Monday, July 10, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 3: Jalan Melaka-Muar FT5 & Jalan Padang Temu M100 / Melaka-Muar Road FT5 & Padang Temu Road M100




Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan kembali semula setelah sebegitu lama berehat. Kali ini saya akan memulakan marathon siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan bagi memastikan saya berupaya menamatkan keseluruhan siri ini sebelum bermulanya edisi keempat FTRoadpedia bagi Zon Utara yang diramalkan akan diadakan pada penghujung bulan ini. Cepatnya...!!! Ya, masa selang bagi siri FTRoadpedia kini semakin pendek disebabkan komitmen Kementerian Kerja Raya yang semakin bersemangat meneruskan siri FTRoadpedia setelah kejayaan edisi-edisi terdahulu.

Siri reviu Jalan Melaka-Muar FT5 (dan Jalan Padang Temu M100) menjadi pembuka diari hari kedua FTRoadpedia Zon Selatan pada 8 Mei 2017. Sebenarnya memang ada reviu Jalan Melaka-Muar  FT5 dalam siri reviu Melaka Bandaraya Bersejarah pada tahun 2014, tetapi ia lebih merupakan kisah perjalanan saya dan sahabat saya Khairul Azmi untuk menikmati ikan bakar di Serkam. Upacara pelepasan diadakan di Hotel Swiss Garden Melaka di mana kami menginap pada malam sebelumnya, disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri wakil-wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dan JKR Melaka Tengah, JKR Jasin dan JKR Alor Gajah.




Jalan Melaka-Muar FT5 bermula sebagai Laksamana Cheng Ho FT5 di Bukit Cina. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam entri kota sesat Bandaraya Melaka, anda terpaksa mengharungi kota sesat jika mahu meneruskan perjalanan dari pangkal Jalan Melaka-Port Dickson FT5 dengan pangkal Jalan Melaka-Muar FT5. Ia seterusnya berubah menjadi Jalan Semabok FT5 sebelum bertemu dengan Lebuh AMJ FT19 di Persimpangan Semabok di mana FT5 bertindih dengan FT19 sehingga ke Persimpangan Duyong di mana FT5 dilencongkan keluar ke Jalan Melaka-Muar FT5. Saya menyangkakan bahawa kami akan menggunakan laluan FT5 100%, tetapi ternyata sangkaan saya meleset. Kami sebaliknya melencong ke Bukit Senjuang untuk menggunakan laluan Jalan Ujong Pasir / Jalan Padang Temu M100. Bagus juga, sekurang-kurangnya saya dapat menghasilkan satu lagi reviu jalan raya dalam masa yang sama.

Sebelum itu, biar saya ceritakan serba sedikit mengenai Bukit Cina dan Bukit Senjuang. Bukit Cina merupakan satu lokasi bersejarah di Melaka yang menjadi saksi kepada satu peristiwa penting dalam Kesultanan Melayu Melaka iaitu perkahwinan Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah dengan puteri Maharaja China, Puteri Hang Li Po. Perkahwinan politik ini diadakan bagi mengeratkan hubungan diplomatik antara kerajaan Melaka dengan kerajaan China. Sebagai hadiah perkahwinan, Bukit Cina dikurniakan sebagai kediaman rasmi Puteri Hang Li Po. Di kaki Bukit Cina terdapat Perigi Raja, juga kelihatan dari pangkal Jalan Laksamana Cheng Ho FT5.

Sementara itu, Bukit Senjuang atau dikenali juga sebagai Bukit St. John merupakan satu lagi bukit bersejarah di Bandaraya Melaka. Bukit Senjuang menempatkan Kota St. John yang menempatkan Gereja St. John. Kota St. John dibina oleh pihak penjajah Belanda di situ bagi mempertahankan Bukit Senjuang daripada serangan musuh. Di Bandar Hilir pula terdapat Bukit St. Paul, juga dikenali sebagai Bukit Bendera, yang menempatkan Kota A' Famosa yang dibina oleh pihak penjajah Portugis setelah berjaya menumbangkan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Kami mula memasuki Jalan Ujong Pasir M100 sebaik hendak meninggalkan Bukit Senjuang. Di situ terletaknya Perkampungan Portugis yang menempatkan komuniti Portugis Melaka yang menetap di situ sejak turun-temurun. Kebanyakan orang-orang Portugis Melaka bekerja sebagai nelayan dan pemandu pelancong. Mereka turut mewarisi adat resam budaya tradisional mereka yang menjadi salah satu identiti pelancongan di Melaka.

Jalan Ujong Pasir M100 seterusnya bertukar menjadi Jalan Padang Temu M100. Jalan ini lazimnya digunakan sebagai laluan pintas ke pusat bandar lama Melaka dari arah Jalan Melaka-Muar FT5 tanpa perlu meredah kesesakan di pusat bandar raya. Tidak lama kemudian, kami bertemu semula dengan Jalan Melaka-Muar FT5 di Kampung Alai.

Kami memasuki semula Jalan Melaka-Muar FT5 di Kampung Alai. Dari sini sehingga ke Muar, pemandangan di sepanjang jalan ini didominasi lanskap kampung-kampung dan rumah-rumah penduduk yang tidak putus-putus, diselang-selikan dengan pekan-pekan di sepanjang laluan. Disebabkan itu, had laju di Jalan Melaka-Muar FT5 sepanjang lebih kurang 45 km itu kekal 60 km/j di sepanjang laluan - tidak lebih, tidak kurang. Sebenarnya, senario sebegini memang pernah diceritakan dalam buku Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang bagi menggambarkan kepadatan penduduk di sepanjang koridor Melaka-Muar, iaitu "...bahawa dari Air Leleh ke Muar rumah tidak berputusan..."

Tidak jauh dari Kampung Alai terletaknya pekan Telok Mas yang merupakan pekan terakhir dalam daerah Melaka Tengah sebelum memasuki daerah Jasin. Di situ menempatkan Sekolah Henry Gurney, sekolah khas bagi tahanan juvana yang sering saya gelar sebagai "sekolah budak jahat". Tidak jauh dari Telok Mas pula ialah pekan Umbai, yang turut menempatkan salah satu medan ikan bakar yang terkenal di negeri Melaka. Sebenarnya, Umbai bukanlah satu-satunya pekan yang terkenal dengan medan ikan bakarnya. Selain Umbai, terdapat juga medan ikan bakar di Serkam, di mana saya dan Khairul Azmi menikmati ikan bakar semasa kembara Melaka Bandaraya Bersejarah pada tahun 2014.

Pekan seterusnya ialah Merlimau. Di sinilah penamat asal bagi jajaran terawal Jalan Persekutuan 5 iaitu Jalan Melaka-Merlimau FT5 yang seterusnya disambung sehingga ke Muar. Seperti yang pernah saya ceritakan dalam entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 5, Jalan Melaka-Merlimau dibina pada tahun 1887 sebelum disambung sehingga ke Muar pada tahun 1929. Sebenarnya, pada asalnya tiada sambungan terus bagi menghubungkan antara Jalan Melaka-Merlimau FT5 dengan Jalan Merlimau-Muar FT5, tetapi kemudian satu sambungan fizikal dibina bagi mewujudkan kesinambungan laluan. Hasilnya, jajaran baki bagi Jalan Melaka-Merlimau FT5 membentuk laluan perintis bagi Jalan Merlimau-Batu Gajah M14 manakala terdapat sebatang jalan pendek yang dikenali sebagai Jalan Muar Lama di Merlimau.

Pekan terakhir dalam negeri Melaka serta sepanjang Jalan Melaka-Muar FT5 ialah Sungai Rambai. Sebaik menghampiri Sungai Kesang yang membentuk sempadan negeri Melaka-Johor, sudah ramai wakil dari JKR Melaka yang sudah menunggu. Sebaik melintasi Sungai Kesang, kami akhirnya menjejakkan kaki ke negeri Johor. Penamat Jalan Melaka-Muar FT5 terletak betul-betul selepas jambatan Sungai Kesang iaitu di Persimpangan Kesang, di mana Jalan Melaka-Muar FT5 bertemu dengan Lebuh AMJ FT19. Semasa memasuki Lebuh AMJ, kod laluannya bertukar menjadi Lebuh AMJ FT5; Persimpangan Kesang membentuk titik penamat bagi FT19.

Checkpoint kami seterusnya ialah di kuarters JKR Tangkak di mana kami disajikan dengan sarapan pagi berupa bihun goreng dan Kopi 434 Muar yang terkenal di sini. Di situ juga, kami turut disajikan dengan pameran Litar Lumba Tangkak dan model Stesen Servis Mudah Alih JKR.

Lokasi kami yang seterusnya ialah Jalan Pintasan Muar FT224 yang turut menempatkan Jambatan Kedua Muar FT224. Apa yang menariknya di situ...? Nantikanlah reviu mengenainya hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Upacara pelepasan rombongan FTRoadpedia di Hotel Swiss Garden Melaka






Penyampaian plak penghargaan kepada wakil-wakil JKR Melaka dan JKR daerah






Upacara pelepasan rombongan FTRoadpedia yang disempurnakan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof






Jalan Melaka-Muar FT5 bermula sebagai Jalan Laksamana Cheng Ho FT5. Perhatikan Bukit Cina di sebelah kiri






Menghampiri Persimpangan Bukit Senjuang






Persimpangan Bukit Senjuang untuk ke Bukit Senjuang






Kami melencong ke Bukit Senjuang untuk ke Jalan Ujong Pasir M100






Pokok-pokok yang tumbuh merimbun di kaki Bukit Senjuang






Permulaan Jalan Ujong Pasir M100






Perkampungan Portugis terletak di sebelah kanan jalan ini






Padang Temu






Lanskap perkampungan dan rumah-rumah penduduk mula mendominasi pemandangan






Sudah menghampiri penamat Jalan Padang Temu M100






Kembali semula ke Jalan Melaka-Muar FT5 di Kampung Alai






Suasana di Kampung Alai






Salah satu medan selera di Kampung Alai






Kelihatan jajaran lama FT5 yang dipintas di Bukit Punggur






Menghampiri Telok Mas






Simpang masuk ke Sekolah Henry Gurney (aka "sekolah budak jahat")






Simpang ke Bukit Tembakau






Muar hanya tinggal 32 km sahaja lagi






Di sinilah saya dan Khairul Azmi memasuki jalan ke medan ikan bakar Serkam






Satu lagi simpang masuk ke Serkam - Makam Tun Teja terletak di hadapan lagi






Terlepas dua simpang tadi...? Tak apa, simpang ini pun boleh ke Serkam






Perjalanan ke Muar berbaki 25 km sahaja lagi






Sempang Pantai






Belok kiri untuk ke Merlimau dan Jasin






Jalan di sebelah kiri tidak akan membawa anda ke Batu Gajah di Perak






Sungai Rambai, pekan terakhir di negeri Melaka






Himpunan wakil-wakil JKR Melaka dan Selia Selenggara menunjukkan bahawa kami sudah hampir meninggalkan negeri Melaka






Melintasi Sungai Kesang yang membentuk sempadan negeri Melaka-Johor






Dari sini boleh nampak Lebuh AMJ FT19






Penamat Jalan Melaka-Muar FT5 di Persimpangan Kesang






Singgah sebentar ke kompleks kuarters JKR Tangkak untuk bersarapan






Jom kita pekena Kopi 434 Muar dulu...!!!






Datuk Seri Fadillah Yusof menandatangani buku tetamu






Pameran gambar projek Litar Lumba Tangkak oleh JKR Tangkak






Masa untuk meneruskan perjalanan ke Batu Pahat pula

No comments:

Post a Comment