Tuesday, October 3, 2017

Anatomi enjin & sistem pancitan bahan api SYM Sport Rider 125i / SYM Sport Rider 125i engine & fuel injection system anatomy




Salam sejahtera,

Hari ini saya ingin bawakan kepada anda anatomi enjin dan sistem pancitan bahan api motosikal SYM Sport Rider 125i hasil kerjasama dengan rakan-rakan dalam kelab motosikal Sport Rider Community (SRC). Tujuan kami menghasilkan entri anatomi motosikal ini adalah bagi menambahkan ilmu kepada para pemilik serta bakal pemilik motosikal SYM Sport Rider 125i agar dapat mengenali enjin serta sistem pancitan bahan api motosikal ini. 

Seperti yang anda semua sedia maklum, motosikal SYM Sport Rider 125i ini menggunakan enjin ECOTECH serba baharu yang disuap oleh sistem pancitan bahan api yang lebih cekap, jimat minyak dan mesra alam berbanding karburetor. Memandangkan model ini baru dilancarkan setahun lalu, maka pengguna yang baru mengenali sistem pancitan bahan api sudah tentunya akan bimbang kemungkinan motor ini sukar diservis serta kesukaran mencari mekanik yang berupaya membaiki kerosakan sistem pancitan bahan api.

Sebenarnya, sistem pancitan bahan api tidaklah serumit yang anda sangkakan. Sebaliknya, sistem pancitan bahan api sebenarnya lebih memudahkan anda mengenal pasti masalah pada motosikal anda. Malah, sistem pancitan bahan api juga sebenarnya berupaya mengesan beberapa masalah kritikal enjin yang memerlukan pembaikan segera seperti ketukan, masalah sistem penyejukan (bagi motosikal yang menggunakan sistem sejukan air) serta kehausan gelang omboh.

Motosikal SYM Sport Rider 125i digerakkan oleh enjin ECOTECH serba baharu. Ada dakwaan yang mengatakan bahawa enjin ECOTECH ini sama seperti enjin 125 cc Honda seperti yang digunakan pada Honda Future (dan Honda Future FI / Honda Wave 125i), tetapi sebenarnya tidak. Kalau diikutkan, enjin ini nampak biasa-biasa sahaja kerana ia sekadar enjin 4 lejang 125 cc SOHC 2 injap sejukan udara, tetapi ia dibina menggunakan blok enjin aluminium aloi tuang untuk penyingkiran haba berlebihan yang lebih baik, tidak seperti enjin Honda 125 cc yang menggunakan blok besi tuang biasa.

Itu baru perbezaan pertama. Dari segi ukuran dimensi enjin, saiz lubang silinder Sport Rider sama seperti Future FI / Wave 125i (52.4 mm), tetapi ukuran lejangnya pula berbeza. Lejang Sport Rider lebih pendek (57 mm) berbanding lejang Future FI / Wave 125i (57.9 mm). Namun, nisbah mampatan Sport Rider pula lebih tinggi (9.5:1) berbanding Wave 125i (9.3:1). Hasilnya, enjin Ecotech pada Sport Rider lebih ligat berputar dan mampu menghasilkan kuasa 9.5 PS (7.2 kW) pada 8,000 rpm dan tork 10.8 N-m pada 5,500 rpm. Jika dibandingkan, Wave 125i pula hanya mampu menghasilkan 9.19 PS (6.76 kW pada 7,500 rpm dan tork 10.08 N-m @ 5,500 rpm.






Susunan gear Honda Future / Wave 125i pada aci utama (atas) dan aci lawan (bawah)




Susunan gear SYM Sport Rider 125i


Perbezaan ketiga bagi kedua-dua enjn tersebut ialah susunan gearnya. Susunan gear Honda Wave 125i pada aci utama dari kanan ke kiri ialah 1-3-4-2, manakala susunan gear aci utama SYM Sport Rider (dari kanan ke kiri) ialah 4-3-2-1. Selain itu, garpu penukar (shift fork) pada Sport Rider disarungkan terus pada gelendong penukar (shift drum) yang turut berperanan sebagai penyokong, berbeza pula dengan garpu penukar Wave 125i yang menggunakan rekaan konvensional yang disokong oleh dua batang besi untuk dua garpu penukar.

Perbezaan terakhir pula ialah lokasi pemasangan sensor lambda. Sensor lambda atau sensor oksigen berperanan menyukat kandungan oksigen dalam gas ekzos bagi menentukan sama ada nisbah udara-bahan api mencapai takat stoikiometrik (14.7:1), berlebihan bahan api atau berlebihan oksigen bagi tindakan pembetulan pancitan bahan api. Namun, untuk membolehkan sensor lambda berfungsi dengan cekap, ia memerlukan suhu operasi sekitar 700 °C, yang hanya boleh dicapai berhampiran rongga ekzos. Maka, sensor lambda dipasang pada pangkal paip ekzos bagi Sport Rider ataupun pada kepala silinder di rongga ekzos bagi Wave 125i.




Ringkasan anatomi sistem pancitan bahan api SYM


Sekarang saya akan terangkan pula anatomi sistem pancitan bahan api bagi SYM Sport Rider 125i. Saya sudah pun menulis mengenai anatomi sistem PGM-FI yang digunakan pada Honda Future FI / Wave 125i, jadi kali ini saya akan menulis mengenai sistem pancitan bahan api pada SYM Sport Rider pula. Untuk pengetahuan anda, kesemua sistem pancitan bahan api motosikal keluaran SYM dibekalkan oleh Keihin Corporation yang turut membekalkan sistem PGM-FI bagi motosikal Honda.

Bagi sistem pancitan bahan api Sport Rider, lima buah sensor digunakan bagi mengukur maklumat yang diperlukan sebelum dihantar ke ECU untuk diproses dan seterusnya dihantar kepada pemancit bahan api. Sensor-sensor tersebut adalah:-
  1. Sensor suhu & tekanan mutlak rongga (TMAP): terletak pada badan pendikit, mengukur suhu & tekanan udara rongga masukan bagi mengira isipadu udara yang masuk serta ketumpatannya - semakin banyak udara masuk atau semakin tinggi ketumpatan udara (akibat cuaca sejuk), maka bahan api akan ditambah.
  2. Sensor kedudukan pendikit (TPS): terletak pada badan pendikit, mengukur sudut bukaan pendikit apabila genggam pendikit dipulas - seperti karburetor, semakin besar gerakan genggam pendikit, semakin besar bukaan pendikit dan seterusnya bahan api semakin ditambah.
  3. Sensor kedudukan aci engkol (CKP): terletak berhampiran gelung stator alternator, menerima isyarat pemicu daripada magnet pada roda tenaga bagi tujuan pemasaan pancitan bahan api dan penyalaan palam pencucuh. Bahan api dipancitkan pada lejang masukan manakala palam pencucuh dinyalakan pada penghujung lejang mampatan.
  4. Sensor suhu enjin (ECT): terletak pada kepala silinder, mengukur suhu enjin. Semasa enjin sejuk pada awal pagi atau ketika cuaca sejuk, ECU akan mengarahkan lebih bahan api api disuapkan ke enjin supaya enjin lebih mudah dihidupkan dan lebih cepat mencapai suhu operasi. Semasa enjin dipanaskan, amaun pancitan bahan api dikurangkan secara beransur ke takat biasa sehingga enjin mencapai suhu operasi. Jika enjin terlampau panas pula, ECU akan mengurangkan kadar pancitan dan melambatkan pemasaan penyalaan palam pencucuh untuk menurunkan suhu enjin ke tahap operasi biasa.
  5. Sensor lambda / oksigen (O2S / LAMBDA): terletak pada pangkal paip ekzos, mengukur kandungan oksigen dalam gas ekzos bagi mengira nisbah udara-bahan api untuk tindakan pembetulan. Jika kandungan oksigen terlalu tinggi, maka ECU akan mengarahkan lebih banyak bahan api dipancitkan, manakala jika kandungan oksigen terlalu rendah, ECU akan mengarahkan agar kadar pancitan dikurangkan. Nisbah udara-bahan api yang betul amat penting untuk membolehkan pemangkin asap berfungsi secara optimum. Namun, sensor lambda memerlukan suhu sekitar 700 °C untuk berfungsi, maka ia perlu dipasang pada pangkal paip ekzos ataupun pada rongga ekzos pada kepala silinder. Sesetengah sensor lambda turut mempunyai pemanas terbina dalam bagi membolehkannya berfungsi dengan segera pada cuaca sejuk.



Kedudukan sensor TMAP (kiri) dan TPS (kanan) pada badan pendikit




Sensor ECT pada kepala silinder




Sensor CKP pula terletak bersebelahan roda tenaga




Sensor lambda yang ditanggalkan daripada pangkal paip ekzos


Seperti kebanyakan model motosikal pancitan bahan api yang lain, Sport Rider menggunakan pam bahan api jenis sedutan atas dengan pengawal tekanan terbina dalam, jadi tiada hos bahan api balikan diperlukan. Pam bahan api Sport Rider ini membekalkan bahan api pada tekanan 294 kPa pada pemancit bahan api. Pam bahan api ini memerlukan arus 1 ampere daripada bateri untuk menggerakkannya.




Pam bahan api SYM Sport Rider




Pam bahan api selepas penutupnya dicabut - hanya ada 1 hos bahan api sahaja


Sementara itu, ECU SYM Sport Rider terletak di bahagian hadapan motosikal dan dilindungi fender hadapan. Ia diapit oleh dua biji geganti (geganti kuasa & geganti pam bahan api) di sebelah kanan dan rektifier di sebelah kiri. ECU ini menggunakan cip mikropemproses 16 bit bagi tujuan pengiraan kadar pancitan bahan api serta penyalaan palam pencucuh. Sekiranya terdapat komponen sistem pancitan bahan api yang bermasalah, ECU akan memaparkannya melalui lampu Periksa Enjin yang menyala pada papan pemuka.




Dari kiri ke kanan: 2 geganti, ECU & rektifier




Lampu Periksa Enjin


Hasil penggunaan sistem pancitan bahan api yang lebih cekap dan lebih tepat dalam mengira pemasaan pancitan bahan api dan penyalaan palam pencucuh serta kadar pancitan bahan api, maka SYM Sport Rider 125i ini lulus piawaian emisi Euro 3 serta mencatatkan penggunaan api purata 55 km/L pada kelajuan malar 90 km/j. Justeru, melalui entri ini diharap anda semua lebih cakna akan perkembangan teknologi pancitan bahan api sebagai persediaan menghadapi piawaian emisi yang lebih ketat pada masa akan datang, selaras dengan pengumuman kerajaan yang berhasrat mengurangkan tahap pelepasan gas karbon dioksida sehingga 40% menjelang tahun 2020.

Kredit gambar: Imroen Noor & Mohd. Hezery

7 comments:

  1. Info yang sangat membantu...keep up the good work admin...

    ReplyDelete
  2. Dimanakah kedudukan sport raider di antara lc135, wave 125fi dan gt128? Adakah benar sport raider akan mempunyai getaran yg kuat apabila mencapai pd satu had rpm? Mohon pencerahan. Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dari segi prestasi, kedudukan Sport Rider adalah yang ketiga selepas 135LC & GT128. Tentang getaran, ya selepas 9,000 rpm.

      Delete
  3. Terima kasih atas info. Bolehkah bro shinoda bantu saya untuk membuat perbandingan dari segi kelebihan dan kelemahan antara SR125i dan GT128 sebagai stage terakhir untuk membuat pembelian pada bulan depan.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas info. Bolehkah bro shinoda bantu saya untuk membuat perbandingan dari segi kelebihan dan kelemahan antara SR125i dan GT128 sebagai stage terakhir untuk membuat pembelian pada bulan depan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kelebihan Modenas GT128:-

      1.) Buatan Malaysia oleh syarikat Malaysia
      2.) Harga paling murah untuk model dalam segmen 125-150 cc
      3.) Jangka masa servis lebih panjang (setiap 4,000-5,000 km)
      4.) Reputasi jenama Kawasaki

      Kelemahan GT128:-
      1.) Isu "misteri kehilangan minyak enjin" sama seperti Kriss (boleh diatasi melalui penggantian sesendal minyak pada gegancu)


      Kelebihan SYM Sport Rider 125i:-
      1.) Motosikal pancitan bahan api paling mampu milik dalam segmen 125-150 cc
      2.) Jimat minyak, mesra alam & mudah dihidupkan semasa cuaca sejuk
      3.) Kos penyelenggaraan murah kerana tidak perlu menukar elemen penapis minyak seperti GT128
      4.) Dilengkapi speedometer digital
      5.) Lampu LED belakang dan lampu posisi hadapan LED yang cantik

      Kelemahan Sport Rider 125i:-
      1.) Agak liat untuk menurunkan gear (semakin berkurangan setiap penukaran minyak enjin)

      Delete

Advertisement