Tuesday, June 3, 2014

Lebuh Raya Ekspres vs Jalan Raya Kembar Bahagian 3: Dua alam yang berbeza di sepanjang Lebuhraya Besraya E9 / Expressways vs Divided Highways Part 3: Two different worlds along Besraya Expressway E9

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, terima kasih kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang masih setia sungguhpun blog ini "berehat" seketika untuk kerja-kerja backup data daripada cakera keras lama yang sudah rosak. Dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan bahawa kerja-kerja backup dan memindahkan data ke dalam cakera keras gantian baharu sudah pun selesai, dan kini Blog Jalan Raya Malaysia boleh bergerak aktif semula...!!!

Untuk bahagian ketiga siri entri Lebuh Raya Ekspres vs Jalan Raya Kembar ini, saya ingin membawakan satu contoh kajian kes bagi menunjukkan perbandingan antara lebuh raya ekspres yang benar-benar memenuhi piawaian dengan lebuh raya yang lebih layak dipanggil jalan raya kembar daripada lebuh raya ekspres. Saya memilih Lebuhraya Sungai Besi E9 kerana lebuh raya tersebut berupaya membawa anda ke dua alam yang berbeza akibat perbezaan piawaian yang digunakan semasa pembinaan.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan jajaran asal Lebuhraya Sungai Besi E9 atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Besraya E9. Lebuhraya Besraya E9 adalah hasil daripada naik taraf Jalan Sungai Besi B13 yang asalnya sekadar jalan raya dua lorong biasa kepada jalan raya kembar enam lorong. Ia dibina oleh Road Builder (M) Sdn. Bhd., yang kemudiannya telah dibeli oleh IJM. Namun, kebobrokan yang berlaku pada ketika itu ialah projek naik taraf Jalan Sungai Besi B13 yang diswastakan itu diwartakan pula sebagai Lebuh Raya Ekspres, sedangkan ia tidak memenuhi kriteria utama lebuh raya ekspres iaitu kawalan masuk penuh. Tambah memburukkan keadaan, terdapat dua lintasan searas berlampu isyarat di Exit 905 Persimpangan Pekan Sungai Besi dan Exit 902 Persimpangan Mines, yang saya rasakan sebagai sangat mengarut. Namun, kedua-duanya telah pun digantikan dengan persimpangan bertingkat yang siap pada tahun 2006 bagi menjadikan aliran trafik E9 bebas sepenuhnya.

Namun, sebaik memasuki Lebuhraya Sambungan Besraya (BEE) E9 pula, keadaan lebuh raya di situ pula sangat berbeza sama sekali. Tiada lagi lintasan searas. Tiada lagi capaian terus kepada mana-mana premis hartanah, kecuali Hubungan Pandan Indah yang sekadar merupakan jalan cabang sahaja. Meskipun had laju maksimum BEE E9 lebih perlahan daripada jajaran asal E9 (60 km/j berbanding 90 km/j pada jajaran lama), namun ia jauh lebih selamat kerana kurang titik konflik, berbanding jajaran lama E9 yang mempunyai sebegitu banyak titik konflik yang berpunca daripada jalan-jalan kecil yang dihubungkan kepadanya serta beberapa buah pusingan U searas.

Kenapa pula saya katakan BEE E9 ini jauh berbeza daripada jajaran asal Lebuhraya Besraya E9...? Untuk pengetahuan anda, IJM sebenarnya berpengalaman luas dalam pembinaan lebuh raya ekspres capaian terkawal yang memenuhi piawaian, malah mereka sebenarnya pernah bekerja dengan Plus Expressways Berhad bagi menjayakan projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (yang seterusnya diserap masuk sebagai sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan E2), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 serta tiga pakej projek Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Mereka juga diberi kepercayaan membina lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di India, iaitu Lebuhraya Mumbai-Pune, sebelum mereka membina lebuh raya mereka sendiri. Setelah IJM membeli pesaing mereka, Road Builder, yang memiliki konsesi Lebuhraya Sungai Besi E9 dan Lebuhraya Baru Pantai E10, etika kejuruteraan jalan raya yang tinggi turut diterapkan dan hasilnya dapat diperhatikan dalam projek BEE E9.

Bagi yang terlepas reviu dua lebuh raya ini, anda boleh membaca reviu mengenai Lebuhraya Besraya E9 yang asal dan Lebuhraya Sambungan Besraya (BEE) E9.







BEE E9 merupakan lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh, dibuktikan dengan ketiadaan hubungan terus dengan mana-mana rumah atau premis perniagaan di sepanjang laluan utamanya...







...manakala laluan lama Lebuhraya Besraya E9 sebenarnya tidak memenuhi kriteria lebuh raya ekspres sebenar tetapi sebaliknya sekadar jalan raya kembar biasa, berikutan terdapat sebegitu banyak hubungan terus dengan premis-premis perniagaan dan rumah-rumah

No comments:

Post a Comment