Thursday, November 13, 2014

Lampu jalan LED vs wap natrium - mana lebih baik...? / LED vs sodium vapour street lights - which one is better...?





Lampu jalan wap natrium seperti yang digunakan di Lebuhraya Duke E33 vs lampu jalan LED seperti yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 - yang manakah lebih baik...?


Salam sejahtera,

Seperti yang pernah saya tulis dalam entri mengenai Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 beberapa bulan lalu, saya ada menyatakan bahawa MRR2 FT28 merupakan salah satu daripada tiga batang jalan persekutuan yang menjalani program perintis pemasangan lampu jalan LED. Hasilnya, semakin banyak jalan raya dan lebuh raya yang dipasang dengan lampu jalan LED, dengan memanfaatkan penjimatan tenaga elektrik yang sangat ketara berbanding lampu jalan konvensional.

Jika kita kaji semula sejarah pemasangan lampu jalan di seluruh dunia, pemasangan lampu jalan sebenarnya sudah lama dilaksanakan sejak zaman kegemilangan tamadun Rom dan Yunani purba, jauh lebih lama sebelum penciptaan mentol lampu pijar oleh Thomas Alva Edison pada 22 Oktober 1879. Pada masa itu, lampu jalan yang digunakan adalah daripada jenis lampu minyak dan seterusnya lampu gas, yang mana kedua-duanya perlu dinyalakan secara manual. Mentol lampu elektrik pertama ciptaan Thomas Edison pula menggunakan filamen yang diperbuat daripada karbon yang mampu bertahan selama 13 jam sebelum terbakar, sebelum beliau menambah baik mentol lampu ciptaannya dengan menggunakan buluh berkarbon yang tahan selama 1,200 jam.

Sungguhpun demikian, lampu pijar bukanlah lampu elektrik pertama yang digunakan sebagai lampu jalan. Lampu jalan terawal sebenarnya merupakan lampu arka karbon. Ia menghasilkan cahaya yang cukup terang bersesuaian dengan fungsinya, tetapi filamennya cepat terbakar dan cahaya yang dihasilkan juga menyilaukan mata. Maka, ia digantikan dengan lampu pijar yang lebih boleh diharap. Seterusnya, lampu pijar mendominasi lampu-lampu jalan di seluruh dunia sehinggalah penciptaan lampu nyahcas berkeamatan tinggi (HID). Dua jenis lampu HID yang digunakan sebagai lampu jalan ialah lampu wap raksa dan lampu wap natrium.

Lampu wap raksa merupakan jenis lampu HID tertua yang digunakan sebagai lampu jalan. Semasa ia mula dihidupkan, ia menghasilkan cahaya biru gelap yang secara beransur-ansur berubah menjadi cahaya putih siang yang sama seperti lampu pendarflour biasa, dengan suhu warna melebihi 5,000 K. Namun, warna putih siang yang dihasilkan itu mempunyai tiga kelemahan utama iaitu penghasilan sinar ultraungu yang berbahaya, pencemaran cahaya dan juga tahap kebolehnampakannya semasa cuaca buruk serta pada waktu malam. Ia berikutan sifat warna putih yang terdiri daripada cahaya merah, hijau dan biru dengan keamatan yang sama. Berikutan kelemahan pada lampu wap raksa, ia kemudiannya digantikan dengan lampu wap natrium pula.

Sementara itu pula, lampu wap raksa menghasilkan cahaya jingga-merah jambu gelap semasa ia mula dihidupkan sebelum berubah menjadi kekuningan. Maka, ia menjadi pilihan utama sebagai lampu jalan kerana warna kuning yang dihasilkan itu lebih membantu penglihatan pada waktu malam. Selain itu juga, cahaya yang dihasilkan kurang mencemar berbanding lampu wap raksa, sekaligus sesuai digunakan berhampiran balai cerap serta kawasan pembiakan hidupan liar seperti penyu.

Perkembangan teknologi pencahayaan elektrik didorong oleh keinginan untuk menghasilkan sistem pencahayaan yang bukan sahaja lebih cekap tenaga, malah kurang mencemar serta lebih mesra alam. Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) sebagai lampu jalan adalah hasil daripada perkembangan teknologi pencahayaan terkini. Asalnya hanya sekadar digunakan sebagai lampu penunjuk pada peralatan elektronik, teknologi pembinaan LED kini semakin maju sehingga ke tahap boleh digunakan sebagai lampu kepala kereta dan sistem pencahayaan tiang tinggi (high-mast lighting). Potensi besar LED sebagai lampu jalan adalah disebabkan sifatnya yang sangat cekap tenaga. Sebiji lampu LED 6 watt menghasilkan cahaya yang sama terang seperti mentol pendarflour padat (CFL) 18 watt, mentol halogen 75 watt dan mentol pijar 100 watt.

Namun, adakah lampu LED semestinya lebih bagus daripada lampu wap natrium...?

Pada tahun 2011, Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Kementerian Kewangan mula menjalankan satu program perintis pemasangan lampu jalan LED di tiga batang jalan persekutuan utama di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Persekutuan FT2, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dan Jalan Lapangan Terbang Subang FT15. Menurut Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, pemasangan lampu jalan di ketiga-tiga jalan terbabit mampu mengurangkan kos bil elektrik sebanyak 50% pada tahun 2011. 

Sungguhpun penggunaan lampu jalan LED terbukti menjimatkan kos bil elektrik, ia tidak bermakna lampu jalan LED sangat sempurna. Menurut satu laporan oleh blog automotif terkemuka Paul Tan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa lampu wap natrium kekal menjadi pilihan utama bagi sistem pencahayaan jalan raya Malaysia. Kenapa bukan lampu jalan LED...? Menurut Datuk Seri Fadillah Yusof, hasil kajian yang dilakukan oleh pakar sepanjang tempoh projek perintis pemasangan lampu jalan LED mendapati bahawa lampu wap natrium lebih sesuai digunakan untuk pencahayaan jalan raya, manakala lampu jalan LED pula lebih sesuai bagi aplikasi pencahayaan kawasan perumahan. Rasionalnya adalah kerana hasil kajian mendapati bahawa tahap pencahayaan di sepanjang MRR2 FT28 didapati kurang ideal terutamanya ketika hujan di malam hari.

Kenapa pula tahap pencahayaan lampu jalan LED kurang memuaskan ketika hujan...? Boleh dikatakan hampir kesemua lampu jalan LED yang digunakan menghasilkan cahaya putih siang (lebih kurang 6,500 K), manakala lampu jalan wap natrium pula menghasilkan cahaya kekuningan (kurang 3,000 K). Maka, apabila hari hujan, pembiasan pada cahaya lampu wap natrium boleh dikatakan agak sekata dan kurang berselerak, berbanding cahaya lampu LED yang pembiasannya sangat berselerak sehingga menyebabkan kurang cahaya tampak yang sampai ke atas jalan.

Sungguhpun lampu LED masih mempunyai kelemahannya tersendiri berbanding lampu wap natrium, ia masih boleh diperbaiki dan ditambah baik. Penambahbaikan yang saya cadangkan kepada para pengeluar lampu jalan LED adalah dengan mengeluarkan lampu jalan LED yang menghasilkan cahaya putih suam kerana pembiasan cahaya semasa hujan kurang berselerak, sekaligus membantu penglihatan pemandu semasa memandu dalam keadaan hujan lebat pada waktu malam. Ia terbukti melalui tahap pencahayaan di Persimpangan Sri Damansara di MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih suam, yang mana tahap pencahayaan di situ lebih jelas berbanding di kawasan lain di sepanjang MRR2 FT28 yang menggunakan lampu LED putih siang. Justeru, para pengeluar lampu jalan LED tidak seharusnya berputus asa untuk menghasilkan lampu jalan LED yang lebih baik, kerana Thomas Edison sendiri pun 999 kali gagal semasa hendak mencipta mentol lampu pijar sehinggalah percubaannya yang keseribu yang benar-benar berjaya.

Dalam entri seterusnya, saya ingin membawakan kepada anda satu entri Mythbuster - adakah benar memasang lampu jalan di kesemua jalan raya di Malaysia membantu penglihatan penngguna jalan raya secara total...? Nantikanlah jawapannya hanya dalam Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

No comments:

Post a Comment