Thursday, May 18, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan: Prolog / Prologue




Salam sejahtera,

Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan diadakan tidak sampai 3 bulan selepas tamatnya siri FTRoadpedia Pantai Timur yang diadakan pada 23 hingga 25 Februari 2017. Jika dibandingkan, selang masa antara edisi pertama dengan edisi kedua agak panjang. Selang masa yang semakin pendek ini menunjukkan kesungguhan serta peningkatan semangat di kalangan warga Kementerian Kerja Raya Malaysia dalam kempen mempromosikan penggunaan jalan persekutuan sebagai laluan pilihan utama untuk bercuti dan mengembara secara santai.

Tema bagi edisi ketiga siri jelajah FTRoadpedia kali ini ialah "Menjejak Warisan Kilometer Sifar". Kenapa pula Kilometer Sifar...? Sejak saya mula menulis mengenai Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia sebelum ini, ramai pembaca yang selama ini langsung tidak tahu-menahu mengenai kewujudan kilometer sifar kebangsaan Malaysia menularkan entri tersebut dalam forum Internet, blog-blog lain dan juga laman sosial. Tidak cukup dengan itu, Jabatan Kerja Raya Johor turut mengambil kesempatan berkongsi enri tersebut dalam laman Facebook rasmi mereka. Kali ini, Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia telah menarik perhatian Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta pihak pengurusan tertinggi KKR sendiri. Justeru, Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di Johor Bahru dijadikan mercu tanda kemuncak bagi siri jelajah FTRoadpedia Zon Selatan kali ini.




Buat kali pertamanya saya menyertai jelajah FTRoadpedia dengan memakai uniform rasmi


Siri ketiga FTRoadpedia kali ini diadakan pada 7 hingga 9 Mei 2017. Seperti edisi Pantai Timur, konvoi kami terdiri daripada dua buah bas serta diiringi beberapa SUV KKR dan JKR. Bezanya dalam edisi kali ini ialah Hezeri Samsuri dari portal automotif Careta tidak dapat ikut serta, sebaliknya dia menghantar seorang wakil sebagai pengganti.




Peta laluan bagi hari pertama (7 Mei 2017)




Peta laluan pada hari kedua (8 Mei 2017)




Peta laluan pada hari ketiga (9 Mei 2017)


Laluan perjalanan yang kami gunakan adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1
  2. Jalan Seremban-Tampin FT1
  3. Lebuh AMJ FT19
  4. Jalan Tanjung Minyak FT140 dan Jalan Batang Tiga M9
  5. Jalan Melaka-Port Dickson FT5
  6. Jalan Padang Temu M100
  7. Jalan Melaka-Muar FT5
  8. Jalan Pintasan Muar FT224
  9. Jalan Muar-Batu Pahat FT5
  10. Jalan Batu Pahat-Pontian FT5
  11. Jalan Kukup FT95
  12. Jalan Johor FT5 dan Lebuhraya Pontian FT5
  13. Jalan Skudai J1
  14. Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT1
  15. Jalan Ayer Hitam-Yong Peng FT1, Jalan Labis-Yong Peng FT1 dan Jalan Segamat-Labis FT1
  16. Jalan Segamat-Muar FT1
  17. Lebuhraya Utara-Selatan E2

Banyak kan...? Siri FTRoadpedia Zon Selatan kali ini menyajikan koleksi reviu jalan raya paling banyak berbanding edisi-edisi sebelumnya. Pun begitu, reviu yang kami pernah adakan seperti Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Lebuh AMJ FT19 tidak akan dimasukkan. Begitu juga dengan reviu bagi Jalan Johor FT5 dan Lebuhraya Pontian FT5, reviu jalan tersebut tidak dapat diadakan atas sebab yang bakal saya ceritakan semasa reviu Jalan Skudai J1 nanti.

Tanpa membuang masa lagi, saya akan mulakan dengan reviu Jalan Lama Kuala Lumpur-Seremban FT1.

No comments:

Post a Comment

Advertisement