Saturday, January 3, 2015

Selamat Tahun Baru 2015...!!! / Happy New Year 2015...!!!




Salam sejahtera, Selamat Tahun Baru 2015 dan salam Maulidur Rasul buat semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog ini. Ia berikutan begitu banyak kemaskini di laman Facebook kami mengenai laluan alternatif semasa musim banjir baru-baru ini. Meskipun semakin banyak laluan utama yang kini sudah dibuka semula termasuklah Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lipis FT8 dan Lebuhraya Pantai Timur E8, namun harus diingat agar anda lebih berhati-hati di jalan raya, memandangkan banyak jalan raya yang rosak teruk akibat banjir.




Majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya - kerjasama lebih erat dengan KKR merupakan kejayaan terbesar yang telah kami capai sepanjang tahun 2014


Sepatutnya entri ini ditulis semasa ambang Tahun Baru 2015 bagi menyenaraikan sedikit sebanyak kejayaan yang dicapai oleh Blog Jalan Raya Malaysia setakat ini. Kejayaan terbesar kami sejak Blog Jalan Raya Malaysia diadakan tidak lain dan tidak bukan ialah penghargaan dan penghormatan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia sendiri, termasuk agensi-agensi di bawahnya. Ia hasil daripada dasar memperkasakan media sosial sebagai wadah interaksi antara kerajaan dengan rakyat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Selain dapat mempercepatkan proses tindakan bagi aduan jalan raya yang disalurkan melalui media sosial, dasar sebegini juga sedikit sebanyak dapat membantu KKR dalam menyampaikan penjelasan yang lebih tepat mengenai isu-isu berkaitan jalan raya dengan lebih berkesan, antaranya termasuklah isu tol lebuh raya. Ia sekaligus berupaya menangkis tohmahan daripada blog-blog politik yang hanya sekadar tahu sembang kosong sahaja tanpa bergaul sendiri dengan para pemain industri jalan raya. Sebagai sebuah blog yang mendukung kuat dasar memartabatkan sistem rangkaian jalan raya negara, Blog Jalan Raya Malaysia menyokong penuh dasar yang diperkenalkan ini kerana dasar sebeginilah yang menjadikan kerjasama antara kami dengan KKR lebih erat, dan seterusnya lebih ramai rakyat Malaysia yang kini semakin celik kod jalan raya.

Meskipun bilangan peminat kami di Facebook semakin bertambah sehingga melepasi angka 1,600 orang, namun perjuangan kami masih belum selesai. Masih banyak agensi kerajaan dan pihak berkuasa sendiri yang masih buta kod laluan. Polis Diraja Malaysia masih belum menggunakan sistem kod laluan dalam prosedur operasi standard (SOP) mereka. Hanya sebilangan kecil stesen radio sahaja yang menggunakan sistem kod laluan dalam laporan trafik harian mereka; kalau ada pun hanyalah stesen-stesen radio swasta berbahasa Inggeris sahaja. Elemen memupuk penggunaan sistem kod laluan juga masih tidak diterapkan dalam subjek Geografi KBSM. Maka, pilihan yang ada sekarang hanyalah merekrut lebih ramai peminat kami agar lebih bijak menggunakan kod laluan dan seterusnya lebih tahu menghargai dan memartabatkan sistem jalan raya negara. Justeru, kami memerlukan sokongan anda semua untuk sama-sama mendidik rakyat Malaysia agar lebih bijak menggunakan sistem kod laluan dan seterusnya tahu menghargai dan memartabatkan rangkaian jalan raya negara kita.




Kejayaan menghasilkan reviu eksklusif Jalan Gombak FT68 yang terkenal sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia juga berjaya dicapai dalam tahun 2014


Selain kejayaan menjalin kerjasama yang lebih erat dengan KKR, antara kejayaan besar kami yang lain sepanjang tahun 2014 termasuklah siri reviu Melaka Bandaraya Bersejarah dan juga reviu dua jambatan terpanjang di Malaysia iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 dan Jambatan Pulau Pinang E36. Selain itu, kami juga berjaya menghasilkan reviu Jalan Gombak FT68 yang terkenal sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia tanpa sebarang insiden tidak diingini. Tahun 2014 juga merupakan tahun di mana kami beralih kepada telefon bimbit Sony Xperia Z sebagai telefon pintar rasmi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan telefon bimbit Sony Ericsson C903 sebelum ini.

Tahun 2015 merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10). Tahun hadapan pula, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) akan menyusul. Maka, sudah tentulah akan lebih banyak jalan raya dan lebuh raya baharu akan dibina dalam tempoh tersebut. Justeru, Blog Jalan Raya Malaysia akan memperkenalkan satu segmen baharu iaitu Senarai Hajat, yang akan memfokuskan kepada jalan raya dan lebuh raya yang dirancang untuk dibina sepanjang tempoh RMK11, ataupun laluan penting baharu untuk dicadangkan pembinaannya. Jadi jalan manakah yang akan saya perkenalkan dalam entri sulung Senarai Hajat...? Sama-samalah kita nantikannya...!!!

Untuk tahun 2015 ini juga, kami turut mensasarkan untuk mengadakan reviu jalan raya yang lebih panjang, termasuklah reviu Jalan Persekutuan 1, Jalan Persekutuan 3 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Selain itu, kami turut mensasarkan untuk mengadakan reviu khas Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 semasa cuti Tahun Baru Cina nanti. Memandangkan reviu jalan raya berskala besar ini memerlukan kos yang lebih tinggi kerana mungkin melibatkan penginapan ataupun penggunaan kereta, maka kami ingin memohon jasa baik anda semua untuk menderma agar reviu-reviu jalan raya yang lebih panjang ini dapat direalisasikan.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mendokong perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia untuk memartabatkan rangkaian jalan raya kebangsaan, daripada golongan rakyat marhaen biasa sehinggalah kepada Menteri Kerja Raya sendiri. Oleh itu, kami ingin mengajak semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia agar terus bersama-sama meneruskan misi mendidik rakyat Malaysia untuk menyayangi, menghargai dan memartabatkan rangkaian jalan raya negara.

No comments:

Post a Comment