Saturday, July 8, 2017

Lebuh Raya ke Neraka Bahagian 2: Projek jejambat lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 / Highway to Hell Part 2: Federal Highway FT2 motorcycle lane overpass project

Salam sejahtera,

Pada pagi 15 Jun 2017, Kementerian Kerja Raya Malaysia sekali lagi melawat lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 selepas lawatan berprofil tinggi diadakan pada 29 Ogos 2016 bagi meninjau permasalahan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2. Bezanya, jika lawatan tahun lalu bertujuan bagi meninjau permasalahan di lorong motosikal itu sendiri, lawatan kali ini pula lebih kepada majlis pecah tanah bagi projek jejambat motosikal FT2. Sayangnya, saya tidak berpeluang untuk menyertai konvoi motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 disebabkan kesibukan kerja di sepanjang pagi tersebut, meskipun saya sendiri sudah menerima undangan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia dan juga daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Apa pun, terima kasih kepada Datuk Seri Fadillah dan juga KKR kerana telah menyimpan koleksi-koleksi gambar semasa lawatan 15 Jun 2017 ini untuk dikongsikan bersama.

Seperti yang telah diutarakan dalam reviu lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2, salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah masalah banjir di terowong motosikal di Exit 226 Persimpangan Templer (aka Persimpangan Jalan 222) setiap kali selepas hujan lebat. Kalau diikutkan, terowong motosikal yang lain di sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2 juga berpotensi mengalami masalah banjir kilat, tetapi masalah banjir kilat di Exit 226 ini adalah yang paling teruk. Kenapa pula masalah ini berlaku...? Semuanya disebabkan oleh kecacatan reka bentuk pada terowong motosikal Exit 226 Persimpangan Templer itu sendiri.

Semasa pembinaan Lebuhraya Persekutuan FT2 dari tahun 1974 hingga 1977, sepasang lorong basikal yang kini sudah dijadikan lorong motosikal dibina bagi mengasingkan basikal daripada lorong-lorong trafik utama. Di kebanyakan jajaran Lebuhraya Persekutuan FT2, jejambat dibina merentangi atas laluan utama, tetapi bagi kes Exit 226 kali ini jejambat laluan utama pula dibina di atas Jalan Templer / Jalan PPP Narayanan yang dilintasinya. Namun, bagi lorong motosikal pula, ia dibina sebagai terowong di bawah Jalan Templer / Jalan PPP Narayanan, dan inilah punca kecacatan reka bentuk terowong tersebut.

Reka bentuk terowong dipilih kerana kos pembinaannya yang murah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah sekadar mengorek lubang melintasi jalan kecil, memasang pembetung dan seterusnya menimbusnya kembali dengan tanah. Ia menjadikan kos pembinaannya lebih murah daripada pembinaan jejambat. Namun, ia juga menjadi punca masalah banjir kilat di situ kerana laluan lorong motosikal di situ menjunam semasa memasuki terowong tersebut sebelum mendongak semula semasa keluar, menjadikan terowong di situ berbentuk seperti "mangkuk" yang menyebabkan air hujan berkumpul di dalam terowong. Memang ada disediakan pam untuk mengepam keluar air banjir di terowong tersebut, tetapi ia sia-sia sahaja dan tidak berupaya menangani banjir kilat di terowong tersebut. Akibat kecacatan reka bentuk tersebut, terowong Exit 226 terpaksa ditutup setiap kali hujan lebat dan trafik motosikal dilencongkan keluar ke persimpangan lampu isyarat Exit 226 sebelum memasuki lorong motosikal semula. Ada juga penunggang motosikal yang masih hendak mencuba nasib yang akhirnya ternyata tidak baik.

Susulan isu banjir kilat di terowong motosikal Exit 226 itu, KKR mengumumkan pembinaan sepasang jejambat motosikal baharu bagi menggantikan "terowong mangkuk" di Exit 226 Persimpangan Templer. Ia susulan kejayaan KKR mendapatkan peruntukan sejumlah RM29 juta bagi kerja-kerja pembinaan jejambat tersebut. Selain pembinaan jejambat, turut termasuk dalam pelaksanaan penambahbaikan lorong motosikal tersebut ialah pelebaran jajaran lorong motosikal yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada 2.0 m kepada 3.0 m. Mungkin lebar lorong 3 meter ini belum cukup memuaskan kerana masih tidak sesuai untuk kelajuan operasi 80 km/j, tetapi kalau sekadar kelajuan operasi 50-60 km/j bolehlah. Cuma cabaran besar di sini ialah bagaimana pula dengan terowong-terowong yang memang sudah sedia sempit dan tidak boleh dilebarkan lagi...? Adakah perlu pecahkan semula untuk membina terowong yang lebih besar...? Wallahualam.

Kerja-kerja pembinaan jejambat motosikal dan pelebaran lorong motosikal dimulakan pada Jun 2017 dan dijangka siap April 2018. Projek yang bakal menelan kos keseluruhan RM29 juta ini bakal memberi manfaat kepada lebih 55,000 pengguna lorong motosikal yang menggunakan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai laluan harian ke tempat kerja. Projek jejambat motosikal dan pelebaran motosikal ini juga merupakan kesinambungan kepada penambahbaikan awal yang dilakukan dari aspek penandaan jalan dan ciri-ciri keselamatan yang dilakukan bermula 15 September 2016 sehingga 16 Disember 2016 dengan kos RM500,000.

Apa pun, inisiatif yang ditunjukkan ini jelas menunjukkan keprihatinan KKR dalam menambah baik lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 yang sering mengundang kontroversi selama ini. Paling penting, inisiatif penambahbaikan oleh KKR menjadikan lorong-lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lorong motosikal yang paling terjaga dan diberi perhatian oleh kerajaan, meskipun ia masih belum mencapai tahap yang betul-betul memuaskan. Jadi bila pula barulah lorong-lorong motosikal mencapai tahap yang benar-benar memuaskan...? Untuk mencapai tahap yang benar-benar memuaskan, Arahan Teknik (Jalan) 10/86: A Guide to the Design of Cycle Track yang diguna pakai selama ini dalam pembinaan lorong motosikal perlu dikaji semula kerana ia sama sekali tidak relevan dengan dinamik pengendalian motosikal moden khususnya motosikal yang lebih besar. Justeru, JKR perlu membangunkan semula satu Arahan Teknik pengganti atau setidak-tidaknya pindaan dengan mengambil kira semua saranan keselamatan yang diutarakan oleh MIROS dan IRAP.





Datuk Seri Fadillah kembali semula ke lorong motosikal




Bersiap-sedia dari stesen LRT KL Gateway-Universiti




Motor Yamaha 135LC kuning menjadi pilihan Datuk Seri Fadillah kali ini




Menyelusuri terowong yang gelap




Tiba di lokasi - berbincang mengenai keadaan lorong motosikal yang sempit serta isu "terowong mangkuk" yang menjadi punca banjir di terowong Jalan 222




Datuk Seri Fadillah mengendalikan jengkaut dalam majlis pecah tanah projek jejambat motosikal Jalan 222




Datuk Seri Fadillah diberi penerangan mengenai projek jejambatan motosikal Jalan 222




Majlis penyerahan Arahan Kerja bagi projek jejambat motosikal Jalan 222 dan pelebaran lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha




Sidang media sebaik selepas majlis pecah tanah




Datuk Seri Fadillah menurunkan tandatangan pada motor Yamaha 135LC kuning yang digunakan oleh beliau sebagai tanda kenang-kenangan
(Semua kredit gambar: Datuk Seri Fadillah Yusof, Pn. Misiah Taib & Kementerian Kerja Raya Malaysia)

No comments:

Post a Comment