Tuesday, May 16, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Finale: Skuad BJRM Prihatin di R&R Perasing / BJRM Cares Squad at Perasing RSA




Salam sejahtera,

Setelah mencecah hampir 10 episod, akhirnya siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur sudah tiba ke penghujungnya. Bagi mengakhiri siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur, saya bawakan kepada anda misi skuad BJRM Prihatin ke Kawasan Rehat dan Rawat Perasing yang merupakan lokasi terakhir kami sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Setelah berseronok menyelusuri sepanjang Jalan Persekutuan 68, 2 dan 3 sejauh 517 km keseluruhannya selama 3 hari 2 malam bermula 23 Februari 2017 dan berakhir pada 25 Februari, masanya sudah tiba untuk kami pulang ke ibu kota. Bezanya, kali ini kami menggunakan lebuh raya ekspres sebagai laluan pulang, iaitu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8.

Seperti yang anda semua ketahui, LPT2 E8 dibuka pada 31 Januari 2015 setelah tertangguh banyak kali atas pelbagai sebab yang anda boleh baca sendiri dalam reviu LPT2 E8 dan juga sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8. LPT2 E8 ini juga merupakan lebuh raya ekspres yang menikmati tempoh tol percuma paling lama sehingga lebih 3 tahun, sedangkan kebanyakan lebuh raya ekspres pula hanya memberikan tempoh percubaan percuma selama sebulan. Kini, kutipan tol dan penyelenggaraan LPT2 E8 dikendalikan oleh Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh PLUS Malaysia Berhad bermula 15 Julai 2016. Kenapa pula PLUS yang langsung tidak ada membina walau satu pun jajaran LPT2 E8 pula yang menjadi syarikat konsesinya...? Baca sejarah lengkap LPT E8 dan anda akan temui jawapannya sendiri.

Semasa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, kami diberi penerangan oleh wakil-wakil dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan LPT2 Sdn. Bhd. mengenai penambahbaikan yang dilaksanakan sepanjang LPT2 E8, terutamanya dalam menangani isu pencerobohan haiwan dan manusia ke dalam kawasan LPT2 akibat pemotongan pagar. Turut menjadi isu ialah pencerobohan haiwan liar masuk ke dalam lebuh raya, sehingga ada yang menyebabkan kematian yang melibatkan spesies terancam seperti harimau. Secara kebetulan, kami melalui LPT2 E8 hanya beberapa hari selepas kecoh tentang nahas maut yang mengorbankan seekor harimau betina, dan lokasinya turut dinyatakan oleh wakil LPT2.












Antara lintasan hidupan liar yang ditularkan netizen - kalau haiwan-haiwan tak dilatih melaluinya, tak guna juga


Jadi apakah tindakan penambahbaikan yang dilakukan oleh LPT2...? Ada banyak penambahbaikan yang dilaksanakan sebenarnya. Antaranya termasuklah penggantian pagar biasa kepada jenis kawat berduri, serta penggalian parit bagi menghalang haiwan daripada menghampiri pagar. Hasilnya, semakin kurang insiden pencerobohan haiwan liar yang dilaporkan dan yang dikenal pasti. Selain itu, di sepanjang LPT2 E8 sebenarnya terdapat banyak jejambat yang boleh dimanfaatkan oleh haiwan liar bagi melintas lebuh raya. Di media sosial, banyak netizen yang menularkan gambar-gambar jejantas hidupan liar di lebuh raya di serata dunia, yang mana kalau dikaji dari segi konsepnya pun sebenarnya sama sahaja. Ada yang mengkritik LLM atau LPT2 (bagi kes LPT2 E8) ataupun JKR (bagi kes jalan persekutuan) kerana tidak membina lintasan seumpamanya di Malaysia, sedangkan ia memerlukan kajian bertahun-tahun mengenai spesies haiwan yang ada serta tabiat pergerakan mereka sebelum pembinaan lintasan haiwan liar (sama ada dalam bentuk jejambat, jejantas atau terowong) dapat dilaksanakan. Selain itu, kesemua jenis lintasan hidupan liar termasuk yang ditularkan oleh netizen sebenarnya berkongsi satu kelemahan sama, iaitu kesemua haiwan yang ada di situ mesti dilatih untuk menggunakan lintasan baharu itu. Ada lintasan pun tapi kalau haiwan-haiwan tersebut tidak tahu menggunakannya pun tak guna juga.

Salah satu daripada mercu tanda utama di LPT2 ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing. Ia sepatutnya menjadi hentian rehat paling utama dan terbesar di LPT2 E8, kerana R&R Perasing direkabentuk bukan sahaja untuk dihubungkan dengan kedua-dua arah trafik LPT2 E8 melalui pasangan jalan susur keluar masuk dan petak parkir yang berasingan, malah ia turut dirancang supaya boleh disambungkan ke Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 melalui jalan masuk dan petak parkir berasingan. Namun, R&R Perasing dikatakan kurang dikunjungi pelanggan disebabkan oleh lokasinya yang "terasing" dan tersorok ke dalam, tidak seperti kebanyakan hentian rehat yang jelas kelihatan dari tengah-tengah lebuh raya. Keadaan jadi sebegitu parah sehingga ke tahap pada Januari 2017, Sinar Harian melaporkan bahawa kebanyakan peniaga di sana mendapat hasil jualan purata tidak sampai RM10. Jika dibandingkan dengan Kawasan Rehat dan Rawat Paka yang paling lambat dibuka pun (R&R Paka masih dalam pembinaan semasa reviu LPT2 E8 pada Februari 2015), R&R Paka boleh dikatakan agak meriah jugalah.

Selain faktor lokasi, faktor utama yang sering dipersalahkan ialah ADT LPT2 E8 yang rendah. Menurut data yang diperolehi daripada LLM dan LPT2, kadar trafik harian purata (ADT) bagi LPT2 E8 ialah sekitar 11,000 hingga 13,000 pada hari biasa. Apa tidaknya, LPT2 E8 terpaksa bersaing bukan sahaja dengan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, tetapi juga dengan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3. Sehubungan dengan itu, Hezeri Samsuri menyatakan bahawa dengan ADT serendah ini, LPT2 E8 sebenarnya merupakan money-losing expressway (lebuh raya yang kerugian duit), dan saya juga sependapat dengannya. Cuma, apa yang menjadikan LPT2 E8 ini masih boleh bertahan adalah kerana kontrak konsesi yang ditandatangani LPT2 Sdn. Bhd. adalah kontrak turnkey, yang mana pemilik sebenar LPT2 E8 ialah kerajaan persekutuan manakala LPT2 Sdn. Bhd. hanya mengutip tol dan melakukan penyelenggaraan bagi pihak kerajaan.

Semasa saya mula-mula mengumumkan Skuad BJRM Prihatin sebelum ini, ada pembaca yang melaporkan bahawa tidak jauh dari R&R Perasing terdapat sebuah ladang ternakan ayam tidak sampai 500 m dari situ, yang didakwa sebagai satu lagi punca R&R Perasing ketandusan pelanggan. Apa tidaknya, ladang ternakan haiwan selalunya akan menimbulkan masalah bau busuk dan pembiakan lalat, dan kawanan lalat ini tentunya akan menyebabkan para pelanggan lari kerana kehadiran lalat yang sebegitu banyak itu tentunya memberikan persepsi kononnya kesemua pengusaha gerai di R&R Perasing ini "pengotor", sedangkan tinjauan saya mendapati rata-rata kedai makan di sini sangat bersih. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Pejabat Tanah dan Galian daerah Kemaman perlu mengambil tindakan tegas menggesa pengusaha agar memindahkan tapak ladang ternakan ayam itu agar tidak mengganggu keselesaan para pengguna lebuh raya yang singgah di R&R Perasing. (Kemaskini: Saya dimaklumkan bahawa ladang ternakan ayam berhampiran R&R itu sebenarnya ialah R&R Penanti di BKE E15, bukannya R&R Perasing. Harap maaf atas kesilapan.)

Jadi apa yang patut dilakukan untuk membela nasib para peniaga di R&R Perasing ini...?

Sebenarnya, tidak lama selepas jelajah Skuad BJRM Prihatin ke R&R Beranang yang disertai saya seorang, saya memang ada merancang untuk pergi sendiri ke R&R Beranang bagi meninjau permasalahan yang dihadapi para peniaga di sana untuk diutarakan kepada pihak LLM. Namun, dengan tidak disangka-sangka, LLM sebenarnya merancang sendiri untuk mengadakan lawatan sedemikian sempena FTRoadpedia Pantai Timur. Jutaan terima kasih kepada Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh atas inisiatif oleh pihak LLM. Maka, keseluruhan ahli rombongan jelajah FTRoadpedia Pantai Timur menjadi anggota Skuad BJRM Prihatin untuk kali ini.

Kami tiba di R&R Perasing untuk makan tengah hari. Semasa upacara makan tengah hari itu, Dato' Haji Ismail turut memperkenalkan saya dengan Pengarah Urusan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, dan Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Encik Husni Md. Yusuf. Semasa makan tengah hari, terdapat beberapa usul yang dibangkitkan seperti berikut:-






Pepatah orang putih mengatakan, one man's trash is another man's treasure - kalau syarikat besar tak nak bina stesen minyak, syarikat seperti Buraq Oil (gambar atas) dan Smart Stream (gambar bawah) masih ada la...!!!


  1. Isu ketiadaan stesen minyak di LPT2 E8 - Sebenarnya, isu ketiadaan stesen minyak memang merupakan perkara lumrah setiap kali sesebuah lebuh raya ekspres baharu dibuka. Ia juga pernah berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Keadaan sebegini berlaku kerana kebanyakan syarikat minyak hanya berminat membuka stesen minyak di laluan yang mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi. Mentaliti kapitalis sebeginilah yang mewujudkan situasi ayam dan telur, yang mana pengguna enggan menggunakan lebuh raya yang tiada stesen minyak, tetapi syarikat minyak pula enggan membina stesen minyak di lebuh raya yang ketandusan pengguna. Sebenarnya, LLM memang sudah mengeluarkan kelulusan pembinaan stesen minyak di LPT2 E8 seawal 2015 lagi, tetapi tiada satu pun syarikat minyak yang berminat. Pun begitu, LLM tetap berusaha menggesa syarikat-syarikat minyak untuk membina stesen minyak di LPT2 E8. Sasaran LLM ialah sekurang-kurangnya 3 buah stesen minyak menjelang 2018, di mana R&R Perasing sahaja bakal mendapat 2 buah stesen minyak. Masih lagi tidak berminat...? Tak apa, dalam kepala saya sudah ada 2 nama lain yang boleh saya cadangkan kepada LLM, iaitu Buraq Oil dan Smart Stream Resources, yang mana kedua-duanya merupakan pengendali stesen-stesen minyak mini luar bandar. Tatkala syarikat-syarikat gergasi minyak enggan memandang lokasi-lokasi di LPT2 E8 walau sebelah mata, saya percaya 2 syarikat ini pasti tidak akan melepaskan peluang sebegini; bak kata pepatah orang putih, one man's trash is another man's treasure.
  2. Restoran makanan segera - Satu kejutan yang diumumkan kepada saya oleh Dato' Haji Ismail ialah rancangan untuk membuka restoran makanan segera di R&R Perasing sebagai daya tarikan. Sudah tentulah saya alu-alukan pembukaannya, kerana ia bakal mengubah lanskap R&R Perasing serta bakal mengubah nasib para peniaga di sana. Cuma bila ia akan dibuka dan jenama apa, sama-samalah kita nantikan.
  3. Isu tambai nilai minimum RM30 - Pada hari kedua jelajah FTRoadpedia Pantai Timur (24 Februari 2017), dilaporkan bahawa SKVE merancang untuk mengenakan had minimum RM30 bagi tambah nilai kad Touch 'n Go di plaza tol. Rancangan tersebut membangkitkan kemarahan di kalangan pengguna lebuh raya kerana tidak bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa di mana rakyat marhaen semakin tidak berwang bahana kos sara hidup yang mencanak naik. Saya turut mengusulkan kepada Dato' Haji Ismail agar rancangan tersebut dibatalkan, dan Dato' Haji Ismail berjanji akan bersemuka dengan SKVE mengenai isu tersebut. Alhamdulillah, akhirnya rancangan had minimum tambah nilai itu akhirnya dibatalkan terus.
  4. Isu-isu lain - Bagi isu-isu lain, saya ada mencadangkan kepada pihak LLM, PLUS dan LPT2 agar kerap mengadakan acara-acara karnival jualan serta acara kendalian kerajaan negeri di R&R Perasing agar dapat menarik ramai pengguna lebuh raya singgah makan dan membeli-belah di situ.

Kesimpulannya, dalam FTRoadpedia Pantai Timur, kami bukan sekadar "payung" jalan-jalan persekutuan sahaja; lebuh raya ekspres pun kami "payung" juga. Matlamat kami di sini ialah untuk menerapkan rasa bangga dan sayang akan rangkaian jalan raya negara, tidak kiralah lebuh raya ekspres mahupun jalan persekutuan. Kami mahu lebuh raya ekspres dan jalan persekutuan sama-sama naik, bukannya satu naik tetapi yang lain pula menjunam. Jika orang-orang Amerika Syarikat mampu memberikan layanan sama rata terhadap lebuh raya Interstate dan jalan raya kebangsaan mereka, kami mahu rakyat Malaysia juga mempamerkan layanan yang sama terhadap rangkaian jalan raya negara kita.

Dengan ini maka berakhirlah sudah siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur. Siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan akan menyusul selepas ini, jadi nantikanlah lebih banyak lagi koleksi reviu jalan raya khas untuk anda para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman.







Kawasan Rehat dan Rawat Paka - R&R terakhir yang siap, tetapi boleh dikatakan agak meriah






Singgah sebentar untuk membeli air






Tiba di R&R Perasing






Menuju ke dewan makan - kalau begini LPT2 Sdn. Bhd. sepatutnya ambil kesempatan menjadikan R&R Perasing venue bagi majlis perkahwinan dengan caj menarik






Masa untuk makan tengah hari








Reka bentuk bangunan R&R Perasing yang sangat cantik - rugilah kalau ia tidak dimanfaatkan...!!!








Antara kedai-kedai yang dibuka di R&R Perasing - marilah kita sama-sama memberikan sokongan kepada mereka

2 comments:

  1. Rasanya yang dimaksudkan dengan R&R yang berdekatan dengan ladang ayam tu bukannya di Perasing tetapi di R&R Penanti E15 Butterworth Kulim Expressway.

    ReplyDelete

Advertisement