Sunday, November 3, 2013

Mythbuster: Had laju perlu dinaikkan kerana kereta sekarang lebih laju - mitos terbukti karut! / Speed limit should be raised as today's cars are faster - myth busted!



Kereta sekarang lebih berkuasa serta jauh lebih laju daripada had laju lebuh raya agar pemanduan di lebuh raya ekspres menjadi lebih jimat dan lebih relaks
(Kredit gambar oleh: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Setiap kali kita bercakap tentang had laju, sudah pasti ada sahaja golongan yang mempertikaikan rasional penguatkuasaan had laju. Malah, ada di antara mereka yang memberi alasan-alasan dangkal bagi menegakkan benang yang basah, antaranya termasuklah "kereta sekarang lebih laju, maka had laju perlu dinaikkan", ataupun "lebuh raya kan lebar dan ada banyak lorong, jadi had laju kenalah dinaikkan". Hari ini kita akan buktikan bahawa pendapat dangkal kononnya had laju perlu dinaikkan selaras dengan kelajuan kenderaan adalah mengarut.

Memang tidak dinafikan, kereta sekarang lebih berkuasa, lebih laju, lebih canggih, lebih jimat minyak, lebih mesra alam, lebih selesa dan lebih selamat. Kebanyakan kereta yang dijual di Malaysia pada tahun 1970an rata-ratanya agak jimat minyak disebabkan penggunaan enjin bersaiz kecil tetapi berkuasa rendah dan hanya mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 100-110 km/j. Ruang dalamannya juga sangat ringkas dan satu-satunya ciri keselamatan yang ada pada kereta-kereta pada zaman tersebut hanyalah tali pinggang keledar sahaja. Sementara itu pula, kereta-kereta sekarang pula jauh lebih jimat minyak disebabkan penggunaan teknologi pancitan bahan api dan pemasaan injap boleh laras, tetapi dalam masa yang sama pula lebih berkuasa, lebih mesra alam dan mampu mencapai kelajuan maksimum jauh melebihi had laju lebuh raya ekspres. Kereta sekarang juga lebih selamat; selain tali pinggang keledar, banyak model kereta sekarang turut dilengkapi beg udara, sistem brek cegah kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), kawalan cengkaman (traction control), kawalan kestabilan kenderaan (VSA / ESP / ESC dsb.), dan banyak lagi.

Namun, adakah ia bermakna had laju boleh dinaikkan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengkaji had reka bentuk sesuatu jalan?

Sebenarnya, had laju sesebuah jalan ditentukan oleh reka bentuk sesuatu jalan itu sendiri - lebih tinggi tahap reka bentuk geometrik yang digunakan, maka lebih tinggi jugalah had laju reka bentuk bagi jalan tersebut. Sungguhpun demikian, had laju yang hendak ditetapkan tertakluk kepada Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang menetapkan had laju maksimum bagi jalan persekutuan dan negeri kepada 90 km/j dan had laju maksimum lebuh raya ekspres kepada 110 km/j. Anda boleh baca entri terdahulu bagi penerangan mengenai had laju dan reka bentuk sesebuah jalan. Maka, menuntut had laju dinaikkan sebenarnya adalah satu bentuk pencabulan dari sudut kejuruteraan kerana cuba melampaui had-had reka bentuk bagi jalan tersebut. Justeru, perbuatan melampaui had kejuruteraan jalan raya tentunya akan membawa kegagalan kejuruteraan dalam bentuk kemalangan jalan raya, walau secanggih mana pun kereta yang anda pandu.

Jadi kalau sudah had laju yang ditetapkan itu begitu perlahan, kenapa pula syarikat-syarikat automotif membina kenderaan yang jauh lebih laju daripada had laju yang ditetapkan itu dan bukannya ngam-ngam 110 km/j?

Anda boleh cuba satu eksperimen menggunakan kenderaan yang kelajuan maksimumnya cukup-cukup makan 110 km/j sahaja, contohnya Perodua Kancil EZ 660. Dengan kenderaan sebegitu, cuba anda potong kenderaan di sebelah hadapan anda. Anda sudah tentunya berasa terseksa semasa hendak memotong kenderaan tersebut kerana memerlukan masa yang terlalu lama untuk memotong akibat tidak cukup kuasa. Akibatnya, sudah tentulah anda akan cenderung makan jalan dan lebih mudah berlaku kemalangan. Kenapa pula begitu? Jika sesebuah kenderaan mempunyai kelajuan maksimum hanya 110 km/j, maka kadar pecutannya semakin menghampiri sifar apabila menghampiri kelajuan 110 km/j. Namun, jika sesebuah kenderaan mempunyai kelajuan maksimum melebihi 110 km/j, sekurang-kurangnya masih ada pecutan semasa berada pada kelajuan 110 km/j yang membolehkan anda memotong kenderaan lain yang lebih perlahan dengan selamat. Sebab itulah syarikat-syarikat automotif sengaja membina kenderaan dengan kelajuan maksimum jauh melebihi had laju lebuh raya supaya anda mempunyai kuasa mencukupi untuk memotong dengan selamat. Oleh itu, kuasa tambahan daripada kenderaan anda seharusnya dimanfaatkan agar anda dapat memotong dengan lebih selamat, mendaki bukit dengan lebih relaks tanpa risiko lampau panas, dan keluar masuk simpang dengan lebih cepat dan lebih selamat tanpa mengganggu aturan keutamaan - bukannya untuk merempit ataupun menjadi pelesit jalanan!

Diharapkan selepas membaca entri ini dengan teliti, maka tidak sepatutnya ada lagi suara-suara dangkal yang menuntut kenaikan had laju atas alasan "kereta sekarang lebih laju dan lebih selamat daripada dahulu". Hujah tersebut terbukti dangkal, ditambah pula dengan statistik kemalangan jalan raya yang langsung tidak menunjukkan sebarang bentuk penurunan walaupun kenderaan sekarang ternyata semakin canggih dan semakin selamat. Dengan itu, mitos tersebut terbukti KARUT...!!!

No comments:

Post a Comment