchong) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  8. Jalan Puchong Seri Kembangan B16 (Batu 14 Puchong-Exit 1123 Persimpangan Serdang) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong

Satu-satunya laluan baharu yang dibina hanyalah dari Bandar Sunway ke Persimpangan Sunway, yang turut menempatkan Plaza Tol Petaling Jaya Selatan dan juga ibu pejabat Litrak. Ia dibina dengan menebus guna dan menambak sebuah kolam bekas lombong yang besar di selatan Bandar Sunway. Kini, keseluruhan kolam bekas lombong itu sudah ditambak habis bagi menempatkan kampus induk Taylor's University serta apartmen Lagoon Perdana.

Baiklah, sekarang kami akan menjawab satu soalan cepu emas yang amat dinanti-nantikan oleh para pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia yang mempersoalkan kenapa LDP E11 mencabul piawaian lebuh raya ekspres. Melalui apa yang diceritakan dalam buku The LDP Story, saya dapat merumuskan tiga punca utama kenapa LDP E11 tidak mematuhi piawaian lebuh raya ekspres dari segi kawalan masuk lebuh raya:-
  1. Tiada perancangan awal yang teliti dan terperinci - ini kelemahan daripada pihak Litrak sendiri dan mereka memang mengakuinya. Semasa berunding dengan kerajaan mengenai perjanjian konsesi, tiada kajian awal secara terperinci mengenai kos pembinaan serta teknik pembinaan yang seharusnya dilaksanakan, sebaliknya projek LDP E11 dilaksanakan secara impromptu dan sekadar bermodalkan pengalaman sendiri semata-mata. Inilah salah satu kesilapan yang membawa kepada lebuh raya yang tidak mengikuti piawaian kawalan masuk penuh. Mereka tahu bahawa mereka perlu mengambil alih jalan-jalan sedia ada, dan mereka tahu bahawa sebahagian besar laluan yang diambil alih mengalami kekangan ruang, tetapi mereka tidak pula menjalankan kajian awal mengenai teknik pembinaan yang perlu digunakan agar darjah kawalan penuh dapat dicapai. Akibatnya, pencabulan piawaian terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kos pembinaan melambung jauh lebih tinggi daripada jangkaan, yang seterusnya sudah tentu akan mengakibatkan kadar tol jauh mencekik darah daripada kadar sekarang. Sekiranya para pembina khususnya Litrak dapat bersabar lebih lama sedikit dengan mengadakan kajian menyeluruh mengenai kos keseluruhan dan teknik pembinaan yang bersesuaian termasuklah mengadakan lawatan sambil belajar ke Tokyo, Jepun, maka sudah tentulah LDP E11 bukan sahaja menjadi lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh, malah ia sudah tentu menjadi secanggih lebuh raya perbandaran Tokyo yang boleh dibina dengan sempurna meskipun mengalami kekangan ruang yang kritikal.
  2. Peraturan daripada pihak berkuasa sendiri - daripada senarai jalan-jalan yang diambil alih untuk projek LDP E11, hanya tiga daripadanya sahaja yang diambil alih daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya pula diambil alih daripada jalan-jalan perbandaran. JKR sudah tentu memberikan kebebasan kepada syarikat konsesi untuk mengenakan darjah kawalan masuk yang lebih tinggi. Sebab itulah jajaran di sebelah Puchong Jaya, Puchong-USJ dan Puchong-Serdang mempunyai darjah kawalan masuk yang lebih baik daripada mana-mana jajaran lain dalam LDP E11, meskipun masih belum sampai ke tahap yang saya kehendaki. Namun, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula meletakkan syarat bahawa darjah kawalan masuk bagi kesemua simpang jalan-jalan kecil dikekalkan, meskipun ia boleh dikonfigurasi semula kononnya untuk kelancaran trafik (iaitu, dengan mengubah simpang tiga jalan-jalan kecil kepada simpang LILO). Sepatutnya, sebarang capaian terus kepada mana-mana premis hartanah melalui jalan-jalan kecil tidak boleh wujud sama sekali pada lebuh raya ekspres. Justeru, peraturan yang korup daripada PBT itu sendiri sudah merosakkan LDP E11, dan saya berasa mahu menghentak kepala individu-individu yang bertanggungjawab mencipta peraturan korup tersebut dengan tukul besi, kerana mereka inilah yang bertanggungjawab menjadikan LDP E11 sebagai neraka jahanam versi jalan raya di Lembah Klang, khususnya di Petaling Jaya.
  3. Kelulusan pembukaan simpang jalan-jalan kecil baharu oleh kerajaan sendiri - sejak LDP E11 mula dibuka pada tahun 1999, banyak projek hartanah termasuklah projek-projek rumah mampu tengok tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dan kebanyakan pemaju memohon untuk membina jalan masuk terus ke LDP E11 yang memang sudah mengalami masalah kesesakan kronik akibat darjah kawalan masuk yang teruk. Sebenarnya, Litrak sendiri memang ada menentang pembinaan simpang jalan-jalan kecil ini yang sudah tentunya menambah parah akan masalah kesesakan sedia ada, tetapi kerajaan pula meluluskan 21 simpang jalan-jalan kecil baharu sejak 1999 sehingga 2011, meskipun 9 daripadanya dibantah oleh Litrak sendiri kerana terbukti mengganggu kelancaran aliran trafik.



Gambaran bagaimana terlalu rapatnya jarak antara persimpangan di LDP E11 bagi jajaran Puchong Jaya


Sejauh mana parahnya darjah kawalan masuk di sepanjang LDP E11...? Litrak mendedahkan bahawa terdapat 180 buah persimpangan di sepanjang LDP E11 yang mempunyai jarak keseluruhan 36 km, termasuklah 23 buah persimpangan bertingkat yang diwartakan. Ia jauh lebih banyak daripada jumlah persimpangan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1 & LPT2) E8 yang digabungkan. Malah, jarak antara persimpangan-persimpangan tersebut ada kalanya tidak sampai 100 m, menunjukkan betapa bercelarunya aliran trafik di LDP E11.

Susulan penerimaan buku The LDP Story daripada LLM & Litrak, maka saya mengambil kesempatan untuk mengadakan reviu bagi LDP E11 ini pada keesokan harinya (7 Januari 2017). Dalam reviu kali ini, saya ditemani adik saya Hazezy selaku pengguna tetap LDP E11 untuk ke tempat kerjanya di Bandar Utama, serta rakan serumah kami iaitu Ustaz Nizam. Kami sengaja memilih waktu lewat malam untuk reviu kali ini, kerana pada waktu itulah waktu paling sesuai berikutan kadar aliran trafik yang sudah berkurangan pada waktu tersebut. Malangnya, kamera Sony Xperia M4 Aqua ini masih mengalami isu kualiti gambar yang "kureng" pada waktu malam, meskipun ia lebih baik daripada kamera Sony Xperia Z saya sebelum ini. Untuk mendapatkan kualiti gambar yang cantik, waktu yang sesuai sebenarnya ialah waktu siang, tetapi kami mengelakkannya kerana LDP E11 sesak teruk pada waktu itu; tambahan pula, saya perlu bekerja pada waktu tersebut.

Sebaik sahaja selepas makan malam di Batu Caves, kami bertolak ke pangkal LDP E11 di Sri Damansara melalui KL MRR2 FT28. Berlaku sedikit kesesakan di situ berikutan kerja-kerja pembinaan DUKE 2 E33. Persimpangan Sri Damansara tidak diwartakan sebagai salah satu persimpangan LDP E11, tetapi sebagai persimpangan milik JKR kerana LDP E11 bermula selepas persimpangan tersebut. Tidak lama kemudian, kami tiba di Plaza Tol Penchala.

Satu peringatan penting jika anda menggunakan LDP E11 - sentiasa berada di lorong tengah jika tidak memotong. Lorong kiri di LDP E11 ada kalanya akan melencongkan anda keluar ke persimpangan bertingkat berhampiran. Ini juga satu lagi kelemahan ketara yang ada di LDP E11 yang menjadikan lalu lintas bercelaru. Papan tandanya juga sedikit pun tidak membantu. Kepada Litrak, jika ada cerutan sebegitu, anda sepatutnya memaparkan dengan jelas akan arah destinasi mengikut lorong pada papan tanda persimpangan serta papan tanda gantri.

Exit 1101 Persimpangan Penchala terletak selepas Plaza Tol Penchala. Ia menghubungkan LDP E11 dengan Hubungan Penchala Sprint E23. Di situ sahaja terdapat banyak projek-projek hartanah mampu tengok yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak jauh daripada persimpangan tersebut terletaknya Persiaran Surian untuk ke Kota Damansara.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 1103 Persimpangan Bandar Utama untuk ke Bandar Utama dan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI). Pada waktu siang, kesesakan sering bermula di sini. Ia disusuli dengan Exit 1104 Persimpangan TTDI. Asalnya ia merupakan persimpangan berlian separa dengan jejambat bagi trafik arah selatan, tetapi kali ini sebuah lagi jejambat bagi laluan utama dibina bagi mengelakkan kecelaruan laluan, di samping terowong dari TTDI ke arah utara. Jajaran Surian-TTDI turut menampilkan laluan MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang.

Di Exit 1106 Persimpangan Damansara Utama, Hazezy melencong keluar untuk menunjukkan kepada kami pejabat tempat dia bekerja di Bandar Utama. Seperti kebanyakan persimpangan LDP E11 di PJ, Exit 1106 sering sesak pada waktu siang. Kadang-kadang, polis sering membuat sekatan jalan di situ untuk menyaman pemandu yang melanggar lampu merah. Exit 1106 merupakan salah satu persimpangan yang saya kecam kerana pemilihan jenis persimpangan yang tidak bersesuaian. Setelah melencong sebentar ke kawasan pejabat Hazezy, kami masuk semula ke LDP E11 melalui Exit 1106.

Dua persimpangan seterusnya ialah Exit 1107 Persimpangan SS2 dan Exit 1108 Persimpangan Taman Megah. Kelana Jaya terletak betul-betul di Exit 1108, dikenali melalui stesen LRT yang terletak di situ. Selepas selekoh tajam di situ terletak sebuah persimpangan bertingkat yang tidak diwartakan iaitu Persimpangan Jalan Bahagia. Ia merupakan laluan penting untuk ke Paradigm Mall. Laluan masuk ke Paradigm Mall juga mengelirukan orang.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 1110 Persimpangan Majlis. Ia dikenali melalui mercu tanda utamanya iaitu kilang cakera keras Western Digital. Sebaik sahaja selepas Exit 1110 terletak sebuah kedai perabot yang mensasarkan pengguna LDP E11 sebagai pelanggannya. Di sini kami perlu kekal di lorong tengah untuk menaiki mercu tanda kebanggaan Litrak iaitu jambatan kabel penahan Exit 1111 Persimpangan Freescale.




Model persimpangan berlian mencapah di Exit 1111 Persimpangan Freescale




Dua fasa lampu isyarat bagi persimpangan berlian mencapah Exit 1111 Persimpangan Freescale


Jambatan kabel penahan Exit 1111 Persimpangan Freescale (fka Persimpangan Motorola) merupakan mercu tanda terpenting di sepanjang LDP E11 kerana 3 sebab. Pertama, ia dihubungkan dengan Lebuhraya Persekutuan FT2. Kedua, ia mendapat namanya daripada kilang semikonduktor Freescale (dahulunya Motorola) yang terletak betul-betul di situ. Ketiga, ia merupakan satu-satunya persimpangan bertingkat di Malaysia yang dibina dengan gaya jambatan kabel penahan. Pun begitu, persimpangan ini juga menjadi sasaran kecaman saya kerana menggunakan jenis persimpangan tidak terus berlampu isyarat bagi menghubungkan dua lebuh raya yang sibuk. Bagi mengurangkan kesesakan di situ, Litrak mengubah konfigurasi laluan tengah daripada persimpangan berlian konvensional kepada persimpangan berlian mencapah (diverging diamond interchange). Namun, Litrak menggunakan istilah "persimpangan berlian laluan kontra" bagi menerangkan jenis persimpangan yang memerlukan pemandu mengubah arah pemanduan daripada sebelah kiri ke sebelah kanan. Meskipun pendekatan ini berjaya mengurangkan tahap kesesakan di Exit 1111, ia tetap sesak kerana ia masih menggunakan lampu isyarat yang sedikit-sebanyak mengurangkan kelancaran trafik. Justeru, penyelesaian mutlak yang sepatutnya dilaksanakan ialah melalui pengubahsuaian persimpangan tersebut kepada jenis aliran bebas seperti di Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang di Lebuhraya Skudai FT1. Kecaman saya turut ditujukan kepada persimpangan seterusnya iaitu Exit 1112 Persimpangan PJS, satu lagi persimpangan sibuk yang menghubungkan LDP E11 dengan Lebuhraya Baru Pantai E10.

Jajaran PJS-Plaza Tol Petaling Jaya Selatan sebenarnya ada banyak simpang jalan-jalan kecil, tetapi kebanyakannya sudah pun ditutup, meninggalkan hanya beberapa persimpangan LILO. Antaranya termasuklah persimpangan Jalan Lagun Selatan. Namun, bagi membolehkan trafik arah selatan memasuki jalan tersebut, satu persimpangan trompet kecil dibina betul-betul sebelum Plaza Tol Petaling Jaya Selatan.

Plaza Tol Petaling Jaya Selatan merupakan plaza tol terbesar di LDP E11. Ia turut menempatkan ibu pejabat Litrak. Memandangkan laluan di sekitar Puchong Jaya menjadi bercelaru kerana terdapat banyak simpang jalan-jalan kecil, maka Litrak membina laluan ekspres dua lorong bagi mengasingkan trafik terus arah selatan dengan lalu lintas tempatan. Sekurang-kurangnya, nampak jugalah darjah kawalan yang lebih baik, cuma masih belum menyeluruh. Saya mahu menggesa agar Litrak meneruskan pembinaan sistem laluan tempatan-ekspres yang lebih menyeluruh agar aliran trafik di situ lebih lancar. Sekurang-kurangnya, nampak jugalah usaha Litrak menambak baik keadaan trafik di situ.

Satu lagi penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Litrak ialah di Exit 1118 Puchong Intan. Meskipun ia menggunakan persimpangan trompet yang merupakan jenis persimpangan terus yang sesuai menghubungkan antara dua lebuh raya yang sibuk, namun aliran trafik di situ bercelaru kerana pengguna lebuh raya yang mahu terus ke Putrajaya perlu menghimpit ke kiri manakala laluan tegak membawa ke laluan cabang USJ. Bagi memperbetulkan semula laluan trafik, satu jejambat dibina bagi menghalakan lorong-lorong kanan ke atas selatan. Barulah kena dengan hak jalan. 

Kami terus ke arah selatan dan tidak melalui jalan cabang USJ. Di laluan cabang USJ, sebaik selepas Exit 1118 terletak Plaza Tol Puchong Barat, diikuti dua persimpangan bertingkat iaitu Exit 1124 Persimpangan Persiaran Harmoni (untuk ke Putra Heights) dan Exit 1125 Persimpangan USJ. Exit 1125 asalnya persimpangan separa berlian sebelum diubahsuai menjadi persimpangan trompet. Lebuh raya tamat betul-betul sebelum persimpangan searas ke Lebuhraya Elite E6 melalui Exit 604 Persimpangan USJ.

Aliran trafik LDP E11 sudah kurang sibuk di jajaran Puchong Intan-Serdang ini. Sebab itulah had lajunya boleh dinaikkan kepada 90 km/j, sedangkan had laju di jajaran lain pula ialah 80 km/j dan diturunkan kepada 60 km/j apabila melalui selekoh tajam (had laju terendah ialah 50 km/j di Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya). Plaza tol terakhir di sebelah selatan ialah Plaza Tol Puchong Selatan, manakala tiga persimpangan sebelumnya ialah Exit 1119 Persimpangan Puchong Perdana, Exit 1120 Persimpangan Kampung Baru Puchong dan Exit 1121 Persimpangan Bukit Puchong. Persimpangan terakhir di sebelah selatan ialah Exit 1123 Persimpangan Serdang, di mana LDP E11 berakhir dan berubah kod laluannya kepada Jalan Persekutuan 29 (Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29).

Jadi bagaimana pengalaman kami menggunakan LDP E11 ini...? Untuk reviu yang lebih adil, saya menggunakan testimoni daripada Hazezy sendiri selaku pengguna harian LDP E11. Tatkala kami semua bersetuju bahawa LDP E11 mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dari aspek darjah kawalan masuk, namun dalam kelemahan tersebut terselit kelebihan yang turut berupaya menewaskan hatta PLUS sekalipun, iaitu dari aspek khidmat pengguna. Tatkala saya asyik mengkritik darjah kawalan LDP E11 yang mempunyai terlalu banyak simpang jalan-jalan kecil, namun itu sebenarnya menjadi senjata Litrak untuk menjuarai aspek khidmat pengguna. Menurut Litrak, masa purata yang diperlukan untuk menghantar trak peronda mereka sekiranya berlaku kecemasan seperti kereta rosak ialah tidak sampai 5 minit, dan sekali lagi Hazezy selaku pengguna tetap LDP E11 membuktikannya sendiri. Menurutnya, walau sesesak mana pun LDP E11, trak peronda LDP sampai dalam masa sangat sekejap sehinggakan saya sendiri pun sukar mempercayainya. Rahsianya...? Menurut Hazezy, kadang-kadang dia sering ternampak anggota-anggota peronda Litrak sedang "mengeteh" di kedai mamak, dan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada ibu pejabat, mereka sampai dalam masa yang sangat sekejap. Dengan kata lain, Litrak tidak menempatkan anggota-anggota peronda mereka di ibu pejabat tetapi di merata-rata tempat di sepanjang laluan LDP E11 untuk bersiap-siaga sebaik menerima panggilan kecemasan. Maka, tidak hairanlah kenapa LDP E11 menjuarai indeks kepuasan pengguna, dengan skor melebihi 85%.

Selain itu, jika anda perhatikan, langsung tiada cerita LDP E11 berlubang. Anda tanyalah sendiri kepada Lando Zawawi mahupun anggota Brotherhood Puchong, langsung tiada cerita LDP E11 berlubang hatta lubang daripada penutup lurang sekalipun daripada mereka. Sebaliknya, LDP E11 ini diselenggara setiap hari agar setimpal dengan tol yang dikutip setiap hari. Menurut Litrak, jumlah kos penyelenggaraan bagi LDP E11 sepanjang tahun 2012 ialah RM22 juta. Sebab itulah LDP E11 langsung tak ada lubang. Jika dibandingkan dengan lebuh raya lain, Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 pun kadang-kadang ada lubang, dan sejak akhir-akhir ini sudah banyak cerita-cerita tidak baik yang kedengaran dari aspek khidmat pengguna, khususnya tuntutan kerosakan & kecederaan akibat kecuaian penyelenggaraan serta khidmat menunda kenderaan yang tidak ditawarkan kepada motosikal yang rosak.

Namun, satu perkara paling penting yang perlu kita renung semula ialah kesan positif yang dibawa hasil pembinaan LDP E11. Ya memang kita mengecam LDP E11 kerana darjah kawalan masuk yang teruk sehingga mengakibatkan kesesakan yang mengazabkan, di samping bebanan tol untuk warga Puchong yang dikelilingi tol di sebelah utara, selatan dan barat, namun suka atau tidak kita perlu mengakui hakikat bahawa LDP E11 sebenarnya banyak berjasa kepada warga Puchong, Petaling Jaya dan Damansara. Tanpa LDP E11, sudah tentu Puchong akan mati terus. Tanpa LDP E11, sistem KL MRR2 terputus dan tidak lengkap. Ya, memang LDP E11 menyebabkan kawasan laluannya dilambakkan dengan projek-projek perumahan mampu tengok, tetapi jika anda memang tinggal di situ, sekurang-kurangnya rumah anda ada harga yang setimpal. Bukan itu sahaja, malah LDP E11 juga sebenarnya menarik pembinaan beberapa laluan sistem pengangkutan rel seperti Aliran Kelana Jaya, Aliran Sungai Buloh-Kajang & sambungan Aliran Sri Petaling. Dengan kata lain, tanpa LDP E11, orang-orang Puchong tidak akan merasa naik LRT sebagaimana sekarang.

Kisah LDP E11 ini wajar dijadikan satu kisah epik akan kegagalan dan kejayaan sebuah projek lebuh raya ekspres. Ia satu kisah kegagalan perancangan yang wajar diambil iktibar para pemain industri lebuh raya ekspres. Ia juga satu kisah kejayaan membangunkan kawasan yang asalnya hampir mati akibat kejatuhan harga timah. Kisah LDP E11 sering dihiasi cacian dan makian pengguna yang tidak berpuas hati kerana asyik kena bayar tol sahaja tanpa dapat dipintas dengan sempurna. Namun, ia juga satu kisah bagaimana nilai rumah penduduknya menjadi semakin berharga serta menarik projek pengangkutan rel melaluinya. Justeru, ada pembaca yang mengaitkan kisah LDP E11 ini sebagai kisah "hubungan cinta-benci" antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan LDP E11, dan saya mengakuinya sebagai satu ungkapan paling tepat.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E11
Panjang: 36 km (laluan utama: 32 km; laluan cabang Subang Jaya: 4 km)
Arah laluan: Utara-Selatan (Sri Damansara-Serdang)
Bilangan lorong: 4-6







Pangkal Lebuhraya Damansara-Puchong E11 di Sri Damansara






Plaza Tol Penchala






Exit 1101 Persimpangan Penchala






Pusat beli-belah One Utama yang terletak betul-betul di sebelah Exit 1103 Persimpangan Bandar Utama






Exit 1104 TTDI, dengan landasan MRT menyeberanginya






Melencong seketika di Exit 1106 Persimpangan Damansara Utama






Susur keluar ke Exit 1107 Persimpangan S2 dan Exit 1108 Persimpangan Taman Megah






Kelana Jaya, dikenali melalui stesen LRT sebagai mercu tanda utama






Landasan LRT Aliran Kelana Jaya di tepi LDP E11






Persimpangan Jalan Bahagia untuk ke Paradigm Mall






Paradigm Mall






Giant Kelana Jaya






Salah satu contoh kecil pelanggaran piawaian lebuh raya ekspres di LDP E11 - lebuh raya ekspres tidak boleh ada sebarang akses terus ke mana-mana bangunan






Exit 1110 Persimpangan Majlis






Kilang cakera keras Western Digital yang terletak betul-betul di tepi Exit 1110 Persimpangan Majlis






Kedai Perabot LDP






Bersedia di lorong tengah untuk mengelakkan anda terlepas keluar ke Lebuhraya Persekutuan FT2






Jejambat kabel penahan di Exit 1111 Persimpangan Freescale






Exit 1112 Persimpangan PJS - anda perlu banyak melencong melalui jalan-jalan perumahan jika anda mahu memasuki NPE E10 dari arah utara






Plaza Tol Petaling Jala Selatan merupakan plaza tol terbesar di LDP E11, yang turut menempatkan ibu pejabat Litrak






Kampus Taylor's University di sebelah kiri






Exit 1113 Persimpangan Sunway untuk ke Lebuhraya Shah Alam E5






Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya






Sekitar Puchong Jaya dekat IOI Mall Puchong. 25 tahun dahulu, kawasan ini hanyalah kawasan hutan dan bekas lombong sahaja






Salah satu pusingan U bertingkat di Puchong






Persimpangan Bandar Puteri Puchong, satu lagi persimpangan bertingkat yang tidak diwartakan






Exit 1118 Persimpangan Puchong Intan - kali ini 2 lorong paling kanan adalah untuk aliran trafik terus






Exit 1119 Persimpangan Puchong Perdana






Persimpangan Tasik Prima, salah satu persimpangan bertingkat terbaru di LDP E11






Exit 1120 Persimpangan Puchong Batu 14






Exit 1121 Persimpangan Bukit Puchong






Plaza Tol Puchong Selatan, plaza tol terakhir di laluan utama LDP E11






Exit 1123 Persimpangan Serdang, persimpangan terakhir di LDP E11






LDP E11 bertukar menjadi Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 selepas Exit 1123






Pulang semula ke Batu Caves melalui SKVE E26