Wednesday, May 23, 2012

Apa Kejadahnya: Jalan Bukit Kepong-Felda Maokil berlubang / What The Hell: Bukit Kepong-Felda Bekok Road is plagued with potholes

Salam sejahtera,

Dalam segmen Apa Kejadahnya kali ini, saya bawakan satu lagi skandal kecacatan jalan raya yang tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat. Sasaran kita kali ini ialah Jalan Bukit Kepong-Felda Maokil di Johor.

Pada reviu Jalan Labis-Muar J32 sebelum ini, saya pernah menyuarakan keterujaan saya untuk mencuba sebatang jalan baharu yang menghubungkan antara Bukit Kepong dengan Felda Maokil. Namun, setelah mencubanya pada hari ini, perasaan teruja tersebut bertukar kepada perasaan marah, kecewa dan tidak puas hati. Kenapa boleh jadi begitu?

Projek jalan Bukit Kepong-Felda Maokil ini bermula sebagai projek naik taraf jalan kampung yang menjadi laluannya dan seterusnya disambung sehingga Felda Maokil. Projek ini bermula di Kampung Raja dekat pekan Bukit Kepong di jalan J32 dan tamat di Felda Maokil. Satu bulatan dibina di penghujung jalan tersebut. Projek jalan raya sepanjang 22 km ini mula dibina pada tahun 2006 dan siap pada Mac 2010, lewat daripada jadual asal pada Oktober 2009.

Namun, keadaan jalan raya tersebut seakan baru lepas perang walaupun baru saja 2 tahun jalan tersebut dibuka kepada lalu lintas. Jalan tersebut berlubang di sana-sini terutamanya di Kampung Raja, menjadikan ia sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.

Di sini saya ingin mempersoalkan kenapa jalan raya yang baru 2 tahun dibuka itu boleh rosak dengan sebegitu teruk? Adakan kontraktor yang dilantik untuk membina jalan tersebut terdiri daripada kontraktor cap ayam yang bukan sahaja tidak kompeten, malah buat kerja sebegitu cincai? Kenapa jalan boleh rosak teruk sedangkan bilangan kenderaan yang melaluinya boleh dibilang dengan jari? Mereka sepatutnya membina sebuah jalan raya negeri untuk manfaat penduduk luar bandar, bukannya membina jalan estet yang berlubang di sana-sini sehinggakan tauke bengkel kereta dan motosikal boleh jadi cepat kaya hanya dengan menukar tayar mangsa jalan tersebut...!!! Malah, kebanyakan jalan estet berturap pun jauh lebih baik keadaannya daripada jalan sakit ini.

Serius saya katakan, saya boleh dikira bernasib baik kerana memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa melalui jalan ini. Itu pun jenuh juga saya bersilat di sepanjang laluan yang sepatutnya lurus untuk mengelak lubang. Kalau naik kereta biasa, atau lebih teruk lagi, kalau naik motor, apa akan jadi? Anda semua boleh mengagak jawapannya.

Kepada kontraktor cap ayam yang membina jalan ini, apa perkara pertama yang anda lakukan dengan wang bayaran projek oleh kerajaan? Kerajaan membayar anda semua dengan menggunakan wang rakyat untuk membina sebatang jalan raya yang selesa dan sempurna untuk dimanfaatkan warga Felda dan luar bandar, bukannya untuk anda semua pergi berjoli katak! Apa kejadahnya kerajaan membayar anda sejumlah RM64 juta hanya untuk membina sebatang jalan raya yang lebih teruk keadaannya daripada jalan raya di Afghanistan? Saya serta seluruh rakyat Johor menuntut penjelasan yang memuaskan daripada kontraktor pengkhianat ini.

Mungkinkah ada unsur penyelewengan sepanjang pembinaan jalan sakit ini? Boleh jadi juga. Apa pun, saya serahkan kepada Kementerian Kerja Raya, JKR Johor, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat segera integriti projek ini.

Saya hanya sempat mengambil dua keping gambar mengenai keadaan jalan yang berlubang macam baru lepas dibom bertubi-tubi, itu pun semasa saya berhenti untuk mengelak lubang.

Kepada KKR, JKR Johor serta SPRM, saya amat mengharapkan agar tindakan tegas dikenakan terhadap kontraktor pengkhianat terbabit, termasuklah menyenaraihitamkannya daripada menerima sebarang projek kerajaan.




No comments:

Post a Comment