Sunday, May 7, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 7: Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 / Kuantan-Kuala Terengganu Road FT3




Salam sejahtera,

Setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 yang anda nanti-nantikan selama ini. Seperti yang saya nyatakan dalam entri pengumuman FTRoadpedia Zon Selatan, punca utama kenapa entri reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 sering tertangguh adalah disebabkan masalah pada perisian suntingan video yang selama ini saya gunakan bagi menghasilkan video-video reviu jalan raya di Blog Jalan Raya Malaysia. 

Perisian apa yang saya gunakan selama ini...? Jangan ketawa ya, selama ini saya sekadar menggunakan Windows Live Movie Maker bagi menghasilkan video-video reviu jalan raya kerana ia percuma dan amat mudah digunakan. Namun, disebabkan Microsoft sudah tidak lagi menggunakan jenama Windows Live, maka semua perisian di bawah suite Windows Live Essentials sudah dihentikan pembangunan dan sokongannya, termasuklah Windows Live Movie Maker. Akibatnya, segala permasalahan pada perisian tersebut terutamanya dari segi keserasiannya dengan Windows 10 langsung tidak diatasi. Akibatnya, muncullah petanda-petanda yang menjejaskan kerja-kerja suntingan saya - Windows Live Movie Maker sering lumpuh setiap kali saya membubuh banyak potongan klip untuk suntingan serta semasa proses render video akhir.

Berang dengan permasalahan pada Windows Live Movie Maker, saya mula berhijrah kepada perisian suntingan video yang lain pula, iaitu Cyberlink PowerDirector, dan video reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 ini merupakan video pertama yang saya hasilkan menggunakan perisian baharu ini. Pun begitu, saya masih lagi dalam proses lengkuk pembelajaran, memandangkan Cyberlink PowerDirector mempunyai banyak ciri-ciri yang selama ini tidak ada pada Windows Live Movie Maker.




Video reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3


Bagaimana, anda suka dengan video reviu jalan raya terbaharu daripada saya...? Baiklah, untuk siri FTRoadpedia Zon Selatan nanti, kesemua video yang bakal saya siarkan nanti akan dihasilkan menggunakan PowerDirector.

Baiklah, kita kembali semula kepada reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3. Lain kali sajalah saya berbicara lebih panjang mengenai Cyberlink PowerDirector vs Windows Live Movie Maker, kerana blog ini ialah Blog Jalan Raya Malaysia, bukannya Blog Koridor Raya Multimedia.

Untuk pengetahuan anda, saya sebenarnya memang pernah menerima permintaan untuk menghasilkan reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, cuma saya sudah tidak ingat siapa gerangan yang membuat permintaan itu kerana sudah terlalu lama. Saya sendiri pun sebenarnya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk mencuba jalan tersebut. Apa tidaknya, Jalan Persekutuan 3 memang disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 jalan raya pantai terbaik di Asia oleh National Geographic Society. Namun, saya terpaksa menunggu lama sebelum saya dapat merealisasikannya berikutan kekangan masa dan kewangan. Peluang akhirnya terbuka setelah Kementerian Kerja Raya menyenaraikan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 sebagai salah satu laluan utama kami bagi siri jelajah FTRoadpedia Pantai Timur.

Untuk pengetahuan anda, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dibina pada tahun 1939. Ia dibina di sepanjang kawasan pantai di sebelah selatan Kuala Terengganu. Jika dibandingkan, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 yang menyelusuri sepanjang kawasan pedalaman di selatan Terengganu pula dibina pada tahun 1977 dan siap pada tahun 1979. Rasanya tidak perlulah saya berbicara panjang mengenai sejarahnya kerana anda boleh membacanya sendiri dalam entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3.

Kami memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu dari Swiss Garden Hotel Balok, Kuantan yang menjadi destinasi penginapan kami untuk hari pertama. Upacara flag-off disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dari penamat Jalan Beserah FT2.

Semasa kami memulakan perjalanan di Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, keadaan jalan di sekitar jajaran Gebeng boleh dikatakan agak kurang memuaskan. Ia disebabkan oleh projek naik taraf jalan tersebut di sekitar kawasan Gebeng yang turut melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat. Jadi, adakah dakwaan jalan FT3 sebagai salah satu jalan raya pantai terbaik Asia itu satu pembohongan...? Nanti dulu, jangan terus membuat kesimpulan secara terburu-buru. Sebenarnya, kerajaan negeri Terengganu memang ada perancangan untuk menaik taraf keseluruhan jajaran jalan FT3 di negeri Terengganu kepada lebuh raya kembar demi keselesaan pengguna. Maka, sudah tentulah ada sahaja jajaran yang agak teruk keadaan jalannya disebabkan kerja-kerja pembinaan yang sudah berlangsung. Jadi, anda mungkin perlu bersabar lebih lama sedikit sehinggalah keseluruhan jalan FT3 di Terengganu, termasuklah Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3. Apabila sudah siap nanti, pastinya Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 ini akan jadi jalan raya pantai terbaik di Malaysia dan di Asia kelak.

Sebaik sahaja kami tiba di sempadan negeri Pahang-Terengganu, sudah ramai warga kerja Roadcare menantikan kedatangan kami. Kami berhenti sebentar dan warga Roadcare mengambil peluang untuk bergambar. Selain itu, kami turut menerima goodie bag daripada pihak Roadcare. Di samping itu juga, kami turut menerima pemandu pelancong yang memberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik di Terengganu sepanjang perjalanan kami.

Sebaik sahaja kami memasuki negeri Terengganu, jalan yang asalnya merupakan jalan raya tunggal 2 lorong berubah menjadi jalan raya kembar. Ia menunjukkan bahawa kami sudah memasuki bandar Chukai yang menjadi ibu daerah Kemaman. Pusat bandarnya pula terletak di sebuah simpang empat di mana jalan FT3 dilencongkan ke kanan. Itulah sebab utama kesesakan di bandar Kemaman ini setiap kali musim perayaan. Jalan kembar FT3 ini berterusan sehingga selepas Jambatan Sungai Chukai FT3 di Bukit Kuang, yang menempatkan satu pusingan-U sebelum jalan FT3 berubah kepada jalan raya tunggal. 

Tidak jauh dari situ terletaknya Persimpangan Teluk Kalong, di mana jalan FT3 dilencongkan ke kanan. Jalan yang kami lalui ini kemudiannya berubah menjadi Jalan Pintasan Kijal FT145. Jalan Pintasan Kijal FT145 memang memendekkan perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu, tetapi ia sebenarnya ada membawa impak negatifnya sendiri, iaitu membunuh ekonomi pekan Kijal dan juga Teluk Kalong. Ia dapat dibuktikan sekiranya anda menggunakan ciri Street View pada Google Maps dan mencubanya di jajaran Teluk Kalong-Kijal. Keadaan di situ seakan-akan hidup segan mati tak mahu. Kalau diikutkan, di Teluk Kalong sebenarnya terdapat satu pantai yang sepatutnya menjadi tarikan pelancong, tetapi nampak gayanya sudah tentulah lalu lintas dilencongkan jauh daripadanya. Ia juga menjadikan jajaran Teluk Kalong-Kijal satu-satunya jajaran FT3 yang tidak dinaiktaraf menjadi jalan super two.

Jika dibandingkan dengan keadaan Jalan Pintasan Kijal FT145 pula, jalan ini meriah dengan trafik. Satu tarikan utama di jalan FT145 ialah gerai-gerai lemangnya yang dibanjiri pengguna jalan raya walaupun di luar musim cuti Hari Raya. Saya merasakan Kijal merupakan satu-satunya pekan di mana penduduknya makan lemang di luar musim cuti Hari Raya. Tatkala pekan Kijal yang asal di FT3 seakan-akan sudah mati dan lesu, di sebelah FT145 pula Bandar Baru Kijal sedang rancak dibina, siap ada pasar raya Giant lagi tu.

Meskipun secara amnya jajaran pendek FT145 itu pendek sahaja, namun ada satu perkara yang patut saya komplen mengenai jalan itu. Pengguna FT145 langsung tidak tahu di mana ia bertemu semula dengan FT3 di Kijal kerana langsung tiada papan tanda. Kes ini sebenarnya samalah seperti di Lebuhraya Berungis-Kota Belud FT503 di Sabah, di mana pengguna jalan raya langsung tidak tahu titik penamat sebelah utara bagi FT503; tiba-tiba sahaja sudah terus berada di Jalan Kota Kinabalu-Kudat FT1.

Jalan FT3 kembali menjadi jalan raya tunggal selepas Persimpangan Kijal yang langsung tiada papan tanda bagi memberitahu lencongan FT3 itu. Sekurang-kurangnya, bahagian utara Kijal ini nampak jugalah hidup jika dibandingkan dengan pekan asal Kijal yang nyawanya dibunuh oleh FT145. Di bahagian utara Kijal juga turut menyajikan pantai yang cantik dan menarik, sebagaimana sebahagian besar jajaran Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 ini. Terlepas...? Tak apa, masih ada pantai lagi di hadapan, iaitu Pantai Kemasik. Oh ya, Kemasik juga menempatkan Mesra Mall, yang merupakan satu-satunya pusat beli-belah di sebelah selatan Terengganu yang ada panggung wayang. Satu lagi pawagam di Terengganu pula terletak di Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu.

FT3 sekali lagi bertukar menjadi jalan raya kembar selepas pekan Kemasik. Seterusnya, kami melalui Kerteh, pusat utama pengeluaran petroleum Terengganu. Sejak penerokaan industri minyak dan gas di Kerteh, bandar Kerteh menjadi sangat maju dengan industri petroleum. Disebabkan itu juga, Kerteh menjadi bandar kedua terbesar di daerah Kemaman selepas bandar Chukai itu sendiri. Di sebelah utaranya juga terletaknya Paka, yang turut menempatkan sebuah loji janakuasa elektrik yang menggunakan gas asli seabgai bahan api.

Setelah melintasi Sungai Paka, jalan FT3 kembali menjadi jalan raya tunggal, tetapi tidak lama. Sebaik menyelusuri di kaki Bukit Bauk, ia kembali menjadi jalan raya kembar semula, dan Bukit Bauk itu sendiri menunjukkan bahawa kami sudah menghampiri bandar Dungun, tempat kelahiran penyanyi kumpulan Iklim iaitu Saleem. Keadaan di bandar Dungun juga begitu meriah, sejajar dengan statusnya sebagai antara bandar terbesar di Terengganu selepas Kuala Terengganu. Sungguhpun demikian, pusat bandar sebenar Dungun terletak di bahagian kuala Sungai Dungun dan boleh dihubungkan melalui jalan FT127. Sebenarnya, jika anda menggunakan jalan FT3 semasa musim perayaan dan berhasrat untuk melarikan diri daripada kesesakan di Jambatan Dungun FT3, jalan FT127 juga menyajikan satu lagi laluan alternatif kerana ia turut menempatkan Jambatan Kedua Dungun.

Jambatan Dungun FT3 yang kami lintasi itu menandakan bahawa kami sudah tidak jauh lagi dengan checkpoint seterusnya iaitu Masjid Rantau Abang yang terletak betul-betul bersebelahan dengan kawasan rehat dan rawat yang diberi nama Hentian Penyu. Walau bagaimana terujanya saya sepanjang melalui Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, namun saya semakin tewas dengan "syaitan mengantuk" yang merupakan "musuh ketat" saya sepanjang perjalanan menyelusuri Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 ini. Tak boleh jadi ni. Sebaik sahaja ke tandas untuk mencuci muka, saya singgah sebentar di salah satu gerai di Hentian Penyu untuk membeli kopi ais, dan di situlah terjadinya babak yang bukan sahaja mencemaskan, tetapi juga memalukan. Semasa saya baru sahaja selesai membayar kopi ais saya, bas KKR sudah mula bergerak meninggalkan saya...!!! Aduh, matilah saya kali ini...!!! Saya bukannya ada sesiapa pun yang saya kenali di bumi Terengganu ini. Mujurlah ada beberapa buah kereta milik JKR Terengganu yang perasan kelibat saya yang tertinggal bas dan seterusnya menawarkan diri untuk menumpangkan saya menaiki salah satu daripadanya. Jutaan terima kasih kepada kakitangan JKR Terengganu kerana sudi menumpangkan saya menaiki sebuah kereta Toyota Camry untuk mengejar kembali bas KKR yang sudah meninggalkan saya.

Memandangkan saya duduk di kerusi belakang sepanjang menaiki kereta Toyota Camry itu, maka gambar yang dapat saya ambil juga sudah tentunya tak best langsung. Mata yang asalnya hendak terlelap itu entah bagaimana menjadi segar sesegar-segarnya. Destinasi tujuan kami yang seterusnya ialah tapak projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12. Sebaik tiba di tapak projek, saya diketawakan oleh Hezeri Samsuri dan Durrani. Cis, memang betul-betul detik memalukan tu...!!! Itulah padahnya tidak berpesan kepada pemandu bas agar menunggu sehingga saya kembali semula ke bas semasa membeli kopi ais tadi. Nampak gayanya saya patut tukar slogan "Cipta Detik Indah Bersama" kepada "Cipta Detik Memalukan Bersama". Sungguhpun apa yang saya alami itu memang kelakar dan memalukan, itulah antara rencah yang menghiasi kembara FTRoadpedia yang saya sertai ini.

Sebaik sahaja tamat sesi lawatan ke tapak projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu T12, kami terus ke Masjid Tengku Tengah Zaharah (aka Masjid Terapung Kuala Ibai) untuk menunaikan solat Jumaat. Selesai sahaja solat Jumaat, kami menghabiskan baki perjalanan di Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dan seterusnya ke Duyong Marina & Resort untuk majlis perasmian program FTRoadpedia Pantai Timur dan penyampaian travelog FTRoadpedia. Jalan Kuantan-Kuala Terengganu secara rasminya tamat di Persimpangan Batu Burok, Kuala Terengganu, di mana jalan FT3 dilencongkan ke kiri iaitu ke Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3; jalan terus akan membawa anda ke pusat bandar raya Kuala Terengganu melalui FT174.

Siri FTRoadpedia Pantai Timur hanya berbaki 2 episod sahaja lagi sebelum tamat, jadi nantikanlah sambungannya selepas saya pulang dari menyertai FTRoadpedia Zon Selatan nanti.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Mula memasuki Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dari penamat Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2






Di bawah jejambat ini ialah landasan kereta api Pelabuhan Kuantan-Kerteh






Salah satu projek naik taraf Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, termasuklah pembinaan persimpangan bertingkat ini...






...dan ini






Antara jajaran yang hendak dilebarkan di Gebeng






Susur keluar ke Lebuhraya Pantai Timur E8 melalui Jalan Pintasan Gebeng FT101






Ada baki lagi 180 km ke Kuala Terengganu dari Gebeng






Jalan FT3 kembali bertukar menjadi jalan raya tunggal






Kawasan Rehat & Rawat Bandar Baru Chendor






Keropok lekor dan nasi dagang yang menunjukkan pengaruh Terengganu yang kuat di Cherating meskipun belum sampai sempadan lagi






Di sekitar Cherating






Berhenti sebentar di sempadan Pahang-Terengganu - wakil Roadcare sudah menanti kedatangan kami






Persimpangan Pusat Bandar Chukai yang menjadi punca utama kesesakan di bandar Chukai kerana ia melencongkan FT3 ke kanan






Suasana di Chukai






Nanti sekejap - jalan ini hanya 2 lorong sehala, kenapa pula anak panah pada papan tanda gantri ini ada tiga pula...?






Masjid utama bandar Chukai






Menghampiri Jambatan Sungai Chukai FT3 untuk meninggalkan bandar Chukai






Jambatan Sungai Chukai FT3 dan Persimpangan Bukit Kuang






Pusingan U terakhir di jajaran jalan kembar Chukai sebelum bertukar kembali kepada jalan raya tunggal






Sekali lagi bertukar menjadi jalan raya tunggal






Persimpangan Teluk Kalong - FT3 dilencongkan ke kanan, manakala laluan terus bertukar kepada Jalan Pintasan Kijal FT145






Kilang besi di Teluk Kalong






Ada kesalahan kod laluan di sini. Bukankah jalan ini sekarang sudah jadi FT145...?






Pemandangan bukit yang begitu indah di FT145






Rasanya Kijal merupakan satu-satunya tempat di mana orang makan lemang pada luar musim perayaan Hari Raya






Jajaran jalan kembar FT145 berhampiran Bandar Baru Kijal






Penamat FT145 di Kijal sebelum bertukar semula menjadi FT3 - ke manakah perginya papan tanda penunjuk arah FT3...?






Sekali lagi berubah menjadi jalan raya tunggal






Simpang ke Pantai Kemasik






Nampaknya jajaran ini pun hendak dinaiktaraf menjadi 4 lorong






Suasana di pekan Kemasik






Pasar raya TMC di Mesra Mall, satu-satunya pusat beli-belah di selatan Terengganu yang ada panggung wayang






Simpang memasuki LPT E8 melalui jalan T120






Pusat bandar Kerteh yang moden






Melintasi Sungai Kerteh melalui Jambatan Sungai Kerteh FT3






Kali ini kita di Paka pula - jangan merokok ataupun menyalakan api di kawasan ini






Alamak, saya dah "terambil" gambar di sini.






Stesen janakuasa Paka yang menggunakan gas asli sebagai bahan apinya






Suasana bandar Paka - Dungun (dan Rantau Abang) sudah tidak jauh sahaja lagi






Jambatan Sungai Paka FT3






Kelibat Bukit Baung juga memberikan maksud kami sudah hampir tiba di Dungun






Suasana di bandar Dungun - bandar Dungun sebenar terletak di sebelah kuala Sungai Dungun dan boleh dihubungkan melalui jalan FT127






Suasana di bandar Dungun






Sudah tidak jauh sahaja lagi






Menuju ke Rantau Abang






Meninggalkan Rantau Abang - bagi jajaran Rantau Abang-Kuala Ibai, gambar-gambar yang diambil serius tak best kerana terpaksa duduk di kerusi belakang Toyota Camry setelah ditinggalkan bas KKR






Mujurlah Kuala Terengganu sudah tidak jauh sahaja lagi, cuma papan tanda terlindung oleh cermin pandang belakang






Suasana di Marang - boleh masuk ke LPT2 E8 melalui Jalan Bukit Payong-Kuala Telemung






Menyeberangi Sungai Marang






Kedai piza Domino's itu menggunakan tulisan jawi...!!!






Singgah sebentar di Masjid Terapung Kuala Ibai untuk solat Jumaat






Kembali meneruskan perjalanan selepas solat Jumaat






Antara kedai songket di Kuala Terengganu






Papan tanda Selamat Datang ke Kuala Terengganu oleh EON






Pintu gerbang ini menunjukkan bahawa kami sudah memasuki kawasan pusat bandar raya Kuala Terengganu






Menghampiri penamat Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 - jalan terus akan membawa anda ke pusat bandar raya melalui FT174






Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 tamat di Persimpangan Batu Burok - FT3 dilencongkan ke kiri ke Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3

4 comments:

  1. Cyberlink Powerdirector adalah software yang baik untuk hasilkan video; agak mudah, banyak fasiliti untuk cantikkan video. Selamat menggunakannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Sepanjang saya mencubanya, ia amat mudah digunakan dan banyak fungsi yang berkuasa.

      Delete
  2. Salam..izinkan sy betulkan sikit info..sbnrnya kedua2 jambatan di dungun tu hanya 2 lorong

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf, saya tersilap. Ia sudah pun diperbetulkan. Terima kasih atas pembetulan.

      Delete