Thursday, April 12, 2012

Pantau Tegur Bahasa: Lebuhraya Senai-Desaru E22 / Talk the Language: Senai-Desaru Expressway E22

Salam sejahtera,

Lebuhraya Senai-Dasearu E22 merupakan sebuah lebuh raya sepanjang 77 km di selatan Johor. Dibuka pada Jun 2011, ia menghubungkan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (dan seterusnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura E3) dengan Desaru dan Bandar Penawar. Apa yang menarik (dan ada kalanya mungkin tidak disenangi sesetengah pihak) ialah 29 km daripada jajaran lebuh raya ini dari Exit 2205 Persimpangan Cahaya Baru ke Exit 2208 Persimpangan Penawar dibina sebagai lebuh raya tunggal dua lorong, manakala selebihnya dibina sebagai lebuh raya kembar empat lorong, sebagaimana lebuh raya ekspres lain di Malaysia.





Penggunaan istilah yang salah (gambar ihsan blog Super 325)



Namun, apa yang saya ingin tegur ialah penggunaan istilah "lebuh raya selorong" yang tidak tepat sama sekali. Buat pihak pengurusan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB), saya ingin tegaskan bahawa istilah "lebuh raya selorong" sama sekali tidak sesuai digunakan kerana ia bermaksud "lebar keseluruhan lebuh raya hanyalah selorong sahaja yang dikongsi kedua-dua arah lalu lintas", samalah seperti jalan kampung. Oleh itu, istilah yang lebih sesuai digunakan bagi jajaran Cahaya Baru-Desaru tersebut ialah "lebuh raya dua lorong", kerana jumlah lorong sepanjang jajaran tersebut ialah dua lorong, iaitu satu lorong bagi setiap hala.









Penggunaan simbol yang salah (gambar ihsan blog Mancis Dah Basah dan Panoramio)



Satu lagi teguran yang saya ingin tegaskan kepada pihak pengurusan SDEB ialah penggunaan simbol yang tidak sesuai bagi jajaran lebuh raya dua lorong. Ingin saya tekankan bahawa maksud sebenar bagi simbol lebuh raya yang lazim digunakan ialah "lebuh raya kembar dengan kawalan masuk penuh; sebarang bentuk lintasan merentangi trafik tidak dibenarkan dan keluar masuk hanyalah melalui persimpangan bertingkat yang diwartakan sahaja". Sungguhpun jajaran dua lorong Cahaya Baru-Desaru ini dikenakan kawalan masuk penuh, namun ia dibina sebagai lebuh raya tunggal, bukan lebuh raya kembar. Sebab itulah simbol ini tidak sesuai digunakan di jajaran tersebut. Simbol yang lebih sesuai bagi melabelkan jajaran lebuh raya tunggal dua lorong ialah simbol "autostrasse" seperti di bawah:-






Bagi kegunaan di Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia boleh mengambil inisiatif merekabentuk satu simbol piawai bagi lebuh raya tunggal dua lorong dengan menggunakan bentuk kereta Proton Saga sebagai simbol piawai. Saya berharap agar pihak SDEB segera mengambil tindakan memperbetulkan penggunaan simbol dan istilah demi memartabatkan industri lebuh raya negara.

1 comment:

  1. Very true, but the symbol itself just simply remove the second line. So it make sense consider it was two lane expressway. Respond me today, are your blog dead or just not active much since 2019?

    ReplyDelete