Friday, August 28, 2015

Perihal jalan pintasan dan laluan alternatif / All about bypass roads and alternate routes



Perbandingan antara laluan utama, jalan pintasan, laluan alternatif dan laluan lori




Jalan Pintasan Kajang


Salam sejahtera,

Siang tadi, admin Aiman Ab. Majid ada berkongsi gambar-gambar projek pembinaan Jalan Pintasan Rawang di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, yang mana gambar tersebut telah menarik minat lebih 22,000 orang pembaca (setakat pukul 11.00 pm, 27 Ogos 2015). Apa tidaknya, projek Jalan Pintasan Rawang ini menarik minat pembaca kerana ia merupakan satu mahakarya kejuruteraan jalan raya yang menyelusuri hutan hujan tropika di pinggir ibu kota dengan kualiti kejuruteraan setanding lebuh raya ekspres - dan yang paling penting, ia projek jalan persekutuan percuma...!!! Namun, sebelum saya menceritakan dengan lebih lanjut mengenai Jalan Pintasan Rawang ini, izinkan saya menerangkan dengan lebih lanjut mengenai jalan pintasan secara sepintas lalu.




Peta Jalan Pintasan Kota Tinggi FT3 (ditanda dengan warna biru) berbanding laluan asal FT3


Jalan pintasan dibina bagi memintas kawasan tepu bina di kawasan bandar atau kampung bagi menambah baik aliran trafik tanpa gangguan aliran trafik tempatan yang mendominasi kawasan pusat bandar, dan seterusnya mengurangkan kesesakan jalan raya dan menambah baik tahap keselamatan jalan raya. Namun, jika dasar kawalan penggunaan tanah sangat lemah, maka akan banyak bangunan akan dibina di sepanjang jalan pintasan, sekaligus menjadikan tahap kesesakan sama sahaja seperti jalan yang hendak dielakkannya. Satu contoh mudah ialah Jalan Pintasan Kajang yang bertujuan untuk memintas kesesakan di sepanjang Jalan Semenyih FT1, tetapi pembangunan pesat kawasan perumahan di sepanjang laluannya menjadikan Jalan Pintasan Kajang semakin hampir sesak seperti Jalan Semenyih FT1 yang cuba dielakkannya.




Jalan Pintasan Lenga J32 ini boleh juga dianggap sebagai laluan lori kerana ia dibina bagi membolehkan kenderaan berat melalui Jalan Muar-Labis J32 tanpa tersangkut di Lenga


Laluan lori merupakan sejenis jalan pintasan khas yang dibina khas untuk kenderaan berat. Ia biasanya mengelak kawasan banjaran gunung; tetapi sekiranya ia tetap melalui banjaran gunung, ia dibina dengan kecerunan yang lebih landai (sekitar 3%) untuk mengelakkan enjin lori daripada mengalami masalah panas lampau akibat terlalu terseksa semasa mendaki bukit. Namun, ada juga laluan lori yang dibina di kawasan tanah rendah, misalnya Jalan Pintasan Lenga J32 juga boleh dianggap sebagai laluan lori kerana ia dibina bagi mengatasi masalah kenderaan berat tersangkut di simpang 90 darjah pekan Lenga yang begitu sempit.







Jalan Bukit Putus tidak lagi menjadi laluan alternatif bagi Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 setelah jajaran penggantinya (gambar atas) diwartakan sebagai FT51 dan jajaran lama (gambar bawah) pula diwartakan semula dengan kod laluan FT361




Sementara itu pula, laluan alternatif / ulangan merupakan laluan selari dengan laluan utama serta mempunyai kod laluan yang sama seperti laluan utama. Biasanya, ia berlaku hasil pembinaan jalan pintasan sebagai laluan baharu tetapi kedua-dua laluan tetap diwartakan dengan kod laluan yang sama. Contoh mudah bagi kes laluan alternatif ialah jajaran Jalan Persekutuan 3 ketika melalui bandar Kota Tinggi - laluan asal melalui kawasan pusat bandar Kota Tinggi terdiri daripada Jalan Johor FT3 dan Jalan Tun Sri Lanang FT3 / Jalan Mawai FT3, tetapi masalah kesesakan yang berpunca daripada simpang Jalan Tun Sri Lanang FT3 telah menyebabkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membina Jalan Pintasan Kota Tinggi FT3 yang turut menampilkan Jambatan Kedua Sungai Johor FT3. Sesebuah jalan pintasan tidak lagi dianggap sebagai laluan alternatif sekiranya ia diwartakan semula dengan kod laluan lain, contohnya Jalan Bukit Putus yang asalnya diwartakan sebagai FT51 tetapi kini diwartakan semula sebagai FT361.

Begitulah serba sedikit mengenai jalan pintasan dan laluan alternatif. Kali ini, saya bawakan kisah Jalan Pintasan Rawang seperti yang telah saya janjikan tadi. Projek Jalan Pintasan Rawang sebenarnya berakar umbi daripada projek Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah (LeKLAS) yang sepatutnya dibina sebagai projek lebuh raya ekspres yang diswastakan. Konsesi bagi LeKLAS ini diberikan kepada LeKLAS Sdn. Bhd. (yang terdiri daripada MGIC Berhad, Ribuan Kerjaya Sdn. Bhd., Gabungan Delima Sdn. Bhd. dan Disitu Holding Sdn. Bhd.) pada 20 Jun 1998. Namun, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang sudah ditandatangani perjanjian konsesi pada masa itu (kecuali Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22) yang dibatalkan sama sekali ataupun dihidupkan semula sama ada melalui pengambilalihan oleh syarikat konsesi lain ataupun dijadikan sekadar naik taraf jalan persekutuan sedia ada, projek LeKLAS turuf menerima nasib yang sama setelah kontraktor asal menarik diri akibat kesan kegawatan ekonomi 1997. Hasilnya, projek LeKLAS kini dihidupkan semula sebagai projek naik taraf Lebuhraya Rawang FT1 sedia ada kepada lebuh raya kembar 4 lorong dan diikuti dengan projek Jalan Pintasan Rawang.




Jajaran Jalan Persekutuan 1 di bandar Rawang yang sesak


Projek Jalan Pintasan Rawang ini dibina bagi menyelesaikan masalah kesesakan yang begitu parah di sepanjang Jalan Persekutuan 1 yang melalui pusat bandar Rawang. Semasa melalui pusat bandar Rawang, reka letak jalan di pusat bandar terdiri daripada jalan-jalan dua lorong biasa yang dijadikan sebagai jalan sehala, tetapi itu pun masih tidak cukup bagi menangani masalah kesesakan teruk di situ. Cubaan pertama untuk mengalihkan laluan FT1 di pusat bandar Rawang dilakukan melalui pembinaan sebatang jalan merentasi Rawang Perdana dan berakhir di sebuah persimpangan bertingkat di Lebuhraya Rawang FT1, tetapi hanya tanjakan arah utara sahaja yang dibuka kepada lalu lintas. Tanjakan arah selatan pula tidak dibuka kerana isu tanah kawasan Masjid Jamek Nurul Iman yang masih tidak diselesaikan. Saya tidak pasti sama ada tanjakan arah selatan yang dikatakan telah memakan sebahagian tanah masjid berkenaan sudah diselesaikan atau belum, harap orang-orang Rawang dapat memaklumkan kepada saya. Justeru, Jalan Pintasan Rawang dibina bagi memintas keseluruhan kawasan bandar Rawang.




Jalan Pintasan Rawang yang sedang dalam pembinaan


Jajaran Jalan Pintasan Rawang bermula dari sebuah persimpangan trompet di bahagian utara Sungai Choh yang dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 1. Ia dibina sebagai lebuh raya kembar. Terdapat satu jajaran hala berasingan sebelum ia bercantum kembali. Seterusnya ia melalui kawasan Rawang Putra dan seterusnya menghampiri kawasan Taman Rimba Templer. Itulah sebabnya kenapa ia mengambil masa begitu lama untuk disiapkan, kerana jajaran terakhir ini melalui Taman Rimba Templer yang sudah tentu akan mencetuskan bantahan terutamanya dari kalangan pencinta alam sekitar. Sebagai penyelesaian, jajaran terakhir ini melalui kawasan sempadan hutan simpan Taman Rimba Templer dan dibina sebagai jejambat yang panjang bagi meminimakan penebangan pokok dan penarahan bukit.

Jalan Pintasan Rawang ini merupakan projek jalan pertama yang menggunakan teknologi Sistem Abah-abah Boleh Gerak (Movable Scaffolding System) bagi pemasangan segmen-segmen galang kotak yang digunakan bagi pembinaan jejambat. Ketinggian setiap tiang adalah berbeza-beza antara 10 m sehingga 54.9 m. Kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan jajaran terakhir ini ialah Hasrat Sedaya Sdn. Bhd.

(Kemaskini: Dato' Ir. Dr. Hasnul bin Mohamad Salleh dalam ada menceritakan butiran lanjut mengenai projek Jalan Pintasan Rawang dalam tweet beliau. Menurut beliau, projek tersebut terbahagi kepada dua bahagian - bahagian pertama dikendalikan oleh kerajaan negeri Selangor dan pemaju di bandar Rawang, manakala bahagian kedua pula dikendalikan sendiri oleh Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya. Menurut beliau, tahap kemajuan projek kini sudah mencecah 90%, jadi kita boleh menganggarkan projek akan siap pada April 2017. Terima kasih kepada Dato' Ir. Dr. Hasnul atas butiran yang diberikan.)

2 comments:

  1. Admin, tanjakan selatan tu masih belum dibuka sehingga sekarang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas makluman anda. Nampaknya memang benar isu tanah masjid di situ masih belum selesai lagi.

      Delete