Thursday, July 6, 2017

2017 SYM Sport Rider 125i: Saya Yang Menunggang

Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin bawakan kepada anda satu reviu motosikal yang secara rasminya menjadi jentera baharu bagi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan motosikal Honda Wave 125X Ultimo yang berjasa kepada saya sejak tahun 2012. Motosikal yang saya maksudkan itu ialah SYM Sport Rider 125i. Kenapa SYM Sport Rider 125i...? Kenapa bukan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection...?

Teka-teki mengenai jentera rasmi baharu bagi menggantikan Honda Wave 125X Ultimo itu bermula sejak tahun 2016 setelah Honda Wave Ultimo itu sering rosak dan terpaksa dibaik pulih sebanyak 3 kali dalam masa tidak sampai 5 tahun, sekaligus mencatatkan rekod sebagai motosikal paling tidak boleh diharap yang pernah saya miliki. Sebelum Wave Ultimo, saya pernah memiliki motosikal Modenas Kriss 2 dan Yamaha Lagenda 110, dan kedua-dua jentera itu terbukti ketahanannya apabila dibaik pulih selepas 4 tahun (bagi Modenas Kriss 2) hingga 7 tahun (bagi Yamaha Lagenda 110). Namun, rekod 3 kali baik pulih penuh dalam masa tidak sampai 5 tahun bagi Honda Wave Ultimo itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Adakah kualiti enjin motosikal Honda sekarang sebegitu teruk...? Sebenarnya kalau diikutkan saya tidak mahu memburuk-burukkan sesuatu jenama motosikal, tetapi pengalaman saya memiliki Honda Wave Ultimo itu menyebabkan saya serik dan terpaksa berhijrah kepada motosikal lain, yang sudah tentunya bukan lagi daripada jenama Honda.

Sejujurnya, saya sebenarnya mensasarkan untuk membeli motosikal Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection sebagai jentera rasmi baharu Blog Jalan Raya Malaysia kerana ia merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc yang paling berkuasa dalam kelasnya (10.06 PS @ 7,750 rpm), namun atas sebab-sebab yang saya sendiri pun tidak ketahui, saya tidak dapat memilikinya. Terdesak untuk mendapatkan motosikal pengganti yang baharu, saya terpaksa memikirkan alternatif lain. Modenas 118EFI...? Susah nak jumpa kedai yang menjualnya pula. Nak saya beli model-model "raja kapcai" seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R...? Lupakanlah, kawasan sekitar tempat tinggal saya itu mempunyai kadar jenayah curi kenderaan yang sangat tinggi. Atas faktor inilah saya akhirnya mengambil keputusan untuk memiliki motosikal SYM Sport Rider 125i.

Kenapa motor cap Safee Yang Menunggang pula jadi pilihan...? Sebabnya mudah sahaja, iaitu kerana SYM bukanlah sebuah jenama motor mat rempit. SYM selama ini sangat popular di Malaysia sebagai jenama skuter maksi mampu milik, tetapi bagi model-model kapcainya pula seperti SYM Bonus 110, ia bukanlah model motosikal yang mampu ditunggang laju. Enjin SYM Bonus 110 cuma mampu menghasilkan 7.2 PS sahaja pada 7,500 rpm, lebih kurang setaraf motor Modenas Kriss MR1 sahaja, jadi ia lebih sesuai dijadikan sebagai "motor peon" ataupun motor yang cukup boleh diharap untuk sekadar berulang-alik ke tempat kerja, ke masjid atau ke kedai, tetapi agak "kureng" untuk ditunggang jarak jauh kerana tidak begitu laju. Namun, persepsi saya berubah semasa saya mengkaji model motor kapcai pancitan bahan api untuk dijadikan sebagai alternatif kepada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang tidak dapat saya miliki, dan saya amat terkejut apabila mendapati bahawa SYM Sport Rider 125i sebenarnya merupakan model motosikal kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc kedua paling berkuasa dalam kelasnya - lebih berkuasa daripada Honda Future FI / Wave 125i tetapi hanya kalah di belakang Yamaha Lagenda Fuel Injection. Akhirnya, tanpa membuang masa lagi, saya mengambil keputusan untuk menyambarnya.




Ciri-ciri motosikal SYM Sport Rider 125i


Motosikal SYM Sport Rider 125i ini sampai ke tangan saya semasa hanya tinggal 3 hari sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri. Oleh kerana ia masih dalam pantang, jadi saya terpaksa menyimpannya di kawasan parkir pejabat yang bertutup dan seterusnya pulang ke kampung menaiki kereta. Hanya setelah saya kembali semula ke Kuala Lumpur barulah saya berupaya menguji motor ini sepuas-puasnya.

SYM Sport Rider 125i ini digerakkan oleh enjin SOHC 2 injap 123 cc 4 lejang serba baharu yang dikenali sebagai enjin ECOTECH, yang mana bahan apinya disuap melalui sistem pancitan bahan api elektronik dan bukannya karburetor. Meskipun enjin ECOTECH ini kelihatan "biasa-biasa" sahaja, namun ia berupaya menghamburkan 9.5 PS pada 8,000 rpm serta menghasilkan tork 10.8 N-m pada 5,500 rpm, menjadikannya motor kapcai pancitan bahan api bawah 125 cc kedua paling berkuasa dalam kelasnya, kalah hanya di belakang Yamaha Lagenda Fuel Injection. Motor ini turut menyediakan port diagnosis yang tersembunyi di sebalik penutup berlabel EFI di sebelah kiri kunci penyalaan, yang boleh disambung kepada alat pembaca OBD yang dimiliki pusat servis MForce untuk mendiagnosis sistem pancitan bahan api serta untuk menala semula ECU.

Untuk pengetahun anda, model SYM Sport Rider 125i ini dibangunkan hasil kerjasama antara pengedar SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. dengan SYM Taiwan, dan Malaysia merupakan negara pertama yang mengeluarkan model motor ini yang juga dibangunkan hasil kepakaran jurutera MForce dengan sokongan daripada pihak SYM Taiwan. Sport Rider ini mengetengahkan banyak ciri menarik hasil maklum balas pengguna sebelum ini, dan saya tabik hormat kepada MForce kerana amat peka dengan cita rasa penunggang motosikal Malaysia. SYM Sport Rider 125i mula dilancarkan di Malaysia pada 27 Ogos 2016 di kilangnya di Bukit Mertajam, disusuli Vietnam pada Oktober 2016 dan seterusnya Filipina.

Antara ciri-ciri menarik pada SYM Sport Rider 125i ini ialah panel meter digital yang menggabungkan takometer analog dengan paparan LCD yang selama ini hanya terdapat pada model-model raja kapcai sahaja. Paparan LCD tersebut menggabungkan speedometer, odometer, tripmeter, penunjuk kedudukan gear, tolok bahan api digital, jam dan voltmeter. Penggunaan meter gabungan takometer dengan paparan LCD ini menjadikan Sport Rider ini tampak lebih sporty. Panel meter ini diterangi cahaya latar putih (bagi takometer) dan biru (bagi paparan LCD) yang kelihatan begitu cantik terutamanya pada waktu malam. Sebenarnya, panel meter yang digunakan adalah serupa seperti pada skuter SYM Z1 125i - bezanya ialah Z1 tiada penunjuk kedudukan gear (kerana menggunakan CVT), mempunyai takat garisan merah yang lebih rendah (9,000 rpm berbanding 11,000 rpm pada Sport Rider) serta jam yang diasingkan (jam pada Sport Rider disekalikan dan dipaparkan dengan menekan butang Mode).

Lampu-lampunya juga sangat terang. Sport Rider ini menggunakan sebiji lampu kepala halogen 35 watt yang 25% lebih terang daripada mentol bukan halogen biasa, dan ia menyala sebaik kunci berada di posisi On walaupun sebelum enjin dihidupkan. Sebab itulah suis lampu disertakan, tidak seperti kebanyakan model motor kapcai lain yang tiada suis lampu. Tidak cukup dengan itu, terdapat sepasang lampu DRL LED putih yang juga sangat terang. Hasilnya, tahap pencahayaan SYM Sport Rider 125i ini boleh dikatakan sebagai yang terbaik dalam kelasnya. Ia menyuluh dengan cahaya yang sangat terang seperti lampu kereta. Turut membantu ialah lampu belakang LED yang besar dan terang, yang terdiri daripada empat baris LED yang tersusun rapi. Seperti kebanyakan model motor kapcai yang dikeluarkan selepas tahun 2013, SYM Sport Rider ini menggunakan lampu isyarat membelok capang di belakang.

Pelananya boleh dibuka sama ada dengan menggunakan kunci ataupun dengan menggunakan butang pembuka di sebelah kanan hendal (memerlukan kunci berada di posisi On). Sebaik dibuka, kelihatan ruang simpanan barang yang sudah tentunya tidak cukup besar untuk memuatkan sebiji topi keledar tetapi masih cukup besar untuk memuatkan baju hujan, sarung tangan dan pengunci fork motor. Di belakangnya pula menempatkan tangki bahan api sebesar 4.2 liter dengan pam bahan api yang kelihatan jelas.

Meskipun enjin ECOTECH 123 cc ini mempunyai nisbah mampatan setinggi 9.5:1, namun enjinnya amat mudah untuk dihidupkan. Sekali tekan sahaja enjin sudah hidup, meskipun dihidupkan pada waktu awal pagi setelah berhari-hari tidak dihidupkan. Inilah salah satu kelebihan utama sistem pancitan bahan api yang membolehkan enjin dihidupkan dengan mudah tanpa memerlukan tuas pencekik seperti pada motor berkarburetor. Oh ya, saya hampir terlupa - anda perlu menarik tuas brek terlebih dahulu sebelum menekan butang penghidup. Ramai pengguna awal yang tidak mengetahui mengenainya dan menyangkakan penghidup motor mereka rosak, tetapi sebenarnya suis brek Sport Rider ini hanya membenarkan motor penghidup berfungsi selepas brek ditarik. Tuas peghidup tendangnya pula pendek, menyebabkan anda langsung tidak menyangka bahawa enjin motor ini mempunyai nisbah mampatan yang agak tinggi.




Sebaik punat penghidup ditekan, enjin melahu pada 1,500 rpm dengan bunyi yang begitu lembut. Sebaik genggam pendikit dipulas, enjin berputar dengan lebih galak dan lebih responsif. Kekuatan torknya amat terasa walaupun pada kelajuan rendah. Pada gear 4, 60 km/j dicapai pada 4,000 rpm, manakala 100 km/j dicapai pada lebih kurang 7,000 rpm. Oleh kerana motor ini masih dalam pantang, saya hanya menguji sehingga mencapai kelajuan 121 km/j yang dicapai pada 8,500 rpm, itu pun sekejap sahaja dan saya masih belum pulas habis lagi. Sebaliknya, saya mengekalkan kelajuan purata sekitar 70-80 km/j sahaja bagi kebanyakan masa. Kelajuan maksimum...? Sebuah video di YouTube yang sempat saya cari menunjukkan kelajuan maksimum 132 km/j ketika menuruni bukit Bandar Baru Selayang di Lebuhraya Rawang FT1, dicapai pada kelajuan enjin lebih kurang 9,500 rpm. OKlah tu, sekurang-kurangnya sudah cukup sesuai untuk ditunggang bagi perjalanan jauh, apatah lagi sekadar berulang-alik ke tempat kerja.

[Kemaskini: Rekod terbaru kelajuan maksimum bagi SYM Sport Rider 125i yang pernah saya uji setakat ini ialah 136 km/j semasa menuruni bukit di Lebuhraya MEX E20.]




Video di YouTube yang menunjukkan kelajuan maksimum 132 km/j di Lebuhraya Rawang FT1


Berapa jauh setangki penuh minyak SYM Sport Rider 125i ini boleh pergi...? Daripada tolok bahan api 5 bar penuh sehinggalah menunjukkan tiada lagi bar dan tolok bahan api mula berkelip. motor ini mampu bergerak sehingga 144.5 km, dengan penggunaan bahan api purata 49.7 km/L. Ia menjadikan SYM Sport Rider 125i ini sangat jimat minyak dan sangat sesuai untuk perjalanan jauh. Sebelum ini, memang wajib mengisi penuh minyak selepas 100-110 km.

Cuma satu-satunya perkara yang saya kurang berkenan ialah semasa hendak menurunkan gear. Menaikkan gear tiada masalah dan sangat lancar tanpa tersangkut-sangkut. Namun, hendak menurunkan gear ada kalanya agak liat dan keras, dan ada kalanya memerlukan saya memainkan pendikit ataupun mengurangkan kelajuan sehingga jadi betul-betul perlahan sebelum dapat menurunkan gear dengan mudah. Ramai penunggang kasual yang tidak kisah akan defisit sebegini, tetapi bagi saya yang lebih gemar menurunkan gear semasa menuruni bukit curam serta sebelum mengambil selekoh, ia menjejaskan sedikit pengendalian di selekoh serta menyebabkan kehilangan kuasa berharga ketika hendak memecut kembali. Ia juga bermaksud saya perlu lebih banyak bergantung kepada brek. Namun, tork enjin yang responsif hasil sistem pancitan bahan api yang cekap ini sedikit-sebanyak membantu mengatasi defisit ini.

Jadi patutkah anda membeli motosikal SYM Sport Rider 125i ini...? Jawapan saya, semestinya ya. SYM Sport Rider 125i ini mempunyai segala-galanya yang anda inginkan pada sebuah motosikal kapcai 125 cc - enjin pancitan bahan api bawah 125 cc yang kedua paling berkuasa dalam kelasnya, ada takometer dan speedometer digital yang selama ini hanya ada pada model-model raja kapcai, jimat minyak, boleh berjalan jauh dengan setangki penuh, ada lampu-lampu yang sangat terang - dan yang paling penting, SYM Sport Rider 125i ini disokong oleh jaminan 3 tahun atau 30,000 km (yang mana dahulu), yang merupakan tempoh jaminan terpanjang yang diberikan oleh mana-mana pengeluar motosikal kapcai. Paling penting, dengan harga atas jalan RM5,777 termasuk GST (tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia semestinya merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api mampu milik.

Laman sesawang rasmi: http://www.sym.net.my





Spesifikasi SYM Sport Rider 125i 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 123 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57 mm
Kuasa kuda maksimum: 9.5 PS (7.2 kW) @ 8,000 rpm
Tork maksimum: 10.8 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Sistem bahan api: Pancitan bahan api elektronik (EFI)
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 107 kg
Kapasiti tangki bahan api: 4.2 L
Kelajuan maksimum: 136 km/j (ujian di Lebuhraya MEX E20)
Penggunaan bahan api: 49.7 km/L (diuji)

Apa yang saya suka
  1. Pakej lengkap yang memenuhi citarasa penunggang Malaysia (enjin pancitan bahan api, kombinasi takometer dan speedometer digital, dsb.) pada harga mampu milik
  2. Enjin serba baharu yang sangat jimat minyak dan kedua paling berkuasa dalam kelasnya
  3. Lampu-lampu yang sangat terang
  4. Pengendalian yang sangat bagus kerana dilengkapi penyerap hentak gas di belakang
  5. Model yang kurang "panas" di kalangan pencuri motosikal
Apa yang saya tidak suka
  1. Ada kalanya agak liat hendak menurunkan gear






Pandangan hadapan SYM Sport Rider 125i




SYM Sport Rider 125i menggunakan mentol lampu halogen serta dilengkapi sepasang lampu DRL LED




Lampu hadapan Sport Rider ini sangat terang pada waktu malam




Lampu belakang LED dan lampu isyarat membelok capang di belakang seperti kebanyakan model motosikal kapcai baharu pasca 2013




Lampu belakang LED ini sangat terang dan sangat cantik pada waktu malam




Pandangan sisi motosikal SYM Sport Rider 125i




SYM Sport Rider 125i ini menggunakan enjin 125 cc ECOTECH serba baharu hasil kepakaran jurutera Malaysia




Lokasi pemancit bahan api




Takometer dan paparan LCD digital yang nampak sporty dan bergaya




Panel meter Sport Rider ini nampak cantik pada waktu malam




Suis-suis hendal di sebelah kiri - tiada tuas pencekik sebagaimana model berkarburetor




Suis pembuka pelana pada suis hendal di sebelah kanan




Apabila dibuka, kelihatan ruang simpanan yang agak besar walaupun tidak berupaya memuatkan sebiji topi keledar




Tangki minyak 4.2 liter di belakang dengan pam bahan api yang kelihatan




Jumlah petrol daripada tolok bahan api penuh 5 bar sehingga ia mula berkelip berupaya membawa anda sehingga 144.5 km - memang sangat jimat!

38 comments:

  1. Dengar kata enjin model ni bergegar bila sampai rpm4500..betul ke??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang betul ada gegaran, tetapi bukan pada 4,500 rpm, sebaliknya pada 9,000 rpm atau lebih kurang 126 km/j. Jadi, kelajuan paling selesa ialah sekitar 120 km/j ke bawah. Ini hasil daripada pengalaman saya sendiri.

      Delete
    2. Nice la.. Saya mmg bcadang nak beli model ni.. Tapi ramai yg cakap jgn beli jenama sym, baik ambik honda atau yamaha.. Apa pendapat?? Mana lebih berbaloi?? Honda wave 125i atau sport rider?? Tq

      Delete
    3. Sejujurnya, saya lebih mengesyorkan SYM Sport Rider 125i daripada Honda Wave 125i. Ia susulan pengalaman buruk saya semasa memiliki Honda Wave Ultimo dahulu, yang mana enjinnya rosak dan terpaksa dibaik pulih penuh (full overhaul) semasa ia baru 2 tahun (67,000 km). Jika dibandingkan, kesemua motosikal yang pernah saya miliki sebelum itu hanya perlu dibaik pulih semasa lebih kurang 5 tahun (90,000 km). Lebih teruk lagi, ia terpaksa dibaik pulih penuh 3 kali dalam tempoh tidak sampai 5 tahun. Tidak tahan dengan kerenahnya, saya akhirnya menjualnya.

      Delete
  2. saya dah depo utk sym sr125 ni.1-2 hari utk siap..berapa jarak@tempoh pantang motor ni?byk review yg baik2 je utk moto ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam buku panduan pengguna, penukaran minyak enjin pertama dilakukan semasa 300 km pertama atau 1,000 km pertama (maklumat agak bercanggah di sini) manakala penukaran kedua pula ialah pada 2,000 km. Seterusnya, penukaran minyak enjin dilakukan setiap 2,000 km. Tempoh "break-in" motosikal ini ialah sepanjang 1,000 km pertama.

      Kalau diikutkan, bohonglah kalau saya katakan motor ini terlalu sempurna 100% tanpa sebarang cacat-cela, cuma komitmen pihak MForce dalam pembekalan rangkaian alat ganti serta khidmat lepas jualan membolehkan mereka merampas kedudukan ketiga dalam pasaran motosikal Malaysia. Setakat ini, isu yang saya kenal pasti ialah penukaran gear yang keras (tetapi semakin baik sekiranya sering menggunakan minyak enjin sekurang-kurangnya semi-sintetik), tayar Kenda yang kurang menggigit, pelana yang terlalu tinggi walaupun untuk orang berketinggian 177 cm seperti saya, brek yang kadang-kala berbunyi dan ralat speedometer yang agak besar. Pun begitu, ia tidaklah seteruk mana pada saya.

      Delete
  3. Dimanakah kedudukan sport raider antara lc135 & gt128? Apakah cara utk mengatasi masalah getaran pd kelajuan melebihi 9000 rpm utk satu perjalanan jauh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dari segi prestasi, kedudukan Sport Rider adalah yang ketiga selepas 135LC & GT128. Tentang getaran, ya selepas 9,000 rpm.

      Delete
  4. salam tuan, nak tanya adakah sr125i ni motor yang reliable utk tempoh masa yang panjang? saya bercadang nak beli motor ni tapi lepas baca komen kat fb tentang masalah semput dan lain2 lagi yg kerap jadi walaupun baru lepas hantar kat centre buat saya takut pulak. pendapat tuan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pakai ok je bro. Motor semput tu saya rasa ikut luck ataupun hanya perasaan shj. Setakat ni pakai ok je...

      Delete
  5. Terdapat beberapa masalah jentera Sym Sport 125i SE kepunyaan saya.. x sampai setahun starter x boleh guna dan indikator minyak meragam.. Asalnya ingat masalah bateri lemah, setelah bateri ditukar masalah tsb masih lagi ada.. Mohon nasihat dimana silapnya serta mendapatkan alatganti..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagi masalah starter, cuba tukar starter relay terlebih dahulu. Jika masalah berterusan walaupun sudah tukar relay barulah tukar starter motor.

      Bagi masalah indikator minyak meragam, ia isu yang dikenal pasti berpunca daripada reben sesentuh pelampung sudah tidak bersentuhan dengan elemen perintang boleh laras pada pelampung akibat engsel lengan pelampung yang longgar. Ia boleh ditangani secara sementara dengan mengetatkan engsel pelampung dengan menggunakan pin atau klip kertas. Namun, jika masalah berterusan, tukar sahajalah pelampung itu.

      Delete
  6. Button pembuka tempat duduk juga tidak berfungsi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masalah tersebut boleh diatasi dengan menyembur WD40 pada sambungan kabel solenoid pembuka selak tempat duduk.

      Delete
  7. Button pembuka tempat duduk juga tidak berfungsi..

    ReplyDelete
  8. Bukan ada warranty 3 tahun? atau bro dah cecah 30k km?

    ReplyDelete
  9. kenapa asal sya res habis minyak pandai semput? tak kira berhenti atau berjalan
    .. apa yg mau kena set?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada 2 kebarangkalian, sama ada pam bahan api ataupun masalah pada TPS. Jika semput berpunca daripada pam bahan api, tanda-tanda lain termasuklah kelajuan melahu menjadi lebih perlahan daripada biasa (bawah 1,500 rpm).

      Bagi masalah semput berpunca daripada TPS, petanda lain ialah enjin tiba-tiba menjadi sebu semasa memulas pendikit pada sudut tertentu sahaja.

      Untuk menguji sama ada yang mana satu antara pam bahan api yang bermasalah, lakukan ujian tekanan pam bahan api dengan membeli alat tolok tekanan bahan api yang boleh dibeli di Lazada. Pastikan tekanan sekitar 290-300 kPa (42-43 psi). Jika kurang daripada itu bermakna pam bahan api bermasalah & perlu diganti.

      Delete
  10. Maaf data nak tanya saya pngunan motor sym 125i tapi pagi tadi engine motor saya taiming motor tiba tiba tinggi..kenapa ya..bolah bantu saya???

    ReplyDelete
  11. Lampu enjin still menyala wlaupun dh tukar minyk hitam.. dah try disconnect terminal bateri pun masih sama.. knp ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maksud anda, lampu Oil Check...? Anda kena reset sendiri lampu itu. Caranya:-

      1.) Tekan butang Mode berulang kali sehingga pael LCD memaparkan mod Oil.
      2.) Lampu Oil Check akan menyala sebaik angka jarak pada mod Oil sudah melebihi 1,000 km. Tekan butang Set laju-laju sebanyak dua kali.
      3.) Angka jarak Oil sepatutnya sudah diset semula kepada 0, dan lampu Oil Check sepatutnya sudah padam.

      Delete
    2. dah reset kosong balik dah..tpi lmpu still mnyala jgk

      Delete
    3. Lampu Oil Check masih menyala walaupun anda sudah reset...? Bermakna meter itu yang bermasalah.

      Delete
  12. Nk tnya skit..dlm masa motor tgh pantang,brpa laju yg boleh kita bwa..100km/h ke 120km/h boleh ka..

    ReplyDelete
  13. Siapa tahu d mna ada jual TPS sym125i?

    ReplyDelete
  14. biasa kat mana nak cari cover set sym125i ni ya? macam susah je nak cari

    ReplyDelete
  15. Nk tya berkenaan gear...motor sya dh cukup berusia 1 tahun..masalah gear mula timbul..gear menjadi keras utk tukar dan masa menukar gear seperti ada bunyi di bawah enjin..boleh bgi pencerahan x apa perlu sya lakukan utk baik pulih or smoff kan gear..

    ReplyDelete
  16. Salam n nite...
    Nk tanya...motor n elektronik tiba2 off..
    😞

    ReplyDelete
  17. Pada kelajuan 80km/j Moto jadi semput.kenapa ya.

    ReplyDelete
  18. Pada kelajuan 80km/j Moto jadi semput.kenapa ya

    ReplyDelete
    Replies
    1. ini slalu masalah fuel pump.. buka and cuci semula

      Delete
  19. saya dapat 140km/j 10000rpm..betul2 sampai cut off

    ReplyDelete
  20. Teringt kt jenama nitro bila sebut barang taiwan..rosak xdpt dibaiki..buang mcm tu je duitt..teknologi enth apa2..baik jgn ambik risiko beli jenama taiwan..

    ReplyDelete
  21. Motor sport rider Sya keluar kdai satu minggu dh bunyi auto clutch Skrang dh 6bulan Sya pakai smkin kuat plak auto clutch dia bunyi Sya tnya kt kdai Sya ambik motor tu dia kata biasa la tu gasket head bocor sikit.motor memang sedap naik nk hantar SYM centre jauh plk

    ReplyDelete
  22. Nak tanya. sym125 1st molel 2016 Sama tak dengan yang sekarang. New Limited Edision dengan cover set yg baru ini?.

    ReplyDelete
  23. crankshaft sym125 ni, sama dengan crankshaft mana ya? Sush nak cari stok sym ni. Lagpun mahal.huhu. tlg dlu ya kalau ada yg tau.tq

    ReplyDelete