Wednesday, August 9, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 8: Penghujung (dan jalan raya) paling selatan di tanah besar Eurasia / The southernmost tip (and road) of mainland Eurasia

Salam sejahtera,

Setelah memulakan perjalanan dari Melaka pada pagi hari kedua jelajah FTRoadpedia Zon Selatan pada 8 Mei 2017, kami akhirnya tiba di destinasi utama kami untuk hari kedua iaitu di Tanjung Piai yang merupakan tanah paling selatan di tanah besar Eurasia. Kami menyelusuri Jalan Melaka-Muar FT5, Jalan Pintasan Muar FT224, Jalan Muar-Batu Pahat FT5, Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 dan Jalan Kukup FT95 sebelum kami akhirnya mencipta detik indah bersama di Tanjung Piai melalui jalan raya paling selatan di tanah besar Asia, iaitu Jalan Tanjung Piai J48.

Jarak ke Tanjung Piai dari Kukup pendek sahaja, iaitu hanya 8 km. 5 km daripadanya perlu melalui Jalan Serkat J111 manakala baki 3 km lagi melalui Jalan Tanjung Piai J48. Apa pun, sebelum kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Piai, ada satu perkara lebih penting yang kami perlu lakukan terlebih dahulu, iaitu menunaikan solat. Untuk tujuan itu, kami ke Masjid Jamek Dato' Noh Gadut di Kampung Serkat yang dinamakan sempena Dato' Noh bin Gadut, bekas Mufti Negeri Johor yang kini merupakan penasihat bagi Majlis Agama Islam Johor. Masjid ini terletak di simpang empat di penghujung Jalan Serkat J111, di mana jalan tersebut berterusan sebagai Jalan Perpat Timbul J169.

Setelah selesai menunaikan solat, kami meneruskan baki 3 km perjalanan melalui Jalan Tanjung Piai J48. Jika di sepanjang Jalan Serkat J111 tadi, jalan tersebut dibina mengikut piawaian JKR R3 dengan lebar lorong 3.0 m dan had laju 70 km/j, Jalan Tanjung Piai J48 pula lebih sempit. Adakah ia dibina mengikut piawaian minimum dua lorong JKR R2...? Tidak, ia lebih sempit lagi. Menurut Tuan Haji Razali bin Derahman dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya Malaysia, Jalan Tanjung Piai J48 sebenarnya langsung tidak memenuhi piawaian JKR R2 yang memperuntukkan lebar minimum 2.75 m, sebaliknya ia menggunakan jalan kampung yang dilebarkan cukup-cukup makan untuk dua buah kereta berselisih tetapi diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor untuk membolehkan jalan J48 ini menerima peruntukan penyelenggaraan secara berkala. Tanpa pewartaan sebagai Jalan Negeri Johor, maka sudah tentulah jalan J48 ini tidak berkelayakan untuk mendapat peruntukan penyelenggaraan secara berkala oleh JKR Johor. Semasa bas kami melalui J48 ini, bas kami memakan dua pertiga daripada keseluruhan jalan tersebut, membuktikan bahawa jalan ini memang tidak melepasi piawaian JKR R2 seperti yang dinyatakan oleh Tuan Haji Razali.

Lebih kurang 1 km sebelum tiba di Tanjung Piai, terdapat satu simpang jalan cabang yang menunjukkan arah ke Tanjung Piai. Tak bolehkah jalan terus sahaja...? Sebenarnya boleh, tetapi tidak jauh selepas simpang ini, had penyelenggaraan JKR berakhir dan jalan J48 menyempit menjadi jalan kampung yang hanya muat sebuah kenderaan tetapi ironinya masih mempunyai garisan tengah jalan. Di lokasi tamatnya had penyelenggaraan JKR itu, kami berhenti sebentar untuk makan (lagi) di sebuah restoran di situ. Setelah puas makan, kami meneruskan perjalanan menuju ke tanah penghujung paling selatan di tanah besar Eurasia melalui jalan raya paling selatan di tanah besar Eurasia.

Semasa kami meneruskan perjalanan, jalan menyempit menjadi selebar selorong sahaja, meskipun ironinya terdapat garisan tengah jalan. Tidak lama kemudian, jalan kembali melebar menjadi 2 lorong kerana simpang terakhir sebelum penghujung jalan ini dihubungkan ke jalan cabang yang saya ada nyatakan tadi. Jalan Negeri Johor J48 tamat betul-betul di pintu masuk Taman Negara Tanjung Piai.

Tanjung Piai terletak di kawasan paya bakau yang dijaga rapi dan langsung tidak terusik. Sebab itulah ia memperoleh status sebagai Taman Negara. Tanpa membuang masa lagi, kami turun daripada bas untuk berjalan-jalan ke bahagian paling hujung di Tanjung Piai. Namun, oleh kerana kami agak ramai, maka petugas di Taman Negara Tanjung Piai menasihati kami agar berpecah kepada dua kumpulan yang melalui dua laluan yang berbeza ke Tanjung Piai, memandangkan ada laluan pejalan kaki yang diperbuat daripada kayu perlu dibina semula untuk mengelakkannya daripada roboh akibat reputan. Namun, laluan pejalan kaki di penghujung Tanjung Piai pula diperbuat daripada konkrit, jadi ia lebih kukuh dan berupaya menampung kesemua peserta rombongan untuk berswafoto bersama-sama sambil mencipta detik indah bersama di sini. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab mengilhamkan siri jelajah FTRoadpedia serta yang telah banyak memberikan sokongan kepada Blog Jalan Raya Malaysia untuk terus menghasilkan penulisan ilmiah mengenai jalan raya Malaysia.

Setelah puas mencipta detik indah yang diabadikan dalam bentuk koleksi foto, kami ke destinasi seterusnya di Johor Bahru untuk ke hotel penginapan kami di The Puteri Pan Pacific Johor Bahru. Cuma, semasa dalam perjalanan ke sana, terdapat satu insiden yang saya kurang senangi. Jika anda ingin tahu apa dia, nantikanlah dalam episod seterusnya dalam entri Jalan Skudai J1.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Jarak dari Kukup ke Tanjung Piai hanya 8 km sahaja






Jalan Serkat J111 ini lebih sempit sedikit daripada Jalan Kukup FT95 kerana ia dibina mengikut piawaian JKR R3 (lebar lorong: 3.0 m; had laju reka bentuk: 70 km/j)






Menghampiri simpang empat Kampung Serkat






Belok kanan untuk ke Jalan Tanjung Piai J48






Jalan Serkat J111 tamat di simpang empat Serkat & berterusan sebagai Jalan Perpat Timur J169 - kelibat Masjid Dato' Noh Gadut sudah kelihatan






Meneruskan perjalanan ke Tanjung Piai melalui J48 setelah selesai solat






Belokan 90 darjah ke kini ini menunjukkan bahawa Jalan Tanjung Piai J48 ini sekadar dilebarkan dengan menggunakan jalan-jalan kampung sedia ada






Kawasan pantai timur bukan satu-satunya pengeluar keropok lekor di Malaysia - Tanjung Piai pun ada juga!






Jalan Tanjung Piai J48 sebenarnya lebih sempit daripada piawaian JKR R2 yang sepatutnya






Simpang ke jalan cabang alternatif ke Tanjung Piai






Jika anda jalan terus, sempadan had penyelenggaraan JKR berakhir di sini - kita berhenti makan dulu...!!!






Sudah sampai di Tanjung Piai, tetapi masih belum sampai ke tanah paling selatan di tanah besar Eurasia






Kita makan dulu...!!!






Jeti lama yang sudah pun dirobohkan kerana terlalu usang






Pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai






Ada monyetlah di sini...!!!






Hutan paya bakau di Taman Negara Tanjung Piai






Akar-akar pernafasan (pneumatofor) bagi pokok perepat Avicenna sp.) dan pokok perepat (Sonneratia sp.)






Pokok bakau berus (Bruguiera cylindrica), antara spesies yang banyak terdapat di hutan paya bakau






Anak pokok bakau yang tumbuh di tanah berlumpur di kawasan paya bakau






Malaysia pula ada banyak spesies monyet tidak berekor yang memakai baju dan boleh bercakap






Pokok tengar, satu lagi spesies pokok di hutan paya bakau






Akhirnya saya berjaya menawan tanah penghujung (dan jalan raya) paling selatan di tanah besar Eurasia






Mencipta detik indah menawan tanah penghujung (dan jalan raya) paling selatan di tanah besar Eurasia bersama-sama Datuk Seri Fadillah Yusof






Inilah pokok bakau yang mempunyai akar jangkang tertinggi di Tanjung Piai iaitu setinggi 13 kaki...!!!

2 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Alang2 dah sampai situ, ada mintak sijil 'Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia' tak? Lagi berharga tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak tahu pula siapa yang menyimpan sijil itu. Tak kisahlah, janji saya sudah pun ke sana. :p

      Delete