Wednesday, September 6, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 9: Jalan Skudai J1

Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan terus bersiaran setelah sebegitu lama berhenti rehat susulan kesibukan kerja serta sedikit masalah kesihatan. Tatkala siri reviu FTRoadpedia yang lepas rata-ratanya begitu lancar tanpa sebarang masalah, buat pertama kalinya saya berasa sakit hati kerana kesalahan kod laluan bagi siri FTRoadpedia Zon Selatan kali ini telah menyebabkan saya kehilangan satu reviu jalan raya yang berharga. Bagaimana boleh jadi begitu...? Teruskan membaca untuk mengetahui sebabnya.

Semasa pengumuman laluan yang bakal digunakan dalam siri jelajah FTRoadpedia Zon Selatan, Lebuhraya Sultan Iskandar FT52 diumumkan sebagai salah satu laluan yang turut disertakan dalam siri jelajah kali ini. Jadi saya mengambil kesempatan untuk tidur sebentar setelah keletihan selepas puas berseronok di Tanjung Piai dan bangun semula sebaik bas memasuki Pekan Nenas untuk bersedia sebelum memasuki Lebuhraya Sultan Iskandar FT52. Namun, sebaik berada di Persimpangan Gelang Patah-Ulu Choh, saya berasa pelik apabila bas terus jalan dan tidak belok ke kanan, sebaliknya bas berhenti sebentar di pintu gerbang sempadan daerah Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Pontian FT5 dan bukannya Lebuhraya Sultan Iskandar FT52. Apabila saya bertanya kepada para pegawai Kementerian Kerja Raya kenapa tidak menggunakan Lebuhraya Sultan Iskandar FT52, mereka menyangkakan bahawa Jalan Skudai dari Teluk Danga sehingga ke pusat bandar raya Johor Bahru itu sebagai FT52, sedangkan kod laluan itu sebenarnya ialah J1, bukannya FT52. Namun, dalam senarai inventori jalan persekutuan yang diwartakan oleh KKR jelas menyatakan bahawa FT52 hanya merangkumi Lebuhraya Sultan Iskandar, bukannya seperti yang disebut dalam Google Maps dan langsung tidak termasuk Jalan Skudai. Inilah padahnya apabila terlalu mempercayai peta Google Maps, sedangkan saya sudah mengesan begitu banyak kesalahan kod laluan dalam peta Google Maps. Akibatnya, saya tidak fasal-fasal terlepas reviu Jalan Johor Bahru-Pontian FT5 yang dikenali sebagai Jalan Johor FT5 di daerah Pontian dan Lebuhraya Pontian di daerah Johor Bahru.

Saya betul-betul marah akan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu. Pada saya, kesilapan kod laluan sebegitu tidak boleh dimaafkan, lebh-lebih lagi apabila aplikasi Aduan Jalan KKR sendiri banyak bergantung kepada penggunaan Google Maps. Semasa peta Google Maps boleh disunting melalui laman Google Map Maker (sekarang sudah ditutup), saya pernah beberapa kali melaporkan kesalahan kod laluan tersebut, tetapi pembetulan oleh saya sendiri ditolak mentah-mentah, sedangkan Google Maps tidak pernah langsung menyemak semula kesahihan kod laluan pada peta mereka dengan pihak KKR mahupun JKR. Disebabkan kesilapan kod laluan yang memalukan ini, bermula daripada edisi FTRoadpedia seterusnya di Zon Utara, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi percaya bulat-bulat akan senarai kod laluan yang bakal dilalui tetapi sebaliknya menyemak dahulu dengan terperinci setiap kod laluan tersebut dengan menggunakan Google Maps Street View.

Cukuplah dengan episod kesilapan kod laluan yang menyakitkan hati itu. Kita teruskan pula dengan sejarah ringkas Jalan Skudai J1 yang sedikit-sebanyak berkaitan dengan sejarah Jalan Persekutuan 1. Untuk pengetahuan anda, Jalan Skudai J1 dahulunya merupakan sebahagian daripada Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT1. Jajaran Johor Bahru-Kulai dibina pada tahun 1915, manakala jajaran Kulai ke Ayer Hitam pula disiapkan pada tahun 1928. Namun, setelah projek Lebuhraya Skudai FT1 siap sepenuhnya pada November 1985, jajaran pesisir pantai Jalan Skudai dari Persimpangan Teluk Danga sehinggalah ke pusat bandar raya Johor Bahru diturunkan taraf kepada Jalan Negeri Johor J1. Sementara itu, laluan Lebuhraya Skudai FT1 dari Persimpangan Teluk Danga pula dilencongkan melalui Jalan Larkin (kini Jalan Tun Abdul Razak) manakala Bulatan Johor Bahru yang merupakan permulaan kepada Jalan Persekutuan 3 dirobohkan dan digantikan dengan persimpangan bertingkat. Hasilnya, terdapat dua jalan yang bernama Jalan Skudai, iaitu laluan tepi pantai yang diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor J1 dan laluan ke Skudai yang membentuk sebahagian Lebuhraya Skudai FT1.

Asalnya, seluruh jajaran Jalan Negeri Johor J1 merupakan jalan raya tunggal dua lorong, kecuali jajaran pendek dari Istana Bukit Serene sehingga ke Persimpangan Teluk Danga yang merupakan jalan raya kembar hasil projek Lebuhraya Skudai FT1. Namun, pada tahun 1996, sebuah jejambat atas laut dibina dari tapak Kompleks Imigresen & Kuarantin (CIQ) Tanjung Puteri sehingga ke tapak projek JB Waterfront City di hadapan Istana Besar bagi laluan arah barat. Seterusnya, semasa projek Danga Bay pula, jajaran jalan raya kembar di hadapan Istana Bukit Serene dilanjangkan lagi sehinggalah ke jalan susur ke Danga Bay dari arah Johor Bahru. Kini, satu-satunya jajaran jalan raya tunggal hanyalah dari penamat jejambat Persiaran Tun Sri Lanang J1 sehinggalah ke persimpangan Jalan Gertak Merah.

Ada sebabnya kenapa Jalan Negeri Johor J1 begitu lama menjadi jalan raya tunggal 2 lorong sebelum berubah wajah menjadi jalan raya kembar 6 lorong. Menurut Sultan Ibrahim Ismail, moyang baginda iaitu Sultan Sir Ibrahim mendirikan Istana Bukit Serene sebagai istana rasmi Sultan Johor di lokasi sekarang agar dapat menikmati panorama indah di Pantai Lido. Bukan Istana Bukit Serene sahaja, malah menurut Sultan Ibrahim Ismail lagi, pelbagai infrastruktur utama kerajaan negeri Johor seperti Hospital Sultanah Aminah, Bangunan Majlis Agama Islam Johor, Mahkamah Syariah Johor Bahru dan Masjid Sultan Abu Bakar kesemuanya dibina menghadap tepi pantai atas sebab sama. Namun, tekanan terhadap Jalan Negeri Johor J1 yang hanya sekadar 2 lorong sahaja menyebabkan jalan itu sesak teruk sehingga memaksa ia dinaik taraf menjadi jalan raya kembar, yang tentunya memerlukan Pantai Lido ditambak. Tatkala kesemua Sultan Johor terdahulu melarang terus sebarang penambakan di sepanjang Pantai Lido, Sultan Ibrahim Ismail pula memberi keizinan menambak Pantai Lido untuk membolehkan J1 dinaik taraf menjadi jalan raya kembar. Malangnya, ada penyangak hartanah yang mengambil kesempatan mendirikan projek hartanah mampu tengok yang seterusnya mengakibatkan lebih banyak kawasan Pantai Lido ditambak.

Johor Bahru merupakan sebuah metropolis paling selatan di tanah besar Eurasia, diasaskan pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim sebagai Tanjung Puteri. Ia kemudian dinamakan semula sebagai Johor Bahru pada tahun 1866 oleh penggantinya iaitu Maharaja Abu Bakar setelah baginda memindahkan pusat pentadbiran Johor dari Teluk Belanga, Singapura ke Johor Bahru. Sejak itu, Johor Bahru berkembang dengan begitu pesat sehingga menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Bagi sistem rangkaian jalan rayanya, terdapat dua laluan jejari iaitu Lebuhraya Skudai FT1 di sebelah barat dan Lebuhraya Tebrau FT3 di sebelah timur. Terdapat dua buah jalan pesisir pantai berikutan lokasi pusat bandar raya Johor Bahru yang menghadap Selat Johor, iaitu Jalan Skudai J1 di sebelah barat dan Jalan Pasir Pelangi J5 di sebelah timur. Bagi laluan timur-barat pula, asalnya Jalan Tampit FT3374 membentuk laluan timur-barat utama, tetapi kemudiannya Lebuhraya Pasir Gudang FT17 mengambil peranan sebagai laluan timur-barat utama dari Tampoi ke Pasir Gudang. Johor Bahru dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya ekspres utama melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, Lebuhraya Linkedua E3, Lebuhraya JB EDL E14 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22.

Perjalanan kami dari Lebuhraya Skudai FT1 ke hotel penginapan kami di The Puteri Pan Pacific Hotel bermula dari Persimpangan Teluk Danga yang merupakan permulaan bagi Jalan Skudai J1. Seperti yang pernah saya ceritakan dalam reviu Lebuhraya Skudai FT1, Persimpangan Teluk Danga asalnya merupakan persimpangan trompet, tetapi diubah menjadi persimpangan bunga cengkih bagi membentuk permulaan kepada Lebuhraya Sultan Iskandar FT52. Namun, terdapat kecacatan reka bentuk yang amat ketara bagi Persimpangan Teluk Danga ini. Laluan FT1 yang sepatutnya menjadi laluan keutama mencerut daripada 3 lorong sehala kepada hanya selorong sehala sebelum menjadi tiga lorong sehala kembali setelah bertemu dengan trafik dari J1 dan FT52. Akibat daripada kecacatan reka bentuk ini, pengguna Lebuhraya Skudai FT1 sering mengalami kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku, terutamanya semasa waktu gegas.

Semasa berada di Danga Bay pula, saya dapati Danga Bay sudah banyak berubah, jauh berbeza daripada Danga Bay yang pernah saya kunjungi beberapa kali sekitar tahun 2004-2006. Semasa ia mula-mula dibangunkan sekitar tahun 2004, terdapat taman rekreasi serta kawasan beli-belah yang dikenali sebagai Festive Street Mall, tetapi ia sudah pun dirobohkan sekitar tahun 2011 bagi pembangunan projek hartanah di situ.

Di sepanjang J1 sekarang terdapat sebegitu banyak projek hartanah mampu tengok yang belum pernah saya nampak sebelum ini. Dalam masa sekejap sahaja sudah ada sebegitu banyak projek hartanah mampu tengok yang tumbuh bagai cendawan. Kalau ikutkan, Sultan Ibrahim Ismail hanya membenarkan penambakan Pantai Lido untuk pelebaran jalan J1, tetapi sekarang sudah banyak pula projek hartanah mampu tengok yang menyekat panorama Selat Johor dari arah J1, sedangkan J1 sepatutnya merupakan jalan pesisir pantai Johor Bahru.

Di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jalan Skudai J1 bertukar nama kepada Jalan Abu Bakar J1. Di situ juga terdapat sebuah persimpangan trompet untuk ke Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru (JB IRR) FT188 sepanjang 5 km sebagai laluan utama ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar. Di sebelahnya pula terletaknya Hospital Sultanah Aminah (HSA), hospital utama di Johor Bahru. Hospital ini pernah mencatat sejarah hitam apabila berlaku kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan pada 25 Oktober 2016 yang mengorbankan 6 orang pesakit di ICU berkenaan. Pada masa itu, secara kebetulan saya dimasukkan ke Wad Kardiologi Hospital Selayang kerana tekanan darah tinggi. Namun, tragedi kebakaran berkenaan tetap tidak mematahkan semangat warga kerja HSA, malah HSA berupaya bangkit semula seperti seekor burung phoenix bagi mengekalkan reputasi HSA sebagai antara hospital terbaik di Malaysia.

Jalan raya kembar tamat di persimpangan Jalan Gertak Merah, di mana J1 berubah kepada jalan tunggal 2+1. Di situ terletaknya Masjid Sultan Abu Bakar, masjid utama di bandar raya Johor Bahru. Di seberangnya pula ialah Zoo Johor, antara zoo tertua di Malaysia. Zoo Johor ini diasaskan pada tahun 1928 dan asalnya menempatkan koleksi haiwan liar yang dihadiahkan kepada Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Sir Ibrahim. Zoo ini kecil sahaja, tetapi tetap popular di kalangan warga Johor Bahru disebabkan harga tiketnya yang murah serta dijaga dengan rapi. Namun, disebabkan saiznya yang kecil dan tidak boleh dibesarkan lagi, terdapat rancangan untuk memindahkan Zoo Johor ke Iskandar Puteri (fka Nusajaya) supaya lebih banyak haiwan dapat dipertontonkan kepada umum.

Di jajaran 2+1 ini, Istana Besar berada betul-betul di sebelah kiri. Ia mula dibina pada tahun 1864 dan siap pada tahun 1866 dengan Wong Ah Fook, tokoh pemodenan Johor Bahru, menjadi kontraktor utamanya. Ia menjadi kediaman rasmi Sultan Johor sehingga tahun 1933 apabila Istana Bukit Serene siap sebagai istana kediaman rasmi baharu. Pun begitu, Istana Besar ini kekal penting sebagai lokasi utama bagi upacara atau majlis rasmi diraja seperti pertabalan Sultan Johor. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar, baginda memerintahkan agar Istana Besar dijadikan Muzium Diraja Johor. Hanya beberapa ratus meter kemudian, Jalan Negeri Johor J1 menjadi jalan raya kembar semula. Bezanya, jalan raya kembar kali ini terhasil daripada pembinaan jejambat Persiaran Tun Sri Lanang J1 untuk laluan arah barat, manakala laluan asal iaitu Jalan Ibrahim J1 berfungsi untuk laluan arah timur.

Sementara itu, di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru terletaknya Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia. Batu kilometer sifar asal terletak di seberang jalan, anda perlu melintas jalan untuk ke situ. Justeru, untuk membolehkan para pelancong berswafoto tanpa perlu mempertaruhkan nyawa melintas jalan selebar 3-4 lorong yang sibuk dengan kenderaan, maka sebuah batu replika KM0 yang besar didirikan, siap dengan jarak ke beberapa bandar raya utama lain di Malaysia. Namun, di Pejabat Pos Johor Bahru ini terdapat bukan dua, tetapi tiga batu penanda kilometer sifar. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, nantikan episod seterusnya di tapak Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia.

Jalan Ibrahim J1 seterusnya menyelusuri kawasan pusat bandar raya Johor Bahru yang sibuk. Jalan Negeri Johor J1 akhirnya tamat di persimpangan ke Jalan Wong Ah Fook FT1, Jalan Sawmill (untuk berpatah balik) dan jejambat Jalan Tanjung Puteri ke sebelah timur Johor Bahru pula.

Pada keesokan harinya (9 Mei 2017), para peserta rombongan FTRoadpedia mencipta detik indah di Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia. Jadi nantikanlah kisah detik indah tersebut dalam episod seterusnya.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Dari Lebuhraya Skudai FT1 ke selatan, ikut urutan lorong berikut - lorong paling kiri ke Larkin dan pusat bandar raya melalui Lebuhraya Skudai FT1, lorong tengah ke Iskandar Puteri melalui Lebuhraya Sultan Iskandar FT52, dan lorong kanan ke pusat bandar raya melalui Jalan Skudai J1






Persimpangan Teluk Danga






Menghampiri kawasan Istana Bukit Serene






Gerbang Mahkota yang menjadi pintu masuk utama ke Istana Bukit Serene






Danga Bay di sebelah kanan






Semakin banyak projek hartanah mampu tengok yang menyekat panorama Selat Johor






Satu lagi projek mampu tengok yang menghalang pemandangan laut dari J1






Tembok penahan berhampiran persimpangan Jalan Straits View. Di sebelah kanannya ialah pejabat Jabatan Laut Malaysia






JB IRR FT188 di sebelah kiri, tetapi kenapa susur masuknya pula di sebelah kanan...? Jawapannya sudah tentulah untuk memudahkan pengguna jalan raya memasuki FT188 tanpa tersekat oleh kenderaan yang mahu ke Dataran Bandaraya Johor Bahru






Melalui Persiaran Tun Sri Lanang J1 ke arah barat - pusat beli-belah Lot 1 merupakan satu-satunya struktur yang berjaya disiapkan dalam projek JB Waterfront City tetapi terbiar setelah ditutup tanpa sebarang usaha pemulihan semula






J1 mencerut menjadi jalan raya tunggal 2+1 untuk hanya beberapa ratus meter sahaja






Dahulu, sebahagian besar J1 terdiri daripada jalan raya tunggal. Kini, hanya jajaran ini sahaja yang tinggal






J1 melebar menjadi jalan raya kembar di Persimpangan Jalan Gertak Merah






Hospital Sultanah Aminah. Pernah terbakar pada tahun 2016 tetapi mampu bangkit semula bagaikan burung phoenix






Persimpangan Dataran Bandaraya ke JB IRR FT188 melalui arah barat






Jangan bimbang, anda masih lagi di Malaysia yang beriklim panas dan lembap dan bukannya di Greenland yang beriklim kutub yang membeku

No comments:

Post a Comment