Sunday, March 26, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 3: Sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3 / Federal Route 3 complete history




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini berikutan kesibukan kerja sejak 2 minggu kebelakangan ini, yang memerlukan saya bekerja dari pagi sehingga ke malam. Akibatnya, rancangan saya untuk menulis sambungan bagi siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur sering tertangguh.

Episod ketiga yang telah saya janjikan sebelum ini bagi siri FTRoadpedia ialah mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4. Namun, baru-baru ini saya menemui maklumat yang saya cari-cari selama ini mengenai sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3, jadi saya mengambil kesempatan untuk menulis mengenai sejarah lengkap Jalan Persekutuan 3 terlebih dahulu sebelum saya teruskan dengan projek Jejambat Jalan Bukit Ubi C4.




Bulatan Jalan Tebrau FT3 di Johor Bahru pada tahun 1974. Kini bulatan tersebut digantikan dengan Persimpangan Bertingkat Johor Bahru susulan pembinaan Lebuhraya Skudai FT1 yang dibuka pada November 1985.


Jalan Persekutuan 3 mula dibina sebagai jalan raya pendek sepanjang 8 batu (12.8 km) dari Johor Bahru ke Sungai Pandan pada tahun 1866 oleh Dato' Bentara Luar. Jalan tersebut kini dikenali sebagai Lebuhraya Tebrau FT3. Ia kemudiannya disambung sehingga ke Kota Tinggi, yang mana jajaran Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi FT3 (aka Jalan Johor FT3 di Kota Tinggi) siap pada tahun 1919. Sementara itu, pada tahun 1915, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3 dibina serentak dengan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai FT8. Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu siap sepenuhnya pada tahun 1932.

Pada tahun 1911, kerajaan negeri Johor bekerjasama dengan kerajaan penjajah British bagi membangunkan satu rangkaian jalan raya yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Batu Pahat dan Muar. Hasil daripada kerjasama tersebut, maka lahirlah Jalan Batu Pahat-Kluang-Mersing FT50, yang mana jajaran dari Bulatan Banang ke Persimpangan Gunung Soga di Batu Pahat diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 5, manakala jajaran dari Jemaluang ke Mersing membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 3. Pada masa yang sama juga, sebatang jalan raya turut dibina dari Kota Tinggi ke Jemaluang bagi melengkapkan jajaran Jalan Persekutuan 3 di Johor. Seterusnya pada tahun 1939, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 dan Jalan Kuantan-Pekan FT3 (sehingga ke Peramu di sebelah tebing utara Sungai Pahang) dibina.

Tidak seperti rangkaian jalan raya di sebelah pantai barat yang begitu rancak dibina semasa zaman penjajah British, rangkaian jalan raya di sebelah pantai timur pula begitu perlahan perkembangannya. Ia disebabkan oleh faktor ekonomi di negeri-negeri pantai timur yang mundur jika dibandingkan dengan negeri-negeri pantai barat yang mewah hasil pelombongan bijih timah dan perladangan getah & kelapa sawit. Akibatnya, wujud pautan putus antara Pekan dengan Endau, disebabkan keadaan geografinya yang berpaya dan mempunyai kepadatan penduduk yang paling jarang di sepanjang Jalan Persekutuan 3. 

Bagi menyelesaikan masalah pautan putus antara Pekan dengan Endau, maka Menteri Kerja Raya pertama Tanah Melayu pasca merdeka iaitu Tun Sambanthan memohon sejumlah peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutuan bagi melengkapkan rangkaian Jalan Persekutuan 3. Beliau telah memulakan projek pembangunan rangkaian jalan raya berskala besar - pada tahun 1961 sahaja sudah 400 batu (643.7 km) jalan raya baharu luar bandar telah siap dibina, manakala pada tahun 1962 pula jumlah rangkaian jalan raya baharu luar bandar yang dibina meningkat kepada 700 batu (1,126.54 km). Projek terbesar dalam program pembinaan jalan raya luar bandar baharu berskala besar oleh Tun Sambanthan ialah Jalan Pekan-Batu Balik FT82, Jalan Endau-Rompin FT3 dan Jalan Pekan-Kuala Rompin FT3. Ketiga-tiga projek jalan raya tersebut siap pada tahun 1962, sekaligus melengkapkan rangkaian Jalan Persekutuan 3.




Plaza tol Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 pada tahun 1967
(Kredit gambar: Pena Muslim)


Seperti Jalan Persekutuan 5, satu masalah utama yang lazim dihadapi oleh jalan raya pantai ialah keperluan untuk membina jambatan-jambatan yang panjang, memandangkan sungai-sungai di kawasan muara lazimnya paling lebar. Namun, kekangan kewangan menyebabkan banyak sungai besar memerlukan khidmat feri sungai untuk melintasinya sementara menunggu jambatan-jambatan utama siap dibina untuk menggantikan feri sungai. Justeru, ada di antara jambatan utama yang dibina mengenakan kutipan tol, misalnya Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu. Ia merupakan jambatan jalan raya pertama yang dibina melintasi Sungai Kelantan, serta merupakan jambatan yang paling menghampiri Delta Kelantan, satu rekod yang masih belum berupaya dipecahkan sehingga sekarang. Jambatan tersebut dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965.




Majlis perasmian Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 pada 28 Februari 1970
(Kredit gambar: Jabatan Penerangan Malaysia)


Sementara itu pula, Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 mula dibina pada tahun 1968 dan siap sepenuhnya pada tahun 1970. Jambatan sepanjang 600 m ini menghubungkan antara Peramu di sebelah tebing utara Sungai Pahang dengan Pekan di sebelah tebing selatan Sungai Pahang, dengan kos pembinaan RM2.5 juta. Seperti Jambatan Sultan Yahya Petra FT3, jambatan ini juga dikenakan tol sebanyak RM1 bagi kereta dan RM2 bagi kenderaan berat untuk membiayai kos pembinaannya sebelum kutipan tol dimansuhkan beberapa tahun kemudian.

Di sebelah Kuala Terengganu pula, Jambatan Pulau Rusa FT3 dibina pada tahun 1960 bagi menghubungkan antara Kuala Terengganu dengan Kampung Pulau Rusa di sebelah tebing utara. Namun, ia memerlukan pengguna jalan raya untuk berpusing lebih jauh, maka jambatan kedua yang paling hampir dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu pula dibina, dikenali sebagai Jambatan Sultan Mahmud FT65.




Jalan Beserah FT2 (aka Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2) asalnya merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 3 sebelum pembukaan Jalan Pintasan Kuantan FT3


Pada 1 September 1974, Lembaga Pelabuhan Kuantan ditubuhkan bagi membuka sebuah pelabuhan utama di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia. Pembinaan Pelabuhan Kuantan bermula pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1984. Sebagai sebahagian daripada komponen projek Pelabuhan Kuantan, maka satu jalan pintasan baharu dibina bagi memintas bandar Kuantan agar tidak berlaku kesesakan di pusat bandar Kuantan serta mengelakkan daripada kerosakan jalan raya yang sering dikaitkan dengan kenderaan berat yang berulang-alik ke pelabuhan. Jalan pintasan tersebut diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 3. Sebelum Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibina, Jalan Beserah FT2 serta sebahagian Jalan Gambang FT2 dari Kuantan sehingga ke simpang Jalan Pekan FT3 merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 3, tetapi setelah Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibuka, kedua-dua jalan tersebut diwartakan semula sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 2. Kini, Jalan Pintasan Kuantan sudah pun dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2007.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, keseluruhan Jalan Persekutuan 3 diwartakan sebagai laluan Lebuh Raya Asia AH18 bagi jajaran Malaysia. Justeru, kerajaan persekutuan mengambil inisiatif menambah baik keseluruhan jajaran FT3 dengan menaik taraf jalan tersebut kepada sekurang-kurangnya jalan super two. Ada banyak juga jajaran FT3 yang kini sudah dinaik taraf kepada lebuh raya kembar, contohnya Lebuhraya Tebrau FT3 aka Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 (termasuklah Jambatan Sultan Abu Bakar FT3 yang turut dikembarkan), dan banyak lagi. Malah, semasa rombongan FTRoadpedia memasuki Terengganu, kami turut dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Terengganu sedang merancang untuk menaiktaraf keseluruhan Jalan Persekutuan 3 dalam negeri Terengganu kepada lebuh raya kembar.




Jalan Persekutuan 3 sedikit pun tidak terancam setelah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibina


Adakah Jalan Persekutuan 3 terancam setelah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dibuka pada tahun 2015...? Tidak sama sekali, jalan FT3 khususnya Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 langsung tidak terancam dan tetap popular sebagai laluan utama disebabkan panorama yang mempesonakan di sepanjang laluannya. Macam mana cantiknya pemandangan di sepanjang Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3...? Itu anda kena tunggu reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, jadi anda perlu bersabar lebih lama sedikit. Yang pasti, Jalan Persekutuan 3 kini merupakan jalan super two terpanjang di Malaysia dan diiktiraf oleh National Geographic Society sebagai salah satu daripada 10 jalan raya pantai terbaik di Asia.

Nantikan reviu eksklusif Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 selepas liputan mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

1 comment:

  1. Setakat ini saya telah merasai Jalan FT3 dari Rantau Panjang ke Rompin, mungkin selepas ini sampai Johor Bahru pula. Bagaimanapun, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan FT3 merupakan jalan pantai yang paling santai yang saya lalui. Kedai makan pun banyak dan paling penting sekali pantainya indah dan putih berseri.

    ReplyDelete