Sunday, January 26, 2014

Jalan Ampang B31 - jalan raya tertua di Kuala Lumpur / Jalan Ampang B31 - the oldest trunk road in Kuala Lumpur

Salam sejahtera,

Masih ingat lagi tentang reviu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12 tahun lalu...? Lebuh raya tersebut dibina bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Ampang B31, yang merupakan jalan raya tertua di Kuala Lumpur serta dipercayai sebagai antara jalan raya terawal di Malaysia. Kali ini, saya ingin bawakan satu reviu khas mengenai Jalan Ampang B31, yang sewajarnya disenaraikan sebagai salah satu warisan kebangsaan.

Jika dikaji mengenai sejarah Jalan Ampang B31, ia tentunya berkaitan dengan sejarah Kuala Lumpur itu sendiri. Kuala Lumpur mula diasaskan pada tahun 1857 di pertemuan antara Sungai Lumpur (kini Sungai Gombak) dengan Sungai Klang, yang kini menempatkan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Sebelum kedatangan orang-orang Cina untuk tujuan pelombongan bijih timah, Kuala Lumpur asalnya didiami orang-orang Jawa, Mandailing, Bugis dan Rawa. Seterusnya, Raja Abdullah, wakil Sultan Selangor yang juga merupakan ketua orang Melayu Klang, membuka kawasan Lembah Klang bagi tujuan pelombongan bijih timah, sekaligus menyumbang kepada perkembangan Kuala Lumpur. Kawasan Ampang merupakan kawasan terawal di Lembah Klang yang dibuka bagi tujuan pelombongan bijih timah. Maka, sebatang jalan raya dibina bagi menghubungkan Ampang dengan Kuala Lumpur yang membentuk Jalan Ampang sekarang.

Jalan Ampang B31 yang ada sekarang ini panjangnya 12 km dari tengah-tengah bandar lama Kuala Lumpur sehingga ke Kampung Lembah Jaya Utara yang menjadi penghujungnya. Di penghujungnya di parkir Hutan Lipur Ampang, Jalan Ampang B31 seterusnya sekadar jalan masuk ke Hutan Lipur Ampang dan tidak boleh dilalui kenderaan awam.

Sepanjang jajaran dari Kampung Lembah Jaya Utara / Bukit Belacan sehingga ke simpang Taman Putra Ampang, Jalan Ampang hanyalah sekadar jalan raya dua lorong yang agak sempit dengan lebar lorong lebih kurang 3 meter sahaja (piawaian JKR R3), lebih kurang seperti jalan raya kampung. Orang luar Lembah Klang yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sudah tentu tidak akan menyangka bahawa Jalan Ampang B31 yang terkenal dengan kesibukannya itu sebenarnya bermula sebagai jalan kampung dua lorong sahaja. Sebaik sahaja di simpang Taman Putra, lanskap terus berubah daripada lanskap sebuah kampung kecil di pinggir bandar kepada sebuah kawasan metropolitan yang pesat membangun. Jalan Ampang B31 mula bertukar menjadi jalan raya kembar di sini.

Pekan Ampang yang sebenar terletak lebih kurang 3 km dari Kampung Lembah Jaya. Seni bina bangunan di Pekan Ampang tidak ubah seperti kebanyakan pekan dan bandar yang membangun semasa zaman penjajahan British dahulu. Asalnya Pekan Ampang merupakan satu pekan yang berasingan, tetapi kini ia turut diserap sebagai sebahagian daripada kawasan metropolitan Kuala Lumpur. Salah satu stesen penghujung LRT Aliran Ampang juga terletak di sini.

Penghujung Lebuhraya AKLEH E12 terletak di Ampang Utama. Lebuh raya sepanjang 7.7 km memintas kesesakan di sepanjang Jalan Ampang B31 dari Ampang Utama sehingga ke tengah-tengah pusat bandar raya. Memandangkan saya sudah pun menghasilkan reviu penuh mengenai AKLEH E12 itu, adalah lebih baik jika saya mencuba jalan lama pula. Tidak lama kemudian, saya tiba di Persimpangan Ampang yang menghubungkan Jalan Ampang B31 dengan Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2) FT28. Kawasan persimpangan tersebut turut menempatkan kompleks beli-belah Ampang Point.

Sebaik sahaja melintasi MRR FT28, saya sudah pun memasuki Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jalan Ampang yang sebelum ini diwartakan sebagai Jalan Negeri Selangor B31 kali ini tiada kod laluan sebaik memasuki Kuala Lumpur. Jalan berubah kepada jalan raya tunggal 4 lorong yang sibuk. Terdapat banyak bangunan kedutaan di sepanjang jalan ini seperti Kedutaan Thailand. Aura di sepanjang jajaran ini begitu eksklusif dan mewah. Bangunan-bangunan pencakar langit dan pokok-pokok melindungi saya daripada pancaran terik sinaran matahari.

Barangkali bahagian paling lebar bagi Jalan Ampang terletak di persimpangan Jalan Tun Razak, dengan bahagian Jalan Ampang menjadi selebar hampir 10 lorong di persimpangan tersebut, menjadikannya sebagai persimpangan paling sibuk di sepanjang Jalan Ampang ini. Jalan Ampang kembali menjadi jalan raya kembar sebaik melepasi persimpangan ini.

Mercu tanda terpenting dan paling utama di sepanjang Jalan Ampang ini semestinya Menara Berkembar Petronas, menara berkembar tertinggi di dunia. Menara Berkembar Petronas juga pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sejak dibuka pada tahun 1998 sehinggalah kedudukannya dipotong oleh Menara Taipei 101 yang siap pada tahun 2004. Selain statusnya sebagai menara berkembar tertinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas juga terkenal kerana idea pemasangan jejantas yang menghubungkan Tingkat 41 dan 42 kedua-dua menara yang begitu inovatif, amat berguna semasa saat-saat kecemasan.

Di simpang Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Ampang kembali menjadi jalan raya tunggal, kali ini dengan bilangan lorong yang tidak sama banyak - selorong bagi arah Ampang dan 3 lorong (termasuk lorong bas) bagi arah Masjid Jamek. Saya tidak tahu apa rasionalnya membina jalan ini dengan bilangan lorong yang tidak sama banyak, kerana kalau diikutkan kesesakan di kedua-dua arah sama sahaja teruknya semasa waktu puncak. 

Sebaik tiba di simpang Jalan Sultan Ismail, saya turut disajikan dengan satu mod pengangkutan terkenal di Kuala Lumpur, iaitu KL Monorail. Sistem monorel buatan anak watan Malaysia ini merevolusikan sistem pengangkutan awam dunia sebagai antara sistem monorel moden yang menjadi pencetus kepada kebangkitan semula monorel sebagai mod pengangkutan awam utama dunia. Semasa pembangunannya, KL Monorail asalnya merancang untuk menggunakan gerabak monorel buatan Hitachi, tetapi kegawatan ekonomi pada tahun 1997-1998 menyebabkan barisan gerabak monorel buatan MTrans Monorail (kini Scomi Engineering) dipilih sebagai rolling stock bagi KL Monorail. Gerabak monorel seberat 25 tan metrik ini dipacu oleh motor elektrik DC 750 V dengan kelajuan maksimum 90 km/j (kelajuan nominal: 80 km/j), berupaya mengangkut sehingga 214 orang pada satu-satu masa.

Bahagian terakhir Jalan Ampang sehingga ke pangkalnya kali ini dibina sebagai jalan raya kembar. Terdapat pasangan sehala di kawasan Dang Wangi, yang mana Jalan Ampang berpasangan dengan Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi bagi lalu lintas arah Ampang. Terdapat dua pangkal bagi Jalan Ampang ini - bagi pemandu dari arah Ampang, Jalan Ampang berakhir di persimpangannya dengan Jalan Raja Chulan, tetapi untuk memasuki Jalan Ampang ini, anda hanya boleh memasukinya dari arah Lebuh Ampang sebagai pangkalnya.

Begitulah sedikit-sebanyak reviu mengenai Jalan Ampang B31 ini. Sungguhpun jalan ini merupakan jalan raya tertua di Kuala Lumpur, namun saya berasa sungguh kecewa dan kesal kerana langsung tiada usaha bagi memartabatkan jalan raya bersejarah ini sebagai warisan kebangsaan. Sebagai contoh, jika di sebelah Selangor jalan ini diwartakan sebagai Jalan Negeri Selangor B31, tetapi di sebelah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula langsung tiada usaha bagi memartabatkan jalan raya negara. Di luar negara, bandar raya global yang lain ada rangkaian jalan metropolitan yang diwartakan. Malah di Malaysia sendiri, Shah Alam menjadi contoh sebagai satu-satunya bandar raya di Malaysia yang mempunyai rangkaian jalan raya perbandaran yang diwartakan. Kenapa pula Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak mengambil inisiatif yang sama...? Sepatutnya, sebagai ibu kota Persekutuan Malaysia, Kuala Lumpur sepatutnya menjadi contoh dalam memartabatkan jalan raya negara, tetapi perkara sebaliknya pula berlaku. Sudahlah kebanyakan papan tanda hanya diletakkan pada saat-saat terakhir, kod laluan pun tak ada diletakkan. Papan tanda yang sebegitu bercelaru serta tiada kod jalan inilah yang menjadi salah satu punca kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seharusnya malu dengan bandar raya Shah Alam yang berupaya menjadi contoh dalam memartabatkan jalan raya negara, sungguhpun Shah Alam bukanlah sebuah bandar raya global.

Berikutan kepentingan Jalan Ampang B31 terhadap sejarah perkembangan rangkaian jalan raya negara, saya ingin menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Kerja Raya agar mewartakan Jalan Ampang B31 sebagai sebuah Jalan Raya Warisan Kebangsaan. Saya juga ingin menggesa JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mewujudkan satu lagi kelas Jalan Persekutuan yang dikenali sebagai Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merangkumi jalan-jalan arteri sekunder ataupun jalan-jalan pengagih utama di Kuala Lumpur, termasuklah laluan Jalan Negeri Selangor yang memasuki Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Memandangkan Jalan Ampang diwartakan sebagai Jalan Negeri Selangor, maka ia sewajarnya turut diwartakan sebagai Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kelak.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Saya memulakan perjalanan dari penghujung Jalan Ampang B31 di Hutan Lipur Ampang






Kampung Lembah Jaya Utara, sebuah kampung yang mendamaikan di pinggir kawasan metropolitan Kuala Lumpur






Orang-orang luar Kuala Lumpur pastinya tidak menyangka bahawa Jalan Ampang yang terkenal dengan kesibukannya menjadi jalan dua lorong yang agak sempit di sini






Lanskap terus berubah sebaik di simpang Taman Putra - jalan berubah menjadi jalan raya kembar






Keadaan jalan sebaik melepasi simpang Taman Putra






Pekan Ampang






Stesen penghujung bagi LRT Aliran Ampang di Stesen LRT Ampang






Jalan masuk ke Lebuhraya AKLEH terletak tidak jauh dari persimpangan ini






Ampang Point






Persimpangan Jalan Ampang B31 dengan KL MRR2 FT28 - FT28 membentuk sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini






Persimpangan Jalan Jelatek untuk ke Datuk Keramat, Setiawangsa, Seri Rampai dan Wangsa Maju






Menara Berkembar Petronas, mercu tanda paling penting di sepanjang Jalan Ampang






Simpang Jalan Sultan Ismail yang sibuk






Stesen monorel Bukit Nanas






Jalan Ampang membentuk pasangan sehala dengan Jalan Munsyi Abdullah dan Jalan Dang Wangi di kawasan Dang Wangi






Lebuhraya AKLEH E12 tamat di Jalan Ampang, bersebelahan Stesen LRT Dang Wangi






Penamat Jalan Ampang di Jalan Raja Chulan - untuk memasuki kembali Jalan Ampang, anda perlu masuk melalui Lebuh Ampang dekat Masjid Jamek Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment