Sunday, February 25, 2018

Datuk Seri, saya juga tidak suka tol, tetapi... / Datuk Seri, I also dislike toll, but...

Khas kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Sebagai penulis blog mengenai jalan raya di Malaysia, saya terpanggil untuk mengulas mengenai video yang diposkan pada 22 Februari 2018 dalam wawancara bersama Datuk Seri yang diadakan dalam talian secara langsung sempena perkongsian Bajet 2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah.




Pada minit ke-23, Datuk Seri ada menyebut mengenai isu pemansuhan tol, yang mana Datuk Seri mendakwa bahawa Datuk Seri tidak suka tol. Saya memetik kata-kata Datuk Seri seperti berikut:-

"[...] Macam mansuh tol, oh very easy. Bukan easylah, but I don't believe that kalau kita kenakan tol on daily basis, it's good for the rakyat. Tidak, I don't believe in that. Tapi kalau North-South Highway (Expressway E1/E2), kalau KL-Karak Highway (Expressway E8/FT2), yes once in a while kita kena pakai. Tapi kalau hari-hari bayar tol, dua kali, empat kali, siapa pun sakit hati. So I don't believe that. My predecessor was a great believer in toll. I do not like toll. Sebab tu Pan Borneo Highway (FT1/FT13/FT22) tak ada tol for the people of Sabah & Sarawak. Batu Tiga, Sungai Rasau (di Lebuhraya Persekutuan FT2), Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara Selatan E1/FT1), EDL (E14), then Cheras punya tol before, kita mansuh (kutipan tol). Wherever I can, I will hapuskan, abolish toll because I don't think it's good. Sakit hati dan creates jam, but we can do it because I have to unravel some of the earlier decisions, legacy problem. I will unravel what I think is not to the interest of the people of Malaysia, that I will do." - Datuk Seri Mohd. Najib Razak, 22 Februari 2018

Memang benar, ramai yang tidak suka tol. Saya juga tidak suka kena bayar tol setiap hari. Tetapi adakah dengan memansuhkan tol semata-mata tanpa mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan beban warga kota yang membayar tol semasa berulang-alik ke pejabat berupaya menyelesaikan masalah...? Kenapa Datuk Seri tidak batalkan sahaja projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) E19, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) E31 & Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) E27 yang juga bertol...? Bukankah itu juga bakal membebankan rakyat dengan kutipan tol...? Kenapa Datuk Seri perlu salahkan pendahulu Datuk Seri atas permasalahan isu tol dan bukannya mencari jalan penyelesaian muktamad...? Adakah isu tol itu isu legasi...? Kenapa tidak Datuk Seri salahkan juga Tunku Abdul Rahman kerana mengenakan kutipan tol pada Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar, Jambatan Peserai FT5 di Batu Pahat, Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu & Lebuhraya Tanjung Malim-Slim River FT1 di Perak yang mana kesemuanya itu sekadar jalan dua lorong sahaja...? Kenapa Datuk Seri tidak salahkan juga almarhum ayahanda Datuk Seri sendiri iaitu Tun Abdul Razak kerana mengenakan tol pada Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 di Pekan & membina Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 yang hanya 2 lorong sahaja & Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2  sebagai lebuh raya bertol...?

Untuk pengetahuan Datuk Seri, mekanisme kutipan tol digunakan bagi membiayai projek-projek infrastruktur yang mana kalau diikutkan keadaan kewangan semasa kerajaan, memang kerajaan tidak mampu membinanya. Pada zaman Tunku Abdul Rahman misalnya, kerajaan pada masa itu hendak bina jambatan dua lorong merentasi sungai yang besar pun kerajaan tidak mampu, sebab itulah Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar, Jambatan Peserai FT5 di Batu Pahat dan Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu dikenakan tol. Malah, Lebuhraya Tanjung Malim-Slim River FT1 yang sekadar dua lorong pun kena tol. Sebab apa...? Sebabnya pada masa itu kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang amat besar bagi menyiapkan rangkaian jalan raya asas negara, sedangkan sumber kewangan negara pada masa itu amat terhad. Namun, pada zaman pengganti beliau pula, kerajaan sudah mampu membiayai infrastruktur seumpamanya tanpa perlu mengutip tol.

Kes sama juga bagi ayahanda Datuk Seri sendiri iaitu Tun Abdul Razak. Beliau membina Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sedia ada sebagai lebuh raya percuma tanpa tol, tetapi dibiayai secara berhutang kepada Bank Dunia. Jajaran yang dinaik taraf itu pendek sahaja, dari Persimpangan Seputeh sehinggalah ke Persimpangan Motorola (kini Exit 1111 Persimpangan Freescale) di Sungai Way. Disebabkan kos terlalu tinggi, maka beliau memutuskan untuk membina Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 yang juga dibiayai dana pinjaman daripada Bank Dunia sebagai lebuh raya ekspres bertol. Atas sebab sama juga Tun Abdul Razak membina Lebuhraya KL-Karak FT2 sebagai lebuh raya bertol meskipun ia sekadar jalan super two sahaja pada waktu itu (jalan dua lorong JKR R5; lebar lorong: 3.5 m).

Juga untuk pengetahuan Datuk Seri, idea membina Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sebagai lebuh raya bertol sebenarnya bukan berasal daripada pendahulu Datuk Seri iaitu Tun Dr. Mahathir. Sebaliknya, idea pembinaannya sebagai lebuh raya bertol sebenarnya berakar-umbi pada tahun 1977 semasa zaman Tun Hussein Onn. Tun Hussein Onn ingin membina Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sebagai lebuh raya bertol disebabkan kosnya yang amat tinggi dan tidak tertanggung oleh kerajaan sekiranya kutipan tol tidak dilaksanakan. Beliau menjemput banyak syarikat-syarikat besar dalam pembinaan jalan raya, tetapi tiada satu pun yang sudi menerima tawaran kerajaan untuk membinanya kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa itu serta tiada jaminan daripada kerajaan untuk melindungi mereka daripada kerugian sekiranya kadar tol tidak dinaikkan secara berkala. Inilah sebab utama yang membawa kepada "perjanjian konsesi berat sebelah" bagi syarikat-syarikat konsesi generasi pertama seperti PLUS. Bukan kerana Tun Dr. Mahathir mahupun Tun Hussein Onn.

Justeru, kepada Datuk Seri Najib Razak, setelah saya mendedahkan sejarah awal kutipan tol di Malaysia, adakah adil bagi Datuk Seri untuk terus mendakwa kononnya isu tol di Malaysia berpunca daripada "isu legasi" serta menyalahkan pendahulu Datuk Seri sendiri...?

Mengenai permasalahan tol di lebuh raya yang tiada laluan alternatif bebas tol, sekali lagi saya menggesa Datuk Seri agar mengkaji sejarah di sebaliknya dan bukannya sekadar menyalahkan pendahulu Datuk Seri secara membuta-tuli. Ambil contoh Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 misalnya, yang terkenal kerana orang-orang Puchong dikelilingi tol di utara, barat dan selatan serta mustahil untuk mencari laluan pemintas tol, di samping isu pencabulan piawaian lebuh raya ekspres. Dalam entri Cerita (dan reviu) LDP E11, saya telah mendedahkan 3 punca utama yang membawa kepada pencabulan piawaian lebuh raya ekspres di LDP E11, iaitu tiada perancangan teliti & terperinci oleh Litrak sendiri, syarat daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mahukan Litrak mengekalkan darjah kawalan masuk di jalan-jalan arteri perbandaran yang digunakan sebagai jajaran E11, serta keputusan kerajaan persekutuan untuk membuka banyak persimpangan jalan baharu di sepanjang LDP E11, meskipun ia bakal menyebabkan kesesakan lebih parah. Mengenai isu terpaksa bayar tol di lebuh raya yang tiada alternatif pemintas tol seperti LDP E11, selain isu pencabulan piawaian lebuh raya ekspres, masalah tiada laluan alternatif bebas tol juga berpunca daripada keputusan yang diambil semasa majlis pembukaan LDP E11 oleh Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu kerana enggan membina laluan pemintas tol bagi meringankan beban penduduk tempatan di sepanjang LDP E11. Kepada Datuk Seri Najib, sekali lagi saya ingatkan bahawa ia bukan salah Tun Dr. Mahathir kerana beliau bukan Menteri Kerja Raya.

Saya juga ingin menggesa Datuk Seri Najib Razak agar berhenti membanding-bandingkan antara Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22 yang dicanang-canangkan sebagai "lebuh raya tanpa tol" dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 yang bertol kerana kedua-duanya merupakan jalan raya yang tidak sama jenis dan berada dalam hirarki yang berbeza. Untuk makluman Datuk Seri, Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 merupakan lebuh raya ekspres capaian terkawal (controlled-access expressway) manakala Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22 yang sedang dibina pula merupakan lebuh raya kembar capaian terhad (limited-access divided highway). Kedua-duanya jauh berbeza bagai langit dengan bumi. Lebuh raya ekspres capaian terkawal terletak di tangga teratas hirarki jalan raya kerana dibina dengan piawaian kejuruteraan jalan raya yang tertinggi, direkabentuk dengan had laju reka bentuk tertinggi 120 km/j dan dengan piawaian geometri yang tertinggi, dengan cerun selandai mungkin dan jejari selekoh sebesar mungkin. Ia melibatkan banyak kerja tarahan, penambakan benteng & pembinaan struktur jambatan, jejambat & terowong. Bagi membolehkan had laju operasi setinggi 110 km/j dikenakan, maka semua akses ke rumah-rumah, kedai-kedai, bangunan, kebun, ladang, tanah orang dan premis hartanah disekat sepenuhnya melalui pemasangan pagar di sepanjang laluannya, dan akses ke lebuh raya ekspres dihadkan kepada lebuh raya lain, jalan persekutuan, dalan negeri dan jalan arteri melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang dihadkan bilangannya serta diwartakan.

Sementara itu, lebuh raya kembar capaian terhad pula terletak di tangga kedua dalam hirarki jalan raya, bawah daripada lebuh raya ekspres capaian terkawal. Ia boleh jadi sama lebar seperti lebuh raya ekspres, tetapi masih boleh ada jalan masuk kecil ke rumah-rumah orang yang dihubungkan dengannya dan boleh ada banyak persimpangan searas. Sebab itulah Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22 dikategorikan sebagai lebuh raya kembar capaian terhad dan bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal. Lebuh raya ekspres capaian terkawal tidak boleh ada jalan masuk ke rumah-rumah panjang sebagai mana Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22. Atas sebab sama juga, had laju operasi bagi Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22 nanti ialah 90 km/j dan bukannya 110 km/j. Justeru, Datuk Seri sewajarnya berhenti membanding-bandingkan antara Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22 dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 kerana kedua-duanya tidak sama jenis. Bandingkan enggang sama enggang, pipit sama pipit. Compare an apple with an apple. Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai perbezaan antara lebuh raya ekspres capaian terkawal dengan lebuh raya kembar capaian terhad, saya sarankan kepada Datuk Seri agar merujuk kepada Arahan Teknik (Jalan) 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads di Jabatan Kerja Raya (JKR), ataupun menbaca entri Blog Jalan Raya Malaysia mengenai kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya.

Berkenaan dengan pemansuhan kutipan tol di Lebuhraya Persekutuan FT2, JB EDL E14 & Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, saya ingin mengingatkan kepada Datuk Seri bahawa rakyat akan membayar harga yang jauh lebih mahal. Pemansuhan tol tersebut sudah tentu akan melibatkan pampasan yang sangat mahal kerana jauh lebih awal daripada tarikh sepatutnya, yang perlu dibayar dengan menggunakan duit rakyat. Jika dibandingkan dengan pemansuhan tol terdahulu seperti pemansuhan tol Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37, ia dilakukan semasa tempoh konsesi memang hampir tamat, sebab itulah kalau perlu bayar pampasan pun, jumlahnya sedikit sahaja. Kalau tak perlu bayar pampasan pun, ia bermakna kadar tol di lebuh raya sedia ada kendalian syarikat konsesi yang sama akan dinaikkan. Jika tidak pun, tempoh konsesi sudah tentu akan dilanjutkan sehingga beberapa puluh tahun lagi. Sebab itulah tol sudah dimansuhkan di keempat-empat plaza tersebut pun masih ramai lagi rakyat yang marah.

Namun, apa mekanisme yang bakal digunakan oleh kerajaan sebagai pampasan kepada isu tol masih lagi menjadi teka-teki sehingga sekarang. Selepas Datuk Seri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol yang telah saya sebutkan tadi dalam Bajet 2018 tahun lalu, Menteri Kewangan 2, Datuk Johari Abdul Ghani pada 27 Oktober 2017 ada menyatakan bahawa pemansuhan tol tersebut akan menyebabkan kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh konsesi PLUS Malaysia Berhad selama beberapa tahun lagi sebagai ganti rugi kepada PLUS. Namun, pada 30 November 2017, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula menafikannya dan menegaskan bahawa tempoh konsesi PLUS yang sepatutnya berakhir pada tahun 2038 tidak akan dilanjutkan lagi setelah tiga kali dilanjutkan daripada tahun asal tamat konsesi iaitu pada tahun 2018. Mana satu sebenarnya yang betul ini Datuk Seri Najib...? Pada 2 November 2017, Datuk Johari menyatakan bahawa jika pampasan tunai perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS hasil pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 & Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, maka kerajaan perlu membayar pampasan sejumlah RM2.2 bilion kepada PLUS, yang akan dibayar secara ansuran sebanyak RM110 juta setahun selama 20 tahun. Inilah sebabnya kenapa masih ramai rakyat yang marah meskipun kerajaan sudah memansuhkan kutipan tol di 3 plaza tol kendalian PLUS. Jujur saya katakan Datuk Seri, saya pun berasa marah juga kerana wang pampasan RM110 juta setahun sepatutnya boleh dimanfaatkan sebagai tambahan peruntukan kepada JKR untuk menyelenggara jalan-jalan persekutuan yang berlubang supaya tiada lagi alasan "kena tunggu peruntukan".




Pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 memang menamatkan penderitaan penduduk Shah Alam & Klang, tetapi adakah keadaan jalan akan kekal secantik ini...?


Itu baru cerita 3 plaza tol kendalian PLUS yang dimansuhkan kutipan tolnya; tol JB EDL E14 yang juga dimansuhkan pula apa cerita Datuk Seri...? Dalam laporan sama pada 2 November 2017, Datuk Johari ada menyatakan bahawa caj jalan raya RM20 akan digunakan sebagai galang ganti kepada kutipan tol JB EDL E14 yang dimansuhkan. Ok, sekurang-kurangnya sudah tiada lagi teka-teki mengenai ganti rugi kepada syarikat konsesi JB EDL E14. Tetapi Datuk Seri, saya sudah mula mendengar cerita-cerita tidak baik mengenai JB EDL E14. Ada pembaca Blog Jalan Raya Malaysia dari Johor Bahru yang memaklumkan kepada saya bahawa tatkala peralihan pengurusan Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1 daripada PLUS Malaysia Berhad kepada Jabatan Kerja Raya dilaksanakan dengan lancar, di JB EDL E14 pula sedang berlaku tolak-menolak antara JKR dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenai siapa yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap pengurusan JB EDL E14. Keadaan sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana mengikut dasar Bina-Kendali-Pindah (BOT) yang dilaksanakan dalam industri lebuh raya ekspres sejak sekian lama memang jelas menyatakan bahawa setelah konsesi sesebuah lebuh raya tamat, maka ia akan diserahkan kepada kerajaan persekutuan sebagai Jalan Persekutuan kendalian JKR. Bermakna, JB EDL E14 kini sepatutnya diletakkan di bawah pengurusan JKR dan bukannya MBJB. Akibat daripada tolak-menolak antara JKR dan MBJB itu, maka keadaan di JB EDL E14 menjadi tidak terurus - jalan yang rosak tidak diselenggara, manakala Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Pandan pula ditutup kerana ia bukan lagi milik MRCB Lingkaran Selatan. Justeru, saya ingin memohon kepada Datuk Seri Najib Razak agar turun sendiri ke Johor Bahru dan selesaikan kemelut di JB EDL E14, terutamanya mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan JB EDL E14 serta nasib para peniaga di R&R Pandan yang ditutup akibat pemansuhan kutipan tol JB EDL E14.




Nasib JB EDL E14 kini terumbang-ambing setelah pemansuhan tol


Jadi apa yang seharusnya dilakukan bagi menangani isu tol lebuh raya ekspres ini...? Pertama sekali, saya ingin menyeru kepada Datuk Seri Najib Razak serta kesemua pemimpin politik tidak kira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang agar berhenti mempolitikkan isu tol dan menerima hakikat bahawa lebuh raya ekspres sememangnya tidak bersifat marhaen kerana disasarkan kepada lalu lintas luar sepenuhnya dan dikhususkan hanya untuk kenderaan bermotor yang mampu mencapai had laju lebuh raya sahaja. Para pemimpin politik dan rakyat Malaysia sepatutnya tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak - jalan persekutuan merupakan satu keperluan bagi membolehkan rakyat bergerak dari titik A ke titik B, manakala lebuh raya ekspres pula bukan keperluan tetapi kehendak atau infrastruktur premium kerana ia memenuhi kehendak pengguna jalan raya yang inginkan laluan berkelajuan tinggi yang selesa untuk sampai ke titik B dengan lebih cepat. Maka, tanggungjawab kerajaan ialah untuk membina jalan raya asas untuk membolehkan rakyat bergerak untuk mencari rezeki ataupun urusan mustahak lain. Tambahan pula, Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) melaksanakan Dasar Laluan Alternatif yang mana jalan persekutuan sepatutnya menjadi pilihan laluan utama untuk urusan harian, manakala lebuh raya ekspres pula sepatutnya merupakan laluan premium berbayar untuk mereka yang ingin cepat ke destinasi pilihan mereka. Kalau sudah nama pun laluan premium, sudah tentulah ia berbayar dan tidak percuma, sesuai dengan fungsi dan servis yang diberikan.

Malangnya, realiti yang berlaku sekarang adalah terbalik, dan rakyat Malaysia sekarang mudah melenting setiap kali ada ura-ura kenaikan tol. Sebab apa...? Sebabnya, rakyat Malaysia sekarang sudah jadi manja dan hidup dalam zon selesa kerana sudah biasa menggunakan kemudahan premium dengan bayaran yang murah, sehinggakan kalau naik sedikit sahaja pun sudah melenting. Inilah yang dikatakan sebagai "mentaliti subsidi", dan dalam konteks jalan raya, lebuh raya ekspres dengan kadar tol yang murah - dan kalau boleh, mahu percuma terus - sudah menjadi ganja gred A+ (atau lebih tepat lagi, kokain gred A+) sehinggakan naik tol sedikit sahaja pun sudah bising. Jika Datuk Seri Najib pun terjebak sama melalui kenyataan yang dibuat mengenai isu tol, maka sia-sialah Dasar Rasionalisasi Subsidi yang diperkenalkan Datuk Seri, kerana dasar mengenakan tol di lebuh raya ekspres dan memberikan jalan raya persekutuan percuma kepada rakyat itu sendiri juga sebahagian daripada Dasar Rasionalisasi Subsidi dan Dasar Subsidi Bersasar. Yang mana kurang berduit, yang tidak perlu mengejar masa dan mahu menggunakan jalan raya bagi urusan harian seperti mencari rezeki boleh guna jalan persekutuan. Yang mana yang lebih berduit, ada urusan kecemasan dan mahu cepat sampai pula boleh guna lebuh raya ekspres. Barulah kadar trafik di kedua-duanya dapat diseimbangkan.

Untuk mengurangkan beban akibat terpaksa membayar tol setiap hari, maka kerajaan dan pengguna lebuh raya sepatutnya mengeksploitasikan "lubang-lubang" yang ada bagi mengurangkan bebanan tol. Bagaimana...? Mudah sahaja. Motosikal tak perlu bayar tol kan...? Jadi, kerajaan boleh melancarkan kempen penggunaan motosikal sebagai kenderaan kerja harian, terutamanya di kawasan yang jaringan pengangkutan awamnya sangat teruk. Selain tak perlu bayar tol, kos bahan api pun jimat banyak, jalan jadi kurang sesak, masa perjalanan pada waktu gegas pun jimat. Cuba fikirkan, berapa banyak penjimatan yang diperolehi setiap bulan hanya dengan menukarkan kenderaan kerja daripada kereta kepada motosikal...? Tetapi kalau perlu mengangkut banyak barangan, banyak penumpang serta sekiranya hari hujan, tak apalah juga kalau guna kereta. Juga, bas dan teksi dikenakan tol lebuh murah daripada lori dan kereta sebagai inisiatif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.




Daripada menyesakkan lebuh raya & menyesakkan poket dengan bayaran tol setiap hari, kan lebih baik naik motor sahaja sebagai kenderaan kerja harian...?


Bagi lebuh raya yang tiada laluan pemintas tol, maka kerajaan persekutuan seharusnya berunding dengan JKR negeri ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membangunkan rangkaian jalan raya pemintas tol yang percuma khas untuk penduduk tempatan. Ia tidak semestinya perlu dibina sebagai jalan persekutuan; jalan negeri ataupun jalan arteri kendalian PBT pun sudah memadai. Pembinaan jalan-jalan hadapan (frontage road) pun boleh juga kerana selain menambah baik darjah kawalan masuk di lebuh raya yang asalnya mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, ia juga dapat menyediakan laluan percuma untuk penduduk tempatan serta melancarkan aliran trafik lebuh raya bagi lalu lintas luar.

Jika benar mahukan lebuh raya percuma kepada rakyat, maka rakyat Malaysia dan parti-parti politik sama ada parti pemerintah mahupun parti pembangkang sepatutnya berhenti menekan kerajaan mengenai isu tol. Jalan raya dalam peta Malaysia bukan sekadar Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 sahaja, jangan jadi jahil dalam geografi negara sendiri. Sebaliknya, sikap pentingkan diri sendiri dengan mendesak pemansuhan tol di laluan bergred premium itulah sebenarnya yang menyebabkan konsesi Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 yang asalnya tamat tahun ini sudah dilanjutkan ke anak cucu. Justeru, kita semua sepatutnya berasa malu kerana kemelut isu tol ini sebenarnya berpunca daripada sikap kita sendiri yang terlalu manja dan mementingkan diri sendiri. Jika benar kita semua mahukan lebuh raya percuma, kita sepatutnya jangan mengganggu mekanisme kadar tol supaya kerajaan tidak lagi perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi serta tidak perlu melanjutkan tempoh konsesi. Sebaliknya, kita sepatutnya memberi peluang kepada KKR dan JKR menggunakan hasil penjimatan pembayaran pampasan untuk menambah baik rangkaian jalan persekutuan sedia ada supaya tidak lagi berlubang di sana-sini, dan seterusnya menaik taraf jalan-jalan persekutuan utama menjadi lebuh raya kembar percuma untuk rakyat. Ia jauh lebih baik daripada menuntut tol murah tetapi akhirnya bukan setakat jalan persekutuan sahaja yang banyak berlubang, tetapi lebuh raya ekspres pun banyak berlubang kerana tidak cukup wang untuk penyelenggaraan. Akhirnya, kita juga yang rugi bahana sikap terlalu manja dan mementingkan diri sendiri.






Tatkala politikus Malaysia asyik bertekak mengenai isu tol, Indonesia sedang membina rangkaian Jalan Tol Trans Jawa & Trans Sumatera yang bakal merampas takhta rangkaian lebuh raya ekspres terbaik Asia Tenggara daripada Malaysia


Akhir kata, kepada Datuk Seri Najib Razak, saya memohon maaf sekiranya saya terkasar bahasa dalam penulisan kali ini berkaitan isu tol. Bukan apa, tetapi saya sudah terlalu muak apabila isu tol sering dipolitikkan sehingga tidak berkesudahan oleh parti-parti politik, tak kiralah daripada parti mana. Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya berasa amat malu kerana tatkala kita sedang berbalah dan mempolitikkan isu tol, negara jiran kita Indonesia pula dalam diam sedang membangunkan rangkaian Jalan Tol Trans Jawa dan Jalan Tol Trans Sumatera, yang mana setelah siap kelak akan merampas takhta rangkaian lebuh raya ekspres capaian terkawal terbaik di Asia Tenggara yang selama ini dipegang oleh Malaysia. Mereka tahu jalan tol mereka memang tidak bersifat marhaen kerana motosikal tidak dibenarkan untuk memasuki jalan tol. Satu-satunya isu yang menjadi halangan bagi projek Jalan Tol Trans Jawa dan Trans Sumatera hanyalah isu pengambilalihan tanah. Malah, jika sahabat saya Allahyarham Admin Aiman Abmajid selaku admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia masih hidup, sudah tentu beliau akan berasa amat kecewa terhadap sikap suka mempolitikkan isu jalan raya, kerana arwah Aiman amat menyayangi rangkaian jalan raya Malaysia lebih daripada mana-mana orang lain.

Cause you don't know what you've got until it's gone. Wassalam.

Tuesday, February 13, 2018

FTRoadpedia Zon Selatan Part 12: Jalan Persekutuan 1 (Ayer Hitam-Segamat) - jalan super two paling teruk di negeri Johor, dibina semula / Federal Route 1 (Ayer Hitam-Segamat) - the worst super two highway in Johor, to be rebuilt




Salam sejahtera,

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menulis entri siri reviu FTRoadpedia berikutan kesibukan kerja. Namun, disebabkan pada sebelah siang 11 Februari 2018 diadakan upacara perasmian projek pembinaan semula jajaran Jalan Persekutuan 1 dari Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwongsai, Segamat, maka saya memutuskan bukan sahaja untuk menyambung semula siri entri FTRoadpedia Zon Selatan yang sudah lama bersawang, tetapi juga melangkau dua episod ke hadapan. Jika diikutkan perancangan asal saya, episod ini sepatutnya menjadi episod terakhir bagi siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan sebelum disambung dengan episod tambahan Jalan Segamat-Gemas FT1 & jajaran asal Jalan Persekutuan 1 di Kuala Lumpur sebelum saya memulakan siri reviu FTRoadpedia Zon Utara pula.

Konvoi FTRoadpedia Zon Selatan meneruskan perjalanan bagi hari terakhir pada 9 Mei 2017. Acara pertama bagi hari terakhir dimulakan dengan lawatan ke Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia yang terletak di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru pada sekitar pukul 9.00 pagi sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT1, yang mana kedua-dua entri tersebut akan ditulis sebaik sahaja selepas entri ini. Seterusnya, kami berhenti rehat sebentar di pekan Ayer Hitam di mana ada di antara peserta rombongan FTRoadpedia tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di pekan seramik utama Johor ini.

Seterusnya, kami memulakan perjalanan menyelusuri jalan super two paling teruk di negeri Johor, merangkumi Jalan Yong Peng-Ayer Hitam FT1, Jalan Labis-Yong Peng FT1 dan Jalan Segamat-Labis FT1. Sebenarnya, jajaran jalan super two paling teruk di negeri Johor ini turut merangkumi Jalan Segamat-Gemas FT1, tetapi kami tidak melaluinya selepas sesi minum petang di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Segamat; sebaliknya, kami menggunakan laluan Jalan Segamat-Muar FT23 (termasuklah jajaran terawal Lebuhraya Segamat-Muar FT23 yang sudah siap) untuk meninjau tahap perkembangan seksyen ketiga sepanjang 10 km yang dijangka siap pada tahun 2019.

Kenapa pula jalan yang kami lalui kali ini saya gelar sebagai jalan super two paling teruk di negeri Johor...? Tanyalah mana-mana pengguna jalan raya di Segamat, Labis, Chaah, Yong Peng dan Ayer Hitam, rata-rata pengguna jalan raya di situ menghentam keadaan jalan yang teruk di sepanjang jajaran jalan super two sepanjang 120 km itu. Jalan tersebut terkenal kerana banyak berlubang di sana-sini seperti baru lepas perang terutamanya selepas peristiwa 2 kali banjir besar di Segamat pada tahun 2006 & 2011. Tanyalah mana-mana Jurutera Daerah (JD) JKR yang sedang ataupun yang pernah bertugas sebagai Jurutera Daerah Segamat dalam tempoh 2003 sehingga sekarang, mereka pastinya sakit kepala memikirkan masalah jalan berlubang yang tidak berkesudahan sejak jajaran FT1 itu dinaik taraf kepada jalan super two sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Projek naik taraf Jalan Persekutuan 1 dari Ayer Hitam ke Gemas merupakan projek naik taraf jajaran sepanjang 120 km daripada piawaian JKR R4 (lebar lorong: 3.25 m; had laju reka bentuk: 90 km/j) kepada piawaian JKR R5 (lebar lorong: 3.5 m; had laju reka bentuk: 100 km/j). Tatkala sebahagian besar projek tersebut dibina pada laluan sedia ada, jajaran dari persimpangan Estet Gomali ke persimpangan Kampung Awat pula melibatkan banyak pemotongan selekoh, memandangkan jajaran asal berbengkang-bengkok. Dalam projek ini juga, dua jejambat lintasan kereta api dibina di Ayer Hitam & Buloh Kasap bagi menggantikan lintasan kereta api searas, menjadikan lintasan kereta api searas di Gemas sebagai satu-satunya lintasan kereta api searas yang tinggal di Jalan Persekutuan 1. Sementara itu, jambatan-jambatan sempit di sepanjang laluan FT1 itu ditangani dengan menjadikan jambatan asal sebagai jambatan selorong manakala jambatan baharu dibina untuk laluan arah bertentangan.

Namun, apa pula yang tidak kena dengan projek jalan super two ini...? Memang ada banyak perkara yang tidak kena dengan projek ini seawal tahap pembinaannya lagi. Ironinya, jajaran FT1 ini sangat bagus keadaannya sebelum projek naik taraf bermula. Dengan kata lain, kerja yang dilakukan itu ibarat tikus membaiki labu - sepatutnya jalan super two dibina dengan kualiti kejuruteraan yang lebih baik berbanding sebelum dinaik taraf, tetapi apa yang sebenarnya berlaku pula adalah sebaliknya. Projek ini dimulakan pada Ogos 2002 dan sepatutnya siap pada November 2005. Tetapi apa yang berlaku...? Keseluruhan projek hanya dapat disiapkan pada tahun 2007, dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya, satu perkembangan yang tidak boleh diterima sama sekali. Semasa projek sedang berlangsung, saya ada terdengar cerita-cerita yang mengatakan bahawa bos kepada kontraktor utama, Perembun (M) Sdn. Bhd. pergi berjoli katak di Dubai sebaik sahaja menerima pembayaran daripada kerajaan. Akibatnya, duit untuk menyiapkan projek sudah jadi tidak cukup, dan akhirnya jalan dibina tidak mengikut spesifikasi ketebalan turapan. Malah, ayah saya pernah menunjukkan kepada saya betapa nipisnya turapan yang dilakukan dengan hanya memacakkan besi pengukur sahaja. Patutlah keadaan jalan tersebut macam lahanat. Harap-harap kisah "joli katak" itu sekadar dongeng semata-mata, tetapi sekiranya memang benar, maka celakalah kontraktor haram jadah yang mengkhianati amanah kerajaan dan berjoli katak menggunakan duit rakyat sehingga kualiti jalan yang terhasil itu macam lahanat dan JKR pula tidak fasal-fasal menjadi sasaran caci-maki pengguna jalan raya yang marah-marah akibat terlanggar lubang sehingga menyebabkan tayar pecah dan rim bengkok.

Tidak cukup dengan itu, saya banyak kali menyaksikan dengan mata saya sendiri bagaimana turapan dilakukan semasa hari hujan. Hello, siapa ajar turap lubang pada hari hujan...? Tak tahukah si kontraktor culas itu bahawa dalam aspal ada minyak yang mencair ketika panas...? Tak belajarkah bahawa air hujan boleh menyebarkan minyak di dalam tar berikutan sifat ketumpatan minyak yang lebih rendah daripada air...? Semasa PMR & SPM dulu subjek Sains dapat berapa...? Putang ina. Itulah, masa sekolah jangan ponteng kelas. Akibatnya, dalam masa tidak sampai 24 jam sahaja turapan itu jadi rosak kembali.

Tambah menyakitkan hati lagi, selepas jalan sudah siap diturap barulah terhegeh-hegeh hendak korek semula untuk membina pembetung (culvert). Inilah yang dikatakan sebagai "rumah siap, pahat berbunyi". Semasa jalan sedang dalam pembinaan kenapa tak terfikir hendak bina pembetung awal awal...? Kenapa hendak tunggu sehingga jalan sudah siap diturap baru nak korek balik...? Berapa banyak duit rakyat yang dibazirkan hanya untuk menurap balik jalan yang sama kerana dipecahkan untuk membina pembetung...? Akal letaknya di mana...? Patutlah lagu Tampal Korek yang diparodikan daripada sebuah lagu Cina menjadi tular di media sosial.




Lubang korek - sudah siap korek balik, apa kejadahnya...?


Sebenarnya, kebobrokan dalam pelaksanaan projek naik taraf jalan FT1 dari Ayer Hitam ke Gemas tidak terhenti di situ sahaja. Ayah saya juga ada mendedahkan bahawa kontraktor projek tersebut tidak membina sistem saliran terlebih dahulu - sudah bina jalan barulah terhegeh-hegeh hendak bina longkang. Menurut ayah saya, sistem saliran yang baik sangat penting supaya air tidak berhimpun di lapisan bawah tanah di bawah asas jalan raya, yang seterusnya boleh menyebabkan jalan raya mendap - atau lebih teruk lagi, jalan jerlus - akibat fenomena pencecairan tanah (soil liquefaction).

Keadaan jalan FT1 yang memang teruk seawal proses pembinaan menjadi bertambah parah selepas peristiwa banjir besar di daerah Segamat pada tahun 2006 dan 2011. Selepas sahaja banjir besar, terlalu banyak lubang muncul di FT1 seolah-olah seperti baru lepas perang. Selepas banjir besar 2006, Perembun ada membuat tuntutan kepada syarikat insurans untuk ganti rugi kerosakan jalan akibat banjir besar, tetapi audit daripada syarikat insurans mendapati kerosakan jalan tersebut adalah berpunca daripada kegagalan Perembun sendiri yang tidak membina jalan tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JKR.

Susulan daripada keadaan jalan FT1 yang setanding dengan jalan raya di Kandahar & Uganda itu, maka Kementerian Kerja Raya (KKR) merancang untuk menjadikan jalan super two paling teruk di negeri Johor ini sebagai projek perintis bagi turapan aspal terubah suai getah beku mangkuk (cup lump modified asphalt; CMA) berjarak jauh pertama di Malaysia. Projek ini melibatkan pembinaan semula Jalan Persekutuan 1 dari KM134 (Desa Temu Jodoh) sehingga KM174 (Kampung Kwongsai) sepanjang 40 km. Hanya 10 km sahaja yang akan diturap menggunakan CMA (dari KM154 ke KM164) manakala jajaran lain pula dibina semula melalui kaedah kitar semula setempat sejuk (cold in-place recycling; CIPR). Projek pembinaan semula jalan FT1 itu bakal menelan belanja RM92.3 juta. Nah, disebabkan keculasan & kebobrokan kontraktor haram jadah yang membina jalan super two FT1 itu secara cincai dengan tahap kualiti setanding dengan jalan raya Kandahar, tidak fasal-fasal duit rakyat dibazirkan lagi untuk membinanya semula. Amanah kerajaan dikhianati, duit rakyat disebat, akhirnya pengguna jalan raya pula yang tidak fasal-fasal menanggung akibatnya.

Bagaimana turapan CMA ini dilakukan...? Ia tidak semudah mencurahkan getah beku ke dalam bitumen panas seperti yang anda dibayangkan. Empat ramuan digunakan sebagai bahan tambah dalam turapan CMA ini iaitu getah beku mangkuk segar hasil torehan pokok getah, susu getah cair (juga diperolehi daripada pokok getah tetapi dikekalkan dalam bentuk cecair dengan menambahkan larutan ammonia ke dalam susu getah), habuk getah daripada tayar terpakai yang dikitar semula, dan bahan produk getah yang ditolak (seperti sarung tangan getah, dsb.).

Tiga peringkat diperlukan dalam penghasilan turapan CMA ini:-

  1. Penghasilan getah beku berbitumen - Getah beku berbitumen dihasilkan dengan mencampurkan empat bahan tambah yang telah saya senaraikan tadi ke dalam bitumen 60/70 untuk menghasilkan getah beku berbitumen. Hasilnya ialah getah beku hitam berminyak dan belum jadi tar lagi.
  2. Penghasilan bahan pengikat terubahsuai getah beku mangkuk - Getah beku berbitumen tadi perlu dicampurkan dengan bitumen 60/70 sekali lagi untuk menghasilkan tar pengikat bagi turapan CMA ini.
  3. Penghasilan aspal terubahsuai getah beku mangkuk (CMA) - Setelah tar pengikat terubahsuai getah beku mangkuk dihasilkan, barulah tar tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan aspal dengan mencampurkannya dengan agregat (batu baur halus), sama seperti proses penghasilan aspal biasa.

Seterusnya, turapan CMA bagi projek ini dilakukan tanpa mengikis semula turapan lama, tetapi diturap di atas turapan lama untuk menghasilkan lapisan turapan yang lebih tebal, memandangkan turapan asal di jalan tersebut terlalu nipis. Bagi jajaran lain dalam projek ini, turapan CIPR dilakukan dengan mengikis semula turapan lama sebelum diturap semula dengan turapan yang lebih tebal bagi lapisan pengikat & lapisan haus.




Jajaran projek pembinaan semula jalan FT1 menggunakan turapan CMA




Keratan rentas lapisan jalan yang akan dibina menggunakan turapan CMA




Ramuan bagi menghasilkan tar bagi turapan CMA




Proses penghasilan aspal CMA
(Semua kredit gambar: Jabatan Kerja Raya Malaysia)


Sekarang kita kembali semula kepada pengalaman kami menyelusuri jalan FT1 ini. Destinasi pertama yang kami singgahi di sepanjang Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1 ini ialah Restoran Kari Kambing 40 Hari yang terletak di tepi Jalan Yong Peng-Ayer Hitam FT1. Menurut pemilik restoran tersebut, nama Kari Kambing 40 Hari dipilih berdasarkan bilangan hari jemaah tabligh keluar menyebarkan dakwah Islam. Kelazatan kari kambingnya menjadi tular di media sosial, seterusnya menarik minat pengguna lebuh raya untuk kembali menggunakan jalan persekutuan terutamanya pada hujung minggu di mana ia sering dibanjiri konvoi bermotosikal. Keadaannya lebih kurang sama seperti Nasi Bambu Sungai Klah di tepi Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1 di Sungkai, Perak, ataupun Lemang To' Ki di tepi Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu FT8 di Bentong, Pahang. Kami singgah sebentar untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Desa Temu Jodoh untuk solat Zuhur dan mendengar taklimat mengenai projek pembinaan semula jalan FT1 menggunakan turapan CMA seperti yang telah saya terangkan tadi.

Sebahagian besar Jalan Yong Peng-Ayer Hitam FT1 terletak sebelah-menyebelah dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Dari FT1, jelas kelihatan betapa banyaknya kenderaan yang menggunakan E2, manakala dari E2 pula kelihatan betapa teruknya keadaan jalan FT1 itu. Itu pun sudah banyak lubang yang telah dibaiki oleh JKR, jadi lubang yang ada sekarang jauh kurang daripada semasa jalan tersebut disiapkan oleh Perembun.

Jika tadi Lebuhraya Utara-Selatan E2 terletak di sebelah timur FT1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam FT1 melintasi E2, menandakan bahawa kami menghampiri bandar Yong Peng, bandar persinggahan penting bagi pengguna jalan raya dari Johor Bahru yang hendak ke Kuantan melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12. Tidak jauh daripada jejambat lintasan E2 terletak persimpangan masuk ke E2 melalui Exit 242 Persimpangan Yong Peng Selatan yang turut menandakan permulaan laluan Lebuh Raya Asia AH142 yang turut melalui FT12 sehingga ke Gambang.

Bandar Yong Peng terletak hanya 2 km utara daripada Exit 242 Persimpangan Yong Peng Selatan. Ia juga bandar kedua terbesar dalam daerah Batu Pahat, membolehkannya mempunyai pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri iaitu Majlis Daerah Yong Peng. Selain itu, Yong Peng juga terkenal sebagai bandar kelahiran pelakon Yana Samsudin. Dari segi pengangkutan jalan raya pula, Yong Peng dihubungkan melalui Jalan Persekutuan 1, Jalan Persekutuan 24 (Jalan Muar-Yong Peng FT24) & Jalan Negeri Johor J16 (Jalan Yong Peng-Paloh). Dari Lebuhraya Utara-Selatan E2, Yong Peng mempunyai dua persimpangan keluar iaitu Exit 241 Persimpangan Yong Peng (melalui jalan FT24) & Exit 242 Persimpangan Yong Peng Selatan (melalui FT1; dari / ke selatan sahaja).

Persimpangan Jalan Yong Peng-Muar FT24 menandakan penamat Jalan Ayer Hitam-Yong Peng FT1 dan permulaan Jalan Labis-Yong Peng FT1. Bermula dari sinilah Jalan Persekutuan 1 mula menjauhi Lebuhraya Utara-Selatan E2 menuju ke utara sehingga ke Labis. Dalam peta, ia nampak begitu lurus sehinggakan ia disangkakan sebagai lurusan terpanjang di Malaysia, tetapi jika anda zum lebih dekat pada peta, anda akan mendapati bahawa lurusan ini sebenarnya dipatahkan beberapa kali oleh selekoh-selekoh yang tidak berapa tajam.

Destinasi seterusnya ialah Desa Temu Jodoh yang terletak 17 km di utara Yong Peng & 1 km selepas sempadan daerah Segamat-Batu Pahat. Kami singgah sebentar untuk solat & seterusnya mendengar taklimat projek pembinaan semula jalan FT1 dari Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwongsai, jadi tidak perlulah saya ulang kembali taklimat tersebut, memandangkan kesemuanya sudah pun saya terangkan di atas.

Ada cerita menarik mengenai asal-usul nama Desa Termu Jodoh ini. Desa Temu Jodoh mula dibuka pada 30 Oktober 1972 sebagai sebahagian daripada projek Tanah Rancangan Muda anjuran kerajaan negeri Johor pada masa itu yang disasarkan kepada golongan anak-anak muda yang bujang. Para peserta tidak terhad kepada kaum adam semata-mata tetapi turut disertai kaum hawa. Namun, kerajaan Johor meletakkan syarat bahawa para peserta tidak dibenarkan berkahwin dalam tempoh 5 tahun pertama pembukaan petempatan tersebut. Setelah tempoh 5 tahun tersebut berlalu, sudah ada sekurang-kurangnya empat pasangan sesama peserta yang ingin mendirikan rumah tangga. Setelah khabar tersebut sampat ke telinga pengurus tanah rancangan, baki 20 pasangan lagi dihimpunkan untuk dinikahkan secara beramai-ramai, menjadikan 24 pasangan dinikahkan sekaligus. Tambah menarik lagi, majlis perkahwinan beramai-ramai pada tahun 1977 itu turut dibiayai oleh Menteri Besar Johor pada masa itu, Tan Sri Othman Saat dan menjadi majlis perkahwinan beramai-ramai terbesar di Malaysia pada masa itu. Daripada situlah Desa Temu Jodoh mendapat namanya.

Selesai taklimat projek turapan CMA di Desa Temu Jodoh, kami meneruskan perjalanan ke Segamat untuk jamuan minum petang di pejabat JKR Segamat. Pekan seterusnya yang terletak di jalan FT1 ini ialah pekan Chaah. Pekan Chaah merupakan pekan paling selatan di daerah Segamat. Ia juga pekan persinggahan bagi pencinta alam yang hendak ke Hutan Lipur Sungai Bantang & Taman Negara Johor Endau-Rompin, taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia yang diwartakan pada tahun 1993. Untuk ke sana, anda perlu memasuki Jalan Negeri Johor J150 ke Bekok.

Tidak jauh dari simpang Bekok pula terletaknya simpang ke Felda Ma'okil. Felda Ma'okil sebenarnya terletak dalam daerah Muar, tetapi asalnya hanya boleh dimasuki melalui jalan FT1417 di daerah Segamat sehinggalah apabila kerajaan negeri Johor menyiapkan Jalan Kampung Raja-Felda Ma'okil J230 ke Bukit Kepong yang memang terletak dalam daerah Muar. Saya memang pernah mencuba Jalan Kampung Raja-Felda Ma'okil FT230 sebelum ini, tetapi hasilnya amat mengecewakan kerana keadaan turapan yang terlampau teruk seperti baru lepas perang.

Sebaik sahaja selepas simpang Felda Ma'okil, jalan FT1 melebar menjadi 4 lorong sepanjang 2 km bagi menyediakan lorong memotong. Di sepanjang jajaran Ayer Hitam-Segamat, memang agak kerap disediakan lorong memotong memandangkan kadar aliran trafik yang agak tinggi di jalan ini. Bagi jajaran Segamat-Gemas pula, hanya ada satu sahaja jajaran lorong memotong disediakan iaitu di sekitar Kampung Awat.

Bandar Labis terletak lebih kurang 12 km di utara Chaah. Labis merupakan bandar kedua terbesar di daerah Segamat & merupakan pusat utama peladangan getah & kelapa sawit di negeri Johor. Bandar Labis dihubungkan ke Muar melalui Jalan Persekutuan 1, Jalan Labis-Muar J32 & Jalan Pekan Air Panas J151. Cerita bagaimana bandar Labis dibuka juga kedengaran menarik. Labis asalnya merupakan sebuah kampung bernama Kampung Paya Merah. Di situ terdapat sejenis rumput merah yang disukai labi-labi. Pada awal abad ke-20, beberapa orang pegawai British datang untuk meninjau kawasan untuk dibangunkan, Mereka berasa hairan apabila melihat kelibat beberapa ekor labi-labi di situ lalu bertanya kepada orang-orang kampung akan nama haiwan tersebut. "Labi-labi, tuan," jawab penduduk kampung. Maka pegawai-pegawai British tersebut berfikir seraya berkata, "Oh, labis... these are labis." Mereka berpendapat bahawa perkataan "labi-labi" bermaksud banyak labi-labi, jadi mereka berpendapat perkataan sesuai dalam bahasa Inggeris ialah "labis" (sebenarnya, labi-labi dalam bahasa Inggeris bermaksud "river terrapin"). Sejak itu, mereka mencadangkan agar kampung tersebut dinamakan semula sebagai Labis.

Perjalanan masih berbaki 26 km sebelum tiba di Segamat. Bermula dari bandar Labis, nama jalan bagi Jalan Persekutuan 1 bertukar kepada Jalan Segamat-Labis FT1. Di sebelah Labis, ia dipanggil Jalan Segamat FT1, tetapi di Segamat pula ia dipanggil Jalan Genuang FT1. Bermula dari Kampung Bukit Mambai, jalan FT1 berubah orientasi daripada utara-selatan kepada timur-barat, dan orientasi sebegini kekal sehingga ke Tampin. Tidak jauh dari Kampung Bukit Mambai terletaknya Taman Tenang Jaya yang menempatkan simpang ke Felda Redong dan seterusnya Jalan Redong-Selancar. Saya belum pernah mencubanya lagi, mungkin sekiranya berkesempatan nanti saya akan mencubanya, insya-Allah. Yang pasti, Jalan Redong-Selancar ini merupakan jalan negeri.

Simpang Felda Redong menjadi permulaan kepada jajaran memotong 4 lorong sekali lagi. Saya pun sudah tidak ingat berapa banyak jumlah jajaran lorong memotong kesemuanya dari Ayer Hitam ke Segamat - yang boleh saya katakan, memang kerap. Sebaik sahaja jalan 4 lorong mencerut kembali kepada 2 lorong, kelihatan sebuah pekan kecil yang dinamakan Tenang Station. Tenang Station menjadi lokasi bagi majlis perasmian kerja pembinaan semula jalan FT1 yang telah saya sebutkan tadi. Pekan ini memang kecil, cuma ada 2 baris kedai, 1 medan selera, 1 dewan orang ramai, 1 balai polis, 1 masjid, 1 klinik desa, 3 sekolah, dan itu sahaja. Sebenarnya, selain Tenang Station, ada 2 lagi tempat bernama Tenang di Segamat, iaitu Felda Tenang dan Kampung Tenang, kedua-duanya terletak di Jalan Pekan Air Panas J151. Sebaik sahaja selepas sempadan pekan Tenang, terletak stesen penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tenang.

Baki jajaran Jalan Segamat-Labis FT1 begitu lurus, tetapi sebenarnya jajaran ini melalui banyak proses pelurusan & pemotongan selekoh sebelum ia menjadi selurus sekarang. Kebanyakan kerja pemotongan selekoh ini dilakukan sekitar tahun 1970an sehingga 1980an, dengan fasa terakhir pemotongan selekoh dilaksanakan pada tahun 1998, siap sepenuhnya pada tahun 2000. Dengan siapnya pemotongan selekoh Segamat-Tenang, keseluruhan jajaran FT1 dari Segamat ke Ayer Hitam sepanjang 92 km sangat lurus dan tidak lagi berselekoh tajam. Beberapa bekas selekoh yang dipotong membentuk jalan masuk ke Felda Kemelah (FT1383), Kampung Kwongsai (J42), Kampung Melayu Raya Genuang dan Kawasan Perindustrian Segamat. Tibanya kami di Kawasan Perindustrian Segamat menandakan bahawa kami akhirnya tiba di Segamat.




Sisa-sisa projek pemotongan selekoh FT1 dari Segamat ke Tenang Station - sisa pemotongan selekoh ini membentuk jalan masuk ke Felda Kemelah...




...dan Kampung Kwongsai




Jajaran jalan lama ini pula semakin lenyap ditelan estet kelapa sawit




Jajaran lama FT1 yang dipotong ini pula membentuk jalan masuk ke Kampung Melayu Raya...




...dan Kawasan Perindustrian Segamat


Bermula dari Persimpangan Segamat Baru, Jalan Segamat-Labis FT1 dipanggil Jalan Genuang FT1 sehinggalah ke Jambatan Pertama Segamat FT1. Jalan berubah menjadi 4 lorong tetapi masih lagi jalan raya tunggal (kecuali Persimpangan Segamat Baru & jajaran Persimpangan Paduka Tuan-Persimpangan Tan Leng Ann). Selepas Medan Selera Kenawar barulah jalan FT1 menjadi jalan raya kembar. Di situlah terletaknya Jambatan Kenawar FT1, satu-satunya jambatan di sepanjang jajaran FT1 dari Ayer Hitam ke Segamat yang tidak terletak di bawah penyelenggaraan JKR. Sebaliknya, Jambatan Kenawar FT1 terletak di bawah penyelenggaran Jabatan Pengairan & Saliran sebagai salah satu komponen bagi Projek Tebatan Banjir Bandar Segamat bagi menghindari daripada banjir besar seperti yang berlaku pada tahun 2006 & 2011.

Kami secara rasminya sudah memasuki kawasan pusat bandar Segamat. Sebaik melintasi Jambatan Kenawar FT1, kami sudah memasuki kawasan Kampung Abdullah. Persimpangan Chia Chin Koon membawa anda ke Jalan Chia Chin Koon, salah satu komponen Jalan Lingkaran Dalam Segamat. Ia disusuli Persimpangan Paya Pulai ke Jalan Pogoh J41.

Untuk pengetahuan anda, bandar Segamat terdiri daripada 2 bahagian iaitu Bandar Atas dan Bandar Seberang, kedua-duanya dipisahkan oleh Sungai Segamat. Pusat bandar sebenar Segamat terletak di Bandar Atas, yang digelar sedemikian berikutan keadaannya yang berbukit. Bandar Seberang pula terletak di seberang Sungai Segamat. Asalnya, Jambatan Pertama Segamat FT1 merupakan satu-satunya penghubung antara Bandar Atas dengan Bandar Seberang, tetapi sekarang sudah ada 3 lintasan Sungai Segamat di bandar Segamat, iaitu Jambatan Pertama Segamat FT1, Jambatan Kedua Segamat J217 & Jambatan Ketiga Segamat, sebatang jambatan jalan raya tunggal 2 lorong yang menghubungkan antara 2 bahagian Bandar Utama Segamat.

Sekali pandang, Jambatan Pertama Segamat FT1 kelihatan seolah-olah seperti jambatan biasa tanpa apa-apa nilai sejarah. Namun, tiada siapa menyangka bahawa Jambatan Pertama Segamat FT1 sebenarnya menyimpan banyak sejarah tersendiri. Hasil daripada usaha mendokumentasikan sejarah Jambatan Pertama Segamat FT1 oleh para sejarawan daerah Segamat terutamanya Saudara Aisyamuddin Abdul Latip, saya berupaya menjejaki sejarah berkaitan Jambatan Pertama Segamat FT1.

Jambatan Pertama Segamat FT1 yang asal dibina pada tahun 1926 atas titah perintah Sultan Johor pada masa itu, Sultan Sir Ibrahim al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, siap pada tahun 1928. Jambatan asal mempunyai 6 tiang dengan bentangan antara tiang berukuran 35 kaki (10.67 m), dengan panjang keseluruhan 85 meter & lebar 10 meter. Dalam masa yang sama juga, Jambatan Lama Buloh Kasap FT1 dibina dengan panjang keseluruhan 160 m, menjadikannya jambatan terpanjang di Johor pada masa itu. Seperti Jambatan Lama Buloh Kasap FT1, Jambatan Pertama Segamat FT1 yang asal dimusnahkan oleh tentera Australia di bawah pengawasan Kor Jurutera Diraja British pada tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua bagi menghalang kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Tatkala kesan runtuhan Jambatan Lama Buloh Kasap FT1 masih boleh dilihat sehingga sekarang, Jambatan Pertama Segamat FT1 asal musnah sepenuhnya; satu-satunya kesan peninggalan yang tinggal hanyalah tukup cerucuk (pile cap) yang kelihatan di bawah Jambatan Pertama Segamat FT1 sekarang. Setelah runtuhnya jambatan asal, tentera Jepun mengerahkan penduduk tempatan menebang pokok kelapa bagi menghasilkan jambatan kayu sementara yang cukup kuat untuk dilalui kereta kebal. Ia kemudian diperkemaskan oleh tentera Jepun menjadi sebuah jambatan kayu kekal. Jambatan Pertama Segamat FT1 yang anda dapat lihat sekarang ini dimulakan pembinaannya pada tahun 1957 atas arahan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj & siap pada tahun 1963.




Lukisan pandangan tepi Jambatan Pertama Segamat FT1 yang asal




Hanya tukup cerucuk ini sajalah satu-satunya bekas peninggalan jambatan asal Segamat



Jambatan Pertama Segamat FT1 sekarang
(Kredit gambar: Komuniti Segamat


Rombongan FTRoadpedia tiba di pejabat JKR Segamat untuk minum petang. Kami disajikan dengan buah durian yang menjadi ikon utama bagi Segamat, dan juga soto yang merupakan salah satu juadah popular negeri Johor. Sebaik selesai sesi minum petang, rombongan FTRoadpedia pulang ke Kuala Lumpur melalui Jalan Segamat-Muar FT23 bagi membolehkan ahli rombongan meninjau perkembangan projek Lebuhraya Segamat-Muar Pakej 3 dari Ulu Jementah ke Sagil sepanjang 10 km.

Secara keseluruhannya, jajaran Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1 sememangnya sangat teruk sehingga memperoleh reputasi buruk sebagai jalan super two paling teruk di negeri Johor. Apa tidaknya, semasa pelaksanaan projek naik taraf jalan tersebut kepada jalan super two, banyak pencabulan piawaian, jalan pintas kejuruteraan & pelanggaran prosedur operasi piawai (SOP) dilakukan oleh Perembun selaku kontraktor utama Akibatnya, jalan super two yang dihasilkan itu ternyata berjasa kepada tauke-tauke bengkel susulan banyak kes tayar pecah & rim bengkok bahana terlanggar lubang yang terhasil daripada jalan super two bertaraf "antarabangsa" & setanding dengan jalan raya di Kandahar. Susulan dengan itu, kerajaan meluluskan peruntukan sejumlah RM92.3 juta bagi membina semula jalan FT1 ini dari Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwongsai. Rasa bersyukur & berterima kasih ada, rasa malu pun ada. Apa pun, kisah pencabulan piawaian jalan raya yang dilakukan oleh kontraktor pelaksana projek naik taraf Jalan Ayer Hitam-Gemas FT1 sepatutnya diambil iktibar oleh semua kontraktor lain. Selain itu, saya amat berharap agar Kementerian Kerja Raya (KKR) & JKR melakukan pemantauan lebih kerap & bersikap lebih tegas kepada kontraktor pelaksana tanpa sebarang belas kasihan. Jalan tak ikut spesifikasi...? Terus senarai hitam sahaja, jangan terima sebarang rayuan daripada muka-muka sepuluh sen itu. Sebagai anak Segamat, saya tidak mahu lagi merasai azab jalan yang menggerutu & berlubang di sana-sini sehingga menjahanamkan kenderaan saya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Pekan Ayer Hitam - ada baki 92 km ke Segamat, sama jarak seperti ke Johor Bahru






Antara jajaran cacat dengan banyak kesan tampalan






Boleh nampak kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan E2






Singgah makan tengah hari sebentar di Restoran Kari Kambing 40 Hari






Kita sambung semula perjalanan






Jalan FT1 melintasi Lebuhraya Utara-Selatan E2






Bandar Yong Peng dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 242 Persimpangan Yong Peng Selatan...






...dan Exit 241 Persimpangan Yong Peng Utara di Jalan Muar-Yong Peng FT24






Masjid Jamek Yong Peng dinamakan semula sebagai Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil sempena memperingati Tunku Jalil yang mangkat akibat kanser






Simpang ke Jalan Paloh J16






Pencawang Masuk Utama Yong Peng






Kualiti jalan ini memang teruk






Pekan Lam Lee






Jambatan berkembar sebelum persimpangan Empangan Bekok






Sudah memasuki daerah Segamat






Desa Temu Jodoh mendapat namanya sempena peristiwa perkahwinan beramai-ramai terbesar di Malaysia pada ketika itu






Singgah sebentar di Masjid Desa Temu Jodoh untuk solat & sesi taklimat projek membina semula Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1 menggunakan turapan CMA






Bakal tarikan baharu di Chaah






Jambatan-jambatan kecil lama sekadar dikembarkan sahaja tanpa dibina semula






Pekan Chaah






Simpang ke pekan Bekok & Air Terjun Sungai Bantang






Alamak, hujan sudah turun...!!!






Simpang ke Felda Ma'okil pada waktu hujan






Sungai Karas






Simpang ke Jalan Muar-Labis J32 di bandar Labis






Jejambat lintasan kereta api di Labis






Suasana di bandar Labis






Belok kanan untuk ke Jalan Pekan Air Panas J151






Meninggalkan Labis - Segamat hanya tinggal 26 km sahaja lagi






Satu-satunya pendakian curam di sepanjang Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1






Orientasi laluan FT1 bertukar daripada laluan utara-selatan kepada timur-barat






Kampung Bukit Mambai






Simpang masuk ke Kampung Sawah Baru melalui jalan kampung. Jalan masuk sebenarnya ialah jalan J162 yang dihubungkan dari Pekan Air Panas






Taman Tenang Jaya






Simpang ke Felda Redong & Jalan Selancar-Redong






Lorong memotong selepas simpang Felda Redong






Suasana di Tenang Station. #TenangIsGood






Lagi kesan tampalan di stesen penguatkuasa JPJ






Simpang masuk ke Felda Kemelah ini dibina daripada sisa pemotongan selekoh






Bekas jalan lama yang dipotong masih boleh kelihatan di tepi laluan sedia ada sekarang






Jalan masuk ke Kampung Kwongsai juga dibina daripada sisa pemotongan selekoh






Simpang masuk ke Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman & Pelabuhan Darat Segamat






Bagaimana hendak memotong dengan selamat & selesa kalau keadaan jalan sebegini teruk...?






Simpang masuk ke Kampung Melayu Raya, terhasil daripada projek pelurusan jajaran bengkang-bengkok terakhir di Jalan Segamat-Labis FT1






Simpang ke Bandar IOI Segamat (aka Bandar Putra Segamat)






Simpang empat ke Kampung Melayu Raya & Kawasan Perindustrian Segamat






Kawasan Perindustrian Segamat






Landasan kereta api sudah mula kelihatan di sebelah kiri jalan






Pintu gerbang Johor Darul Takzim, menunjukkan bahawa kami sudah memasuki kawasan bandar Segamat






Persimpangan Segamat Baru di hadapan






Dataran Segamat. Pejabat JKR Segamat terletak di Jalan Omar & menghadap Dataran Segamat






Jom kita makan durian dulu...!!!

Advertisement