Thursday, September 17, 2015

Perihal pertindihan laluan / All about road concurrency



Contoh pertindihan laluan yang ekstrim: Lebuhraya Interstate 40 bertindih dengan Interstate 85 Business, US29, US70, US220 dan US421


Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini saya ingin menulis mengenai pertindihan laluan yang sering berlaku dalam rangkaian jalan raya kita. Pertindihan laluan bermaksud suatu keadaan di mana sesuatu jajaran jalan raya diwartakan untuk memegang lebih daripada satu kod laluan. Ia berlawanan daripada laluan alternatif yang mana sesuatu kod laluan yang diwartakan melalui lebih daripada satu cabang laluan pada jajaran tertentu. 




Jalan Persekutuan 2 bertindih dengan Jalan Persekutuan 5 di Jambatan Kota, Klang




KL MRR2 FT28 bertindih dengan Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 dari Sri Damansara sehingga ke Jejambat Kepong


Pertindihan laluan adalah sangat lazim berikutan perkembangan rangkaian jalan raya, yang mana terdapat laluan jalan raya baharu yang dibina dengan menggunakan jajaran jalan raya sedia ada, jadi adalah lebih ekonomik untuk berkongsi laluan yang sama daripada membina laluan baharu yang berasingan. Contoh paling mudah ialah di Klang, yang mana Jambatan Kota menghubungkan antara Jalan Klang-Banting FT5 yang berakhir di Bulatan Simpang 5 dengan Jalan Klang-Teluk Intan FT5 yang bermula di Bulatan Simpang 7. Namun, Jambatan Kota terletak betul-betul dalam laluan Jalan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang FT2, jadi Jambatan Kota memegang dua kod laluan iaitu FT2 dan FT5. Satu lagi contoh pertindihan laluan hasil penggunaan jajaran jalan sedia ada bagi membina jalan raya baharu ialah Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28. MRR2 FT28 bertindih dengan Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 dari Sri Damansara sehingga ke pangkal Jejambat Kepong, dan seterusnya bertindih dengan Jalan Persekutuan 2 dari Persimpangan Greenwood sehingga ke Persimpangan Gombak Utara yang menjadi pangkal kepada Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2.




Jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam di Lebuhraya Utara-Selatan E1 bertindih dengan Jalan Persekutuan 1




Lebuhraya Cheras-Kajang E7 bertindih dengan Jalan Persekutuan 1




Lebuhraya KL-Karak E8 bertindih dengan Jalan Persekutuan 2




Jajaran Kampung Bandar Dalam-Greenwood di Lebuhraya Duke E33 bertindih dengan Jalan Persekutuan 2


Pertindihan laluan juga sangat lazim bagi lebuh raya ekspres yang dibina hasil naik taraf jalan raya sedia ada, contohnya seperti Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 serta Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Hubungan Karak) E33/FT2. Lebuhraya KL-Karak E8memang bertindih dengan FT2 di sepanjang laluannya sehingga ke Exit 813 Persimpangan Karak di mana Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 dilencongkan keluar dan E8 berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur E8. Bagi kes Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1, ia bertindih dengan Jalan Cheras-Kajang FT1 kecuali di pekan Batu 9 Cheras (antara Exit 702 Persimpangan Hulu Langat dengan Exit 703 Persimpangan Telekom) dan di Exit 707 Persimpangan Bukit Dukung di mana Jalan Cheras-Kajang FT1 dilencongkan keluar. Ia kerana jajaran FT1 di kedua-dua kawasan tersebut tidak dapat dilebarkan, jadi jajaran baharu dibina bagi memintas kedua-dua kawasan tersebut. Sementara itu, Hubungan Karak di Lebuhraya Duke E33 pula dibina hasil naik taraf jajaran baki Lebuhraya KL-Karak FT2 yang tidak digunakan.




Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 merupakan sebahagian jajaran Lebuhraya Pan Borneo AH150, jadi kod laluan FT22 bertindih dengan AH150 di sepanjang laluannya


Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat beberapa batang jalan raya dan lebuh raya ekspres di negara kita yang diwartakan sebagai sebahagian laluan Lebuh Raya Asia. Justeru, jajaran tersebut memegang lebih daripada satu kod laluan, iaitu kod laluan asal dan juga kod laluan Lebuh Raya Asia, contohnya Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22/AH150. Terdapat juga kes pertindihan laluan antara dua laluan Lebuh Raya Asia seperti di NKVE E1/AH2/AH141, yang mana laluan AH2 bertindih dengan laluan AH141 dari Bukit Lanjan sehingga ke Shah Alam.

Namun, terdapat dua masalah besar yang diwujudkan oleh pertindihan laluan. Masalah pertama ialah masalah kesinambungan laluan (route continuity) yang berpunca akibat kecenderungan mengguna pakai kod laluan dominan dan meminggirkan kod laluan yang kurang dominan. Jika jarak pertindihan laluan sangat pendek seperti di Klang itu masih boleh dimaafkan kerana kesinambungan laluan masih ada, tetapi sekiranya pertindihan itu terlalu panjang, maka ia mewujudkan masalah kesinambungan laluan yang ketara dan mewujudkan kota sesat yang mengelirukan pengguna jalan raya yang hanya bergantung kepada kod laluan. Contoh paling mudah ialah jajaran Jalan Persekutuan 2 dari Karak sehingga ke Kuala Lumpur yang "hilang" setelah memasuki Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, Anih Berhad hanya menandakan kod laluan E8 sahaja tetapi tiada langsung mempamerkan kod laluan FT2 bersama-sama kod laluan E8 di sepanjang laluannya. Selepas melepasi Plaza Tol Gombak pun tiada kelibat jata laluan FT2, sekaligus menjadi punca kepada wujudnya kota sesat FT2 di Kuala Lumpur akibat tiada kesinambungan laluan. Justeru, satu-satunya penyelesaian bagi masalah pertama ini adalah dengan menandakan kesemua kod laluan yang bertindih pada papan tanda, batu penunjuk kilometer serta dicat di atas jalan raya. Bagi contoh aplikasi papan tanda penunjuk kod laluan bertindih, saya berkesempatan bermain-main dengan perisian Adobe Photoshop bagi menunjukkan contoh-contoh penanda jata laluan yang sepatutnya dipamerkan.

Masalah besar kedua pula berpunca daripada pewartaan dua laluan yang terpisah jauh dengan kod laluan yang sama. Masalah kedua ini sangat ketara di Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185. Projek Lebuhraya Timur-Barat Kedua ini terdiri daripada laluan Simpang Pulai-Gua Musang dan laluan Felda Chiku-Bukit Payong, yang mana laluan dari Kampung Kuala Jeneris ke Telemong masih belum dibina. Kedua-dua laluan ini diwartakan sebagai FT185. Ia menyebabkan pertindihan laluan antara FT185 dengan FT8 dari Felda Chiku sehingga ke Gua Musang, tetapi masalah besar timbul di Gua Musang kerana tidak diketahui jalan mana yang benar-benar diwartakan sebagai FT185 sehinggalah ke pangkal Jalan Simpang Pulai-Gua Musang FT185 di Jalan Negeri Kelantan D29. Dalam hal ini, adalah lebih baik sekiranya Jalan Simpang Pulai-Gua Musang dan Jalan Felda Chiku-Kuala Jeneris diwartakan dengan dua kod laluan berbeza dan bukannya berkongsi kod laluan yang sama.

No comments:

Post a Comment