Thursday, June 22, 2017

Kompilasi penting Hari Raya / Eid essentials compilation

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana jarang mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sepanjang bulan Ramadan ini. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis satu entri kompilasi khas sempena cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.


Had laju musim perayaan






Penukaran had laju 80 km/j yang dilakukan oleh JKR dengan melekatkan angka 80 di atas angka 90 pada papan tanda asal
(kredit gambar: JKR Gua Musang)


Seperti tahun-tahun lepas, had laju musim perayaan diturunkan daripada had laju kebangsaan 90 km/j kepada 80 km/j di jalan persekutuan dan 70 km/j di jalan negeri. Mungkin ada yang masih tertanya-tanya rasional di sebalik penurunan had laju ini, jadi biar saya terangkan.

Pertama, had laju 80 km/j membolehkan sesebuah jalan raya meningkatkan kapasiti trafiknya. Jika had laju kekal 90 km/j, kapasiti sesebuah jalan raya menjadi terhad kerana mengambil kira ruang yang diperlukan antara kenderaan mengikut Peraturan Dua Saat. Ruang antara kenderaan ini amat perlu untuk membolehkan anda memberhentikan kereta dengan selamat tanpa melanggar punggung kereta hadapan sekiranya kereta hadapan berhenti secara mengejut. Semakin tinggi had laju, semakin besar ruang selang antara kenderaan yang diperlukan. Sebaliknya, semakin rendah had laju, semakin kecil ruang selang antara kenderaan yang diperlukan, maka kapasiti trafik bagi sesebuah jalan boleh ditingkatkan.

Kedua, disebabkan titik konflik yang semakin meningkat semasa musim perayaan, di mana titik-titik konflik ini datang daripada simpang-simpang jalan kecil ke kampung-kampung. Dalam keadaan biasa, simpang-simpang jalan kampung sedikit pun tidak menjejaskan aliran trafik di jalan raya utama berikutan kadar aliran trafik yang sangat rendah di jalan-jalan kampung dan hanya digunakan oleh penduduk tempatan. Namun, pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri pula, setiap simpang pasti akan ada pemandu yang mahu keluar masuk untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing, meningkatkan bilangan titik konflik. Justeru, had laju perlu diturunkan supaya mereka dapat keluar masuk ke jalan-jalan kecil ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.


Penutupan lorong tambah nilai di plaza tol






Untuk musim perayaan kali ini, PLUS Malaysia Berhad telah mengumumkan akan menutup kesemua lorong tambah nilai kad Touch 'n Go di kesemua plaza tol bermula hari ini (22 Jun 2017) sehingga 2 Julai 2017. Saya tahu ramai di kalangan anda yang pasti akan marah-marah dan memaki-hamun PLUS kerana menutup lorong-lorong tambah nilai tersebut, tetapi ia perlu dilakukan demi melancarkan trafik semasa musim cuti Aidilfitri kali ini. Apa tidaknya, punca utama kesesakan di plaza tol sekarang ini ialah pemandu yang terhegeh-hegeh hendak menambah nilai kad Touch 'n Go di plaza tol. Buktinya...? Anda boleh saksikan sendiri setiap kali waktu gegas di plaza tol lebuh raya perbandaran di Lembah Klang seperti DUKE E33, di mana lorong-lorong tol yang paling sesak ialah lorong-lorong tambah nilai itu sendiri.

Jadi di mana anda boleh tambah nilai kad Touch 'n Go anda...? Ada banyak tempat untuk anda tambah nilai kad. Anda boleh tambah nilai di stesen minyak, kedai 7-Eleven, kedai KK Mart, Watsons atau Guardian. Selain itu, anda boleh tambah nilai di beberapa mesin layan diri yang terdapat di serata Lembah Klang seperti di Jaya Shopping Centre di Petaling Jaya. Tambah menarik, tambah nilai di mesin layan diri dan di KK Mart tidak dikenakan caj perkhidmatan dan GST sebanyak 53 sen yang biasanya dikenakan di tempat lain.


Diskaun dan rebat tol




Diskaun tol selalunya diberikan di luar waktu kelaziman pulang ke kampung


Setiap tahun, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres menawarkan diskaun dan rebat tol setiap kali musim perayaan. Namun, ramai pengguna lebuh raya yang merungut kerana diskaun tol selalunya diberikan pada hari-hari di luar kelaziman pengguna lebuh raya pulang ke kampung (sama ada terlalu awal sebelum Hari Raya ataupun terlalu lewat selepas tamat cuti Hari Raya). Selain itu, ada juga pengguna lebuh raya yang mempersoalkan kenapa tidak diberikan sahaja tol percuma pada masa kelaziman orang ramai pulang ke kampung. Justeru, biar saya terangkan rasional di sebalik kedua-duanya.

Sebenarnya, tujuan utama kenapa diskaun dan rebat tol sengaja ditawarkan di luar waktu kelaziman adalah untuk menarik sebahagian trafik kenderaan yang ingin balik kampung ke tarikh-tarikh yang dinyatakan, memandangkan kadar aliran trafik ke tarikh-tarikh tersebut sangat rendah. Anda perlu ingat bahawa setiap kali musim perayaan, kadar aliran trafik di lebuh raya utama meningkat sehingga 5 kali ganda, dan jauh melebihi kapasiti trafik maksimum lebuh raya itu sendiri. Sebab itulah setiap kali musim perayaan pasti ramai yang merungut kerana perlu membazirkan berbelas jam di atas lebuh raya, sedangkan dalam keadaan biasa perjalanan serupa hanya memerlukan beberapa jam sahaja. Justeru, salah satu strategi yang digunakan oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya adalah dengan menarik trafik ke hari-hari di luar kelaziman, dan diskaun tol ditawarkan bagi tujuan ini.

Seterusnya, kenapa tak beri sahaja tol percuma pada waktu sesak semasa musim perayaan...? Ada dua sebab utama kenapa tol percuma tidak diberikan pada waktu kenderaan paling banyak semasa musim perayaan. Sebab nombor satu ialah tol percuma pada musim perayaan terbukti tidak berupaya mengurangkan kesesakan di lebuh raya seperti yang sering dianggap oleh segelintir pengguna lebuh raya. Ramai pengguna lebuh raya yang mendesak agar syarikat-syarikat konsesi memberikan tol percuma pada musim perayaan atas alasan "lebuh raya sesak dan orang ramai sampai lambat ke kampung" dan "plaza tol punca utama kesesakan lebuh raya", sedangkan hakikat sebenarnya terbukti karut. Buktinya Anih Berhad pernah menawarkan tol percuma di Lebuhraya Pantai Timur E8 pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 dan 2010 tetapi tidak pula meneruskannya pada tahun ini, meskipun ada laporan akhbar yang mendakwa E8 tidak sesak walaupun setelah tol percuma ditawarkan. Sebenarnya, ada lebuh raya lain yang turut menawarkan tol percuma pada musim perayaan seperti Lebuhraya Maju (MEX) E20, tetapi ia ditawarkan pada hari raya pertama semasa trafik lebuh raya memang sudah lengang.

Mengenai mitos kononnya "plaza tol punca utama kesesakan lebuh raya", mitos tersebut ternyata karut. Kenapa...? Laporan trafik oleh Waze dan Google Maps semasa musim perayaan membuktikan bahawa plaza tol bukan punca utama kesesakan, dibuktikan dengan garisan penunjuk tahap kesesakan yang menunjukkan warna merah walaupun selepas plaza tol. Jika dakwaan tersebut benar, maka sepatutnya penunjuk tahap kesesakan pada Google Maps dan Waze sepatutnya menunjukkan garisan berwarna merah dan perang sebelum plaza tol dan bertukar menjadi hijau selepas plaza tol. Sebaliknya, kesesakan lebuh raya semasa musim perayaan adalah berpunca daripada kombinasi beberapa sebab di bawah:-

  1. Persimpangan searas selepas plaza tol - inilah sebenarnya punca nombor satu kesesakan di lebuh raya ekspres semasa musim perayaan. Disebabkan aliran trafik jalan persekutuan atau negeri yang turut meningkat, maka ia menyebabkan pengguna yang mahu meninggalkan lebuh raya selepas membayar tol semakin sukar untuk keluar di persimpangan searas, dan ia seterusnya membawa kepada longgokan trafik yang seterusnya akan merebak ke plaza tol, persimpangan keluar lebuh raya dan seterusnya lebuh raya ekspres itu sendiri. Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap persimpangan searas keluar masuk lebuh raya di jalan persekutuan atau negeri perlu dipasang lampu isyarat, dan persimpangan utama yang sesak pula perlu digantikan kepada persimpangan bertingkat.
  2. Kadar aliran trafik yang tinggi - Kadar aliran trafik yang tinggi juga merupakan penyebab kesesakan di lebuh raya. Apa tidaknya, kalau semua orang berpakat mahu menggunakan lebuh raya pada masa yang sama memanglah sesak. Justeru, untuk mengelakkan daripada azab kesesakan sebegitu, ada baiknya anda mempertimbangkan untuk menggunakan jalan persekutuan atau negeri yang kurang sesak. Jika anda tetap mahu menggunakan lebuh raya ekspres, anda perlu mempertimbangkan waktu-waktu lengang seperti tengah malam, Hari Raya pertama ataupun sebelum orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung. Antara laluan yang saya kenal pasti sebagai paling sesak adalah seperti berikut:-
    • Lebuhraya Utara-Selatan (Jajaran Utara) E1 - NKVE E1, Jalan Duta sehingga ke Slim River (semakin berkurangan mengikut jarak), Ipoh-Kuala Kangsar dan Butterworth-Taiping
    • Lebuhraya Utara-Selatan (Jajaran Selatan) E2) - Nilai-Seremban dan Skudai-Yong Peng
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 - keseluruhan jajaran dari Gombak ke Bentong
  3. Turun naik bukit - Turun naik bukit curam juga merupakan punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres, dan ia paling ketara di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 dan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jelapang ke Kuala Kangsar. Ia kerana cerun yang curam menurunkan had laju operasi di situ. Turut menambah parah keadaan ialah terdapat segelintir kenderaan berat yang masih hendak memaksa diri memotong di bukit curam meskipun kalau diikutkan tidak larat hendak memotong dengan laju.

Selain itu, mitos yang mengatakan kononnya tol percuma pada waktu paling sesak mengurangkan kesesakan lebuh raya juga ternyata karut. Sebaliknya, pemberian tol percuma pada waktu paling sesak sebenarnya menambah parah keadaan kesesakan di lebuh raya yang mana kelajuan operasinya memang sudah jadi lebih perlahan daripada kura-kura, kerana pengguna lebuh raya di Malaysia lazimnya akan lebih tertarik untuk menggunakan lebuh raya semasa tol percuma, meskipun mereka sedar mereka terpaksa menanggung azab kesesakan. Justeru, adalah lebih baik sekiranya diskaun tol ataupun tawaran tol percuma diberikan pada waktu paling lengang dan bukannya pada waktu paling sesak.

Sebab kedua kenapa tol percuma (atau setidak-tidaknya diskaun tol) tidak diberikan pada waktu paling sesak adalah kerana pada waktu paling sesak, struktur lebuh raya terpaksa menampung beban yang jauh lebih tinggi daripada biasa sehingga memendekkan jangka hayat servisnya. Jalan akan jadi lebih mendap terutamanya di jajaran berpaya. Permukaan lebuh raya akan jadi lebih cepat rosak dan berlubang. Dengan kata lain, lebih banyak kerja-kerja penyelenggaraan diperlukan nanti. Justeru, adalah tidak berbaloi untuk memberikan tol percuma atau setidak-tidaknya diskaun tol pada waktu-waktu yang paling banyak merosakkan lebuh raya.


Nasihat waktu perjalanan (TTA)





Jadual nasihat waktu perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 (atas) dan Lebuhraya Pantai Timur E8 (bawah)

Selain tawaran diskaun tol, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga lazimnya akan mengeluarkan jadual nasihat waktu perjalanan (TTA). Rasional pelaksanaan jadual nasihat waktu perjalanan ini adalah bagi mengagihkan beban trafik lebuh raya secara adil dan saksama, memandangkan kapasiti lebuh raya sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah aliran trafik yang terlalu tinggi sekiranya semua orang balik kampung serentak. Sifirnya amat mudah, iaitu pengguna yang hendak balik kampung ke destinasi yang paling jauh (Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Alor Setar dan Kuala Lumpur-Johor Bahru) perlu memulakan perjalanan pada waktu tengah malam dan awal pagi, manakala pengguna yang sekadar mahu balik kampung ke destinasi yang dekat (contoh: KL-Bentong, KL-Seremban, KL-Banting / Tanjung Karang) pula perlu balik pada waktu lewat petang.


Kompilasi peta pemintas kesesakan

Seterusnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengeluarkan beberapa peta pemintas kesesakan di jalan-jalan persekutuan utama. Sebelum ini memang saya ada keluarkan dalam satu entri khas, tetapi memandangkan lebih banyak laluan pemintas baharu yang saya perlu utarakan, maka ada baiknya saya mengkompilasikan kesemuanya sekali dalam entri kali ini.


























Kompilasi peta pemintas kesesakan oleh JKR

Akhir sekali, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua para pembaca yang budiman. Sila patuhi had laju dan peraturan jalan raya yang ditetapkan, pandu dengan cermat dan berhati-hati, semoga anda selamat sampai ke kampung halaman masing-masing dan seterusnya selamat kembali semula ke kota.

2 comments:

Advertisement