Thursday, December 6, 2012

Terowong SMART E38: Kejuruteraan ekstrim / SMART Tunnel E38: Extreme engineering



Salam sejahtera,

Bayangkan sekiranya anda terperangkap dalam kesesakan luar biasa di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur semasa cuaca ribut petir dahsyat. Hujan turun selebat-lebatnya seolah-olah langit hendak runtuh. Lebih teruk lagi, hujan yang terlalu lebat itu berterusan sehingga berjam-jam lamanya. Akibatnya, banjir kilat melanda Kuala Lumpur buat kesekian kalinya. Jika banjir tersebut dibiarkan berterusan, maka ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan dan harta-benda di samping melumpuhkan keseluruhan sistem pengangkutan awam, malah ia turut melumpuhkan ekonomi bernilai puluhan bilion ringgit. Malah, banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur kini semakin lama semakin kerap disebabkan oleh kesan pemanasan global yang menjadikan ribut petir di Kuala Lumpur semakin kerap dan semakin menggila.

Jadi apakah yang patut dilakukan bagi memastikan kelestarian nadi ekonomi negara bernilai puluhan bilion ringgit di ibu kota? Para jurutera jalan raya serta jurutera saliran di ibu kota timbul dengan satu idea yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana jurutera awam di dunia, iaitu membina terowong bawah tanah yang berfungsi bukan sahaja sebagai takungan air banjir raksasa bawah tanah, malah turut berfungsi sebagai terowong lebuh raya. Dari situlah lahirnya Terowong SMART E38. 

Idea "terowong bijak" ini mula dikemukakan oleh Gamuda Berhad dan Mott MacDonald UK pada tahun 2001 sebelum pembinaan dimulakan pada tahun 2003. Terowong sepanjang 9 km ini menampilkan bahagian terowong tiga lapisan sepanjang 4 km di mana dua lapisan teratas merupakan lapisan terowong lebuh raya yang hanya membolehkan kereta sahaja melaluinya, manakala 5 km selebihnya merupakan terowong biasa bagi saliran air banjir. 

Bagaimana terowong SMART ini berfungsi? Terdapat tiga mod utama pengendalian terowong ini. Mod pertama ialah semasa cuaca baik, di mana tiada air mengalir di dalam terowong. Mod kedua pula ialah semasa hujan yang tidak berapa lebat serta ribut petir kecil yang lemah. Pada mod ini, hanya bahagian bawah terowong sahaja dibuka bagi saliran air hujan. Mod ketiga ialah semasa ribut petir dahsyat yang berlangsung berjam-jam lamanya dan boleh menyebabkan banjir kilat. Pada mod ini, terowong lebuh raya akan ditutup kepada lalu lintas supaya ketiga-tiga lapisan terowong boleh digunakan untuk mengalirkan air banjir. Sebelum terowong boleh dikuka kembali kepada lalu lintas, air dalam terowong mestilah dipam keluar dan seterusnya terowong perlu dibersihkan dan diperiksa sekiranya ada peralatan yang rosak akibat terjahan arus air banjir yang kuat. Air banjir dipam keluar ke kolam takungan di Kampung Berembang dan Sngai Kerayong. Proses pembersihan dan pemeriksaan semula terowong biasanya mengambil masa 48 jam sebelum terowong boleh dibuka semula. Keadaan dalam terowong sentiasa dipantau 24 jam sehari melalui bilik kawalan di pejabat operasi Terowong SMART E38 yang terletak berhampiran Bulatan Kampung Pandan. Di samping memantau keadaan air banjir di dalam terowong, pihak pengurusan Terowong SMART turut mempunyai sebarisan dua kereta bomba yang terdiri daripada Toyota Hilux yang diubahsuai bagi tujuan memadam kebakaran, memandangkan kereta bomba biasa tidak dapat dimuatkan ke dalam terowong.

Dua mesin pengorek terowong (TBM) bernama Tuah dan Gemilang disewa dari Jerman untuk kerja-kerja pengorekan terowong. Biasanya dalam amalan pengorekan terowong, mesin TBM selalunya ditempatkan pada dua penghujung terowong supaya kerja pengorekan masih boleh diteruskan sekiranya salah satu mesim TBM rosak, tetapi disebabkan kekangan ruang bagi menempatkan mesin TBM ini, kedua-dua mesin TBM bagi Terowong SMART ini mengorek terowong bermula dari Bulatan Kampung Pandan. Ia memang satu pendekatan yang sangat berisiko kerana keseluruhan kerja pengorekan terowong akan lumpuh sekiranya ada mesin TBM yang rosak. Sebab itulah Bulatan Kampung Pandan yang asalnya berbentuk bulat kini bertukar menjadi bentuk angka 8.

Kerja mengorek terowong itu sendiri juga bukan satu kerja yang mudah. Berikutan komplikasi undang-undang tanah sedia ada yang sebegitu mengarut, maka kerja-kerja pengorekan terowong terpaksa dilakukan sepanjang laluan jalan raya sedia ada (mengikut sepanjang laluan Jalan Chan Sow Lin) serta laluan kabel penghantaran voltan tinggi TNB. Jika sesuatu yang tidak kena berlaku, tiang-tiang talian penghantaran boleh tumbang dan menyebabkan seluruh Kuala Lumpur bergelap. Begitu juga sekiranya ada jalan raya yang mendap; ia boleh menyebabkan tragedi yang tidak diingini berlaku terhadap pengguna jalan raya.

Sungguhpun pelbagai langkah keselamatan telah diambil, namun malapetaka yang tidak diingini tetap berlaku. Sepanjang kerja-kerja penggalian terowong, pernah sekali mesin TBM mengorek tanah berlumpur, menyebabkan mesin TBM rosak dan kerja pengorekan tergendala, di samping turut menyebabkan tanah di mana malapetaka tersebut berlaku turut mendap. Sebagai langkah pemulihan, sejumlah besar konkrit terpaksa dicurahkan ke dalam ruangan mendap itu dengan harapan bagi mewujudkan satu "lapisan batu tiruan" untuk membolehkan mesin TBM terus mengorek terowong. Keseluruhan terowong telah berjaya dikorek pada 2 April 2007, namun terowong lebuh raya tersebut hanya dibuka pada 14 Mei 2007 hasil desakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, setelah beberapa kali tertangguh.

Saya sempat mencuba terowong sepanjang 4 km ini, yang merupakan terowong jalan raya terpanjang di Malaysia buat masa ini. Hanya kereta dengan tinggi maksimum 2.1 m sahaja dibenarkan menggunakan terowong ini. Kenderaan berat serta motosikal tidak dibenarkan masuk sama sekali, tetapi ironinya pihak pengurusan Terowong SMART turut menggunakan motosikal dalam operasi pemantauan terowong. Had laju yang dikenakan dalam terowong ialah 60 km/j. Tol sebanyak RM2 bagi jarak perjalanan hanya 4 km itu mungkin dianggap mahal bagi sesetengah pihak, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu kos penyelenggaraan terowong ini yang sangat tinggi terutamanya setiap kali mod ketiga beroperasi. Ada dua persimpangan bertingkat sahaja di sepanjang terowong ini, iaitu di pangkal terowong dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (Exit 3801) serta di Bulatan Kampung Pandan (Exit 3802). Oh ya, penggalian lubang bagi memuatkan kedua-dua mesin TBM di Bulatan Kampung Pandan juga membolehkan Exit 3802 dibina sebagai persimpangan bertingkat bawah tanah pertama di Malaysia.

Berikutan idea menggabungkan fungsi tebatan banjir dengan terowong lebuh raya dalam satu pakej, Terowong SMART telah menerima Anugerah Skrol Kehormat Habitat PBB pada tahun 2011. Sungguhpun terowong ini diiktiraf di peringkat dunia sebagai satu pencapaian kejuruteraan jalan raya yang mengagumkan dunia, ia tidak terlepas daripada menerima cacian serta kritikan setiap kali berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur, sambil mendakwa kononnya Terowong SMART gagal menyelamatkan Kuala Lumpur daripada banjir kilat. Saya ingin menegaskan bahawa sungguhpun Terowong SMART berfungsi melindungi Kuala Lumpur daripada banjir kilat dengan menyediakan saluran tambahan simpanan air banjir sementara, ia tetap ada limitasinya. Contohnya, apabila hujan terlalu lebat di Chow Kit tetapi dalam masa yang sama hanya sekadar renyai-renyai di Ampang dan Bukit Bintang, terowong tersebut tetap beroperasi seperti biasa tanpa penutupan. Dengan kata lain, banjir di Kuala Lumpur bukanlah kerana "kegagalan" Terowong SMART seperti didakwa, tetapi kerana kealpaan kita sendiri yang mencemar udara Kuala Lumpur dengan gas-gas rumah hijau melalui kereta-kereta yang kita pandu secara berseorangan.

Kesimpulannya, kita seharusnya berbangga dengan pencapaian anak watan dalam pengurusan banjir serta aliran trafik dalam satu pakej di Kuala Lumpur dan bukannya mencemuh "kegagalan" Terowong SMART setiap kali banjir kilat. Kita sendiri wajib fardhu ain mengambil peranan mencegah banjir di Kuala Lumpur dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai serta lebih banyak menggunakan kenderaan awam, berkongsi kereta, atau paling malas pun menggunakan motosikal sebagai pengangkutan berulang-alik ke sekolah atau tempat kerja, dan bukannya menggunakan kereta secara berseorangan. Terowong SMART hanya dapat membantu sedikit sahaja dalam menyelamatkan ibu negara daripada banjir kilat; selebihnya bergantung kepada kita sendiri.


Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E38
Panjang: 4 km (keseluruhan terowong: 9.7 km)
Arah laluan: Utara-Selatan (Bulatan Kampung Pandan-Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki Terowong SMART E38 melalui Bulatan Kampung Pandan






Masuk ke dalam terowong






Keadaan di dalam terowong (maaf kualiti gambar kurang memuaskan)






Keluar dari terowong dekat Lebuhraya KL-Seremban E37






Menghampiri Plaza Tol Terowong SMART untuk membayar tol RM2

No comments:

Post a Comment