Friday, December 29, 2017

#Mansuh4Tol - Apa akan berlaku pada 3 lebuh raya terlibat / What will happen to 3 affected expressways




Salam sejahtera,

Kini hanya tinggal lebih kurang 72 jam sahaja lagi sebelum kutipan tol di 4 plaza tol dihentikan kutipannya, iaitu Plaza Tol Batu Tiga, Plaza Tol Sungai Rasau (kedua-duanya di Lebuhraya Persekutuan FT2), Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1) dan Plaza Tol CIQ Bangunan Sultan Iskandar (di Lebuhraya JB EDL E14). Pastinya ramai pengguna lebuh raya tersebut akan bersorak ria dan bergembira, tetapi jangan terlalu bergembira dahulu. Kenapa pula anda tidak boleh terlalu gembira...? Baca sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

Apa pun, biar saya jelaskan apa yang akan berlaku pada 3 lebuh raya yang terlibat.


1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (Bukit Kayu Hitam-Jitra)




24 km terawal Lebuhraya Utara-Selatan E1 akan diturun taraf kepada Lebuhraya Bukit Kayu Hitam FT1 bermula 1 Januari 2018


Pertama sekali, saya bawakan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (aka Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1) sebagai lebuh raya pertama yang menerima kesan pemansuhan tol tersebut.

Jajaran terawal Leburhaya Utara-Selatan E1 (KM0-KM24) ini dibina hasil naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya kembar 4 lorong. Jika anda perhatikan, jajaran ini jauh berbeza daripada mana-mana jajaran lain di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 berikutan jajaran ini tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres. Lebar lorongnya sama iaitu selebar 3.65 m, tetapi tiada bahu jalan keras, ada banyak lintasan searas (termasuklah persimpangan searas, sama ada berlampu isyarat atau tidak), ada banyak simpang jalan-jalan kecil, serta dihubungkan terus ke bangunan-bangunan, rumah-rumah dan tanah persendirian melalui jalan-jalan kecil. Hanya ada 2 persimpangan bertingkat di sepanjang jajaran ini, iaitu Persimpangan Changlun yang dihubungkan ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Dengan kata lain, jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1 ini merupakan lebuh raya kembar capaian terhad, bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal, jadi ia sudah tentulah ia mencabuli piawaian JKR R6 dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Tetapi kenapa ia dibenarkan...? Jawapannya mudah, kerana jajaran ini dibina sebelum Arahan Teknik 8/86 dikeluarkan, jadi ia dibina atas dasar klausa datuk.

Daripada maklumat yang saya perolehi, pemansuhan kutipan tol Bukit Kayu Hitam akan membawa kepada pelucutan pewartaan jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam sebagai Lebuh Raya Ekspres dan penyerahan semula jajaran tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Justeru, jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 ini akan mengguna pakai kod laluan FT1 dan bukan lagi E1. Papan tanda Lebuh Raya Bermula dan Lebuh Raya Tamat akan dipacakkan di KM24 sebelum pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Penurunan taraf jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam juga akan menyebabkan panjang keseluruhan laluan E1 berkurangan daripada 460 km kepada 436 km.

Tentang papan tanda pula, kesemua papan tanda berwarna latar hijau akan digantikan dengan papan tanda JKR berwarna latar biru secara berperingkat. Tidak pasti bagaimana pula dengan saiznya kerana selalunya saiz papan tanda JKR agak kecil berbanding papan tanda PLUS, tetapi jika JKR ingin mengekalkan saiz papan tanda yang besar, jadi saya jangkakan rekaan papan tanda seperti di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 akan digunakan. Oh, bagaimana pula dengan jata laluan AH2 yang disertakan pada papan tanda PLUS...? Saya tidak pasti, tetapi saya ingin menggesa agar JKR turut mengekalkan jata AH2 pada papan tanda gantian itu nanti. Apa pun, penggantian papan tanda ini tidak akan berlaku serta-merta, tetapi memerlukan satu tempoh transisi sehingga keseluruhan papan tanda PLUS digantikan dengan papan tanda JKR.




Papan tanda lencongan kenderaan bergerak perlahan seperti ini perlu dipasang di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara


Oh, sebelum saya terlupa, saya ingin menggesa JKR agar mendirikan papan tanda lencongan keluar untuk kenderaan bergerak perlahan di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara arah selatan supaya kenderaan tersebut tidak terlajak memasuki lebuh raya ekspres yang tidak membenarkan penggunaan kenderaan tersebut.


2. Lebuhraya JB EDL E14





Adakah penamatan kutipan tol JB EDL E14 yang baru berlangsung 3 tahun daripada tempoh konsesi 30 tahun berakhir 2042 berupaya menamatkan derita MRCB Lingkaran Selatan...?


Pengalaman mengendalikan Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 merupakan satu pengalaman yang amat memeritkan buat pengendalinya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 April 2012, JB EDL E14 beroperasi tanpa mengutip sebarang hasil selama 2 tahun kerana kerajaan pada masa itu masih belum memuktamadkan kaedah pelaksanaan bayaran tol di situ. 

Kutipan tol hanya dimulakan tahun 2014 di Bangunan Kastam & Imigresen Sultan Iskandar (CIQ BSI), tetapi hanya untuk yang keluar masuk ke Singapura sementara orang JB pula sedang berseronok menggunakan JB EDL E14 secara percuma - itu pun masih ada juga macai politik yang mempersoalkannya dan menuduh kerajaan "menzalimi" golongan yang berulang-alik ke Singapura, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Namun, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu ternyata satu kesilapan yang membunuh nyawa MRCB Lingkaran Selatan. Kerajaan Singapura bertindak balas terhadap penguatkuasaan kutipan tol di CIQ BSI dengan mengenakan caj Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang menyebabkan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki Johor Bahru melalui Tambak Johor turun mendadak.  (Pembetulan: VEP sebenarnya sudah ada, cuma Singapura mengenakan caj timbal balas atas alasan "sepadan".) Dengan hanya bergantung kepada pengguna lebuh raya yang berulang-alik ke Singapura yang membentuk kumpulan paling minoriti di JB EDL E14, maka sudah tentulah pendapatan MRCB Lingkaran Selatan terjejas teruk, sehingga ke tahap berisiko untuk muflis. Susulan dengan itu, MRCB Lingkaran Selatan merayu kepada kerajaan agar mengambil alih JB EDL E14 untuk menyelamatkannya daripada muflis.

Pengumuman pemansuhan tol JB EDL E14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengembalikan situasi seperti semasa sebelum pelaksanaan kutipan tol di CIQ BSI serta meninggalkan 1,001 misteri yang masih belum terjawab. Pertama, siapakah yang mengambil alih JB EDL E14 ini, syarikat lain atau kerajaan sendiri...? Kedua, bagaimana dan berapa banyakkah pampasan yang perlu dibayar kerajaan terhadap MRCB Lingkaran Selatan, memandangkan E14 baru sahaja 5 tahun beroperasi dan hanya sempat mengutip tol selama 3 tahun, sedangkan tempoh konsesi JB EDL E14 masih berbaki 25 tahun sehingga 2042...?

Ada sumber yang mengatakan bahawa PLUS pada tahun 2016 berminat untuk mengambil alih JB EDL E14. Jika memang benar PLUS mengambil alih JB EDL E14, maka segala misteri mengenai E14 akhirnya terjawab.


3. Lebuhraya Persekutuan FT2





Penamatan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bakal menamatkan derita penduduk Shah Alam & Klang, tetapi adakah ia berbaloi...?


Pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2 sangat dinanti-nantikan oleh para pengguna jalan raya di Lembah Klang, khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Apa tidaknya, Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan laluan tulang belakang utama di Lembah Klang serta menjadi nadi ekonomi utama Lembah Klang.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula dengan pembinaan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sebagai jalan raya kembar yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 Januari 1959, melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 2. Namun, masalah kesesakan serta lalu lintas bercelaru di jajaran Petaling Jaya bahana sistem rekaan persimpangan lampu isyarat di situ telah menyebabkan jajaran tersebut dinaik taraf kepada lebuh raya capaian terkawal 6 lorong dengan menggantikan kesemua persimpangan searas di sepanjang laluannya kepada persimpangan bertingkat. Pembinaan bermula pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia. Projek tersebut turut menampilkan pembinaan sepasang lorong basikal selebar 2 meter yang kemudiannya ditukarkan menjadi lorong motosikal.

Sementara itu, jajaran Subang-Klang pula dinaiktaraf oleh PLUS, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2. Ia melibatkan pelebaran Lebuhraya Persekutuan FT2 di jajaran tersebut kepada 6 lorong, pembinaan jejambat Bulatan Berkeley serta pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima di Klang. Kerja naik taraf dimulakan pada tahun 1992 dan dibuka kepada lalu lintas pada 11 Mei 1993. 2 plaza tol didirikan, iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Sejak kutipan tol dimulakan di situ dimulakan, ia sering dijadikan isu yang menjadi mainan parti-parti politik, meskipun PLUS secara terang-terangan mendedahkan peta laluan pemintas tol di akhbar-akhbar utama semasa awal pembukaannya. Tempoh konsesi sepatutnya ialah sehingga tahun 2038 susulan semakan semula perjanjian konsesi PLUS yang menyeragamkan tahun tamat konsesi bagi kesemua lebuh raya ekspres kendalian PLUS ke tahun 2038 bagi meminimumkan kadar kenaikan tol. Jika diikutkan, tahun tamat asal konsesi PLUS di Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah pada tahun 2018, tetapi perjanjian 2011 menganjakkan tahun tamat konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 ke tahun 2038.

Namun, semasa Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan memutuskan untuk menamatkan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula 1 Januari 2018, lebih awal 20 tahun daripada sepatutnya. Akhirnya warga Lembah Klang yang sering berulang-alik dari Klang ke Kuala Lumpur boleh menarik nafas lega kerana sudah ada lebuh raya percuma dalam erti kata sebenar.

Pun begitu, jangan terlalu gembira dahulu. Kenapa...? :-
  1. Pada 1 Januari 2018 nanti, jajaran bertol Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Subang ke Klang akan diserahkan kembali ke bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR). Bermakna, jika selama ini jajaran tersebut diselenggara setiap hari dan diturap semula dengan kerap oleh PLUS, namun kali ini penurapan semula akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh JKR Selangor. Jadi, kalau Lebuhraya Persekutuan FT2 berlubang nanti jangan marahlah ya. Saya bukan hendak memperlekehkan JKR, tetapi saya sebenarnya ingin mengingatkan anda semua bahawa keupayaan kewangan JKR sangat terhad kepada peruntukan yang diterima oleh mereka. Justeru, JKR tidak mempunyai kuasa berbelanja sebesar PLUS yang menerima kutipan tol setiap hari yang membolehkan mereka menurap semula permukaan lebuh raya dengan lebih kerap.
  2. Kata orang tua-tua, mati semut kerana gula. Begitu jugalah dengan mana-mana lebuh raya ekspres, khususnya yang tidak dikenakan tol. Ramai yang menganggap kononnya pemansuhan tol boleh menjadikan aliran trafik lancar, tetapi hakikatnya dakwaan tersebut ternyata karut sama sekali. Dalilnya...? Lihat sajalah beberapa lebuh raya percuma atau dimansuhkan tolnya seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 dan SKVE E26 Seksyen 1a. Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sering sesak dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Salak dan dari Persimpangan Bandar Tun Razak ke Persimpangan Connaught setiap kali waktu gegas. Sementara itu, SKVE E26 Seksyen 1a sering sesak dari Exit 2602 Persimpangan Putrajaya ke Exit 1808 Persimpangan Country Heights semasa waktu gegas. Jadi mana perginya "kelancaran lalu lintas tanpa tol" yang didakwa macai-macai politik yang memperjuangkan tol percuma itu...? Lebih teruk lagi, JKR tiada kuasa untuk melaksanakan laluan kontra di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagaimana lebuh raya ekspres lain.
  3. Ini pula harga paling mahal yang perlu anda bayar susulan pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dalam satu entri lepas mengenai konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2, saya ada menyatakan bahawa pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 akan menyebabkan kenaikan tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, tetapi nampaknya ia tidak berlaku. Namun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan bahawa pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol akan membawa kepada lanjutan tempoh konsesi. Tidak pasti berapa lama lagi tambahan tempoh konsesi, tetapi saya jangkakan berkemungkinan sekitar puluhan tahun jugalah.

Kesimpulan

Pengumuman pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 nyata memberikan satu kelegaan buat para penggunanya. Namun, ia bukan bermakna pengguna jalan raya boleh bergembira kerana masih ada benang yang terikat. Pemansuhan tol tersebut menyebabkan sejumlah wang yang amat banyak diperlukan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi, bukan sahaja sebagai ganti rugi bagi tempoh kutipan tol yang dimansuhkan, tetapi juga pampasan kepada para pekerja yang diberhentikan. Bukan senang hendak mencari kerja pada zaman sekarang. Saya tahu pasti akan ada puak-puak penunggang agama yang akan mengatakan, "rezeki Allah ada di mana-mana", tetapi realitinya jauh lebih sukar. Tak percaya, anda cubalah berhenti kerja dan mohon kerja di tempat lain pula. Tempoh mencari kerja itu ternyata satu azab yang amat perit kerana anda tiada sumber pendapatan untuk menyara diri anda dan keluarga anda sehinggalah anda memperoleh gaji pertama di tempat kerja baharu.

Jika tidak perlu bayar ganti rugi pun, pemansuhan tol di 4 plaza tol tersebut akan menyebabkan tempoh konsesi PLUS terpaksa dilanjutkan. Apa tidaknya, pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol tersebut mengurangkan kutipan tol PLUS, menyebabkan keupayaan membayar balik hutang juga menjadi semakin kecil. Akibatnya, masa yang lebih lama diperlukan untuk membayar balik baki hutang kepada bank, meninggikan jumlah faedah yang perlu dibayar dan seterusnya jumlah bayaran balik. Jika jumlah bayaran balik hutang PLUS bercampur faedah yang sepatutnya perlu dibayar balik sehingga tahun 2038 berjumlah RM62 bilion bagi pinjaman RM30 bilion, maka sudah tentulah jumlah tersebut akan bertambah sekiranya konsesi dilanjutkan supaya sepadan dengan keupayaan membayar balik hutang yang semakin berkurangan.

Selain itu, masalah lain yang akan timbul setelah pemansuhan tol nanti ialah kesesakan yang semakin teruk berikutan lebih banyak kenderaan yang tertarik untuk menggunakan lebuh raya percuma, serta masalah kerosakan lebuh raya yang semakin lambat diambil tindakan, memandangkan lebuh raya percuma nanti diambil alih oleh JKR yang kuasa berbelanjanya terhad mengikut peruntukan yang diterima.

Pun begitu, ia tidak bermakna pemansuhan tol itu semestinya tidak bagus untuk rakyat, meskipun lebuh raya ekspres sebenarnya memang tidak bersifat marhaen seperti mana jalan persekutuan. Kelebihan terbesar sudah tentulah pengurangan kos sara hidup yang selama ini membebankan kerana sebegitu banyak wang yang dibazirkan setiap bulan untuk membayar tol semata-mata untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau ikutkan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya menggunakan motosikal sebagai kenderaan bekerja, tetapi ramai golongan yang berkeluarga masih perlu menggunakan kereta seperti untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum pergi bekerja.

Bagi kes Bukit Kayu Hitam dan Johor Bahru pula, pemansuhan tol bermaksud menggalakkan kedatangan pelancong dari negara jiran iaitu dari Thailand dan Singapura. Rakyat dapat menambah pendapatan hasil urusan jual beli pelancong Thailand dan Singapura, manakala kerajaan pula mendapat pendapatan tambahan melalui cukai.

Namun, yang paling penting di sini ialah pemansuhan tol sepatutnya berupaya mengajar pengguna lebuh raya agar lebih menghargai syarikat konsesi lebuh raya sementara mereka masih menguruskan lebuh raya. Selama ini, syarikat konsesi sering dikecam kerana mengutip tol, sedangkan mereka hanya mahu mendapatkan kembali wang mereka yang dilaburkan bagi membina dan membangunkan lebuh raya, di samping membayar hutang bank. Pengguna lebuh raya sering lupa, jika kereta mereka rosak di lebuh raya, syarikat konsesi jugalah yang menghantar lori tunda secara percuma. Mereka lupa bagaimana syarikat konsesi mendirikan hentian rehat di sepanjang lebuh raya sebagai tempat mereka untuk makan, minum, melepaskan hajat, berehat dan solat. Mereka lupa, tatkala mereka merosakkan lebuh raya melalui kilasan terlalu tinggi pada roda bahana memandu terlalu laju, syarikat konsesilah yang bertungkus-lumus membaikinya setiap hari tanpa banyak soal. Mereka lupa, tatkala mereka mengotorkan lebuh raya dengan melontar keluar sampah-sarap dari celah tingkap kereta, pekerja syarikat konsesilah yang membersihkannya. Mereka lupa akan berapa banyak peluang pekerjaan yang diberikan oleh syarikat konsesi kepada anak-anak bangsa sendiri. Mereka lupa akan berapa banyak anak bangsa mereka sendiri yang diberi peluang mencari rezeki di hentian-hentian rehat milik syarikat konsesi. Paling ketara, mereka lupa bagaimana lebuh raya ekspres yang dibina oleh syarikat-syarikat konsesi mendekatkan rakyat dari dua bandar atau desa yang jauh serta membawa pembangunan ekonomi di sepanjang laluannya.

Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan rakyat Malaysia berupaya untuk bermusafir dengan selamat dan selesa. Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berupaya untuk maju dari segi pengangkutan. Namun, lama-kelamaan,barulah saya sedar bahawa andaian saya ternyata salah sama sekali. Kenapa...? Kerana ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu menghargai syarikat konsesi lebuh raya sehinggalah apabila syarikat konsesi tidak lagi menguruskan lebuh raya tersebut. Mereka lebih percayakan ahli-ahli "politaikus" yang hanya tahu sembang kencang sehingga ke tahap khinzir pun boleh terbang tetapi langsung tidak pernah terlibat dalam pengurusan lebuh raya ekspes. Hendak marahkan JKR kerana lambat menampal lebuh raya berlubang...? Tak guna pun, sumbangan kita kepada JKR hanyalah berupa cukai jalan yang bayarannya sama seperti 2 kampit tar Brotherhood, dan hanya dibayar setahun sekali. Itu sahaja. Jadi selepas ini jika lebuh raya yang dimansuhkan tolnya berlubang dan lambat ditampal, anda hanya ada diri anda sendiri untuk dipersalahkan. 

Kerana anda tidak sedar apa yang anda ada sehingga ia lenyap.

No comments:

Post a Comment

Advertisement